Sahabat MANTAP

:: Memantapkan Minda Nasional ::

Dasar PPSMI Bukan Jaminan Masa Depan Bahasa Melayu

Posted by Sahabat MANTAP di Khamis, 26 Februari 2009

Oleh: Anak Kecil Dari Gunung

Pada detik mutakhir kini, isu paling utama ialah pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) dan kaitannya dengan kelestarian bahasa Melayu serta taraf kedaulatannya sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa pengantar dalam sistem pendidikan negara.

Persidangan meja bulat anjuran Kementerian Pelajaran sudah membuat beberapa syor.Gabungan Persatuan Penulis Nasional (Gapena) juga sudah menyatakan pendirianya dan terbaru, Majlis Permuafakatan Kesatuan dan Persatuan Guru Kementerian Pelajaran juga bersuara. Semuanya membawa kepada dua situasi, bahasa Melayu akan terus hidup berdaulat atau mati terhina dibumi sendiri. Kenyataan yang dibuat Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Alimuddin Mohd Dom dalam Berita Harian 31 Disember lalu, mengesahkan bahawa kuasa politiklah yang akan akhirnya menentukan hal ini dan begitu juga dengan segala hal yang sudah diputuskan sebelum ini. Segala-galanya kini ditangan Pemimpin Politik, khususnya Menteri Pelajaran dan anggota Kabinet.

Jadi, sebelum apa juga pilihan di muktamadkan, wajiblah pemimpin bermuhasabah dan sentiasa percaya bahawa keputusan yang diambil itu nanti akan terpahat sebagai catatan sejarah untuk rujukan generasi akan datang. Jika baik,anak cucu nanti akan menyanjung, tetapi jika sebaliknya kita akan terhina sehigga akhir zaman. Ingatkah bagaimana pemansuhan tulisan Jawi dulu?

Isu ini bukan kecil, pilihan yang dibuat bakal menentukan bukan saja soal bahasa Melayu semata-mata, malah juga soal bangsa, soal maruah, soal merdeka dan soal menjadi negara maju.Bahasalah nanti yang akan menentukan jenis bangsa kita. Bahasalah nanti yang akan menjadikan bangsa kita bangsa bermaruah, bukan bangsa peminjam .Bahasalah nanti yang akan membuktikan bangsa kita benar-benar sudah merdeka, Merdeka fizikal dan merdeka mental. Bahasalah nanti yang akan membuktikan negara kita benar-benar menjadi negara yang maju dalam acuan kita sendiri.Belum berlaku dalam sejarah moden ini, ada negara maju menggunakan bahasa bangsa lain. Malah, Thailand yang jauh dihadapan dalam bidang pertanian berbanding negara kita, tidak pun menjadi bahasa asing sebagai wadah untuk mencapai kemajuan itu.

Ketua Pengarah Pelajaran juga menyatakan bahawa kementerian tidak mahu terburu-buru membuat keputusan. Segala pandangan diambik kira kerana ia membabitkan masa depan generasi muda. Namun, apakah dasar PPSMI ini dulu tidak terburu-buru? Ketika dilaksanakan dulu, adakah soal masa depan generasi muda dan bahasa Melayu diambil kira? Apakah pandangan pelbagai pihak di pertimbangkan?

Persoalannya, apakah Malaysia terlalu mundur dari segi itu? Kita baru saja menghantar angkasawan ke angkasa lepas. Sebelum pemilihan Dr.Syeikh Muzaffar dan Dr.Faiz Khaleed dibuat, beratus-ratus calon lain terpaksa melalui proses pemilihan yang sangat ketat.
Tidakkah mereka boleh dijadikan tanda aras bahawa pencapaian rakyat Malaysia dalam ilmu Sains dan Matematik sudah setanding dengan negara peneroka angkasa raya? Berapa negara yang mampu berbuat demikian? Benar, kerajaan berbelanja besar untuk Program itu, tetapi tidakkah itu tandanya kerajaan kita sendiri yakin akan kesediaan dan kemampuan rakyat? Kenapakah kita masih belum dapat mengiktiraf kejayaan kita dalam bidang Sains dan Matematik sehingga melaksanakan dasar PPSMI. Beribu-ribu Jurutera, Arkitek, Doktor, Profesor, Inventor, Pakar dalam pelbagai bidang dilahirkan menerusi Sistem Pendidikan yang berteraskan Bahasa Melayu .

Jadi apakah sebenarnya matlamat PPSMI ? Jika hendak meningkatkan penguasaan Bahasa Inggeris, Kurikulum, Guru-guru, Strategi pengajaran dan pembelajaran (P&P), Infrastruktur Bahasa Inggeris sajalah yang dipertingkatkan. Janganlah Umpama ” Lain Yang Sakit, Lain Yang di Ubat ”. Kita juga hairan apabila Ketua Pengarah Pelajaran Menyatakan bahawa ada pakar luar negara yang di jemput untuk menilai sistem pendidikan kita. Apakah rasionalnya ? Wajarkah kita mengiktiraf kepakaran mereka sedangkan latar mereka berbeza ?

Atas jemputan ( dibayar dan ditaja ? ) dan pengiktirafan kita kepada mereka, sudah tentulah mereka akan melaporkan yang ” Mulus- Mulus ” saja. Tindakan kita sedar bahawa kepakaran mereka tidak dapat menyelamatkan negera mereka daripada keruntuhan moral dan kesirnaan nilai ? Masihkah kita percaya kepada idealisme mereka? Sudah Merdekakah kita seluruhnya fizikal dan mental ? Kita perlu rasional. Kembalilah kepada hakikat dimana bumi dipijak, disitu langit di junjung. Sudah berbuih mulut cendekiawan kita menyebutkan bahawa semua negara yang sudah mencapai status negara maju, membangun dan membina tamadun menggunakan bahasa mereka sendiri.

Pada masa sama, mereka masih mampu mengeksport pakar dan kepakaran mereka ke luar negara. Kita sendiri menjemput beribu-ribu pakar luar negara membantu kita membangunkan Malaysia dan hampir tidak ada di kalangan mereka menggunakan bahasa Melayu untuk menyampaikan buah fikiran mereka.

Sebaliknya, kita pula terpaksa menelaah bahasa mereka untuk memahami mereka. Sudah Merdekakah Kita.???

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: