Sahabat MANTAP

:: Memantapkan Minda Nasional ::

POLITIK MALAYSIA 2009

Posted by Sahabat MANTAP di Selasa, 2 Februari 2010

Oleh:- Anak Kecil Dari Gunung

Dua peristiwa bersejarah dalam konteks kepemimpinan Negara berlaku pada 2009. Pertama, berakhirnya era Tun Abdullah Ahmad Badawi pada Mac 2009 sebagai Perdana Menteri Malaysia kelima, kedua bermulanya fasa baharu pentadbiran Negara dibawah kepemimpinan Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak

Walau bagaimanapun, peralihan teraju tertinggi pentadbiran Negara tidak bererti meredakan krisis politik domestik. Walaupun kestabilan dalam beberapa parti politik tertentu kian pulih, semua itu tidak menjanjikan ketenangan politik diperingkat nasional. Najib mengetengahkan manifesto “Satu Malaysia” untuk menarik semula sokongan rakyat. Pendekatan inklusif dan bukannya eksklusif dalam gagasan Satu Malaysia memaparkan keinginan dan motivasi beliau untuk mengukuhkan semula kedudukan Barisan Nasional ( BN )

Walaupun pemilihan UMNO pada Mac 2009 membawa sinar baharu kepada parti terbesar di Malaysia ini dengan kemunculan barisan kepimpinan yang baharu, hal ini tidak bermakna menjadikan BN kembali kuat. Kemelut dalaman beberapa parti komponen BN yang lain menjejaskan imej BN dimata rakyat

MIC misalnya masih terus dihantui oleh krisis kepemimpinan, walaupun mesej “Perubahan” dinyatakan dengan jelas oleh Najib selaku Pengerusi BN sewaktu merasmikan Perhimpunan Agung MIC tahun lalu, ternyata mesej tersebut belum dapat diterima oleh sebahagian besar perwakilan MIC. Muka lama masih lagi mengisi kepemimpinan tertinggi parti yang semakin hilang pengaruh dalam kalangan masyarakat india dinegara ini

Situasi yang sama turut berlaku dalam MCA. Salah faham antara Presiden dengan Timbalan Presiden kian meruncing apabila keduanya secara terbuka menjadikan media untuk menghambur rasa tidak puas hati masing-masing. Mungkin mereka terlupa bahawa pengundi Cina sedang memerhatikan tingkah laku mereka. Proses pemulihan, pengukuhan dan mengembalikan sokongan rakyat terhadap BN sebenarnya bukan hanya dipikul dibahu Najib. Legitimasi politik BN bergantung pada sejauh mana lahirnya tindakan kolektif dalam kalangan semua pemimpin parti komponen BN untuk jangka masa terdekat

Pergolakan komponen BN tidak terbatas kepada MIC dan MCA. Hal ini turut melibatkan PPP. Presiden PPP sekarang seolah-olah berasa dirinya hebat hingga semua orang bawahan yang mengkritik apatah lagi menentangnya dikenakan pelbagai hukuman

Parti gerakan di Pulau Pinang lain pula ceritanya. Pemimpin tertingginya kini seorang demi seorang diambil tindakan tatatertib dan undang-undangoleh lembaga disiplin parti. Jika hal ini berpanjangan, siapakah calon gerakan yang akan memikul tanggungjawab untuk merampas kembali Pulau Pinang daripada DAP pada PRU-13?

Tahun 2009 turut diwarnai dengan beberapa siri pilihan raya kecil, seawall 2008 di parlimen Permatang Pauh apabila penyandangnya, Wan Azizah Wan Ismail memberikan laluan kepada suaminya, Anwar Ibrahim dan kemudian meleret kepada beberapa siri pilihan raya kecil yang lain pada sepanjang 2009

Keputusannya , BN tumbang dibeberapa buah kawasan yang dikuasai pembangkang seperti di Bukit Gantang, Bukit Selambau, Permatang Pasir dan Manek Urai. Walau bagaimanapun, BN tudak bertanding di Penanti, tetapi berjaya memenangi dua daripada tujuh pilihan raya kecil selepas PRU ke-12 iaitu di Batang Ai dan di Bagan Pinang

Kemenangan di Bagan Pinang bagaikan satu suntikan motivasi kepada BN yang selama ini reputasinya semakin menurun. Faktor calon dan koordinasi parti jelas mempengaruhi kemenangan di Bagan Pinang. Adakah itu perlu diperhalusi oleh BN dan dipelajari oleh pembangkang?

Yang jelas, 2009 menyaksikan pendekatan politik kata-mengata semakin menjadi-jadi. Tindakan seperti membakar gambar pemimpin, memijak gambar pemimpin, mahupun memohon doa sehingga perut pemimpin tertentu pecah menggambarkan pendekatan politik kurang matang bermaharajalela sejak kebelakangan ini

Insiden kematian Teoh Beng Hock, pembantu khas kepada salah seorang wakil rakyat diselangor mencetuskan polemik baharu dalam tanah air. Poster dan gambar beliau terpapar dimana-mana ceramah pembangkang. Sifat populis menjadi senjata politik tetapi persoalannya, adakah perkara ini bersifat sementara?

Pakatan Pembangkang turut berhadapan dengan pelbagai krisis dalaman. Ada pihak yang beranggapan bahawa komentar dan pandangan yang menjurus kepada kelemahan pembangkang menggambarkan kesuburan demokrasi. Buah fikiran yang menyokong pemerintah pula dianggap sebagai propaganda. Yang nyata, pembangkang juga tidak lepas daripada skandal dan masalah dalaman

Disebabkan tiada menyangka kemenangan luar biasa dalam pilihan raya lalu, Pakatan Rakyat meletakkan banyak calon yang kurang berwibawa. Akibatnya, selepas PRU ke-12, beberapa orang wakil rakyat Pakatan Rakyat melepaskan jawatan mereka sehingga memaksa pilihan raya kecil diadakan semula seperti di Bukit Selambau dan Penanti. Ada pula yang berhadapan dengan masalah disiplin, berkemungkinan tersentak daripada lamunan keasyikan menjadi Yang Berhormat. Jika Pakatan Rakyat tidak menangani semua permasalahan dalaman ini dengan segera, pastinya membawa masalah kepada mereka untuk bertahan sehingga PRU ke-13. Tidak ketinggalan isu yang melanda PAS sepanjang 2009. Bermula dengan muzakarah yang berakhir dengan Presiden PAS dan beberapa orang kanannya mengekalkan kedudukan dalam parti, Nik Aziz Nik Mat mula mengatur strategi untuk membawa sokongan kepada parti dan legitimasinya. Walaupun dibarisi kepimpinan yang mantap, pertembungan politik kepuakan menjadi masalah dalaman PAS. Hal ini menjadikan PAS hanya dilabel sebagai “ rakan” dalam Pakatan Rakyat dan bukan “peneraju” seperti sebelum ini walaupun jentera PAS sebenarnya jauh lebih kuat dan teratur berbanding dengan rakan Pakatan Rakyat yang lain

DAP antara parti pembangkang yang hangat berhadapan dengan isu sepanjang 2009. Antaranya isu rumah pendudukan di kampung Buah Pala, Pulau Pinang yang berakhir dengan perobohan rumah penduduk. Isu tersebut menghantui DAP apabila desakan berterusan dilakukan oleh wakil penduduk kampung. Isu tanah tidak ketinggalan mewarnai politik DAP di Pulau Pinang sehingga poster Ketua Menteri, Lim Guan Eng di bakar oleh penyokong lawan

Ugut dan ancaman menjadi elemen yang kini digunakan dalam politik Negara hari ini. Malahan tindakan ADUN Sungai Pinang, Koi Teng Guan menghantar sms ( sistem pesanan ringkas ) yang lantang melebel parti MCA dan gerakan sebagai sudah separuh mati dan dihantar ke neraka menunjukkan pelbagai alat media baharu digunakan untuk kepentingan peribadi.bagi PKR yang sedang berhadapan dengan krisis kepimpinan di Selangor, isu kepada lembu menyebabkan banyak pihak yang berasa rimas dan muak dengan sentiment politik perkauman. Susulan kejadian tersebut, Menteri Besar Selangor Khalid Ibrahim terpaksa berhempas-pulas mempertahankan kedudukan beliau

Kontrovesi terus timbul apabila pelantikan Anwar sebagai Penasihat Ekonomi Negeri Selangor dipersoalkan. Begitu juga pertembungan wakil PAS dalam isu arak dan pemantauan perkara yang bertentangan dengan agama. Hassan Ali ( PAS ) dan Ronnie Lui ( DAP ) muncul sebagai wira politik Selangor ekoran isu tersebut. Isu tersebut berkenaan dengan larangan kerajaan negeri Selangor dan Pulau Pinang kepada kakitangan awam dan pelajar yang sedang menuntut di institusi pengajian tinggi awam dibawah jajahan kerajaan negeri daripada mengikuti kursus Biro Tata Negara ( BTN ) menunjukkan pendekatan terang-terangan Pakatan Rakyat menentang kerajaan pusat. Kursus yang didakwa bersifat rasis ini memaksa kerajaan pusat meneliti semula modul kursus BTN

Tahun 2010 bakal menyaksikan isu “Sodomi 11 Anwar” mewarnai pentas politik. Rakyat sedang memerhatikan sejauh manakah Anwar dapat menyakinkan rakyat bahawa isu sodominya kali ini bukan kesinambungan dakwaan 1998-1999. Yang pasti, kehadiran pemimpin baharu dan beberapa krisis dalam BN dan Pakatan Rakyat memberikan pilihan kepada masyarakat untuk membuat penilaian. Siapakah yang bersedia berkompromi dan siapa pula yang bersedia berkorban demi kepentingan majoriti?

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: