Sahabat MANTAP

:: Memantapkan Minda Nasional ::

PETIKAN 4 ARTIKEL OLEH DR RIDUAN TEE ABDULLAH

Posted by Sahabat MANTAP di Selasa, 13 Oktober 2009

Untuk Bacaan Sahabat Dan Fikir2kan lah…….!!Terdapat 4 Artikel Dr Riduan Tee Abdullah Dalam Attachment ni…..

Artikel 1:- Orang Melayu mudah ‘cair’ bila dipuji

Oleh:-Dr Mohd Redhuan Tee Abdullah

KADANGKALA saya musykil kenapa orang Melayu mudah menjadi ‘cair’ apabila mendengar orang bukan Islam bercakap pasal Islam atau memuji Islam atau memetik satu dua ayat Quran untuk dijadikan hujah sandaran. Misalnya, ucapan beberapa pemimpin pembangkang bukan Islam yang memetik beberapa ayat suci al-Quran dan mahu mengambil pendekatan urus tadbir negeri mengikut cara pemerintahan Umar Abdul Aziz.

Benar, dari satu segi nampak orang bukan Islam cenderung kepada Islam. Tetapi kita perlu ingat adakah mereka ini benar-benar mahu beriman atau percaya kepada al-Quran atau sekadar lakonan semata-mata untuk mengaburi mata orang Melayu Islam? Saya cukup yakin bahawa golongan ini sudah dapat membaca dan memahami psikologi orang Melayu. Mungkin orang Melayu boleh memberikan jawapan apakah mereka sebenarnya sudah memahami psikologi mereka?

Orang Melayu mudah ‘cair’. Mereka biasanya mudah berasa terpesona dan terpegun bila ada orang lain yang memuji bangsa dan agama mereka. Justeru, mereka akan bermati-matian mempertahankannya tanpa menoleh ke belakang. Mereka akan mendabik berkata ‘tengok orang bukan Islam pun nakkan Islam, sedangkan orang Islam sendiri menolak Islam’.

Lanjutan itu, mereka akan menjaja ke mana sahaja kata-kata ini, bahkan sanggup menolak rakan seagama yang sanggup menghulurkan tangan untuk berbaik-baik. Huluran tangan rakan seagama ini bukan sahaja ditolak mentah-mentah, tetapi dijawab dengan andaian-andaian negatif dan prejudis. Mereka rela bekerjasama dengan orang bukan Islam daripada orang Islam sendiri.

Kita tidak pernah belajar atau mahu belajar dari sejarah, bila berhadapan dengan golongan seperti musang berbulu ayam ini. Pengalaman telah banyak mengajar kita. Mereka ini tidak pernah bersetuju dengan Islam apatah lagi agenda untuk menegakkan negara Islam dan hukum Islam. Penolakan mereka selama ini amat jelas. Tidakkah kita pernah mendengar kata-kata “Langkah mayat aku dulu jika mahu menegakkan negara Islam”, ” Malaysia mesti kekal menjadi negara sekular”, “Negara Malaysia bukan kepunyaan orang Melayu”, “Melayu adalah juga pendatang” dan berbagai-bagai kenyataan yang menyakitkan.

Tidakkah orang Melayu sedar akan agenda mereka? Apakah kita tidak takut dengan ancaman golongan ini terhadap agama kita? Tidakkah kita terfikir bahawa parti ini amat baik dengan parti yang memerintah negara Singapura yang merupakan pecahannya? Bagaimana suatu hari nanti, mereka berpakat-pakat untuk melemahkan kita?

Tidakkah kita mengambil pengajaran daripada tindak-tanduk Singapura hari ini yang amat mencurigakan. Cukuplah dengan kita telah kehilangan Pulau Batu Putih dan ruang udara kita sentiasa dicerobohi. Itu belum termasuk kolam takungan air di Johor yang dikawal rapi oleh tentera Singapura sehingga kita sendiripun tidak boleh masuk. Tidak ketinggalan, tanah-tanah negara kita yang telah tergadai ke tangan mereka. Pendek kata, Singapura tidak mahu sama sekali berkongsi dengan kita. Mereka amat ultra kiasu. Sesuatu yang menggugat kepentingan mereka akan ditentang habis-habisan seperti isu perjanjian air, merobohkan Tambak Johor dan menggantikannya dengan jambatan bengkok.

Berbalik kepada isu parti pecahan yang memerintah Singapura hari ini, apakah benar-benar mereka ingin atau akan melaksanakan pemerintahan Umar Abdul Aziz apabila mereka berkuasa nanti? Adakah pemerintahan Umar Abdul Aziz benar-benar akan dilaksanakan? Bagaimana dengan nilai-nilai kehidupan beragama yang dilaksanakan oleh Umar Abdul Aziz? Pernahkah golongan ini mempamerkan nilai-nilai agama tersebut?

Saya diserang dan dikecam habis-habisan oleh golongan ini, semata-mata kerana saya mempertahankan larangan berzina dan arak. Bagi mereka itu adalah hak asasi manusia. Bagi mereka hak asasi manusia mesti dipertahankan berbanding dengan hak Tuhan Yang Maha Esa. Adakah ini corak pemerintahan Umar Abdul Aziz?

Kita jangan tertipu dengan golongan ini. Jika mereka benar-benar mahu laksanakan corak pemerintahan Umar Abdul Aziz, sudah lama parti ini akan melantik rakan sekutunya, yang dikatakan memperjuangkan Islam di salah sebuah negeri yang diperintahnya sebagai exco. Ini kerana, rakan sekutunya memang sudah terkenal dengan imej ‘bersihnya’ seperti kelihatan seolah-olah ‘Umar Abdul Aziz’! Tetapi di manakah kedudukan rakan sekutunya itu di negeri tersebut? Pada saya, mereka tidak pernah suka pada dasar Islam yang dibawa rakannya itu. Mereka amat prejudis sesama sendiri walaupun berada dalam satu pakatan. Bermakna, mereka juga prejudis terhadap Islam. Itu amat jelas sekali.

Saya tidak perlu mengajar rakan sekutunya itu kerana sudah terang lagi bersuluh. Sikap biadab mereka berkaitan isu arak dan tuduhan mereka terhadap Jamaah Islah Malaysia sebagai pelampau agama sudah menunjukkan belang mereka yang sebenar. Banyak lagi contoh lain tentang kebiadabannya terhadap Islam.

Terhakis

Umar Abdul Aziz sentiasa memperkasakan identiti Islam di dalam pemerintahannya. Apakah identiti Islam dipelihara di negeri yang diperintah oleh golongan kiasu ini? Apa yang saya tahu identiti Melayu dan Islam semakin terhakis di negeri yang diperintahnya. Contoh kecil, nama-nama papan tanda, medan selera atau nama bangunan sudah langsung tidak mendaulatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Saya tidak menyatakan kerajaan dahulu lebih baik? Tetapi jika kita benar-benar mahu mengikuti Umar Abdul Aziz, sudah tentu kita perlu tunjukkan yang kita lebih baik berbanding sebelumnya. Sebab Umar Abdul Aziz hebat integritinya, tetapi Umar tidak pernah mengenepikan identiti bangsa Arab Islam selaku penduduk asal. Bahasa al-Quran diperkasakan di mana-mana sahaja. Bagaimana pula dengan Malaysia sebagai sebagai sebuah negara yang berasal daripada Tanah Melayu? Adakah kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan terpelihara?.

Perlu dingatkan bahawa Umar Abdul Aziz tidak mementingkan kekayaan dan kemegahan dan memilih untuk hidup dalam kesederhanaan. Walaupun mendapat sokongan yang tidak berbelah bahagi rakyat, beliau menggalakkan rakyat supaya memilih khalifah yang baru sekiranya mereka tidak berpuas hati dengan pemerintahannya. Umar juga membahagikan tanah jajahan Umayah kepada rakyat dan amat jarang menerima hadiah kerana takut dirasuah. Beliau juga mendesak kaum keluarganya supaya mendermakan barang kemas kepada perbendaharaan awam.

Umar menolak sikap pemerintah yang selalu melantik pegawainya untuk mengawasi rakyat. Tetapi Umar melantik rakyat untuk mengawasi diri dan kelakuannya. Jika rakyat mendapati beliau melakukan kesalahan, Umar Abdul Aziz meminta dibimbing atau dihalang daripada melakukan kesalahan tersebut.

Saya harap umat Islam tidak merasa ditipu dengan penonjolan pemerintahan Umar Abdul Aziz oleh golongan kiasu ini. Apakah kita masih belum mengenali isi hati dan hati budi mereka setelah 52 tahun merdeka? Adakah kita boleh bekerjasama dengan orang sebegini, bila mana mereka digalakkan memakai songkok ketika pembukaan Parlimen di hadapan sultan, golongan ini menolak mentah-mentah? Apatah lagi untuk memakai baju Melayu?

Tidakkah kita sedar bahawa selama ini, golongan inilah yang paling kuat menentang Islam atau negara Islam. Lihatlah sejarah penentangan mereka terhadap hukum Islam dan perisytiharan negara Islam oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamed suatu ketika dahulu. Perisytiharan negara Islam ketika itu hanya pada nama sahaja, bukan pelaksanaan hukum yang sebenar. Jika benar-benar hukum Islam dilaksanakan, bagaimanakah gelagat mereka agaknya? Persoalannya, adakah corak pemerintahan Umar Abdul Aziz tidak berasaskan Islam? Soalan-soalan ini hanya boleh dijawab oleh golongan kiasu ini?

Rakan sekutu mereka dalam pakatan selalu berhujah, itu pandangan generasi lama atau generasi tua. Generasi baru tidak sebegitu pemikirannya. Setelah mengkaji parti kiasu ini sekian lama, saya tidak nampak ada perbezaan antara generasi baru dan lama. Sama sahaja. Jika perjuangannya adalah Malaysian Malaysia seperti mana yang diperjuangkan oleh Parti Tindakan Rakyat (PAP), sampai bila-bila saya tidak akan percaya.

Justeru, jangan perjudikan masa depan negara demi mencapai kepentingan masa kini. Apa berlaku pertembungan antara kepentingan masa depan dengan masa kini, maka kepentingan masa depan mesti diutamakan. Begitu juga dengan kepentingan masa depan dan kepentingan parti atau etnik, maka masa depan negara mesti diutamakan. Sama juga halnya apabila kepentingan agama bertembung dengan kepentingan bangsa, maka agama perlu didahulukan.

Biarkan

Jangan biarkan diri kita dipermainkan atau diperkotak-katikkan. Jangan jadi hamba di bumi sendiri. Tetapi bangunlah, bangunlah mempertahankan yang hak tanpa menafikan hak orang lain. Jika tidak, satu hari nanti kita akan menyesal. Ketika itu saya bimbang sudah terlambat. Nasi sudah menjadi bubur. Sebelum ia berlaku, marilah kita merapatkan saf dan merenungkan kembali masa depan kita dan Islam.

Janganlah gunakan nama Umar Abdul Aziz sekadar untuk memenangi hati orang Melayu yang mudah ‘cair’. Orang Melayu hari ini bukannya bodoh. Mereka sudah celik dengan taktik kotor ini. Kembalilah kepada fitrah. Sesungguhnya, hari kemenangan ini menjanjikan kepada kita, yang hak itu tetap hak dan batil itu tetap batil. Sempena Hari Raya Aidilfitri ini, kembalilah kita menghayati manusia fitrah yang bersih dari dosa dan noda dengan mengkaji kesucian agama Islam sendiri, sebelum ‘terlebih’ mempercayai orang lain. Saya bimbang kita akan tertipu dengan permainan silap mata ini. Akhirnya kita sendiri yang rugi. Selamat Menyambut Hari Raya Aidil Fitri, Maaf Zahir Batin, sepanjang membaca tulisan saya di akhbar ini.

– Dr. Mohd Ridhuan Tee Abdullah ialah Pensyarah Kanan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia

Artikel 2:- Bahaya musang berbulu ayam

Oleh Dr. Mohd Ridhuan Tee

PEPATAH Melayu ada berkata, siapa makan cili dialah yang terasa pedasnya. Seperti yang telah dijangka, sememangnya sudah ada orang yang terasa pedasnya. Golongan yang tidak bertamadun ini terus menyerang peribadi. Fakta yang saya kemukakan tidak dibahas. Saya dituduh sebagai munafik.

Tulisan saya dituduh seperti racun, sehingga merosakkan kemuliaan sambutan Aidilfitri. Apakah mereka yang menuduh saya itu tidak munafik? Tidakkah menjadi musang berbulu ayam itu lebih munafik daripada munafik? Jika saya dituduh munafik, setidak-tidaknya saya berterus-terang. Berbanding mereka yang pepat di luar, rencong di dalam, ibarat gunting dalam lipatan.

Pepatah Cina ada berkata, kalau berani makan ikan masin, maka beranilah menahan dahaganya. Sebagai seorang ahli akademik dan penulis, saya bertanggungjawab terhadap apa jua yang ditulis. Hanya si pengecut sahaja yang menyerang peribadi. Kepada orang Melayu yang menyertai parti ultra kiasu ini, saya menyeru keluarlah sebelum terlambat. Musang berbulu ayam ini amat licik. Mereka akan mempergunakan kita bagi menghalalkan matlamat yang ingin dicapai.

Perlu diingatkan, golongan ini bijak membaca psikologi dan memainkan sentimen orang Melayu. Sekarang ini mereka sibuk berkempen untuk mendapatkan dan menambah keahlian orang Melayu. Tujuannya tidak lain, untuk memenangi hati orang Melayu, selain memenuhi agenda tersembunyi. Kumpulan ultra kiasu ini mendakwa bahawa mereka ini adalah parti untuk semua kaum, sedangkan semua sedia maklum bahawa parti ini adalah dominasi satu kaum. Bukan Melayu adalah sekadar hiasan sahaja. Amat malang jika ada golongan yang bergelar ‘ustaz’ turut menyertai mereka suatu hari nanti.

Kemunculan beberapa tokoh Melayu sejak akhir-akhir ini dalam parti mereka ditonjolkan secara berlebihan, bagi membuktikan bahawa mereka bukanlah parti cauvinis seperti yang dituduh selama ini. Ternyata, lakonan mereka cukup hebat. Bantuan mereka kepada sekolah-sekolah agama dan kehadiran mereka dalam majlis berbuka puasa dan bantuan moreh semasa bulan Ramadan baru-baru ini, sengaja diperbesar-besarkan agar orang Melayu ‘cair’ dengan sandiwara ini.

Wal hal perkara yang ditonjolkan adalah kerja rutin seorang wakil rakyat. Bukannya suatu yang luar biasa. Memang tugas wakil rakyat menjaga kebajikan rakyat. Apa guna istilah ‘wakil rakyat’ jika tidak berkhidmat untuk rakyat. Rakyat yang memilih mereka. Justeru, adalah wajar mereka menjaga kebajikan rakyat. Cuma mereka ini agak licik. Pandai mengaburi mata rakyat. Tampil membantu ketika rakyat ditimpa musibah. Menawarkan khidmat ketika seseorang dalam kesempitan. Adakah mereka sebenarnya ikhlas?

Bantuan mereka ini menyebabkan orang Melayu mudah terhutang budi. Kedudukan sebegini menjadikan Melayu menjadi serba salah, ibarat ditelan mati emak, diluah mati bapak. Peluang ini digunakan oleh parti kiasu ini untuk menangguh di air yang keruh.

Perpecahan

Apatah lagi perpecahan politik di kalangan Melayu Islam hari ini telah digunakan kesempatan sepenuhnya oleh kumpulan ultra kiasu ini. Mereka cuba mendapatkan semaksima mileage politik dan mengecam peribadi seseorang yang dianggap mengancam kedudukan mereka. Kali ini, golongan ultra kiasu ini menyerang peribadi saya dengan mengecam kerjaya saya dan mempertikaikan gaji yang saya terima hasil wang rakyat. Gaji yang saya terima dikatakan hanya membazirkan wang rakyat yang diperolehi daripada pembayar-pembayar cukai.

Untuk makluman, gaji saya tidaklah seberapa jika dibandingkan dengan gaji wakil rakyat yang mana turut diambil daripada sumber yang sama? Gaji mereka berlipat kali ganda gaji saya. Apakah wakil rakyat itu merasakan bahawa kerja-kerja dan lakonan yang ditunjukkan itu berbaloi dengan gaji yang dibayar? Cerminlah muka sedikit. Jika mereka benar-benar mahu mencontohi peribadi Umar Abdul Aziz, saya akan bersetuju. Tetapi adakah ia berlaku? Janganlah menjadi paku dulang paku serpih, mengata orang, sendiri yang lebih.

Apakah kerja wakil rakyat hanya cukup sekadar membantu dan menghadiri majlis berbuka puasa, memberikan bantuan moreh, merasmikan seminar itu dan ini, projek ini dan projek itu? Kerja wakil rakyat sudah semestinya lebih daripada itu atau lebih daripada orang lain. Bukannya berlagak tak tentu pasal. Kerja-kerja asasi saya sebagai ahli akademik tidak pernah tergendala di samping memberikan sedikit buah fikiran untuk menyedarkan umat Islam. Kenapa marahnya wakil rakyat itu begitu membuak-buak? Hanya disebabkan oleh akhbar yang menyiarkan artikel ini tidak sehaluan dengan mereka. Saya tidak fikir, saya akan dikecam jika ditakdirkan saya seorang Melayu. Hanya kerana saya sebangsa dengan mereka, dan tidak sehaluan, watak saya cuba dimatikan.

Jika ditakdirkan artikel saya ini disiarkan dalam akhbar mereka dan lantang mengkritik kerajaan, maka sayalah idola mereka. Inilah pemikiran yang ultra kiasu. Saya ingin sarankan kepada wakil rakyat kiasu ini, jika mahu mengikut pemerintahan Umar Abdul Aziz, kajilah sifat-sifat mulia yang dibawanya. Umar seorang pemimpin yang amat low profile atau tawaduk dan bersikap terbuka, termasuk menerima kritikan rakyat. Rakyat adalah segala- galanya kepada Umar, kerana ia adalah amanah Allah SWT. Kata-kata ‘Rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan’, adalah antara prinsip Umar Abdul Aziz. Persoalannya, kenapa golongan kiasu ini begitu hebat mengkritik gagasan ini?

Umar membantu mereka yang miskin tanpa mengharapkan nama dan publisiti. Umar mengambil pendekatan tangan kanan memberi, sorokkan tangan kiri. Sebahagian harta Umar hampir habis digunakan untuk rakyat. Kejujuran dan ketelusannya luar biasa. Bukannya dengan memaparkan gambar-gambar kosmetik untuk menunjukkan bahawa kita pemimpin untuk semua kaum seperti yang dilakukan oleh wakil rakyat kiasu berkenaan.

Mencanangkan kerja-kerja baik ke seluruh pelosok dan ceruk rantau untuk memenangi hati orang Melayu bukanlah kerja Umar Abdul Aziz. Umat Islam perlu ingat, wakil rakyat tersebut pernah menuduh orang Islam sebagai pelampau atau ekstremis dan mahu menghalalkan arak serta lain-lain yang diharamkan Islam. Pernahkah beliau meminta maaf, walaupun telah didesak melakukannya? Jawapannya, tidak, kerana mereka sama sekali tidak akan bersetuju dengan Islam, malah cuba sedaya upaya untuk mencabut identiti ini dari orang Melayu.

Mencari publisiti murahan adalah budaya pandir atau minda orang kelas ketiga. Golongan ini pandai menggunakan kesempatan di kala orang lain sedang lemah. Sebenarnya mereka tidak membuat apa-apa perubahan pun. Tetapi mereka pandai meniru resmi ayam, bertelur sebiji riuh sekampung. Malangnya, segelintir orang Melayu mudah percaya dengan mendakwa parti ultra kiasu ini yang dapat menyelamatkan mereka.

Bersekongkol

Tidak ketinggalan, golongan yang bersekongkol dengan mereka turut mengecam saya, dengan mengatakan bahawa tulisan saya telah menjauhkan orang bukan Islam daripada Islam. Persoalan saya, apakah selama ini orang bukan Islam semakin dekat dengan Islam sebelum tulisan saya disiarkan? Cuba kita renungi sebentar apakah Islam semakin didekati atau dijauhi selepas peristiwa 11 September? Apa yang saya tahu semakin kuat barat menentang Islam, semakin Islam mendapat sambutan. Justeru, apakah makna dakwah yang sebenar? Saya fikir rakan sekutu parti ultra kiasu yang boleh memberikan jawapan.

Dakwah hendaklah dilihat dalam perspektif yang luas, bukan bertujuan untuk mematikan watak seseorang yang dilihat sebagai ancaman. Bidang kajian saya ialah pengajian strategi, politik dan kerajaan. Saya menulis berasaskan bidang saya dan juga kerjaya saya selaku ahli akademik.

Berdakwah itu bermakna, berkata benar walaupun ia pahit. Bukan setakat berceramah. Jika berdakwah itu sekadar berceramah, saya tidak fikir Umar Abdul Aziz akan menerima jawatan sebagai seorang pentadbir negara atau negarawan. Kenapa Umar Abdul Aziz menerima jawatan politik sebagai negarawan? Sebab, politik itu adalah alat untuk berdakwah. Kuasa digunakan untuk kepentingan rakyat bukan untuk kepentingan peribadi.

Malang sungguh golongan ultra kiasu ini. Mahu mengikut Umar Abdul Aziz, tetapi hanya mengambil secebis cara pemerintahan Umar Abdul Aziz untuk mengaburi mata rakyat.

Saya dinasihati supaya tidak campur tangan dalam urusan mereka, sebab ia bukan urusan saya. Apakah selama ini mereka tidak pernah mencampuri urusan kita? Saya terpaksa campur tangan sebab saya orang Islam. Kerja orang Islam ialah membetulkan kekusutan, bertindak atas dasar amar makruf nahi mungkar bagi menyelamatkan umat Islam.

Jika saya tidak berhak mencampuri urusan mereka, mereka juga tidak berhak mencampuri urusan orang Islam. Persoalannya, cuba kita hitung betapa banyak perkara berkaitan orang Islam yang telah dicampuri oleh golongan ultra kiasu ini. Berapa banyak hati orang Islam yang terguris akibat perbuatan mereka? Pernahkah mereka meminta maaf? Contoh isu-isu berkaitan murtad, mualaf, perebutan jenazah mualaf, isu negara Islam, isu Mahkamah Syariah dan banyak isu lain yang tidak perlu saya sebut lagi. Adakah golongan ultra kiasu ini tidak campur tangan?

Artikel 3 :- Utamakan Tuhan berbanding nenek moyang

Oleh Dr. Mohd Ridhuan Tee

Saya amat bersimpati kepada seorang pemimpin atau ketua sebuah parti Islam di Selangor yang juga Exco Kerajaan negeri. Lebih malang lagi, exco tersebut terpaksa berhadapan dengan orang dalam parti sendiri, yang meminta beliau meletakkan jawatan. Jika parti ultra kiasu ini mahu mengikuti stail pemerintahan Umar Abdul Abdul Aziz, tindakan exco itu boleh dikira betul. Exco tersebut berhak memberikan kritikan dan mengeluarkan kenyataan mempertikaikan tatacara Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (Selcat) mengendalikan kes melibatkan pentadbir awam.

Ternyata parti ultra kiasu ini begitu tertutup kepada pandangan dan kritikan yang mana bercanggah dengan gaya urus tadbir khalifah Umar. Dahulu merekalah yang begitu lantang mengkritik. Orang lain semua salah. Sekarang, bila kena batang hidung sendiri, sendiri yang betul, orang lain salah. Jelas sekali, parti ultra kiasu ini tetap tidak mahu mengalah atau mengaku salah, malah mereka masih lagi boleh bersorak gembira kerana ada orang Melayu yang bersekongkol dan mempertahankan mereka.

Untuk makluman pembaca, Umar Abdul Aziz amat mengalu-alukan perbezaan pendapat. Khalifah bersikap terbuka kepada sesiapapun yang mahu mengkritik kepimpinannya. Dalam isu ini, exco berkenaan hanya mahukan supaya pegawai kerajaan yang disiasat tidak dimalukan di khalayak.Sebenarnya inilah gaya kepimpinan Khalifah Umar. Menjatuhkan maruah orang lain di khalayak tidak dibenarkan dalam Islam. Sebagai contoh, ketika pemerintahan Umar bin Abdul Aziz, telah berlaku satu peristiwa seorang yang dituduh menyebarkan berita yang dirasakan boleh membawa kepada fitnah. Lalu orang itu telah dibawa ke hadapan khalifah.

Bagi memastikan berita tersebut, khalifah lalu berkata dengan memetik ayat al-Quran yang bermaksud, Wahai orang-orang yang beriman, apabila datang kepada kamu seorang yang fasik membawa suatu berita maka hendaklah kamu menyelidiknya terlebih dahulu, supaya kamu tidak (terburu-buru) membuat satu tindakan ke atas satu-satu kaum di dalam keadaan jahil, maka kamu menjadi menyesal kerana tindakan yang telah kamu lakukan (Al-Hujurat: 6).

Dalam ayat ini merujuk kepada orang fasik, bayangkan dia orang itu munafik atau sekutu dengannya. Mendengar sahaja kata-kata Khalifah Umar, lelaki tersebut memilih untuk menerima maaf daripada khalifah dan tidak meneruskan niatnya untuk menyebarkan berita yang dibawanya itu.

Artikel 4 :- Mengenali musuh dalam selimut

Oleh Dr. Mohd Ridhuan Tee

Biar saya dan seluruh keturunan dan nenek moyang saya dikutuk tidak mengapa. Saya sudah lali. Hatta kadang kala adik beradik dan saudara mara saya yang tidak ada kena mengena dengan tulisan saya ini turut terasa tempias. Mereka ‘diserang’ oleh golongan ultra kiasu dengan berbagai-bagai tohmahan. Keturunan nenek moyang saya dikatakan tidak pandai mendidik saya menjadi orang Cina, tidak tahu menjaga keturunan, lebih Melayu daripada Melayu, pengkhianat bangsa dan berbagai tohmahan lagi yang amat pahit untuk diterima.

Saya tidak ada masalah untuk menghadapi dengan golongan ultra kiasu ini kerana saya faham benar perangai mereka sebab kami dari jenis yang sama. Saya berpegang kepada prinsip berani kerana benar, takut kerana salah. Biarpun terpaksa berhadapan dengan orang dalam keluarga sendiri. Tidak mengapa, sebab mereka tidak faham. Apatah lagi untuk memahami Islam sebagai satu cara hidup. Hidup ini bukan semudah yang disangka. Perjuangan mempertahankan kebenaran kadang kala amat pahit. Namun, kepahitan itu akan terubat apabila kita sentiasa yakin bahawa Allah SWT sentiasa bersama-sama orang yang benar. Justeru, sentiasalah meletakkan kepentingan Allah di hadapan berbanding yang lain.

Setelah memeluk Islam, saya belajar dan diajar, apabila berlaku pertembungan antara kepentingan Islam dengan lain-lain kepentingan termasuk kepentingan bangsa, nenek moyang dan sebagainya, maka kepentingan Islam itu mesti diutamakan. Tidak boleh tidak. Sama juga pertembungan antara kepentingan ummah dengan kepentingan diri, maka ummah perlu diutamakan. Sebab kepentingan ummah itu memberi implikasi yang besar terhadap Islam. Ia adalah hak Allah SWT yang kekal abadi. Sedangkan kepentingan lain hanyalah bersifat sementara kerana kita hanya menumpang sahaja di muka bumi ini.

Dengan sebab itu, saya tidak dapat bersetuju dengan pepatah bangsa saya yang mengatakan harta benda boleh bergolok bergadai, tetapi bahasa, keturunan, identiti dan pusaka nenek moyang mesti dipertahankan, jangan digolok-gadaikan. Mesti dipelihara bermati-matian, tidak ada tolak ansur jika tergugat. Benarkah begitu? Apa yang saya faham, kepentingan diri, keturunan, parti politik, nenek moyang hendaklah diketepikan apabila bertembung dengan kepentingan Allah SWT. Begitu juga hak asasi manusia hendaklah diketepikan apabila bertembung dengan kepentingan Allah SWT.

Pendek kata, apa juga kepentingan, bila mana bertembung dengan kepentingan Allah, maka sepatutnya kita lupakanlah yang lain-lain kerana ia tidak kekal, bersifat sementara. Itu bukan bermakna kita terus berpeluk tubuh melihat sahaja apa yang berlaku. Apa guna mulia di dunia, di sisi manusia, tetapi hina di sisi Allah SWT. Perkara ini perlu kita fahami, termasuk golongan ultra kiasu itu.

Paling baik biar kita mulia di dunia, mulia di sisi Allah. Tetapi jika tidak ada pilihan, biarlah tidak seberapa mulia di dunia tetapi mulia di sisi Allah. Ini pegangan saya sebagai insan kerdil yang baru menerima Islam. Saya tidak tahu orang lain bagaimana penerimaannya?

Penulisan saya hanya mahu orang Islam sedar bahawa orang lain telah lama terkehadapan dan kuat, sehingga sukar untuk kita kejar. Adakah kita mahu terus ketinggalan? Lihatlah bagaimana orang lain menjaga kepentingan mereka. Mereka telah menggapai awan, sedangkan kita asyik bercakaran dalam semua perkara. Sudahlah kita tidak habis-habis berpecah dalam politik, sekurang-kurangnya kita bersatu dalam perkara lain. Ini tidak, dalam perkara lain pun kita masih dan terus berpecah.

Isu terbaru, berkaitan dengan kes hukuman sebat ke atas saudari Kartika Dewi Shukarno. Saya amat kagum dan menghormati beliau dan keluarganya sendiri, yang telah reda atas hukuman yang dijatuhkan dan memohon hukuman sebat itu dilaksanakan. Persoalan sama ada hukuman itu wajar atau tidak, adalah isu lain. Pokoknya, institusi tertinggi undang-undang telah memutuskan. Hormatilah. Kenapa dan mengapa pula orang Islam sendiri yang tidak kena hukuman atau tidak kena-mengena yang terkinja-kinja? Tidakkah kita sedar, orang lain sedang bersorak gembira kerana mereka tidak perlu bercakap lagi. Kita sudah mewakili mereka.

Kiasu

Mereka yang ultra kiasu ini tidak lagi perlu campur tangan atau mempertikaikan keputusan mahkamah syariah kerana kita sendiri sudah ada orang dalam yang bertindak seperti musuh dalam selimut? Kita sesama sendiri tidak ada kesepakatan dalam isu asas berkaitan agama dan hal ehwal sendiri yang menjadi darah daging, bayangkan bagaimana dengan isu yang lain?

Saya tidak pernah dengar orang bukan Islam menentang keputusan sami-sami Buddha, Hindu atau paderi mereka walaupun tindakan keagamaannya kadangkala agak ekstrim. Misalnya, isu menutup aurat. Bagi mereka yang tidak mahu menutup aurat, eloklah senyap sahaja. Tidak perlu mempertikaikan mereka yang ingin menutup atau, berubah menjadi baik (bergantung kepada niat). Jangan sindir atau menentang mereka.

Saya tidak pernah dengar ada kaum sebangsa saya mempertikaikan pakaian sami Buddha, Hindu atau paderi Kristian yang tidak kurang tutupnya berbanding Islam. Ada sami yang sanggup membotak kepala (sama ada lelaki atau wanita), berjalan kaki tanpa selipar dan lain-lain lagi mengikut ajaran mereka demi menyampaikan mesej agama. Saya lihat orang ini amat dimuliakan apabila berada di khalayak atau datang dari rumah ke rumah. Mereka disambut mesra, sedekah atau sedekah dihulurkan dengan sebanyak mungkin. Kedatangan mereka dikiaskan membawa rezeki dan tuah kepada tuan rumah. Pendek kata, orang bukan Islam amat memuliakan ketua agama mereka, walaupun kelihatan esktrim.

Kenapa kita tidak seperti ‘tindakan’ mereka? Bersatu mempertahankan ajaran nenek moyang. Bersatu dalam senyap walaupun di luar seolah-olah berpecah. Kita hari ini, usahkan bersatu dalam senyap, asyik berpecah luar dan dalam. Sengaja membuka pekung di dada. Berpegang kepada hak asasi manusia atau human rights lebih daripada Hak Allah. Lebih malang lagi, yang baik ditentang, yang mungkar disenyapkan? Mereka yang dikenakan hukuman minum arak ditentang, mereka yang minum arak tidak ditentang. Mereka yang tidak menutup aurat sehingga menampakkan yang tersurat dan tersirat (amat seksi), tidak disuruh tutup, mereka yang sudah tutup, disindir dengan kata-kata ‘buat apa tutup-tutup’! Lebih hina lagi, apabila terbit kata-kata ‘apa guna tutup-tutup kalau hati busuk, perangai yang tutup lebih teruk daripada yang tidak tutup, jadi lebih baik jangan tutup’.

Ingatlah, kita hanya manusia biasa. Tidak semestinya mereka yang cuba beramal dengan suruhan agama, akhlak mereka lebih baik daripada yang tidak beramal, walaupun itulah yang sepatutnya berlaku. Perlu dibezakan antara hak manusia dengan hak Allah. Ada manusia cuba mengikuti ajaran agama, namun di pertengahan jalan mereka diuji, akhirnya terbabas. Ada manusia yang tidak ada keinginan sedikitpun mengikuti ajaran agama atau ajaran Allah, tetapi mereka nampak baik sahaja, seolah-olah yang tidak beramalkan dengan ajaran agama lebih baik daripada yang beramal.

Persoalan saya, apakah ini bermaksud mereka yang tidak beramal itu lebih baik daripada mereka yang cuba beramal? Apakah dek kerana seorang imam atau sami atau paderi, terlibat dalam kes rogol kita boleh mengatakan tidak ada gunanya beramal dengan ajaran Tuhan? Kenapa kita perlu menyalahkan ajaran Tuhan dalam hal ini berbanding diri kita sendiri yang merosakkan ajaran tersebut? Inilah sikap ultra kiasu yang boleh merosak akidah manusia. Mementingkan hak manusia lebih daripada hak Pencipta. Berhujah menegakkan benang yang basah. Memperlihatkan seolah-olah manusia tidak perlu lagi kepada agama kerana menyekat hak asasi manusia.

Jika begitulah keadaannya, tidak perlulah bersusah payah atau beriya-iya hendak membina begitu banyak rumah ibadat di sana sini sehingga dibina di tempat yang tidak sepatutnya. Jika kehadiran Tuhan itu tidak perlu, maka tidak perlulah kita semua beramal. Lebih baik kita ikut kata nafsu diri berasaskan hak asasi. Buatlah apa sahaja yang disukai walaupun dilarang oleh semua ajaran bertuhan seperti, minum arak, berjudi, berkasino, berpeleseran, berzina dan sebagainya. Apakah mungkin mereka yang menentang hukuman ke atas Kartika akan bersetuju dengan kemungkaran ini? Apakah kewujudan agama itu sendiri dilihat sebagai ancaman kebebasan atau menyekat hak asasi manusia?

Dr. Mohd Ridhuan Tee Abdullah ialah Pensyarah Kanan, Universiti Pertahanan Nasional, Malaysia.

Advertisements

Satu Respons to “PETIKAN 4 ARTIKEL OLEH DR RIDUAN TEE ABDULLAH”

  1. mrhunter said

    saya sokong apa yang dr ridhuan tee tulis bukan sebab melayu atau cina atau india tapi kerana umat islam!!

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: