Sahabat MANTAP

:: Memantapkan Minda Nasional ::

Pakatan Campuran – Setahun Bulan Madu Apa Hasilnya?

Posted by Sahabat MANTAP di Jumaat, 13 Mac 2009

Oleh: Tenda Biru

TAHUN lalu, tarikh 7 Mac adalah hari yang ditunggu-tunggu dan membawa khabar gembira kepada pakatan campuran apabila dapat menambah bilangan kerusi dan menawan negeri di bawah tadbiran Barisan Nasional (BN) seperti Pulau Pinang, Kedah, Perak dan Selangor selain Kelantan. Lagak pakatan campuran ibarat beruk dapat bunga atau kaduk naik junjung yang bertindak seperti telah pun menang dalam pilihan raya peringkat pusat hinggakan mewar-warkan kononnya merekalah yang terbaik sedangkan jika diselami simboliknya adalah amat bertentangan. Sememangnya kemenangan DAP, PKR dan Pas di negeri-negeri tersebut tidak dijangka waima oleh mereka sendiri. Justeru itulah calon-calon yang dipilih adalah sekadar tangkap muat untuk memenuhkan ruang yang ada sedangkan jika dinilai dari segi kredibilitinya memang kosong. Kerana tidak disangka jugalah, maka berlaku beberapa kesulitan untuk pembentukan kerajaan campuran dan pelantikan Menteri Besar terutamanya di Perak.

Kini, setelah genapnya setahun tempoh pentadbiran beralih tangan malangnya kepimpinan pakatan campuran hanya sempat meraikannya di tiga negeri lain sementara di Perak berlaku kekacauan dan mereka sendiri masih enggan untuk menerima hakikat yang telah berlaku iaitu Perak kembali kepada BN. Selepas pilihan raya umum ke-12 lalu, kerajaan campuran yang menguasai lima negeri, diikuti kemenangan dalam pilihan raya kecil Permatang Pauh dan Kuala Terengganu, PKR, DAP dan PAS begitu yakin akan membentuk kerajaan persekutuan baru. Anwar dengan megahnya menyatakan akan ada Ahli-Ahli Parlimen Barisan Nasional melompat parti iaitu menyertai barisan kerajaan campuran kerana sudah hilang kepercayaan kepada BN.Paling mengejutkan apabila tarikhnya juga turut diberi iaitu 16 September 2008 sebagai satu detik yang akan berakhirnya pentadbiran BN. Malangnya, hingga ke hari ini, kata-kata itu cuma sekadar ucapan sahaja dan lebih teruk lagi apabila semua janji-janji sebelum pilihan raya yang lalu gagal ditunaikan.

Sudahlah begitu, pembangunan tidak berjalan dengan lancar dan kerajaan yang ada menjadi kacau bilau dan bercelaru ekoran keghairahan mendapat pangkat dan kuasa. Jika mahu menjadi kerajaan yang bertanggungjawab, mengurus sesuatu krisis adalah salah satu keperluannya di samping melebihkan waktu yang ada dengan menabur bakti dan menyumbang tenaga kepada masyarakat setempat yang telah memberi kepercayaan kepada mereka. Malangnya, sejak mendapat kuasa memerintah selepas membentuk kerajaan melalui perkongsian kuasa hinggalah kini, kerajaan campuran ini tidak pernah sunyi daripada menimbulkan kontrovesi yang secara tidak langsung mewujudkan kekeliruan kepada rakyat.

Isu berkaitan pemberian tanah, kedudukan orang Melayu, pembelian kereta exco, masalah moral dan etika serta penyalahgunaan kuasa hanyalah antara beberapa perkara yang menimbulkan kemelut lantas menyimpang jauh dari apa yang mereka janjikan untuk rakyat sebelum ini. Difahamkan juga bahawa ada antara exco dalam kerajaan campuran terutamanya yang beragama Islam sudah mula bersuara ekoran rasa kecil hati dengan Menteri Besarnya yang membelakangkan mereka. Sememangnya kelemahan dalam kerajaan campuran yang dianggotai oleh PKR, PAS dan DAP semakin terserlah dan jauh menyimpang daripada manifesto mereka, malah jika difikirkan secara logik pun, asas perjuangan antara ketiga-tiga parti tersebut tidak sama inikan pula untuk bersatu? Dalam masa yang sama, kerajaan campuran yang seharusnya memberikan lebih kesenangan dan kemakmuran kepada masyarakat telah bertindak menyusahkan dan membuang masa banyak pihak. Dalam perkembangan yang lain pula, nilailah kembali apa yang berlaku bulan lalu apabila BN mengumumkan untuk menubuhkan kerajaan baru di Negeri Perak setelah mendapat sokongan dari tiga orang calon bebas tempatan. Bagaimana tindakan parti PAS, DAP dan PKR sendiri?

Kini mereka adalah pembangkang yang tewas secara mengejut, terpaksa tunduk akibat daripada keangkuhan dan ketamakan kuasa. Namun demikian, mereka telah bertindak liar apabila cuba mempengaruhi rakyat tempatan untuk mengadakan demonstrasi bagi membantah keputusan SPR dan penubuhan kerajaan BN di Perak. Bandingkan pula dengan tindakan yang dilakukan oleh BN sendiri apabila mendapat keputusan dalam pilihan raya umum lalu. Memang pahit apabila terpaksa menyerahkan tampuk kerajaan negeri kepada pihak lawan apatah lagi BN tidak kalah tetapi dari segi majoriti tidak cukup berikutan gabungan tiga parti yang bersekutu. Biarpun begitu, BN terima juga situasi yang berlaku dengan keinsafan dan muhasabah diri untuk perbaiki kelemahan tanpa melihat kepada kononnya ia adalah kekuatan pihak lawan. Tiada demonstrasi jalanan atau hasutan yang akan menggugat kesejahteraan dan merosakkan negara. Apatah lagi untuk bersidang di bawah pokok….Parti yang telah diberi mandat oleh para pengundi di negeri-negeri tersebut juga sanggup membohongi rakyat dengan pelbagai janji kebajikan dan lebih kejam lagi, mereka sanggup makan kawan hanya semata-mata untuk memeriahkan arena politik mereka agar tidak sunyi dan dilupakan oleh rakyat.

Fahamilah bahawa sesungguhnya, kedudukan BN hasil gabungan dengan parti-parti komponan yang mencapai kata sepakat bukan hanya ketika menjelangnya pilihan raya atau selepas menang bagi membentuk kerajaan semata-mata. Sedangkan pakatan campuran yang baru setahun jagung memerintah berbanding BN yang sebelumnya dikenali sebagai Parti Perikatan telah menabur bakti membawa kemajuan dan pembangunan. Sejak pilihan raya pertama diadakan pada 27 Julai 1955 hinggalah ke pilihan raya ke-12 yang lalu, BN yang dahulunya parti Perikatan tetap unggul bersama dengan hanya menggunakan satu lambang sebagai bukti perpaduan tanpa menonjolkan lambang parti masing-masing. Parti-parti komponan dalam BN sentiasa menjaga muafakat dan persefahaman biarpun berlainan bangsa dan agama, dalam pelbagai situasi walaupun pernah dilanda badai 1969 tetapi kekukuhan demi kesejahteraan diutamakan.

Berdasarkan hal tersebut, nilailah sendiri, dimana hala tuju perjuangan tanpa akar umbi tersebut. Parti yang sedemikiankah yang akan didukung untuk anak bangsa dan generasi pewaris akan datang?

Sahabat buatlah tafsiran sendiri.

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: