Sahabat MANTAP

:: Memantapkan Minda Nasional ::

Golongan Wanita Hina Di Mata PAS

Posted by Sahabat MANTAP di Khamis, 12 November 2009

oleh: Keris Terbang

“Dalam kepala saya tak ada bai’ah ini…PAS Pusat saya tak ingat”, ujar Mahaguru Datuk Nik Abdul Aziz pada 10 November 2009 di pejabatnya ketika ditanya pemberita berkaitan isu bai’ah dalam parti. Datuk Abdul Hadi juga turut menafikan perkara yang sama. “Tak payah (siasat), tidak ada (bai’ah), benda tu tidak ada…”.

Isu bai’ah dalam PAS mula timbul apabila Yang Dipertua PAS Shah Alam, Khaled Abdul Samad pada 5 November lalu mendakwa wujudnya amalan bai’ah di kalangan calon wakil rakyat PAS. Semua wakil rakyat PAS sama ada ahli Parlimen atau ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) perlu membuat bai’ah atau sumpah taat setia akan menceraikan isteri mereka dengan talak tiga sekiranya mereka mengkhianati parti. “Sekiranya kami mengkhianati parti maka akan tertalak tigalah isteri-isteri kami”, ujarnya ketika mengulas isi kandungan bai’ah tersebut yang sehingga kini mengundang pelbagai reaksi awam.

Pelbagai kecaman diterima PAS berhubung amalan bai’ah yang diperkenalkan sejak 2005 ini yang jelas menyimpang dari dasar dan amalan Islam sebenar. Antara yang tidak bersetuju dan mengecam tindakan ini ialah Tan Sri Harussani Zakaria (Mufti Perak), Datuk Noh Gadut (Penasihat Majlis Agama Islam Johor), Datuk Dr. Ismail Ibrahim (bekas Pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan), Datuk Dr. Mahmood Zuhdi Abd Majid (Timbalan Dekan Institut Pemikiran dan Tamadun Islam Antarabangsa, UIAM), Datuk Sheikh Abdul Halim Abdul Kadir (Yang Dipertua Persatuan Ulama Malaysia), Datin Paduka Rakibah Abd Manap (Pengerusi Lembaga Kebajikan Perempuan Islam Selangor), Fadhlina Siddiq (Naib Presiden Hal Ehwal Wanita Angkatan Belia Islam Malaysia – ABIM), Prof. Madya Dr. Harlina Halizah Siraj (Ketua Wanita Jamaah Islah Malaysia – JIM) dan Tun Mahathir Mohamad.

Walau bagaimanapun, dalam sedang media di lobi Parlimen pada 10 November 2009, Khaled tetap mempertahankan kenyataannya berkaitan bai’ah cerai talak tiga yang diamalkan PAS dan sesekali tidak akan memohon maaf sekalipun pimpinan pusat menafikan kewujudannya.

Antara pemimpin PAS yang telah mengaku melakukan bai’ah cerai talak tiga seterusnya mengesahkan lagi kewujudan amalan sesat dalam PAS ini ialah Setiausaha PAS Selangor, Mohd Khairuddin Othman. Menurut beliau, bai’ah yang disediakan oleh Dewan Ulama PAS akan dibaca beramai-ramai di hadapan Pesuruhjaya PAS Negeri sebelum pilihan raya berlangsung.

Dikuatkan lagi apabila Ahli Parlimen PKR Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Noordin sepertimana terkandung dalam blognya telah pun berhubung dengan beberapa orang rakan beliau dari kalangan wakil rakyat PAS untuk mendapatkan pengakuan dan pengesahan. Hasilnya, segala apa yang didedahkan adalah benar belaka.

Maka dengan ini, sahlah bahawa wujudnya amalan bai’ah cerai talak tiga yang sesat lagi menyesatkan dalam PAS sekalipun selepas ini pimpinan PAS pusat berusaha menipu rakyat untuk menafikannya.

Makna “khianat” sepertimana terkandung dalam bai’ah cerai talak tiga PAS ini bukan sahaja berkisar kepada berhenti atau keluar daripada parti. “Khianat” menurut istilah adalah sikap mental atau perilaku curang, tidak jujur baik terhadap diri sendiri, orang lain mahupun terhadap Allah S.W.T dan Rasul-Nya. Ahli bahasa Ragib Al-Isfahani pula berpendapat, “khianat” mempunyai pengertian yang hampir sama dengan kata nifak (munafik).

Ini bermakna, mengeluarkan perkataan buruk, menyimpan rasa benci, merancang untuk mendatangkan musibah baik terhadap parti atau orang-orang yang memimpin parti termasuklah bekerja untuk kebaikan parti lain dan memangkah parti lain di kertas undi adalah juga dianggap “khianat”!

Justeru itu, bagi mereka yang telah berbai’ah yang seterusnya menunjukkan mereka setuju dan faham isi kandungan bai’ah tersebut adalah dengan ini tertakluk kepada apa yang telah mereka bai’ahkan. Dengan ini bolehlah dikatakan, barangsiapa yang pernah melanggar walau sedikit dari apa yang dikatakan sebagai “khianat”, maka jatuhlah hukum ke atasnya.

Maka, ramailah orang-orang PAS yang pernah berbai’ah dan melanggar bai’ah ini walaupun sedikit sebenarnya melakukan zina kerana mereka telah pun menjatuhkan talak tiga terhadap isteri masing-masing. Dan orang-orang seperti inilah yang mengelilingi Mahaguru Datuk Nik Abdul Aziz dan Datuk Seri Abdul Hadi Awang seterusnya mewarnai agenda PAS hari ini.

Sejarah Perjanjian Al-‘Aqabah bagi kali kedua yang berlaku ketika musim haji tahun ke-13 kerasulan Muhammad s.a.w. menceritakan bagaimana baiah untuk bersama memerangi kaum musyrikin Quraisy telah dibuat antara kaum muslimin Yathrib (Madinah) dengan Rasulullah s.a.w.

Sebaik sahaja rombongan kaum muslimin Yathrib yang turut disertai kumpulan haji musyrikin sampai ke kota Mekah, salah seorang pemimpin kaum Ansar, Kaab bin Malik Al-Ansari r.a telah bertindak membuat beberapa siri pertemuan sulit dengan Rasulullah s.a.w. Akhirnya, kedua-dua pihak bersetuju untuk bertemu dan berbaiah pada lewat malam di persimpangan berhampiran Al-‘Aqabah di mana upacara jamrah pertama dilakukan.

Dalam pertemuan yang dihadiri 73 lelaki dan 2 wanita ini, Imam Ahmad telah meriwayatkan bahawa Jabir telah bertanya kepada Rasulullah s.a.w., “Wahai Rasulullah, di atas apakah yang akan kami berbaiah dengan tuan hamba?” Rasulullah s.a.w. menjawab, “Kamu berbaiah untuk:

  1. Mendengar dan mematuhi dalam keadaan segar dan malas
  2. Berinfaq semasa susah dan senang
  3. Menyuruh kepada ma’aruf dan mencegah kemungkaran
  4. Berjuang kerana Allah tanpa mempedulikan kecaman orang
  5. Menyokong daku setibanya daku di kalangan kamu nanti, mempertahankan daku sepertimana kamu mempertahankan diri dan anak isteri kamu. Balasannya adalah syurga Allah di akhirat nanti.

Ibnu Ishak meriwayatkan, hanya agenda yang terakhir sahaja yang merupakan agenda baiah berdasarkan kepada sabda Rasulullah s.a.w. Menurut Kaab lagi, maka berucaplah Rasulullah dengan membaca ayat-ayat al-Quran di samping menyeru ke jalan Allah dan menggalakkan mereka kepada Islam. Seterusnya baginda bersabda, “Aku menuntutkan baiah daripada kamu supaya kamu mempertahankan daku sepertimana kamu mempertahankan isteri-isteri dan anak-anak kamu”.

Al-Bara’ bin Ma’rur kemudiannya memegang tangan Rasulullah seraya berkata:, “Ya, demi yang mengutuskan dikau dengan kebenaran sebagai nabi, akan kami pertahankan tuan hamba sepertimana kami mempertahankan wanita-wanita kami, dengan itu kami berbaiahlah dengan kamu wahai Rasulullah. Demi Allah, kami ini adalah keturunan peperangan dan anggota halaqat, ciri ini kami warisi sejak turun-temurun”.

Begitulah baiah pejuang-pejuang Islam terdahulu. Lihatlah bagaimana mereka menyokong, melindungi dan mempertahankan Rasulullah s.a.w. dan segala ajaran yang dibawanya sama seperti mempertahankan institusi kekeluargaan mereka sendiri. Tidak seperti PAS yang begitu perasan melabelkan diri mereka sebagai pejuang Islam sejati tetapi sanggup mempertaruhkan sebuah institusi keluarga Islam demi sebuah pertubuhan politik yang jumud, menyeleweng dan penuh tipu-daya Syaitan.

Jauh sekali berbeza dengan ajaran dan saranan yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w sehinggakan saat-saat akhir pun baginda tetap mengingatkan seluruh umat Islam tentang peri pentingnya memelihara institusi keluarga. Mari kita selidiki setiap bait kata-katanya sepertimana terkandung dalam khutbah terakhir baginda pada 9 Zulhijjah 10H di Lembah Uranah, Gunung Arafah.

“…Wahai manusia, sebagaimana kamu mempunyai hak ke atas isteri kamu, mereka juga mempunyai hak ke atas kamu. Sekiranya mereka menyempurnakan hak mereka ke atas kamu maka mereka juga berhak untuk diberi makan dan pakaian dalam suasana kasih sayang. Layanilah wanita-wanita kamu dengan baik, berlemah-lembutlah terhadap mereka kerana sesungguhnya mereka adalah teman dan pembantu kamu yang setia…”

Malah Rasulullah s.a.w. meletakkan darjat tertinggi kepada sesiapa yang mempertahankan keluarganya melalui sabdanya, “Barangsiapa yang mati dibunuh kerana mempertahankan ahli keluarganya, maka ia adalah mati syahid” ( Riwayat Ahmad , Sohih menurut Syeikh Syuaib Arnout)

Jelas, PAS tidak mengambil Al-Quran apatah lagi sunnah nabi keseluruhannya sebagai panduan dan pendekatan tetapi lebih kepada menuruti kehendak dan selera politiknya dalam menagih sokongan rakyat. Sebab itulah PAS dengan mudah mempertahankan DAP walaupun Al-Quran telah menegaskan bahawa kaum kafir yang ‘memerangi’ Islam baik secara halus atau terang-terangan wajib ditentang habis-habisan. Sebab itu jugalah PAS mudah diperdaya PKR sekalipun mereka mengetahui pengaruh zionis di belakang PKR sedikit demi sedikit akan melenyapkan keagungan Islam di Tanah Melayu.

Memang sejajarlah dengan pendirian Mahaguru Datuk Nik Abdul Aziz pada 23 Januari 1999 yang pernah mengutarakan, ”Jika DAP ikhlas nak tolong PAS, saya terima. Usahkan DAP, Syaitan pun saya terima.”

Maka tidak hairanlah jika Mahaguru ini membiarkan matanya dibutakan oleh Syaitan apabila pada 17 Ogos 2009 mengatakan bahawa pembangunan Islam yang dilaksanakan kerajaan adalah palsu semata-mata dan langsung tidak menjanjikan syurga. Beliau mengherdik, “Islam yang dibawa oleh UMNO ini adalah Islam kacukan, Islam palsu.. Islam palsu memang tidak boleh dibawa ke akhirat, tidak boleh dibawa ke syurga…”

Beliau terlupa bahawa air paip yang diminum, jalan raya yang dilalui, kereta yang dipandu, masjid yang dikunjungi, kemakmuran, keamanan termasuklah mendapatkan rawatan di Institut Jantung Negara (IJN) adalah contoh kemudahan dan nikmat yang telah dikurniakan Allah melalui kerajaan hari ini bagi memudahkan urusan seluruh rakyat baik yang beragama Islam atau tidak untuk menjalani aktiviti atau ibadah seharian. Selebihnya terpulang kepada diri individu itu sendiri sama ada memilih jalan hidup ke syurga atau ke jurang neraka.

“Maka nikmat Tuhan kamu yang manakah yang hendak kamu dustakan” (Surah Ar-Rahman).

Inilah jenis manusia buta lagi pekak yang boleh disamakan darjatnya dengan binatang ternak sepertimana difirmankan Allah,

“Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk neraka jahanam banyak dari jin dan manusia yang mempunyai hati (tetapi) tidak mahu memahami dengannya, dan yang mempunyai mata (tetapi) tidak mahu melihat dengannya dan yang mempunyai telinga (tetapi) tidak mahu mendengar dengannya, mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi, mereka itulah orang-orang yang lalai.” (Surah Al-A’raf : 179)

Di manakah kedudukan iman Dewan Muslimat PAS dalam menangani isu ini? Seharusnya mereka menegur dan membetulkan fahaman songsang dari kalangan suami-suami mereka dalam PAS yang kini ternyata jauh lebih sesat berbanding fahaman Wahabi. Bukannya terus bersetuju atau bertindak rasional kononnya untuk menguatkan syiar Islam yang diperjuangkan parti.

Di mana barisan pejuang hak-hak wanita? Begitu sibuk menangani hal-ehwal keganasan rumahtangga! Begitu sibuk berjuang untuk merealisasikan impian agar wanita setaraf dengan lelaki dalam semua bidang! Apabila isu seperti ini timbul, tidak ada seorang pun atau mana-mana pertubuhan wanita pun yang bangkit meminta agar kandungan bai’ah seperti ini ditarik balik atau dimansuhkan kewujudannya.

Pensyarah Jabatan Sosiologi dan Antropologi UIAM, Prof. Dr. Fatimah Daud pada 6 November 2009 ketika mengulas kenyataan Tun Mahathir Mohamad bahawa tidak mustahil akan berlaku peralihan kuasa daripada lelaki kepada wanita pada masa akan datang dipetik sebagai berkata, “saya percaya sekiranya diberikan peluang, wanita juga mampu menerajui negara”.

Jangan harap golongan wanita ini untuk menerajui negara jika martabat sendiri dalam keluarga sebagai asas kewujudan masyarakat dan pembangunan negara bangsa pun dianggap remeh dan tidak diambil peduli!.

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: