Sahabat MANTAP

:: Memantapkan Minda Nasional ::

1Malaysia, Perspektif Generasi Merdeka

Posted by Sahabat MANTAP di Isnin, 2 November 2009

Oleh: One Nation Em-c

one nation em-c

Sesebuah negara yang majmuk seperti Malaysia amat memerlukan pelbagai konsep dan formula penyatuan rakyat jelatanya ke arah pembinaan satu negara bangsa yang kukuh, muafakat, progresif dan makmur. Konsep seperti ini juga diperlukan supaya generasi merdeka Malaysia mempunyai aspirasi yang serupa, melangkah ke destini yang sehala, dan sentiasa megah untuk mengibarkan panji-panji perjuangan negara pada setiap masa.
Pengaplikasian konsep ini memerlukan komitmen, kebijaksanaan dan ketegasan di kalangan pemimpin. Ia menuntut kematangan minda, toleransi dan pengorbanan di kalangan warga. Ia juga mengharapkan sumbangan ikhlas daripada seluruh organisasi masyarakat sivil dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk sama-sama mendukung serta menjayakannya.

Datuk Seri Najib Tun Razak memperkenalkan konsep 1Malaysia sebaik-baik sahaja beliau mengangkat sumpah jawatan Perdana Menteri Malaysia yang keenam pada April 2009 yang lalu. Ia adalah konsep pembangunan negara bangsa Malaysia yang mencerminkan kesungguhan Perdana Menteri yang sentiasa berusaha untuk menyatupadukan warganegara majmuk.
Ia bermatlamat supaya kepelbagaian sosio-budaya dan ekonomi rakyat dapat dicanai dan digemblengkan menjadi ciri-ciri kekuatan nasional yang kemudiannya dapat diterjemahkan menjadi strategi pembinaan negara bangsa. Ciri-ciri kekuatan nasional ini juga boleh digunakan untuk mencorak dan melaksanakan program pembangunan insan, pembangunan negara dan pembangunan ekonomi, di samping memperkasakan keupayaan Malaysia menembusi aneka peluang serta aktiviti ekonomi dan perdagangan antarabangsa.

Ini membuktikan bahawa konsep 1Malaysia sekali-kali tidak serupa dengan Malaysian Malaysia ciptaan Lee Kuan Yew pada awal tahun 1960-an yang kini dijadikan asas perjuangan sesetengah parti politik tertentu di negara ini. Sebaliknya, konsep 1Malaysia membuktikan kebijaksanaan serta keprihatinan Perdana Menteri untuk memberikan erti yang seluas-luasnya kepada doktrin Rukun Negara yang diilhamkan oleh ayahanda beliau, iaitu Allahyarham Tun Razak Hussein, pada tahun 1970.

Konsep 1Malaysia juga mencerminkan usaha Perdana Menteri untuk memberikan roh dan jiwa kepada Gagasan Wawasan 2020 hasil daripada pemikiran Tun Dr. Mahathir Mohamad selaku Perdana Menteri Malaysia yang keempat. Konsep 1Malaysia juga bermatlamat mengukuhkan seluruh peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan yang membabitkan keunggulan masyarakat pribumi dan kewujudan lain-lain warganegara Malaysia yang diiktiraf secara Perlembagaan atas prinsip muafakat, musyawarah dan penghormatan kepada kepelbagaian rupa bangsa di tanah air ini dalam negara yang merdeka dan berdaulat ini.

Lantaran itu, seluruh warga Malaysia perlu mendukung dan menyokong konsep 1Malaysia dengan sepenuh hati dan dengan keikhlasan yang total. Sebagai generasi merdeka, kita sendiri amat yakin bahawa konsep ini akan berjaya mencapai matlamatnya jika ia diterima oleh seluruh warganegara, termasuk generasi-generasi merdeka . Ini kerana teras kepada konsep 1Malaysia adalah pemupukan perpaduan rakyat supaya mereka sentiasa mentaati, berpegang teguh dan menjunjung tinggi seluruh prinsip asas pembinaan negara bangsa seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan doktrin Rukun Negara. Oleh sebab itu, seluruh generasi merdeka di Malaysia perlu diberikan penjelasan terperinci mengenai prinsip-prinsip pembinaan negara bangsa yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan yang diperkukuhkan lagi oleh doktrin Rukun Negara.

Kejayaan konsep 1Malaysia memerlukan komitmen, dukungan serta sokongan semua pihak. Mulai sekarang, hentikanlah polemik dan tidak perlu lagi kita layani apa jua kritikan dangkal pihak-pihak tertentu yang negatif terhadap konsep ini.

Sebaliknya, kerajaan perlulah mewujudkan satu Sekretariat 1Malaysia di bawah Jabatan Perdana Menteri untuk memastikan proses memasyarakatkan konsep 1Malaysia, Perlembagaan Persekutuan dan doktrin Rukun Negara. Seluruh komponen BN, terutamanya sayap Puteri, Pemuda dan Wanitanya, hendaklah juga mempunyai sekretariat yang serupa semoga mereka turut menyokong, mendukung serta memasyarakatkan konsep 1Malaysia di peringkat warga siasah masing-masing secara komited, konsisten dan berterusan.
Ini semua pastinya akan menjadikan konsep 1Malaysia yang bersendikan Perlembagaan Persekutuan dan doktrin Rukun Negara menjadi satu konsep ke arah pembinaan negara bangsa Malaysia yang kukuh dan bersatu padu di hari muka.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: