Profail
PENGENALAN
Tujuan asas komunikasi adalah untuk berkongsi maklumat manakala tujuan asas maklumat adalah untuk membantu membuat keputusan. Teknologi yang dibangunkan bagi kedua-duanya adalah bertujuan untuk memudahkan dan mempercepatkan proses berkongsi maklumat dan membuat keputusan. Evolusi teknologi komunikasi dan maklumat banyak memberi faedah kepada manusia. Walaubagaimana pun, faedah ini hanya dapat dirasai apabila umat manusia mengaplikasikannya ke arah kebaikan sejagat.
Apabila timbulnya kecacatan dalam komunikasi dan ketidaktepatan dalam penyampaian maklumat, maka teknologi yang dikembangkan akan meresapkan racun dalam percambahan pemikiran bangsa. Fenomena ini jika dibiarkan berlanjutan akan memungkinkan kemakmuran negara yang kita kecapi hari ini akan menemui noktahnya yang terakhir. Maka dengan itu, seandainya kita sebagai warganegara tidak bertindak untuk mengekang penyebaran maklumat yang tidak tepat daripada berleluasa dan seterusnya mendidik pola pemikiran bangsa, sudah tentu gejala ini sedikit sebanyak akan mengganggu sistem urustadbir negara yang kita sayangi.
Di atas dasar ini, maka Pertubuhan Pemikir Dan Pengamal Malaysia (MANTAP) ditubuhkan demi untuk menunaikan tanggungjawab sebagai rakyat yang perihatin terhadap kemakmuran negara. MANTAP akan berusaha untuk mengumpulkan dari aktivis-aktivis sosial, para pemerhati dan penganalisa politik sehinggalah kepada ahli-ahli profesional dan para ilmuwan untuk bersama membincangkan segala isu, perkara dan persoalan bagi menemukan beberapa resolusi dan cadangan terbaik yang boleh diketengahkan untuk diambil perhatian dan tindakan oleh pihak berkaitan.
MANTAP amat mengharapkan sokongan dan kerjasama daripada pelbagai pihak demi merealisasikan agenda memantapkan pemikiran bangsa dan membantu aspirasi negara untuk membina ketamadunan tanahair tercinta mengikut acuan sendiri.
DASAR MANTAP
Dasar MANTAP terbina daripada setiap huruf yang membina perkataan ‘MANTAP’ itu sendiri dan diterjemahkan sebagai di bawah:
-
Mematuhi Akan Nasihat, Tuntutan Agama & Perundangan;
-
Memelihara Aspek Nilai Terpuji, Adat & Peraturan;
-
Membantu Agenda Nasional Tentang Aspek Peradaban;
-
Menyedarkan Aspirasi Nasional Terhadap Akhlak & Pemikiran;
-
Melahirkan Aktivis Nasionalis Terbilang & Ampuh Perjuangannya.
PENAFIAN
Blog ini bukanlah portal rasmi MANTAP. Blog ini dibangunkan bagi membolehkan ahli-ahli pertubuhan berkarya atau berkongsi maklumat, idea dan pendapat. Sebarang bahan yang diposkan di sini tidak semestinya mencerminkan pendirian atau pemikiran pertubuhan.