Sahabat MANTAP

:: Memantapkan Minda Nasional ::

MEMBENTUK KERAJAAN BARU PERAK.

Posted by Sahabat MANTAP di Sabtu, 7 Februari 2009

Oleh : Anggerik Desa

Hakikat ‘real-politics’ demokrasi kadang-kala sangat pahit untuk diterima oleh sesetengah ahli politik

PERISTIWA tersungkurnya kerajaan negeri Pakatan Rakyat di Perak pimpinan Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin memberi beberapa pengajaran berguna untuk direnungi. Pertama, terbukti betapa kata-kata bahawa ‘politics is the art of possible’ atau “politik adalah suatu seni serba kemungkinan” sekali lagi menjadi kenyataan.Dalam politik, sering kali disebutkan bahawa tiada musuh dan sahabat politik yang kekal, namun yang terus kekal abadi hanyalah kepentingan. Nyatalah juga betapa lunas demokrasi yang sering diuar-uarkan oleh pelbagai pihak terus mengizinkan kedua-dua perkara ini berlaku untuk kesekian kalinya. Akibat apa yang berlaku, kini barangkali sudah ada pihak yang mahu pula menempelak demokrasi kerana dianggap mengizinkan perkara seperti insiden di Perak itu berlaku. Namun inilah realiti politik dan hakikat yang harus diterima jika kita menjunjung demokrasi dan mahu terus mengamalkan demokrasi.

Demokrasi tetap mengizinkan ‘what is politically right, but morally otherwise’ (apa yang secara politiknya betul walaupun dari segi moral adalah sebaliknya). Amalan demokrasi menentukan bahawa perkara ini boleh berlaku dan inilah yang seharusnya diterima dengan lapang dada oleh kerajaan Pakatan Rakyat yang sudah hilang sokongan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak itu, sekali gus mengakhiri pemerintahan selama cuma 11 bulan. Wajarkah tiba-tiba kita mahu berselindung pula di sebalik lunas perundangan demi menghalang apa yang kita sendiri secara terang dan nyata mahu dan rela lakukan ke atas pihak lain? Inilah sebenarnya dilema moral dan dilema politik yang sedang dihadapi pemimpin politik dalam Pakatan Rakyat bukan saja di Perak, malah pada peringkat nasional.

Di sinilah nanti rakyat akan mengadili sikap dan pendirian politik mereka. Sekadar mengimbas kembali ketika Datuk Seri Anwar Ibrahim meuar-uarkan bakal mengambil alih kuasa Kerajaan Pusat pada 16 September lalu dengan cara sama iaitu dengan mendorong dan memujuk Ahli Parlimen BN menyeberang ke kem Pakatan Rakyat, dikatakan inilah kaedah terbaik untuk mengambil alih kuasa dengan cara yang paling menjimatkan kos tanpa menyusahkan rakyat kerana tidak perlu mengadakan pilihan raya umum yang baru. Justeru, persoalan yang ingin dikemukakan di sini ialah apakah hujah sebegini sudah tidak lagi relevan pada hari ini kerana yang berhijrah kem adalah Adun Pakatan Rakyat sendiri? Malah, ketika Adun Bota, Datuk Nasarudin Hashim bertukar kem selama 10 hari, tindakannya itu dialu-alukan oleh Pakatan Rakyat sebagai suatu langkah yang bijak dan berani.

Hakikatnya, apa yang dibenarkan oleh demokrasi bukanlah hak mutlak dan hanya eksklusif untuk satu pihak semata-mata. Demokrasi adalah untuk semua dan apa yang diterima untuk satu pihak sebagai sah dan boleh dilakukan, maka ia juga adalah sah dan perlu diterima walaupun apabila ia mengenai ke atas diri sendiri. Pengajarannya di sini ialah terimalah dengan baik apa yang kita sendiri pernah usulkan untuk orang lain walaupun ia sesuatu yang amat pahit untuk kita menerimanya apabila ia berlaku ke atas kita. Inilah ‘real-politics’ demokrasi yang kadang-kala sangat pahit untuk diterima oleh sesetengah ahli politik itu sendiri. Amalan demokrasi berparlimen dan Perlembagaan negara kita sendiri menetapkan bahawa apabila seseorang ketua kerajaan itu hilang sokongan majoriti di dalam Dewan Perundangan, beliau cuma ada dua pilihan.

Pertama mendapat perkenan Raja atau Sultan untuk membubarkan Dewan bagi membolehkan satu pilihan raya baru diadakan atau keduanya berdepan dengan undi tidak percaya ahli-ahli Dewan dan kemudiannya dipaksa meletak jawatan bagi membolehkan seorang ketua kerajaan yang baru di pilih di kalangan Ahli Dewan yang mendapat sokongan majoriti ahli-ahli Dewan.Dalam keadaan di mana perkenan Raja tidak diperoleh bagi Dewan dibubarkan bagi satu pilihan raya baru diadakan kerana pihak istana berpuas hati bahawa sudah ada pihak lain yang boleh menubuhkan kerajaan kerana memperoleh sokongan majoriti ahli-ahli Dewan, ketua kerajaan semasa, yakni Menteri Besar bagi kes di negeri atau Perdana Menteri dalam konteks Persekutuan perlu meletakkan jawatan bersama-sama dengan Ahli Exco atau anggota Kabinetnya.

Inilah prinsip demokrasi berparlimen yang diamalkan oleh kebanyakan negara Komanwel yang mengambil model Westminster di England sebagai amalan mereka. Kita di Malaysia juga sudah mengamalkan model dan sistem ini sejak 50 tahun lalu. Justeru, dalam kes kerajaan Pakatan Rakyat di Perak inilah realiti politik yang perlu mereka hadapi. Pengajaran seterusnya yang boleh diambil iktibar daripada insiden yang berlaku di Perak ialah di dalam amalan dan proses demokrasi yang berjalan, apa yang kita lakukan ialah memilih kerajaan yang paling baik berdasarkan kriteria tertentu seperti dasar yang ingin dilaksanakan atau pendekatan politik tertentu dalam menangani sesuatu isu atau kerana personaliti dan reputasi baik yang ditawarkan oleh parti yang bertanding di dalam pilihan raya dan sebagainya.

Bagi membolehkan kerajaan pilihan ini mentadbir dan memerintah dengan berkesan, maka kerajaan pilihan rakyat ini harus diberikan suara atau kekuatan jumlah kerusi yang cukup di dalam dewan perundangan agar ia tidak mudah ditumbangkan atau terdedah kepada ancaman untuk dijatuhkan.Dari sinilah lahirnya konsep majoriti 2/3 atau majoriti selesa yang sering diperlukan oleh mana-mana kerajaan yang ingin memerintah secara berkesan. Apabila sesuatu kerajaan yang dipilih itu benar-benar kuat, yakni mempunyai jumlah kerusi yang cukup dan tidak mudah ditumbangkan walau ada anggotanya berpaling tadah, ia tidak akan mudah goyah dan tergugat.

Inilah konsep kerajaan yang kuat diperlukan di dalam demokrasi. Hanya dengan cara ini saja, sesuatu dasar yang dijanjikan oleh sesebuah kerajaan itu ketika pilihan raya dapat dilaksanakan dengan berkesan dan berjaya. Sementara amalan demokrasi yang baik memerlukan suara pembangkang bagi mengimbangi kuasa kerajaan, ia akan menjejaskan peranan dan kedudukan kerajaan jika sekiranya suara pembangkang yang dihantar ke Dewan Perundangan hampir seimbang dengan kekuatan kerusi kerajaan. Akibatnya, kerajaan sentiasa terdedah kepada ancaman undi tidak percaya dan prospek ditumbangkan lebih awal sebelum pilihan raya berikutnya.

Lantas, tempoh memerintah kerajaan terbabit mungkin lebih singkat, atau ia sentiasa berada dalam keadaan ketidaktentuan yang berpanjangan jika wujud ancaman undi tidak percaya atau ahli-ahli dewan perundangannya beralih kem. Inilah keadaan yang wujud di negeri Perak sebelum ini.Akibat daripada keputusan rakyat yang sedemikian, maka tumpuan sesebuah kerajaan untuk memerintah akan terjejas dan ia akan terbelenggu dengan percaturan politik dan darjah keterlaluan berpolitik (politicking) yang melampau dan berterusan.

Ia juga mungkin terpaksa tunduk kepada pelbagai tekanan politik. Akhirnya yang akan menanggung kerugian adalah rakyat sendiri kerana apa yang mereka hajati daripada sesebuah kerajaan yang dipilih itu mungkin tidak kesampaian. Inilah realiti yang harus difahami oleh rakyat yang cintakan demokrasi jika sekiranya mereka sudah memilih sebuah kerajaan yang lemah dan rapuh. Demokrasi adalah satu kaedah dan cara kita memilih kerajaan dan menguruskan kerajaan dalam kehidupan politik kita. Setakat ini demokrasi adalah sistem yang lebih baik daripada sistem autokrasi atau totalitarian (kediktatoran).

Demokrasi menjamin kuasa kerajaan dapat dikawal dan diimbangi. Tetapi barangkali yang perlu direnungi juga ialah bukannya bentuk dan amalan demokrasi itu saja. Namun lebih jauh daripada itu ialah hasil atau natijah demokrasi. Demokrasi harus membolehkan sesebuah kerajaan memerintah dengan baik dan tidak mudah dijatuhkan. Oleh itu demokrasi itu harus memberikan kedudukan yang selesa untuk kerajaan memerintah dan membawa kebaikan kepada rakyat. Dalam erti kata yang lain, demokrasi harus memberikan ruang yang cukup supaya keupayaan kerajaan untuk memerintah tidak tergugat. Maka di sinilah kita harus melihat demokrasi itu bukan saja dari segi bentuk pemerintahannya, namun keupayaan atau kemampuan memerintah (degree of governance) yang dihasilkan oleh demokrasi untuk sesebuah kerajaan juga malah kadangkala lebih penting daripada bentuknya semata-mata.

Demokrasi boleh memberikan kepada sesiapa saja kuasa untuk memerintah. Orang yang tiada pengalaman atau tidak pernah mentadbir malah sangat mentah dalam urusan pemerintahan pun boleh menjadi penguasa atau pemimpin negeri kalau ia dipilih menerusi proses dan amalan demokrasi.Parti yang baik dan berpengalaman pun boleh diturunkan menjadi suara pembangkang kalau demokrasi mahukan perkara itu berlaku. Begitulah ampuhnya kuasa sistem demokrasi. Justeru, apa yang barangkali perlu menjadi renungan kita ialah apa yang sebenarnya kita mahukan?

Sesungguhnya banyak pengajaran dan teladan yang boleh diperoleh daripada insiden politik yang berlaku di Perak untuk kita renungi bersama. Demokrasi boleh membawa pelbagai perubahan kepada kehidupan politik rakyat. Demokrasi boleh mengubah kerajaan dan lanskap politik sesebuah negara.

Kerajaan yang lemah dan tidak berpengalaman boleh saja diizinkan wujud oleh demokrasi. Kerajaan yang lemah dan rapuh ini juga boleh diizinkan jatuh dan ditumbangkan oleh demokrasi. Parti yang berpengalaman dan berkeupayaan memerintah boleh saja diketepikan. Namun, demokrasi juga berupaya mengembalikan kuasa kepada parti yang berpengalaman dan berkeupayaan untuk memerintah jika sekiranya demokrasi mahu ini berlaku. Begitulah hebatnya demokrasi. Demikianlah perubahan yang boleh dilakukan oleh demokrasi. Maka berlapang dadalah dengan apa yang berlaku dan dibolehkan berlaku dalam demokrasi kalau kita masih lagi mempercayai bahawa demokrasi adalah suatu sistem pemerintahan yang kita junjung tinggi.Mana-mana kerajaan yang dibentuk dan mendapat kuasa menerusi proses demokrasi haruslah sentiasa menginsafi realiti yang ada pada demokrasi. Demokrasi boleh saja menghukum sesiapa saja yang alpa kepada lunas dan prinsipnya.

Fikir-fikirkan lah….
Petikan daripada Berita Harian:6 Februari 2009

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: