Sahabat MANTAP

:: Memantapkan Minda Nasional ::

Perubahan sikap tiga sayap mampu kembali memartabatkan Umno

Posted by Sahabat MANTAP di Jumaat, 16 Oktober 2009

Oleh:-Mawar Berdarah

SEMBOYAN perubahan dalam Umno yang ditiup dan diperincikan Tan Sri Muhyiddin Yassin, bergema hebat dalam persidangan perwakilan ketiga-tiga sayap parti itu yang berlangsung semalam. Jika ucapan pemimpin tiga sayap itu dijadikan ukuran, jelas hasrat Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak melakukan transformasi terhadap parti terbesar di negara ini, sebaik mengambil alih teraju kepemimpinannya tahun lalu akan tercapai.

Ucapan sulung Muhyiddin selaku Timbalan Presiden memperincikan transformasi yang dihasratkan Najib ketika perasmian serentak Persidangan Perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri umpama tiupan semboyan yang menuntut gelombang perubahan mula digerakkan. Selepas sekian lama Umno memperhalusi dan mendebatkan bagaimana bertindak menepati tuntutan suara, bahasa, gaya dan nuansa politik semasa, kini tibalah masa melaksanakannya. Momentum ke arahnya kelihatan disambut baik oleh ketiga-tiga sayap itu dengan lontaran input demi membuat persediaan mental seluruh jentera masing-masing.

Mesej dihantar kepada perwakilan oleh ketua masing-masing juga jelas dan keras. Tiada lagi dendangan retorik politik kerana sekarang masa untuk bertindak dengan hala tuju dan semangat baru. Syor untuk setiap sayap diberikan Penunjuk Prestasi Utama Politik yang diterima secara terbuka oleh tiga sayap itu adalah gambaran betapa seluruh jentera kini sedia bekerja keras kembali mendekati rakyat dan mahu mempunyai penanda aras bagi mengukur kejayaan atau kegagalan. Ia menjadi bukti bahawa kepemimpinan Umno tidak takut berdepan realiti jika gagal melaksanakan matlamat ditetapkan.

Perkara ini sebenarnya gambaran keazaman mereka untuk berusaha sedaya upaya dan menyedari hakikat bahawa kegagalan bukan satu pilihan. Dalam persidangan semalam, jelas wujud perubahan sikap dan pendekatan ketiga-tiga sayap itu memperkukuh tekad serta iltizam melakukan apa yang selama ini sekadar diperkatakan. Selepas sekian lama menjadi medan cetusan idea, persidangan perwakilan kali ini dilihat merubah kebiasaan apabila membincangkan mengenai pelaksanaan langkah yang sudah disusun untuk kembali memartabatkan Umno.

Jika sebelum ini kebanyakan perkara dibincangkan hanya di kalangan ahli serta perwakilan, kini ia beralih kepada pendekatan menjiwai dan memenangi hati rakyat. Dalam konteks ini, persidangan juga berani memecah tembok budaya lapuk yang menjadi tradisi parti sehingga menyebabkannya dilabel sebagai bersifat elitis dan gagal menyelami degup jantung rakyat. Tidak ketinggalan, usaha memulihkan imejnya supaya kekal relevan, khususnya untuk menjadi medan kepada generasi muda serta profesional berkecimpung dalam arena politik arus perdana.

Teras kepada semua inisiatif ini ialah menjamin kesinambungan kekuasaan dengan memastikannya terus relevan, bukan saja untuk mewakili suara orang Melayu, malah juga semua kaum lain di negara ini. Jika persidangan perwakilan semalam adalah petunjuknya, Umno selepas ini diyakini mampu terus kekal relevan dalam mendepani apa juga cabaran sepanjang zaman.

Sumber dari berita harian

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: