Sahabat MANTAP

:: Memantapkan Minda Nasional ::

BUBARKAN BN – Biarkan UMNO Hanya Untuk Melayu

Posted by Sahabat MANTAP di Isnin, 31 Ogos 2009

oleh: Keris Terbang

Ya…bukankah lebih baik jika UMNO berdiri dengan sendirinya. Rimas dengan apa yang berlaku dalam MCA, MIC, Gerakan dan PPP. Apabila dikatakan UMNO adalah tunjang dalam BN, ada parti komponen yang marah sambil mendabik dada bahawa mereka juga adalah tunjang yang turut membantu parti berdiri teguh.

Hakikatnya tidak begitu. Dengan berselindung di dalam tanah yang subur, akhir-akhir ini menunjukkan bahawa mereka rupanya sudah menjadi akar mati yang berselirat di sekitar akar tunjang; ibarat dahan rapuh yang menumpang pada batang yang teguh; ibarat dedaun layu yang menunggu masa untuk gugur ke bumi.

Tatkala UMNO bertungkus-lumus turun ke bawah untuk mengembalikan keyakinan rakyat kepada BN dan UMNO, parti-parti komponen ini masih lagi berpolemik dan leka bersengketa. Sedikit pun tidak ada rasa bertanggungjawab untuk bersama mengukuhkan kembali pohon yang sudah sedikit condong.

Selepas keputusan mengejutkan dalam Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU-12), tampak mereka ini seolah-olah mula patah semangat dan hilang keyakinan. Segala pelan yang disusun dan tindakan yang dibuat tidak menjadi. Melalui keputusan-keputusan pilihan raya kecil, kaum bukan Melayu didapati terus-menerus menyokong Pakatan Rapuh (PR), sedangkan sokongan bangsa Melayu terhadap UMNO mengalami sedikit kemajuan.

Kira-kira setahun berlalu pada 7 April 2009, keputusan pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gantang masih menunjukkan purata peningkatan undi terhadap pembangkang bagi daerah-daerah mengundi yang mempunyai majoriti pengundi Cina sebanyak 14.5% manakala kawasan majoriti campuran mengalami purata kenaikan 3.8%. Berbeza dengan kawasan majoriti Melayu apabila pembangkang mengalami purata penurunan sokongan sehingga 4.6%.

Baru-baru ini pula pada 17 Ogos 2009, tanpa majoriti pengundi Cina yang keluar mengundi, keputusan pilihan raya kecil DUN Permatang Pasir mencatatkan purata sokongan pengundi terhadap pembangkang turun sebanyak 8.8% sekaligus membuktikan sokongan pengundi Melayu terhadap UMNO khususnya terus mengalami peningkatan.

Disebabkan sudah tidak apa yang boleh dibuat lagi ditambah pula rasa malu dengan UMNO, parti-parti komponen ini mula tercari-cari untuk mencipta publisiti yang boleh meningkatkan kembali populariti mereka sekaligus menenggelamkan seketika ukuran prestasi sebenar mereka di mata UMNO.

Jika dahulu sebaik sahaja berakhirnya PRU-12, parti-parti komponen ini pantas menuding jari dengan menyalahkan UMNO. Dikatakan bahawa dasar affirmatif yang dilaksanakan UMNO telah mengecewakan rakyat bukan Melayu sehingga memaksa mereka memutuskan undi protes. Lalu mereka pun mula meminta-minta dengan nada yang agak keras dan berbau ugutan akan segala hak yang selama ini dimiliki oleh orang Melayu agar turut diagihkan sama rata di kalangan kaum bukan Melayu.

Menyedari hakikat bahawa kaum bukan Melayu lebih terkehadapan dari aspek penguasaan ekonomi, kualiti pendidikan, taraf hidup sehinggalah kepada tingginya jumlah kuil berbanding masjid, ditambah dengan kekangan yang terkandung dalam Kontrak Sosial dan Perlembagaan Persekutuan, kini mereka memilih pula jalan untuk bertelingkah di dalam parti.

Maka jadilah babak-babak drama swasta seperti pemecatan Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek dari kerusi Timbalan Presiden MCA seterusnya disingkirkan dari parti pada 26 Ogos 2009 kerana skandal seks. Begitu juga pada 16 Mei 2009 lalu, Lembaga Disiplin PPP yang bermesyuarat dengan kehadiran Presidennya, Datuk M. Kayveas telah memutuskan untuk memecat Senator Datuk T. Murugiah bersama enam ahli lain dari PPP dengan alasan mengadakan sidang media yang bertujuan memburuk-burukkan parti dan barisan kepimpinannya. Sebelum itu pada 21 Januari 2009, Datuk M. Muthupalaniappan juga dipecat dari MIC oleh Jawatankuasa Disiplinnya apabila didapati kenyataan akhbar yang dikeluarkan beliau bertentangan dengan kepentingan parti.

Kesemua yang berlaku ini punya satu persamaan iaitu memastikan kerusi Presiden tidak dicabar atau ditandingi.

Semua ini demi mengaburi mata UMNO bahawa mereka sebenarnya tidak pernah berusaha untuk mengekalkan dan memantapkan keyakinan kaum masing-masing terhadap dasar kerajaan dan BN. Hakikatnya mereka tidak pernah bersetuju dengan UMNO sedangkan kekuatan UMNO adalah juga kekuatan BN. Kekuatan mereka semata-mata pula belum tentu menjamin kekuatan BN. Perlu diingatkan bahawa BN mampu beroleh dua per tiga majoriti Parlimen pada Pilihan Raya Umum Ke-11 (PRU-11) adalah kerana ’disebabkan’ dan bukannya ’diselamatkan’ pengundi bukan Melayu.

Presiden MCA, Datuk Seri Ong Tee Keat sendiri telah menggariskan tiga agenda utama untuk parti iaitu ekonomi, politik dan perpaduan. Mengapa agenda ekonomi itu diletakkan sebagai agenda pertama? Jelas sekali, dari dulu dan selama-lamanya MCA terus memperjuangkan agenda pertamanya itu untuk memastikan duit dalam negara akan kekal berlegar-legar hanya dalam tangan kaum Cina. Perpaduan antara kaum tidak pernah menjadi keutamaan bagi MCA.

Amat berbeza dengan Presiden UMNO yang juga Pengerusi BN, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak apabila pada 8 Ogos 2009 lalu menggariskan tiga budaya penting yang perlu diamalkan oleh para pemimpin UMNO untuk menjamin sokongan rakyat iaitu mendengar suara rakyat, berkhidmat untuk rakyat dan mampu menyelesaikan masalah rakyat.

Tidak hairanlah apabila dalam kebanyakan syarikat yang dikuasai kaum Cina, begitu payah untuk ketemu pekerja Melayu. Jika ada pun hanyalah sebagai pekerja bawahan berjawatan paling rendah. Sebarang permohonan pekerjaan pula dikenakan syarat boleh berbahasa Mandarin.

Setelah 59 tahun bernaung di bawah satu bumbung bersama UMNO, MCA rupanya masih gagal mendidik kaumnya untuk saling bantu-membantu antara kaum. Hanya UMNO dilihat berjaya dalam usaha mengharmonikan masyarakat berbilang kaum apabila bangsa Melayu berjaya dididik agar lebih bertoleransi dengan kaum lain. Dalam kawasan penduduk majoriti Cina, orang Melayu tidak mungkin boleh berniaga tetapi dalam kawasan majoriti Melayu, para peniaga Cina sewenang-wenangnya mampu mengaut keuntungan.

Ucapan sulung bekas Naib Presiden MCA, Datuk Chua Jui Meng di pentas pembangkang dalam forum anjuran PKR di Sunway Resort Hotel & SPA, Petaling Jaya pada 18 Julai 2009 ada menyebut,

“Banyak perkara yang setuju dengan apa dibawa oleh PKR, iaitu memperjuangkan hak segala kaum di dalam satu landasan tanpa ada sebarang diskriminasi.

“Jika ada idea serta dasar perjuangan PKR yang bercanggah dengan saya, saya tidak akan masuk PKR…”

Selama 30 tahun beliau berkecimpung dalam politik sehingga hampir menjadi seorang Presiden pada tahun 2005 dan 2008. Rupanya inilah fahaman, prinsip serta manifesto yang ditanam secara diam di dalam parti. Beliau mungkin tidak berseorangan dalam mewarisi fahaman ini. Terdapat beribu-ribu lagi ahli MCA yang mungkin membenihkan fahaman seumpama itu. Sebuah fahaman yang boleh diibaratkan seperti ‘api dalam sekam’ bagi BN.

Bukan dalam MCA sahaja, penglibatan Pengerusi Gerakan Wilayah Persekutuan, Dr. Tan Kee Kwang dalam kempen bersama PKR sempena pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh pada 26 Ogos 2008 lalu amat mengejutkan BN sendiri. Sebelum itu, Dato’ Dr. Toh Kin Woon dari parti itu juga telah menyatakan sokongan terbuka beliau terhadap pembangkang.

Banyak isu yang telah ditimbulkan oleh parti-parti komponen ini yang menggambarkan bahawa mereka seolah-olah mula memberontak dan tidak lagi sudi untuk bernaung bersama-sama UMNO dalam BN. Antaranya:

  1. Dalam isu pelantikan Low Siew Moi untuk memangku jawatan Pengurus Besar PKNS oleh Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim pada Oktober 2008, Ketua Wanita MCA, Datin Paduka Chew Mei Fun menyokong penuh pelantikan tersebut tanpa ada rasa sensitif terhadap hak orang Melayu dan MCA pernah menuntut seorang tokoh UMNO memohon maaf kerana menganggap pelantikan itu sebagai diskriminasi.

  2. Pada 27 Oktober 2008, MCA melalui Naib Presidennya, Datuk Liow Tiong Lai telah dengan beraninya menuntut penghapusan syarat pemilikan 30% ekuiti Bumiputera dalam syarikat senaraian awam.

  3. Pada 6 September 2008, Ketua Pemuda MCA Perak, Datuk Tan Chin Meng pernah menggesa pucuk pimpinan MCA supaya mempertimbangkan untuk keluar dari BN. Manakala pada 27 September 2009, pemangku Presiden Gerakan, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon pula menyatakan bahawa 60% ahlinya mahukan parti Gerakan keluar dari BN. 

  4. Ketua Wanita Gerakan, Datuk Tan Lian Hoe telah mengundang kontroversi apabila memberi ucapan yang memberi maksud bahawa bangsa Melayu itu bukan penduduk asal Tanah Melayu dalam Persidangan Perwakilan Wanita dan Pemuda Gerakan pada 10 Oktober 2008.

  5. Pada 30 November 2008, Presiden PPP, Datuk M. Kayveas dengan lantangnya mengugut untuk membawa keluar PPP dari BN jika Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) tidak dikaji semula dan membuat pindaan yang sesuai sebelum PRU-13.

  6. Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek pada 27 November 2008 berpendapat bahawa konsep Ketuanan Melayu sudah tidak lagi relevan yang kemudiannya disokong oleh Ketua Wanita MCA, Datin Paduka Chew Mei Fun.

Maka tidak hairanlah apabila BN seolah-olah ditikam dari belakang pada PRU-12. Rupanya ada perasaan dendam dan tidak puas hati di kalangan parti-parti komponen yang telah lama tersimpan lalu diterjemahkan di atas kertas-kertas undi dan akhirnya diluahkan secara terbuka dan berani. Jangan terkejut jika negeri Johor dan Negeri Sembilan bukan lagi kawasan selamat bagi BN apabila 44% pengundi bukan Melayunya beralih arah.

Oleh itu, bukankah lebih baik jika BN dibubarkan. Biarkan hanya UMNO untuk Melayu dan Bumiputera. Untuk apa ‘memikul biawak hidup’ yang tidak mendatangkan apa-apa kebaikan, sering menimbulkan masalah dan akhirnya mendatangkan bala di kemudian hari.

Tanpa BN, sudah tentu UMNO akan lebih fokus terhadap kemajuan agama dan bangsa. Tidak perlu lagi bersama untuk memikirkan dan mengadakan kuota kawasan majoriti Melayu untuk rakan-rakan parti komponen. Dengan peralihan kepercayaan dan keyakinan masyarakat Melayu yang kian meningkat hasil kerja kuat barisan kepimpinan dan ahli-ahlinya, UMNO mampu untuk menang dalam kesemua kawasan majoriti Melayu yang ditandinginya.

Adalah lebih baik bagi UMNO mewujudkan kerajaan campuran bersama parti politik yang terus ikhlas mendukung cita-cita bangsa dan agama. Kerana Melayu yang tunjangnya Islam itu lebih bertoleransi dan sesekali tidak diajar untuk berlaku kurang ajar atau menzalimi kaum dan agama yang lain. Apa yang penting, tanah Melayu yang selama ini dikongsi bersama tetapi akhirnya dikhianati dapat dikembalikan kepada yang lebih berhak.

Segala keperluan agama dan bangsa sudah tentu dapat dipenuhi dengan mudah dengan kehendak dua per tiga majoriti Parlimen hatta pelaksanaan Hukum Hudud sekalipun. Dengan satu cita-cita, semangat dan azam; demi menegakkan syiar sebagai sebuah bangsa yang dipilih Allah untuk mewarisi dua kalimah syahadah, ada sesuatu yang perlu dikorbankan. Kerana pahit itu akan manis jua akhirnya…

Selamat Menyambut Ulangtahun Kemerdekaan Negara Kali Ke-52…Merdeka! Merdeka! Merdeka! Merdekakan UMNO dari BN…

5 Respons to “BUBARKAN BN – Biarkan UMNO Hanya Untuk Melayu”

  1. Musah said

    Salam

    Demi Tuhan, inilah jalannya untuk memajukan bangsa Melayu & Bumiputra, yang mana semakin hari semakin layu…..kesian kat anak cucu kita nanti…

    • jihad said

      haii selama 50 tahun memerintah pe yang dia buat,,

      pelik,,,

      • matdollah said

        Apa yg tak pernah UMNO lakukan utk orang2 Melayu?. Kalau nk tulis kebaikan yg UMNO buat, tak cukup kertas utk tulis. Orang2 yg kufur nikmat saja yg tak akan mengsyukuri kebaikan ini.
        Cuba bayangkan jika Kelantan tu duduk dalam wilayah Thailand, macam Yala dan Narathiwat, nak sembahyang pun kena tembak!!, kita kat Malaysia ni semua ibadah kita boleh lakukan tanpa ada halangan dan rintangan. Kita masih boleh berpuasa, pergi haji, mengaji kat Mesir, Jordan boleh dapat biasiswa kerajaan dan kembali ke Malaysia boleh masuk PAS, DAP dan PKR tiada halangan, tapi cuma kesombongan dan taksub melampau yg telah menutup pintu hati daripada kebaikan yg kita kecapi. Apakah kita orang2 Melayu ingin menjadi seperti Thailand atau Singapura yg mana utk melaungan azan pun tak dibenarkan dan inginkah kita jadi warga negara kelas corot? yg jadi hamba pecacai bangsa lain??.
        Jangan mudah di gula2kan dengan tawaran syurga oleh orang2 yg dangkal pemikiran, sebab nasib dia sendiri belum tentu terjamin ke syurga.
        Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tak berguna lagi!.

  2. apa dia buat? yg ko dpt hidup, dpt mkn, dpt g sekolah, ko leh tanya lg apa dowg wt? sedar2 lh…

  3. alkahfi said

    Persoalan nya..boleh kah kita menang kalau tanpa undi cina..

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: