Sahabat MANTAP

:: Memantapkan Minda Nasional ::

UMNO PENGHALANG TERBESAR PEMBANGKANG

Posted by Sahabat MANTAP di Khamis, 4 November 2010

Oleh: Kawan Lama

Dalam politik, semuanya boleh belaka. Tak kira apa cara sekalipun, apa yang penting adalah untuk mendapatkan kuasa. Buatlah apa sahaja walaupun MATLAMAT MENGHALALKAN CARA. Perkara ini adalah suatu kelaziman atau lebih tepat lagi amalan parti-parti politik di serata dunia. Serangan atau ‘tipu-muslihat politik’ biasanya akan mensasarkannya terhadap parti yang memerintah. Dalam konteks Malaysia, Barisan Nasional (BN). Kejayaan BN mengekalkan kuasa pemerintahan negara sejak merdeka sehingga kini amat dicemburui oleh parti lawan. Kali ini penulis mahu membawa pembaca kepada persoalan sasaran serangan pakatan pembangkang dalam usaha untuk menumbangkan kerajaan BN. Sasaran mereka adalah UMNO.

Mengapa UMNO?

Izinkan penulis untuk mengimbas kembali rentetan SEJARAH negara ke arah mendapatkan kemerdekaan negara tercinta sehingga kini. UMNO yang terangkum di dalamnya persatuan-persatuan bukan kerajaan (NGO) Melayu merupakan pencetus utama dalam merintis jalan bagi kemerdekaan Malaysia. Setelah berjaya menggagalkan agenda penjajah untuk menguasai secara total Tanah Melayu melalui Malayan Union, usaha UMNO tidak terhenti setakat itu. Ia mengorak langkah lebih bermakna iaitu mengembalikan hak dan maruah bangsa iaitu KUASA PEMERINTAHAN terhadap bumi tercinta.

UMNO menjadi tunjang manakala MCA dan MIC mejadi sokongan kuat dalam memastikan kemerdekaan menjadi realiti. Konsep pemerintahan bersama kini kita kenali sebagai KONGSI KUASA. Kerjasama yang terjalin ini juga adalah berlandaskan kepada kesedaran pemimpin parti bukan Melayu iaitu MCA dan MIC bahawa hak orang Melayu melalui UMNO sebagai nakhoda dan peneraju utama pemerintahan. Keikhlasan UMNO untuk berkongsi pemerintahan inilah yang menjadi faktor utama penerimaan pemimpin MCA dan MIC sehingga kini.

Kekuatan ‘bonding’ inilah yang menjadi penghalang utama dalam usaha pihak pembangkang mendapatkan kuasa pemerintahan negara sejak daripada PRU pertama lagi.

Era Awal Kemerdekaan (1957 – 1970)

UMNO khususnya dan MCA serta MIC telah melalui pelbagai ujian getir dalam menguji kekuatan ‘bonding’ ini. Antara yang tidak dapat dilupakan adalah peristiwa PRU pertama, serangan Bintang 3, Malayan Malaya dan tuntutan Lee Kuan Yew untuk keluar daripada Malaya dan dikuti dengan Peristiwa 13 Mei 1969.

Namun keutuhan dan pegangan jitu terhadap asas kemerdekaan dan konsep kongsi kuasa, maka ianya di atasi dengan penuh hemah dan hikmah. Kesepakatan dan kerjasama antara ketiga-tiga parti utama BN ini telah akhir menghasilkan Pelan Pembangunan Rakyat iaitu Dasar Ekonomi Baru (DEB).

Era Pengisian Kemerdekaan Fasa 1 DEB (1971- 1980)

Usaha murni penstrukturan semula masyarakat dan pembasmian kemiskinan ini telah dijadikan ‘peluru’ untuk menyerang kerajaan BN yang diterajui oleh UMNO khususnya datang daripada DAP yang memberikan tafsiran songsang dengan mengkaitkannya dengan dasar membela satu kaum dan mengambil hak kaum lain.

PAS pula pada peringkat awalnya telah bersama-sama dalam BN. Gabungan ini telah memperkukuhkan lagi keyakinan pemimpin MCA dan MIC dan kaum bukan Melayu terhadap BN.

Era Pengisian Kemerdekaan Fasa 2 DEB (1981 -1990)

Namun tidak lama selepas itu, PAS telah keluar daripada BN dan menjadikan agama sebagai jajaan politik mereka dengan melabelkan UMNO sebagai kafir. Isu kafir-mengkafir oleh PAS ini diperkukuhkan lagi dalam Amanat Haji Hadi yang akhirnya membawa kepada Peristiwa Memali yang diketuai oleh Allahyarham Ibrahim Libya.

Dalam era ini juga berlaku ujian terbesar BN iaitu iaitu pengharaman parti UMNO yang akhirnya membawa kepada UMNO terpecah dua – UMNO Baru dan Semangat 46. Atas prinsip menghormati ‘persetiaan murni pemimpin tiga kaum utama’ MCA diberikan kepercayaan untuk memegang tampok pemrintahan negara sehingga pendaftaran UMNO diluluskan.

Era Pengisian Kemerdekaan Fasa 3 WAWASAN 2020 (1991 -1999)

UMNO tetap utuh dan diperkukuhkan lagi dengan semangat setiakawan MCA dan MIC. Kekuatan kepimpinan dan pentadbiran yang di nakhodakan oleh Tun Dr Mahathir telah memberikan keyakinan rakyat terhadap BN.

Kali ini ia lebih tertumpu kepada isu Dato Seri Anwar Ibrahim. Bermula dengan memperkenalkan Malaysia dengan budaya Demonstrasi Jalanan yang akhirnya membawa kepada penanaman semangat “Street Justice’ atau Mahkamah Jalanan yang membelakangkan institusi Perundangan dan Kehakiman negara

Mereka juga telah menyerang institusi-institusi kerajaan seperti PDRM dan SPRM (BPR). Tak cukup dengan itu, mereka juga mempertikaikan bidang Kehakiman negara. Lebih buruk lagi mereka telah berani mencabar Perlembagaan Negara dan mempersoalkan Hak dan Kuasa Raja-Raja.

Ini ditambah pula dengan mempergiatkan usaha memburuk-buruk pemerintahan negara kepada dunia luar yang mempunyai dagangan ekonomi dengan Malaysia khususnya kuasa-kuasa besar seperti Amerika Syarikat, Britain, China, India dan dunia Islam .

Era Milinium Baru (2000 – kini)

Kelemahan kepimpinan dan pentadbiran dan ditambah dengan kemelut dalam parti-parti komponen BN telah memberikan peluang terbesar kepada parti-parti pembangkang berpakat untuk bersama setelah meneliti keputusan PRU 12. Ini merupakan ujian terbesar dalam BN yang akhirnya membawa kepada kegagalan BN mempertahan 2/3 majoriti di Parlimen di samping kehilangan 5 + 1 negeri.

Sejak akhir-akhir ini, pembangkang telah berusaha untuk meletakkan label perkauman dan tidak Islamik terhadap UMNO. Bagi mereka inilah yang perlu ditanam dan diperkukuhkan di dalam minda rakyat. Segala dasar dan perlaksanaan kerajaan diwar-warkan sebagai berat sebelah dan mementingkan satu kaum sahaja mahupun tidak berlandaskan agama Islam Kini mereka mendapat kerjasama daripada golongan yang menggelarkan diri mereka pejuang hak keadilan sosial dan hak sama rata baik dalam blog politik, blog persatuan bukan kerajaan (NGO) mahupun individu

Kalau ditelusuri secara mendalam, penulis yakin bahawa UMNO diserang kerana ia merupakan PENGHALANG TERBESAR dalam usaha parti-parti pembangkang untuk merampas KUASA PEMERINTAHAN negara. Ini ditambah pula dengan kesepakatan kerjasama yang terbit daripada keikhlasan niat dan saling kepercayaan yang tersimpul kemas antara parti-parti komponen BN baik di Semenanjung mahupun di Sabah dan Sarawak. Rasionalnya, dalam PRU 12 lalu pendekatan ASAL BUKAN UMNO (ABU) telah diketengahkan dan masih digunapakai sehingga kini.

Selain itu, penulis percaya bahawa kejayaan-kejayaan BN yang diterajui UMNO melalui dasar-dasarnya telah berjaya mengimbangi pembangunan negara dan pembangunan rakyat. UMNO/BN telah berjaya meletakkan Malaysia sebagai negara model terbaik di persada dunia.

4 Respons to “UMNO PENGHALANG TERBESAR PEMBANGKANG”

  1. sumir said

    Sebenarnya banyak usaha yang telah dibuat oleh pelbagai pihak untuk memperjuangkan nasib orang-orang Melayu. Bukan UMNO sahaja yang memperjuangkan isu orang-orang Melayu. Semasa negara mahu mencapai kemerdekaan, penjajah telah memberi syarat kepada UMNO yang terkandung dalam Suruhanjaya Reid bahawa jika mahu merdeka maka UMNO mesti memberi kerakyatan Jus soli tanpa syarat kepada orang-orang bukan Melayu khususnya masyarakat Cina dan India. Ini bermakna bahawa masyarakat Cina dan India yang telah dibawa oleh penjajah ke negara ini untuk bekerja di lombong bijih dan ladang getah akan diserap masuk sebagai warganegara secara automatik. PAS yang dipimpin oleh Dr Burhanuddin Helmi pada masa itu menentang keras dasar kerakyatan Jus Soli tanpa syarat tersebut. PAS bimbang bahawa kedudukan politik orang Melayu bakal terancam dan negara terdedah kepada manipulasi mereka yang tidak setia kepada negara. PAS mahu kesetiaan mereka diuji terlebih dahulu. Mengikut Laporan Tahunan 1953, jumlah mereka yang bakal diberi sijil kerakyatan adalah 11,798 di mana 4,379 orang Melayu(37%), 4,407 orang Cina(37%), 1071 orang India (0.9 %) dan 1,932(16%) orang bangsa-bangsa lain. Kedudukan ini akan menyebabkan nisbah Melayu dan bukan Melayu menjadi 37: 63. PAS telah menghantar memorandum kepada kerajaan mencadangkan kerakyatan Jus Soli bersyarat iaitu orang-orang bukan Melayu diberi masa 15 tahun tinggal di Tanah Melayu terlebih dahulu, kemudian barulah dibenarkan untuk menjadi rakyat negara ini. Matlamat PAS adalah jelas mahu melindungi politik orang Melayu dan menjamin keselamatan negara ini. Malangnya Tunku Abdul Rahman berpendapat bahawa memorandum seumpama ini akan melambatkan proses kemerdekaan. UMNO tidak berfikir panjang dan akhirnya menerima sahaja kehendak penjajah terhadap dasar kerakyatan Jus Soli tanpa syarat. Peliknya selepas pilihnaraya 2008, UMNO pula berkata politik orang Melayu sudah terhakis. Soalnya siapa yang memberi ruang politik orang Melayu terhakis?

  2. sumir said

    Selepas peritiwa 13 Mei 1969, politik orang Melayu telah tercabar. Di peringkat parlimen Parti-parti pembangkang DAP, PAS, Gerakan dan PPP telah mengusai 37 kerusi dan Perikatan memperolehi 76 kerusi. Perikatan telah kehilangan 2/3 majoriti dalam Parlimen. Buat pertama kalinya rusuhan kaum berlaku dalam negara. Banyak harta benda musnah dan nyawa yang melayang. Tunku Abd Rahman berpendapat rusuhan ini dirancang oleh Tun Razak untuk menjatuhkan beliau. Golongan berpendidikan tinggi seperti Tun Dr Mahathir mendesak Tunku meletakkan jawatan dan akhirnya beliau melepaskan jawatan sebagai Perdana Menteri pertama. Tun Razak dilantik mengantikan Tunku. Beliau menghulurkan tangan perpaduan kepada PAS untuk menyatukan politik orang Melayu yang kononnya dalam keadaan terdesak. Demi perpaduan orang Melayu dan demi melihat Islam ditegakkan, maka PAS melihat wujudnya keperluan bersama dalam Perikatan pada waktu itu. Akhirnya PAS bersama dengan Perikatan. Setelah Tun Abdul Razak meninggal dunia dan teraju negara berpindah kepada Tun Hussein Onn maka sikap UMNO telah berubah. PAS dilihat bukan sahabat lagi tetapi ancaman kepadanya. Ada sekumpulan ahli UMNO di Johor mahu keluar parti dan masuk PRM tetapi PAS telah berjaya memujuknya masuk PAS. Ini telah menjadi hujah kepada Tun Hussein Onn untuk menendang PAS daripada Perikatan atas tuduhan PAS mencuri ahli-ahli UMNO. Tanpa siasatan rapi, tanpa amaran , tanpa notis dan tanpa berfikir panjang UMNO telah menendang PAS daripada Perikatan. Begitulah mudahnya UMNO melafazkan cerai terhadap PAS. Lebih malang lagi, PAS pula berdepan dengan masalah perpecahan dalaman dan akhirnya kehilangan negeri Kelantan. Nasib PAS umpama habis manis, sepah dibuang. Itulah pengorbanan PAS kepada perpaduan Melayu. Tiba-tiba apabila UMNO tersepit tahun 2008 maka UMNO menuduh PAS ego tidak mahu bersama UMNO. Apa gunanya bersama UMNO kalau hanya mahu dihisap madunya sahaja.

  3. sumir said

    Perkara 152 Perlembagaan Malaysia meletakan Bahasa Malaysia sebagai bahasa kebangsaan yang menjadi bahasa perpaduan rakyat Malaysia. Walaupun begitu bahasa-bahasa lain boleh dituturkan dalam negara ini.Umno dan Mahathir telah cuba merendahkan keupayaan bahasa kebangsaan dengan melancarkan Dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris(PPSMI). Oleh kerana subjek Sains dan Matematik merupakan subjek utama di sekolah mahupun universiti,dasar ini menyebabkan bahasa kebangsaan terpinggir. Anak-anak sekolah di luar bandar menghadapi dua masalah. Pertamanya memahami ilmu Sains dan Matematik, keduanya gagal memahami bahasa yang digunakan. Akhirnya anak-anak Melayu di luar bandar menerima kesan kemerosotan akademik hasil daripada dasar yang dianggap gila oleh Prof DiRaja Ungku Aziz.PAS telah menyaman Kementerian Pendidikan dalam isu ini.Pengerusi Kesatuan Sekerja Dewan Bahasa dan Pustaka(DBP) telah berjumpa dengan Pemuda PAS bagi membangkitkan gerakan untuk memansuhkan PPSMI pada akhir tahun 2008.Dato A. Samad Said, Dato Hassan Ahmad, Dr Shahrir Mohd Zin , Prof Abdullah Hassan dan ramai lagi bersama Pemuda PAS menubuhkan Gerakan Rakyat Membantah PPSMI (GMP). PAS telah mengarahkan ahlinya turun dalam Himpunan 100 ribu rakyat membantah dasar PPSMI pada 7hb Mac 2009 di Kuala Lumpur. Presiden PAS dan pimpinan utama PAS yang lain telah bersama dalam himpunan ini.BN tiada pilihan kecuali membatalkan dasar PPSMI. Dato A. Samad Said berucap dalam program memperingati kejayaan Himpunan 100 Ribu, “ Pada mulanya saya tidak percaya tekanan politik pembangkang boleh merubah dasar PPSMI, tetapi setelah Himpunan 100 Ribu membantah PPSMI saya mulai yakin bahawa tekanan politik boleh merubah sesuatu dasar”.

  4. sumir said

    Melayu mudah lupa, itu kata-kata hikmat Tun Mahathir, sekurang-kurangnya bagi sesetengah pihak.

    Saya ingat pernah semasa krisis Umno bersama Raja-raja Melayu satu ketika dahulu, Umno khasnya pimpinan tertinggi mereka keras menempelak pihak istana. Segala keburukan dan kelemahan institusi Raja-raja Melayu didedahkan. Malah RTM kalau tak silap waktu arwah Tok Mat ketika itu terus-terusan menayangkan filem-filem Melayu yang menggambarkan pendurhakaan termasuklah Hang Jebat, Sultan Mahmud Mangkat Dijulang, Lancang Kuning dan lain-lain.

    Pernah Tun Dr Mahathir ketika itu sebagai Presiden Umno semasa menggulung perbahasan dalam Perhimpunan Agung Umno menyebut bahawa Raja-raja ini kita perlu kerana apabila Hari Keputeraan mereka berikan kita bintang-bintang, bermakna hanya ke tahap itu sahaja Istana diperlukan.

    Itulah Umno.

    Yang paling besar pendurhaka dalam sejarah Melayu moden sudah pastilah Anuar Musa di Kelantan apabila beliau menabalkan Sultan yang baru di Kelantan ketika DYMM Sultan masih hidup dan bersemayam atas takhta Kelantan.

    Umno sesungguhnya punya rekod yang sangat berwarna-warni dengan Raja-raja Melayu. Yang paling hitam adalah semasa krisis Perlembagaan seperti di atas. Kalaulah benar Melayu mudah lupa maka tiada lagilah dalam memori mereka akan insiden yang berlaku di zaman Tun Dr Mahathir itu. Seolah zaman-berzaman Umnolah pendukung pihak Istana.

    Hari ini lidah rasmi Umno, Utusan Malaysia memainkan isu peringatan Raja-raja Melayu. Kononnya bila Raja bersuara, kita semua perlu akur dan terima. Benarkah begitu?

    Alahai betul rupanya Melayu mudah lupa………….

Tinggalkan komen