Sahabat MANTAP

:: Memantapkan Minda Nasional ::

MENCARI MAKNA DIRI MELAYU

Posted by Sahabat MANTAP di Jumaat, 6 Februari 2009

Oleh: Anak Kecil Dari Gunung

Isu Ketuanan Melayu, Keunggulan Melayu, Martabat Orang Melayu dan yang bersinonim dengannya nampaknya menjadi isu malar yang terus menerus diperkatakan, diperdebatkan, dipolemikkan dan dipolitikkan. Ini tidak dimaksudkan untuk ikut terjebak dalam kesahihan konsep “ KETUANAN” yang merujuk kepada hegemoni atau penguasaan tetapi lebih bermaksud untuk menelusuri keunggulan Melayu sebagai bangsa besar atau mahawangsa dirantau yang dikenali sebagai kepulauan Melayu.

Secara langsung, apabila Melayu menjadi teras kewujudan entiti sebuah wilayah penting, iaitu Kepulauan Melayu yang menjadi rebutan Penjajah Barat dalam tempoh ratusan tahun, maka negara Malaysia yang menjadi bahagian integral dunia Melayu, berkaitan rapat dengan hakikat Melayu sebagai bangsa teras di negara ini.

Hakikat itu bukan sesuatu yang diada-adakan apabila kita mengingat bahawa nenek moyang bangsa Melayu yang dinamai ahli antropologi dan linguistik sejarah sebagai Austronesia atau Melayu Polinesia yang sudah menghuni sejak zaman prasejarah lagi, puluhan ribu tahun yang lampau. Bangsa Melayu sebagai anggota rumpun bangsa besar Austronesia itu pula telah melalui sejarah di kepulauan Melayu tidak kurang daripada dua alaf. Tentulah dalam tempoh yang panjang itu telah berlangsung pertumbuhan dan perkembangan tamadun yang kini diwarisi bangsa Melayu sezaman. Apabila Dasar Kebudayaan Kebangsaan dirumuskan pada tahun 1971, maka salah satu asasnya ialah kebudayaan asal rantau ini, yang sebenarnya merujuk kepada kebudayaan Melayu.

Oleh itu, gerakan atau perjuangan bangsa Melayu tidak harus diukur dari segi kebangkitan nasionalisme dalam bentuk perjuangan menentang penjajah pada zaman moden semata-mata. Oleh hal yang demikian, titik tolak perjuangan bangsa Melayu tidak harus didasarkan pada peristiwa kedatangan penjajah barat yang menyebabkan kebangkitan nasionalisme, secara ketara bermula pada awal abad ke-20 dan kemudian berkembang dngan perjuangan menuntut kemerdekaan pada pertenghan abad ke-20 ( Indonesia pada 1945 dan Tanah Melayu pada 1957 ).

Gerakan mengukuhkan martabat bangsa Melayu bermula jauh lebih awal daripada itu, iaitu pada zaman bangkitnya tamadun Melayu itu sendiri pada sekitar abad ke-7 Masihi. Dengan membuka mata kita kepada hakikat bahawa gerakan perjuangan bangsa Melayu telah lama bangkit dan bukan disebabkan oleh faktor kedatangan orang barat semata-mata, maka baru akan lebih kukuh semangat dan gerak langkah kita untuk meneruskan perjuangan bangsa Melayu. Tambah pula, perjuangan dengan erti kata yang luas yang dilakukan oleh orang Melayu lebih menyeluruh dan bersepadu, bukan sekadar perjuangan yang berpangkat pada unsur perjuangan pembebasan politik sahaja.

Kelompok bangsa Melayu pada zaman kuno iaitu zaman sejarah dalam bentuk negeri dan negara yang berkerajaan. Kerajaan Campa ( dari abad ke-3 Masihi hinggah abad ke-14 masihi) dikatakan oleh ahli sejarah sebagai kerajaan Melayu tertua dibenua Asia. Ada beberapa kerajaan lain yang dimasukkan dalam senarai kerajaan Melayu awal, misalnya langkasuka di Segenting Kra ( abad ke-6 hingga ke-7 Masihi), Sriwijaya di Sumatera(abab ke-7 hingga ke-13 Masihi) dan Majapahit di Jawa (abad ke-10 hingga ke-14 Masihi).

Jelas bahawa keupayaan bangsa Melayu menubuhkan kerajaan yang menguasai negeri-negeri di sekitar Selat Melaka merupakan suatu bentuk perjuangan besar yang menjadi akar kewujudan sistem pemerintahan ditangan bangsa Melayu hingga kini. Demikian juga, penobatan bahasa Melayu sebagai bahasa pentadbiran kerajaan dan bahasa perdagangan pada waktu itu, sayugialah menginsafkan kita pada zaman ini bahawa kemajuan bangsa dan negara dalam bidang ekonomi harus beserta dengan kemajuan keperibadian bangsanya, dan tidak sewajarnya dilakukan pengorbanan mana-mana akar teras tamadun, termasuk bahasa-kononnya harga pembangunan dan kemajuan kebendaan.

Di seluruh kepulauan Melayu, muncul sekian banyak kesultanan Melayu yang lain. Di Semenanjung Tanah melayu sendiri, dikenali Kesultanan Melayu Kelantan, Terengganu, kedah,Perak, Pahang, Patani, Johor, Selangor dan Negeri Sembilan. Sebahagiannya merupakan kesinambungan kesultanan Melayu Melaka yang menaungi sekian banyak kerajaan Melayu di Tanah Melayu. Di Borneo, terdapat Kesultanan Melayu Brunei (diasaskan pada pertengahan abad ke-14 dan Kesultanan Melayu Kutai)

Dalam aspek kebudayaan, pada zaman kesultanan Melayu itulah berkembang dan mantapnya pelbagai sistem kehidupan, termasuk susun lapis masyarakat, adat istiadat, adat resam, system kekeluargaan dan perhubungan sosial, kesenian dan persuratan yang diwarisi sebahagiannya oleh bangsa Melayu hingga kini. Segala kekuatan yang dibina dan dimantapkan dalam zaman Kesultanan Melayu itulah yang menjadi asas citra kebudayaan rantau dan Melayu untuk tempoh ratusan tahun dan dalam konteks pembentukan kebudayaan kebangsaan sebagai asas jati diri Malaysia sebagai salah satu entiti rantau alam Melayu. Malahan penting sekali fakta dan hakikat ini di fahami semua rakyat, baik orang Melayu sendiri mahupun rakyat bukan Melayu.

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: