Sahabat MANTAP

:: Memantapkan Minda Nasional ::

Semangat Melayu dan Model Ekonomi Melayu

Posted by Sahabat MANTAP di Isnin, 9 Ogos 2010

Oleh: Anak kecil Dari Gunung

Dua dasar ekonomi negara, iaitu Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang dilanjutkan dengan DPN masing-masing mempunyai semangat dan iltizam yang sama. Strategi pembangunan ekonomi tetap mengekalkan keistimewaan hak peribumi demi memastikan pengagihan kekayaan yang adil dan saksama.

Namun dalam tempoh 39 tahun pelaksanaan DEB dan BPN dasar tersebut gagal mempertingkatkan pegangan kek ekonomi penduduk peribumi yang cuma disasarkan sebanyak 30 peratus. Pencapaian orang Melayu, kaum majoriti, semakin merosot dengan krisis ekonomi yang melanda yang tentunya tempias di negara kita. Kedudukan ekonomi orang Melayu di negara sendiri amat tidak memberangsangkan, dengan majoritinya miskin dan berpendapatan rendah.

Maka MEB amat dinantikan dengan harapan mengunung untuk membantu mengeluarkan penduduk peribumi dari kancah kemiskinan. Namun begitu dasar afirmatif MEB bagi mencapai ekonomi berpendapatan tinggi menimbulkan kegusaran dalam kalangan orang Melayu. Dasar afirmatif MEB yang mengutamakan prinsip mesra pasaran, merit, ketelusan dan keperluan dilihat sebagai sangat terbuka, seolah-olah mengetepikan hal istimewa penduduk asal negara ini. Orang Melayu dan Bumiputera perlu bersaing dengan kaum lain yang jauh lebih maju dalam perjuangan untuk meningkatkan taraf hidup dan ekonomi. Sungguhpun pelaksanaannya berasaskan gagasan Satu Malaysia: Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan, orang Melayu nampaknya begitu khuatir dengan kedudukan mereka di negara sendiri.

Dengan asas pelaksanaan MEB yang adil kepada semua kaum, jurang pendapatan antara kaum dikatakan akan semakin melebar. Hal ini adalah kerana golongan yang sememangnya memegang ekonomi negara mempunyai peluang yang luas untuk lebih meningkat dengan asas meritokrasi yang digariskan. Golongan yang berpendapatan rendah akan mendapat ruang untuk bernafas meningkatkan pendapatan mereka ke tahap yang minimum iaitu RM 1,500.00.

Tanpa unjuran buat orang Melayu dan Bumiputera sebagaimana yang tersemat dalam DEB, MEB dilihat telah mengenepikan hak mereka. Sungguhpun yang akan mendapat pembelaan dalam MEB adalah penduduk berpendapatan rendah, yang majoritinya Melayu dan Bumiputera mereka tidak akan dapat bersaing dengan bukan Melayu yang lain. Sedangkan sekarang orang Melayu dan Bumiputera masih belum dapat memperoleh ekuiti yang diunjurkan, apalah lagi yang boleh diharapkan apabila MEB dilaksanakan sepenuhnya. Maka mereka menyuarakan hak yang diperuntukkan dalam klausa 2 perkara 153 berkaitan dengan hak istimewa orang Melayu dan Bumiputera dalam perkhidmatan awam, agihan biasiswa atau pendidikan atau latihan atau kemudahan lain yang diberikan oleh kerajaan termasuklah permit atau lesen perniagaan. Bagi mereka hak istimewa ini tidak boleh diketepikan. Orang Melayu tidak seharusnya berasa khuatir kerana penumpuan MEB adalah kepada usaha untuk meningkatkan pendapatan golongan berpendapatan rendah yang majoritinya orang Melayu dan Bumiputera. Malah MEB memastikan agihan ekonomi yang adil baik antara kaum mahupun intrakaum. Rakyat perlu mendapatkan penjelasan tentang MEB supaya memahami perancangan ekonomi negara. Yang paling penting strategi pelaksanaannya harus diteliti.

Walaubagaimanapun, laporan MEB yang dibentangkan oleh Najib bukanlah muktamad. Laporan ini merupakan bahagian pertama MEB dan dibentangkan untuk mendapatkan maklumbalas rakyat sebelum disepadukan dalam Rancangan Malaysia ke 10 dan dilaksanakan dalam Rancangan Malaysia ke 11. Kini terpulang kepada semua pihak untuk memberi pandangan masing-masing. Bagi orang Melayu dan Bumiputera, inilah masanya mereka memberikan pandangan dan menyuarakan kepentingan mereka supaya MEB yang digubal kelak benar-benar memberikan manfaat kepada mereka. Percayalah, sesuatu pihak yang “terlalu” bertolak-ansur, akhirnya nanti akan ditolak beransur-ansur.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: