Sahabat MANTAP

:: Memantapkan Minda Nasional ::

Perpaduan Orang Melayu Tenat

Posted by Sahabat MANTAP di Rabu, 21 Julai 2010

Oleh : Tun Teja Millenia

Saban hari apabila membuka lembaran akhbar tempatan dan Facebook untuk mengikuti hal-hal semasa dan semakan status, kita tidak lari dari terbaca ayat-ayat keluhan dan kecaman di antara rakan-rakan kita yang berbangsa Melayu. Ramai di kalangan rakan-rakan kita yang berbangsa Melayu tetapi mempunyai ideologi yang berbeza rancak ‘berperang’ di ruangan media. Masing-masing berlumba-lumba untuk berbalas-balas kecaman dan tuduhan. Semangat untuk berjuang sangat terserlah malah sangat kreatif di dalam penyampaian masing-masing. Bermacam-macam ragam dan cara mereka untuk menarik minat rakan-rakan untuk sama-sama memberi komen dan seterusnya berbincang tentang sesuatu isu yang dibangkitkan terutamanya di ruangan facebook. Situasi dan senario ini sangat menggalakkan akan tetapi disudut hati saya merasa sayu dan sedih kerana perjuangan mereka adalah untuk berlawan sesama bangsa dimana mereka berperang diantara satu sama lain…..

Ulasan yang terbaik dari mengikuti perkembangan ini ialah, dapat dirumuskan bahawa perpaduan di antara orang Melayu semakin tenat malah tiada tanda-tanda untuk bersatu walaupun mempunyai matlamat perjuangan yang sama. Dimanakah sikap toleransi orang kita? Sedarkah kita yang saban hari kita semakin menjurangkan hubungan kita hanya disebabkan perbezaan pendapat? Tidak pernahkah kita berfikir sejenak dan menimbangkan idea untuk sama-sama berjuang untuk bangsa walaupun perbezaan ideology? Adakah itu mustahil? Adakah terlalu susah untuk mengenepikan ego masing-masing dan mengambil langkah positif untuk bekerjasama di dalam memperjuangkan bangsa kita? Bukankah itu persamaan yang sangat nyata? Bukankan itu yang kita perjuangkan selama ini?

Setiap hari kita menggesa dan melaung-laungkan orang Melayu perlu bersatu dan mengeratkan perpaduan. Tetapi laungan dan gesaan hanya tinggal sekadar laungan..…perbuatan kita sebaliknya malah makin galak kita memburukkan saudara-saudara seagama dan sebangsa kita. Adakah kita sedar perbuatan kita ini? Kita sombong, angkuh, ego dan takbur dengan pendapat kumpulan kita. Rasa terlalu sukar untuk bertolak ansur dan terlalu taksub untuk menjadi “champion” di dalam segala isu hingga terlupa bahawa perjuangan kita sama. Sama-sama ingin memperjuangkan nasib bangsa kita dari melarat di bumi sendiri. Sebaliknya semangat dan kebijaksanaan yang ada kita gunakan untuk menjatuhkan bangsa kita sendiri. Mengapa? Mengapa tidak kita gunakan kebijaksanaan dan semangat juang itu bersama untuk memperbaiki kelemahan yang ada pada bangsa kita? Ini tidak, kita rasa bangga dapat mendedahkan kelemahan dan keburukan saudara seagama dan sebangsa kita di khalayak ramai tanpa mengira kemusnahan yang bakal terjadi dan seterusnya membina persepsi negatif terhadap bangsa kita sendiri.

Wajar untuk kita mengimbas kembali kepada sejarah dahulu di mana pejuang-pejuang bangsa berkorban untuk memperjuangkan kemerdekaan kita. Adakah mereka mengambil sikap seperti yang kita lakukan hari ini? Jawapannya tentu sekali TIDAK! Mengapa kita tidak mahu mengambil ikhtibar dari kejayaan pemimpin-pemimpin terdahulu? Adakah kita mahu menunggu sehingga kita kehilangan segala-galanya di bumi sendiri dan baru timbul rasa penyesalan? Panggilan seperti si Kitol, Al-Juburi, Najib Altantuya, Bodowi dan sebagainya mewarnai setiap ruangan media hari ini di mana semuanya dengan mudah menjadi tatapan anak-anak kita. Semuanya memberi implikasi yang sangat negative di minda anak-anak kita. Apakah jawapan yang kita sediakan jika anak-anak kita bertanya mengapa nama-nama tersebut digelarkan untuk pemimpin-pemimpin Melayu kita? Dimanakah sifat sopan santun, kaya budi bahasa dan kehalusan akhlak kita sebagai orang Melayu/Islam? Inikah contoh yang terbaik untuk kita terapkan pada generasi muda? Tepuk dada tanyalah selera di mana hala tuju kita hari ini untuk menjayakan nasib bangsa kita esok….Janganlah kita biarkan keadaan hari ini melarat tanpa ada usaha untuk mengubati penyakit TENAT yang melanda bangsa kita. Marilah kita sama-sama mengenepikan ego dan dendam serta mula membina ikatan yang renggang demi untuk keberkatan Allah SWT di dalam memperjuangkan agama dan bangsa bukan hanya sekadar retorik….!

6 Respons to “Perpaduan Orang Melayu Tenat”

  1. Dang Anum said

    Adinda Teja terhahu kekanda menghayati luahan hati dinda, melayu di semua pahaman politik dah tidak mengira yang kita nak katakan itu adalah melayu juga, maka ianya menjadi bahan untuk bangsa lain menggunakan pepecahan kita ini. Memang terpendam dihati kanda sabanhari kita hidup di dalam rialiti menghadapi anak anak meningkat dewasa malah dah layak mengundi pulak,pendekatan menggunakan bahasa yang tidak melambangkan melayu menyesakkan kita. Dimana kesopanan kesusilaan saling hormat menghormati, perangai tikam menikam dari depan belakang menjadi kepakaran sekarang ini malah di anggap juara,. Menjadi persoalan sekarang Melayu Islam, perangai dan tindakan kita melambangkan Melayu beragama Islam ?….

  2. acap said

    Tenat sungguh melayu skrg ni??..takkan la berbeza pendapat sudah tidak kira berpadu…mesti ada sebab-sebab yang tertentu yang menyebabkan seseorang individu itu berbeza pendapat…takkan la kita perlu bertoleransi walaupun sesuatu perkara itu tidak betul…rasuah,arak,judi,seks bebas??perlu toleransi ke??rata-rata org melayu islam yg buat…kita mesti la adil dalam semua perkara,kalau benda tu salah kita bantah,kalau betul kita sokong…kalau melayu buat salah kita bantah,kalau cina buat salah kita bantah,kalau india buat salah kita bantah…tp kalau melayu betul,cina betul india betul maka kita sokong la selagi benda tu tak melanggar hukum Allah dan ajaran nabi Muhammad…baru selamat dunia akhirat…hukum Islam mesti ditegakkan,tidak ada hukum yg sebaik-baiknya melainkan yg dtg dari Allah..kalau nak contohi zaman-zaman yg berjaya,maka kena ikut zaman nabi dan sahabat,apa yg diorang buat sampai Allah sendiri janjikan diorg syurga…xyah la ikut acuan barat sgt…sahabat bukan maksum,kita mampu jadi seperti diorg~

  3. shabriduda said

    UMNO BN mendakwa kononnya kerajaan PR 11 bulan memerintah Perak tidak buat apa-apa untuk rakyat. Kononnya PR kerjanya saban hari saban malam ceramah memburuk-burukkan UMNO. Ini memberi gambaran seolah-olah MB, EXCO dan seluruh adun-adunnya bersama pegawai-pegawai kerajaan tidak buat apa-apa untuk kebajikan rakyat.

    Kita akui sepanjang 11 bulan memerintah, pimpinan PR terpaksa menemui rakyat samada dalam program rasmi kerajaan atau ceramah politik yang dianjurkan oleh parti. PR buat begitu kerana inilah caranya menjelaskan kepada rakyat polisi dan dasar-dasar yang diperkenalkan oleh PR dalam menerajui negeri Perak, selain menjawab tohmahan UMNO BN. Kalau peluang tersebut kita boleh perolehi melalui radio, tv dan akhbar media perdana, tidak perlu PR keluar saban hari dan malam menyampaikan maklumat kepada rakyat.

    Ini adalah satu pembohongan besar UMNO BN kepada rakyat. Bukan itu sahaja, malahan mereka sentiasa mendakwa negeri Perak diperintah oleh Cina DAP, Hj Nizar dan PAS boneka serta kuda tunggangan Cina. PAS gadai tanah orang Melayu kepada orang Cina. Tohmahan ini sedikit sebanyak meresap juga kepada orang Melayu. Sebuah Ngo Melayu menghantar memorundum kepada Sultan Perak konon nak selamatkan tanah-tanah orang Melayu. Itulah persepsi buruk yang cuba digambarkan oleh UMNO BN melalui media.

    Sebenarnya program-program kebajikan yang UMNO BN buat sekarang untuk rakyat di Perak itulah dulunya dibuat oleh PR. Dalam akhbar Sinar Harian semalam dan hari ini Kerajaan Negeri telah mengumumkan pemberian 1000 hektar tanah kepada Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan 2000 hektar tanah kepada Sekolah Agama Rakyat (SAR). BN juga turut memberi bantuan dermasiswa kepada pelajar-pelajar Perak yang berjaya melanjutkan pelajaran ke IPT dan sebagainya. Berita-berita tersebut memberi gambaran seolah-olah PR dulu tidak buat apa-apa pun pada rakyat.

    Pada hal UMNO BN meniru dan meneruskan apa yang PR buat dulu. Kita tidak pula mempertikaikan apa yang mereka buat. Cuma dulu apabila PR mengumumkan pemberiaan tanah 1000 hektar tanah kepada sekolah Cina dan memberi peruntukan kewangan 60 ribu setahun kepada SJKC ini, seluruh pemimpin UMNO menjaja merata Perak kononnya Hj Nizar ikut telunjuk Cina dan DAP untuk bantu sekolah Cina manakala SAR kononnya diabaikan. Inilah fitnah jahat UMNO BN. Pada hal PR juga memberi 1000 hektar tanah kepada SAR dan mengembalikan semula bantuan perkapita kepada SAR.

  4. shabriduda said

    Yang hairannya bila UMNO BN umum bantu kaum Cina, umum peruntukkan kepada semua MCA bahagian, bagi bantuan kewangan kepada gereja, kuil dan tookong dan sebagainya, tidak ada pula pemimpin UMNO dan Ngo Melayu yang membantah. Kita tidak pula menyuruh bantah pemberian seumpama itu, baguslah, itu hak rakyat. Persoalannya janganlah double standart, PR bantu Cina dan kaum lain, dituduhnya khianat, jual dan gadai kepentingan Melayu, boneka, kuda tunggangan dan bermacam-macam lagi momokan.

    Saya nak sebut semula apa yang kerajaan PR telah buat dan laksana sepanjang 11 bulan memerintah Perak yang didakwa oleh UMNO BN tidak buat apa-apa untuk rakyat. Antaranya mengembalikan semula bantuan perkapitan kepada SAR, memberi 1000 hektar tanah kepada SAR dan SJKC, memberi bantuan dermasiswa RM 1000 kepada pelajar-pelajar IPT, memberi air percuma 20 meterpadu kepada rakyat miskin, menaikan peruntukan musibah di setiap daerah dari 30 ribu kepada 50 ribu, menaikan bantuan kebajikan dari serendah-rendah RM 50 kepada RM 200 dan semaksima RM 400, memberi suratan hak milik kepada penduduk Melayu di kampung tersusun dan juga penduduk Cina di Kampung-kampung Baru, memberi elaun bulanan kepada Ketua Kampung RM 400 sebulan dan RM 200 sebulan kepada SU JKKK, menubuhkan Tabung Kebajikan Rakyat untuk membantu anak-anak yatim, warga tua, miskin tegar, ibu tunggal. Menubuhkan Tabung Kebajikan Khas bagi membantu pesakit-pesakit kronik. Menubuhkan Tabung Pinjaman Kecil bagi membantu peniaga-peniaga yang mahu berniaga secara kecil-kecilan tanpa sebarang faedah dikenakan.

    Semua itu diluluksan dalam bajet 2009 yang dibentangkan dalam sidang DUN bajet 2009. Banyak lagi sebenarnya yang dibuat oleh PR sepanjang 11 bulan memerintah Perak yang kebanyakannya ditiru dan diteruskan oleh UMNO BN. Tetapi UMNO BN membutakan mata rakyat dengan maklumat ini, sebaliknya menyebarkan fitnah dan tohmahan kepada rakyat.Termasuk lah laman ini (sahabat mantap)huahuahuahua

  5. 甚至阿德南 said

    Aiyooo…..please ma…. kita 1Malaysia ma….no need gado2 ma !!!

  6. Hj. Mat said

    Jangan benci sangat pada UMNO. Majoriti rakyat Melayu Msia adalah orang UMNO, Walaupun saya penganut PAS tegar, pada suatu masa dulu kerana dilahirkan sebagai anak Tok Guru pondok, tetapi setelah banyak berjalan dan banyak belajar sampai ke luar negeri, maka terbukalah mata terbukalah hati, betapa UMNO yang rata-rata Melayu rata-rata Islam. Jangan macam kita Bencikan Mahafiraun dulu, sekarang baru terbuka mata, akan jasa dan bakti beliau yang tak terperi. Begitu juga UMNO disaat UMNO telah mati, maka saat itulah kita meratap dikuburannya memperihalkan kebaikan dan jasanya. Renung-renunglah.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: