Sahabat MANTAP

:: Memantapkan Minda Nasional ::

Pas tolak kerajaan perpaduannya sendiri

Posted by Sahabat MANTAP di Jumaat, 30 Oktober 2009

Oleh:- Mawar Berdarah

MASIHKAH kita ingat dialog dalam filem ‘Ahmad Albab’ arahan Allahyarham Tan Sri P.Ramlee, antaranya berbunyi, ”Harta itu bukan engkau yang punya tetapi Ahmad Albab yang punya, Ahmad Albab.” Begitulah juga apabila Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengumumkan sebarang pintu rundingan berhubung kerajaan perpaduan sudah ditutup, UMNO tidak perlu berasa gundah gulana. Ia kerana idea kerajaan perpaduan bukanlah UMNO atau BN ‘yang punya’ tetapi Abdul Hadi ‘yang punya’. Justeru apabila beliau sendiri menutup pintu rundingan dan sekali gus mengetepikan ideanya maka semua pihak perlu menerimanya dengan hati terbuka. Apa yang penting sepanjang isu tersebut berlangsung, UMNO sudah menunjukkan keikhlasan untuk sentiasa bersedia berunding dengan Pas demi perpaduan orang Melayu dan umat Islam.

Tetapi malangnya, kesediaan UMNO yang hanya menyahut idea Abdul Hadi itu telah dipandang serong. Sejak dari awal lagi isu ini tercetus iaitu selepas Pilihan Raya Umum Ke-12 pada Mac tahun lalu, UMNO dikecam dengan pelbagai tuduhan. Malah puak-puak di dalam Pas dengan sewenang-wenangnya menuduh bahawa idea kerajaan perpaduan itu adalah permainan politik UMNO yang dilihat sebagai sebuah parti yang lemah.Untuk mengelakkan kita terkeliru dengan isu kerajaan perpaduan ini dan bagi memastikan UMNO tidak terus dipandang serong adalah wajar kita mengimbas kembali apa yang dikatakan oleh Abdul Hadi ketika mengemukakan idea tersebut. Presiden Pas itu membuat cadangan berkenaan dengan hati yang ikhlas apabila melihat berlaku kekalutan dalam arena politik negara. Atas sebab itu beliau mencadangkan supaya kerajaan perpaduan diwujudkan.

Dasar cadangan itu ialah semua parti politik bergabung dalam sebuah kerajaan dan mengetepikan fahaman politik masing-masing. Mereka perlu menumpukan sepenuh perhatian bagi membangunkan negara bersama-sama dan mengeratkan perpaduan antara rakyat. Itulah cadangan Abdul Hadi. Tetapi sebaik-baik sahaja cadangan itu mendapat respons positif daripada BN terutamanya UMNO, maka ia mencetuskan satu kebimbangan yang tidak sepatutnya. UMNO dengan hati terbuka menerima lamaran Pas atas dasar bahawa dalam keadaan apa sekalipun umat Islam dan orang Melayu perlu bersatu. Apabila perpaduan mereka kukuh maka ia sudah pastilah akan menjamin kestabilan negara dalam semua bidang. Tetapi malangnya, ada sesetengah pemimpin di dalam Pas bagaikan cacing kepanasan, mereka tidak mahu menilai dan melihat semua kebaikan itu. Sebaliknya mereka terus melakukan serangan bertubi-tubi, malah mana-mana pemimpin Pas yang menyokong cadangan kerajaan perpaduan dianggap boneka UMNO.

Hubungan kerjasama dengan UMNO, seolah-olah dilihat oleh pemimpin Pas tertentu sebagai satu dosa dan Pas tidak harus menjalinkan hubungan berkenaan biarpun ia berkait rapat dengan perpaduan ummah. Kumpulan yang menentang kerjasama tersebut lebih melihat kepada kepentingan politik untuk terus bersama-sama dengan parti pembangkang yang lain, seperti Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP. Biarpun DAP menentang keras cadangan penubuhan negara Islam yang pernah dicadangkan oleh Pas tetapi bagi sesetengah puak dalam Pas itu tidak mengapa. Mereka masih bersedia duduk semeja bersama DAP berbincang mengenai strategi politik bagi menumbangkan BN, berbanding berada dalam satu saf bersama pemimpin Melayu dan Islam UMNO berdialog mengenai penyatuan ummah.

Oleh itu, apabila Abdul Hadi menutup pintu rundingan mengenai kerajaan perpaduan dengan UMNO, beliau pada hakikatnya ‘menutup’ pintu yang beliau bukakan, bukannya UMNO. Berikutan pendirian rasmi Pas itu seperti mana yang diputuskan dalam mesyuarat khasnya pada Rabu lalu, maka UMNO pun tidaklah perlu dilihat beria-ia benar hendak bekerjasama dengan Pas, bak kata orang, ”UMNO tak payah terhegeh-hegeh lagi.” Biarlah sikap Pas itu seperti mana kata Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin dinilai oleh rakyat terutamanya orang Melayu. Apa yang penting isu kerajaan perpaduan ini sudah menampakkan dengan jelas bahawa di dalam Pas ada dua kelompok iaitu mereka yang berjuang untuk ummah melalui saluran politik dan satu kumpulan lagi hanya melihat dari sudut politik semata-mata.

Kelompok kedua ini tidak mahu mempertimbangkan apa-apa yang ada kaitan dengan UMNO seolah-olah mereka menganggap UMNO ialah ”musuh kamu yang paling nyata.” Bagaimanapun untuk berlaku adil kepada Abdul Hadi, kita memahami bahawa Presiden Pas itu tidak mempunyai pilihan. Beliau mengalami tekanan yang cukup hebat di dalam parti. Malah ketika berlangsung pemilihan parti pada Jun lalu, ia dianggap menyaksikan pertembungan antara kumpulan yang menyokong kerajaan perpaduan di dalam Pas dengan pihak yang menentang idea berkenaan. Tidak cukup dengan itu, penulis diberitahu bagaimana ketika kempen pilihan raya kecil di Manek Urai, terdapat penyokong Pas dari Terengganu yang turun untuk berkempen telah disindir oleh penyokong Pas dari negeri tertentu kerana dianggap menjadi boneka UMNO.

Apa pun keadaannya, maka mulai dari hari ini, UMNO pun harus menutup pintu rundingan dengan Pas. Anggaplah tiada apa-apa lagi isu yang hendak dibincangkan kerana sudah menjadi sikap Pas mereka hanya berani melontarkan idea atau pandangan tetapi akhirnya demi kepentingan politik kepartian, mereka mengetepikan segala-galanya. Bagi sesetengah pemimpin Pas, mereka begitu ingin menjaga hati rakan-rakan dalam DAP dan PKR, biarpun mereka terpaksa menjadi ‘pak turut.” Tetapi kita percaya apabila suatu hari kelak apabila Pas ingin memohon bantuan UMNO, sudah pasti UMNO akan membantu kerana bak kata P. Ramlee dalam filem Ahmad Albab, ”Ana kena tolong jugalah sebab ante bukan orang lain, tetapi ana punya beras (biras).”

Sumber Dari Utusan Malaysia

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: