KUASA DAN PRINSIP AKHLAK
Posted by Sahabat MANTAP di Jumaat, 26 November 2010
Oleh: Anak kecil dari Gunung
Anehnya, tatkala dunia menjadi semakin kecil, kesedaran tentang jurang perbezaan antara masyarakat dan kelompok manusia tambah melebar; Timur dan Barat, Utara dan Selatan, mereka yang berkuasa dan mereka yang terpinggir. Kesedaran ini tumbuh sebagai akibat daripada dasar dan amalan kuasa yang terpisah daripada prinsip akhlak.
Kedamaian dan keamanan dunia yang berkekalan tidak boleh dibangunkan di atas landasan hegemoni agama, budaya, ekonomi dan politik tetapi atas kesedaran dan keinsafan terhadap wujudnya “orang lain”. Maka timbullah keperluan dialog. Gerak ekonomi jelas menunjukkan kepada integrasi global. Resolusi teknologi dan ledakan maklumat bergabung menjadikan dunia satu perkampungan sejagat. Manusia dan budaya semakin dekat tetapi apakah mereka saling memahami dan menghormati antara satu sama lain?
Yang tersirat di sebalik dialog peradaban ialah hasrat untuk menuju kepada convivencia sejagat. Agama dan kebudayaan akan terus berbeza.Setiap bangsa akan mempunyai ragam masing-masing. Setiap negara akan mempertahankan bahkan berbangga denga system politiknya yang terbentuk berdasarkan pilihan rakyat dan sejarah tersendiri. Bangsa Melayu dari dulu menyedari hakikat bahawa kehidupan manusia sentiasa pelbagai. “Lain padang lain belalang; lain lubuk lain ikannya”. Bangsa-bangsa Asia kini telah mendapat keyakinan baru dan ingin turut memikul beban membangun kembali dunia. Mereka tidak mahu membiarkan dirinya dibentuk oleh orang lain sebagaimana yang berlaku dulu. Maka sikap bangsa-bangsa Asia akan menjadi unsur yang penting terhadap pembentukan convivencia sejagat. Mereka perlu melakukannyadengan penuh keinsafan dan kesedaran. Ini bermakna membebaskan manusia daripada kesempitan dan prasangka dan seterusnya membuka jalan kepada kesetiaan yang lebih tinggi, kesetiaan kepada kebenaran dan Negara.
Tinggalkan Jawapan