Sahabat MANTAP

:: Memantapkan Minda Nasional ::

Dialog Negarawan dan Isu Semasa Anjuran Pergerakan Puteri Umno Malaysia

Posted by Sahabat MANTAP di Selasa, 28 September 2010

Oleh : Tun Teja Millenia

Bertajuk “Survival Masa Hadapan, Pengajaran Masa Lalu” program Dialog Negarawan dan Isu Semasa anjuran Puteri Umno Malaysia berjaya menarik ahli-ahli puteri Umno, badan-badan NGO dan rakan-rakan pemerhati yang lain untuk turut serta mengikuti program ini pada 27 haribulan September 2010 di Kuala Lumpur baru-baru ini . Kehadiran mantan Perdana Menteri Malaysia ke 4, Tun Dr. Mahathir Mohammad semestinya menjadi tarikan utama kepada program ini.

Tahniah diucapkan kepada barisan pemimpin Puteri Umno Malaysia kerana menganjurkan progam ilmu yang bermanfaat sebegini. Pada program tersebut juga beberapa penceramah dari UMNO, Biro Tatanegara dan penceramah bebas dijemput untuk memberi maklumat ilmu yang berguna kepada para peserta program. Diantara penceramah yang dijemput adalah Ketua Penerangan Umno Malaysia, Dato Ahmad Maslan dan penceramah Pakar Analisis Jenayah, Kamal Affendi.

Dewan yang dipenuhi oleh peserta dari awal pagi dimulakan dengan ceramah dan amanat oleh Ketua Penerangan Malaysia, Dato’ Ahmad Maslan. Beliau mengulas beberapa isu penting seperti kesinambungan generasi muda meneruskan perjuangan membela nasib orang Melayu yang semakin diancam dengan isu perkauman. Beliau juga menegaskan perlu ada pemikiran “winning psychology” pada semua generasi muda sekarang dan berfikiran positif supaya menuju kearah peningkatan yang sihat.

Kemudian para peserta diceriakan dengan kehadiran penceramah Pakar Analisis Jenayah, Saudara Kamal Affendi. Bersesuaian dengan tajuk “Peranan Pemimpin Muda dalam Masalah Sosial”, beliau berkongsi beberapa maklumat yang sangat bernas mengenai isu tersebut. Dengan penyampaian yang lucu dan menghiburkan peserta-peserta mengikuti ceramah beliau dari mula hingga akhir tanpa menyedari masa berlalu dengan pantas sekali. Beliau juga menekankan konsep pencegahan, pencelahan (intervensi) dan pemulihan di dalam menangani isu masalah gejala sosial.

Tepat jam 3 petang, kehadiran Tun Dr. Mahathir yang dinanti-nantikan disambut dengan meriah oleh Ketua Puteri Malaysia merangkap Timbalan Menteri Kesihatan Malaysia dan barisan exco Puteri Umno Malaysia serta peserta-peserta lain. Di dalam ucapan beliau, Tun Dr. Mahathir menyentuh tentang isu perpecahan orang Melayu yang semakin membimbangkan dan isu penolakan Kemelayuan oleh orang Melayu sendiri. Beliau menegaskan perjuangan pihak pembangkang hanyalah untuk memastikan mendapat tempat di dalam pemerintahan Malaysia dan bukan lagi memperjuangkan hak orang Melayu dan kaum bumiputera. Perpecahan orang Melayu yang dibahagikan kepada 3 bahagian memaksa pihak pembangkang untuk mengalihkan perhatian mereka kepada kaum lain untuk sokongan dan dengan secara otomatiknya perjuangan untuk orang Melayu diketepikan. Sikap tamak pemimpin sebegini sememangnya merosakkan masa depan orang Melayu sekaligus menghuru-harakan negara dengan isu perkauman yang melampau.

Tun juga menggesa supaya generasi muda mengkaji sejarah dan mengambil ikhtibar dari peristiwa lalu tentang nasib orang Melayu. Beliau memberi contoh tentang nasib orang Melayu di Singapura yang tidak dilayan dengan sewajarnya selepas kemerdekaan seperti yang dijanjikan oleh pemimpin negara Republik itu. Tun juga menyentuh tentang hilangnya hak kaum pribumi Indian di Amerika Syarikat yang tewas di dalam memperjuangkan bahasa dan budaya mereka di tangan orang luar yang kini memerintah negara tersebut. Semua contoh-contoh ini dikemukakan oleh Tun supaya menjadi ikhtibar kepada generasi muda Melayu yang kini diancam oleh kehilangan hak di bumi sendiri.

Satu Respons to “Dialog Negarawan dan Isu Semasa Anjuran Pergerakan Puteri Umno Malaysia”

  1. Syieda Yus said

    Semoga program seperti ini dapat d perluaskan diperingkat negeri dengan mengekalkan panel penting iaitu Tun Dr Mahadhir… Semoga kealpaan orang melayu dapat di rawat secepat mungkin..dan keyakinan melayu terhadap umno dapat dibina semula tanpa rasa ragu dan berbelah bagi..

Tinggalkan komen