Sahabat MANTAP

:: Memantapkan Minda Nasional ::

KEMELUT PERAK DAN PPSMI: AGENDA MELEMAHKAN MELAYU?

Posted by Sahabat MANTAP di Khamis, 12 Mac 2009

Oleh: Salza Hedra

“Kemelut politik tanahair makin hari makin memperlihatkan seolah-olah telah diatur dan dirancang dengan baik oleh individu-individu atau organisasi tertentu demi kepentingan peribadi dan politik sempit mereka”. Begitulah ungkapan yang acapkali kita dengar dan lihat melalui cakap-cakap politik dan laman-laman blog politik. Dua perkara yang paling hangat diperkatakan adalah mengenai kemelut Kepimpinan Politik di Perak Darul Ridzuan dan PPSMI. Kedua-dua perkara ini telah mendominasi dan mewarnai wajah politik tanahair kerana ia melibatkan perihal berkaitan Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Tubuh Negeri yang menjurus terus kepada perihal orang melayu.

Sebelum penulis pergi jauh mengenai kedua-dua kemelut di atas, penulis ingin bertanya berapa ramai rakyat Malaysia yang tahu dan faham akan apa yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan atau pun Undang-Undang Tubuh Negeri? Penulis yakin tidak ramai yang mengetahuinya malah tidak pernah membaca atau memilikinya. Maka itu, ramai yang berduyun-duyun melakukan demonstrasi jalanan dan ‘turut serta’ dalam Sidang DUN di bawah pokok baru-baru ini sebagai menunjukkan sokongan mereka terhadap apa yang mereka tidak tahu dan tidak faham. Apakah atau lebih tepat siapakah individu-individu atau organisasi yang sanggup memesongkan perkara sebenarnya dan ‘sanggup menipu’ mereka ini? Jawapan mudah yang boleh diberikan adalah mereka ini merupakan individu atau pemimpin-pemimpin parti yang telah kehilangan sokongan dan cuba mengambil kesempatan daripada isu tersebut. Intipati atau penerangan yang diberikan lebih berbentuk kelabaan politik kepada individu atau parti tersebut.

Kemelut Politik Perak

Kekalutan di Perak bermula apabila Mantan Menteri Besar Perak, kini menjadi MB Kerajaan Bawah Pokok (pinjam dan gunapakai terma Kawan Lama), YB Ir Ahmad Nizar Jamaluddin mengadap DYMM Sultan Perak memohon untuk dibubarkan DUN. Perkara ini timbul kerana tiga orang wakil rakyat mereka telah mengumumkan keluar daripada Pakatan Pembangkang dan telah menyatakan sokongan terhadap BN. Perkara ini telah mereka maklumkan ke bawah DYMM Sultan Perak. Berdasarkan kepada faktor ini maka DYMM telah memasyhurkan perlantikan MB baru daripada BN setelah mendapati parti yang mempunyai majoriti adalah BN.

Menyedari akan hal ini, MB Kerajaan Bawah Pokok ini telah tanpa segan silu membawa kekecewaan beliau kepada penyokong mereka dan akhirnya ke mahkamah. Tindakan beliau sebenarnya adalah untuk menutup kelemahan dan kesilapan besar yang telah beliau dan Pakatan Pembangkang lakukan semasa mentadbir negeri Perak. Tidak cukup dengan itu, Pakatan Pembangkang melalui YB Karpal Singh (The Celaka King Singh) telah berani mempersoalkan Hak Sultan yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Tubuh Negeri Perak. DYMM Sultan Perak telah dihina dan mahu dihadapkan ke mahkamah. Ini merupakan penghinaan terhadap Kedaulatan Institusi Raja dan Ketuanan Melayu. Kesucian dan kemurnian Institusi DUN Perak juga diletakkan di bawah tapak kaki mereka. Tindakan mereka mengadakan sidang DUN di bawah pokok bertujuan tidak lain hanyalah mahu menjatuhkan dan mencemarkan imej dan kedaulatan kesultanan dan ketuanan melayu, negeri dan rakyat Perak.

Kemelut PPSMI

PPSMI telahpun dilaksanakan pada 2003 dalam bentuk percubaan dan telah memberikan gambaran positif terhadap pencapaian akademik pelajar dalam mata pelajaran matematik dan sains. Ia hentikan sementara bagi tujuan untuk menilai kembali sejauhmana keberkesanannya di samping mendapatkan pandangan umum sebelum perlaksanaannya secara total. Maka terdapat gerakan membantah cadangan perlaksanaannya secara total oleh GMP. Pada pandangan penulis, apa yang diluahkan oleh GMP tidak bersalahan dengan dasar kerajaan. Suara mereka didengari dan diambilkira dalam menentukan perlaksanaannya. Namun apa yang dikesali adalah terdapatnya individu khususnya pemimpin parti politik di kalangan Pakatan Pembangkang yang ‘menangguk di air keroh’ dengan menambahburukkan lagi suasana. Mereka cuba mengambil kelabaan politik dengan memesongkan tujuan sebenar dasar kerajaan.  Secara tidak langsung, golongan ini telah berjaya mewujudkan ‘ketegangan dan kerenggangan hubungan’ di antara kerajaan dan  GMP. Insiden demonstrasi jalanan semasa GMP ingin menyerahkan memorandum bantahan kepada YDP Agong adalah dipercayai sesuatu yang telah dirancang Pakatan Pembangkang. Modus operandinya serupa dengan demonstrasi jalanan yang pernah mereka buat sebelum ini. Mereka mahu menaikkan kemarahan dan seterusnya mencemarkan imej polis dan kerajaan Malaysia di mata dunia. Usaha mereka ini cuma mahu menutup aib dan kecacatan sendiri dan seterusnya meletakkan kesalahan kepada pihak lain.

Walaupun Presiden GMP, Dato’ Hassan Ahmad dalam sidang media menyelar tokoh pemimpin UMNO/BN kerana menyatakan bahawa adanya dalang dalam insiden ini. Namun dalang yang dimaksudkan sebenarnya bukanlah GMP tetapi individu-individu daripada Pakatan Pembangkang. Isu PPSMI dijadikan kesempatan meeka untuk tujuan politik sempit mereka. Tambahan pula, PRK Parlimen Bukit Gantang, DUN Selambau dan DUN Batang Ai semakin hampir.

Di Perak, kita lihat Nizar umpama jaguh yang dikelilingi oleh wakil rakyat DAP dan PKR untuk menderhaka terhadap titah DYMM Sultan. Tindakan Nizar dilihat seolah-olah bersetuju dengan Karpal Singh untuk menghina DYMM Sultan Perak di makhkamah. Tiada kelihatan di kalangan ahli demonstrasi jalanan tegar dari Pakatan Rakyat yang bangkit menyuarakan kemarahan terhadap tindakan Karpal dan Nizar. Kenapa? Bukankah Institusi Raja itu adalah simbol Ketuanan Melayu? Mengapa sanggup berbaringan di tengah-tengah jalanraya? Siapa mereka ini? Bukankah mereka orang melayu yang sayangkan agama, bangsa dan mendaulatkan Rajanya? Mengapa diam seribu bahasa apabila perkataan ALLAH yang dituntut penggunaannya dalam tabloid agama Kristian Herald ? Apa gunanya kalau tak berani menyatakan kegusaran terhadap Bar Council yang telah menjalankan program membicarakan hak kebebasan menukar agama yang menjurus kepada menggalakkan orang Islam supaya murtad? Apakah mereka bangga setelah Dato’ Ambiga Srevasanan, Presiden Bar Council, diberikan pentauliah dan penghormatan oleh Amerika kerana keberanian beliau mengadakan forum tersebut? Mengapa diam membisu apabila terdapatnya wakil rakyat pakatan pembangkang yang mengutarakan agar azan tidak perlu dilaungkan kerana mengganggu?

Namun yang terpentingnya di sebalik kemelut ini adalah usaha menutup tindakan dan perancangan licik individu atau Pakatan Rakyat atau organisasi tertentu dalam memastikan orang melayu menjadi lemah dan bercakaran antara satu sama lain. Kedua-dua kemelut di atas melibatkan bangsa melayu. Justeru itu, wajarlah dikatakan bahawa memang wujud usaha untuk memecahkan benteng kekuatan orang melayu iaitu Bersatu Padu. Orang melayu berjaya menumbangkan British yang baru menang perang dengan mengalahkan Jerman dan Jepun kerana kejayaan Dato’ Onn Jaafar menyatupadukan orang melayu. Tiada siapa yang dapat menyangkal akan hal ini. Jadi bersatulah orang melayu kerana Allah akan letakkan kegentaran di dalam hati musuh-musuh mahu menghancurkan kita. Bersatulah melayu dalam mewariskan kuasa, kemerdekaan dan kemajuan kepada generasi kita akan datang.

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: