Sahabat MANTAP

:: Memantapkan Minda Nasional ::

BERSAMA PERTAHANKAN UMNO

Posted by Sahabat MANTAP di Isnin, 26 Mei 2008

Oleh: Adijagat (adijagat.wordpress.com)

 

UMNO bergolak lagi…….. Kegagalan mendapat 2/3 majoriti dan kehilangan 5 buah negeri dalam pilihanraya yang lepas merupakan satu tamparan yang paling besar pernah diterima oleh UMNO sepanjang sejarah penubuhannya selama 62 tahun ini selain dari tahun 1969. Belumpun selesai pucuk pimpinan UMNO menangani dan memulihkan keyakinan rakyat dan lebih lebih lagi ahlinya, UMNO diserang lagi dengan pelbagai kemelut yang cukup membimbangkan dan jika tidak ditangani dengan sempurna masa depan UMNO dan orang Melayu mungkin akan hancur.

 

Mungkin ada yang mengatakan kenyataan yang mendakwa bahawa masa depan orang Melayu terletak di tangan UMNO merupakan satu dakwaan yang melampau tetapi jika dilihat dari apa yang dinyatakan oleh pemimpin pemimpin parti politik yang ada di Malaysia ini jelas tidak ada parti politik selain dari UMNO yang memperjuangkan nasib orang Melayu. PAS kononnya memperjuangkan ISLAM. PKR telah menyatakan bahawa parti mereka bukanlah sebuah parti Melayu dan tentunya parti-parti politik yang lain tidak memperjuangkan Melayu malah ada yang memperjuangkan bangsa mereka sendiri termasuklah parti komponen Barisan Nasional.

 

Orang Melayu perlu bersatu dan sama-sama berjuang di dalam UMNO bagi memastikan Melayu terus maju dan nasib Melayu terus terbela di Malaysia ini. Tanggungjawab orang Melayu sebenarnya untuk berjuang dan memastikan UMNO terus relevan dan terus memperjuangkan Melayu kerana UMNO adalah parti orang  Melayu. Memang tidak dapat dinafikan adanya pemimpin UMNO yang sudah tidak memperjuangkan Melayu dan hanya memperjuangkan perut mereka sahaja. Memang banyak kesilapan dan kesalahan yang dilakukan oleh pemimpin UMNO. Tetapi ini bukanlah bermakna UMNO itu salah atau tidak relevan lagi.

 

Satu perbandingan yang menarik boleh dilakukan walaupun mungkin ramai yang tidak bersetuju dengan pandangan ini. Mana mungkin ISLAM salah dan tidak relevan walaupun ramai penganutnya yang tidak mengikut ajarannya.  Orang ISLAM semakin jauh dari ajaran ISLAM, ramai yang meminum arak, berzina, bergaduh, bermusuhan, tidak mengerjakan solat dan berbagai dosa yang tidak dibenarkan ISLAM malahan ramai ulama ISLAM yang mengajarkan sesuatu yang bertentangan dengan ISLAM itu sendiri tetapi ini bukanlah bererti ISLAM tu salah. ISLAM tidak pernah salah. Samalah keadaannya dengan UMNO. UMNO tidak salah yang salah adalah segelintir pemimpin UMNO dan segelintir ahli UMNO. Perlu ditegaskan bahawa saya tidak berniat untuk menyamakan parti UMNO dengan agama Islam

 

Hakikat yang pedih tetapi perlu diakui ialah ramai ahli dan pemimpin UMNO  tidak lagi memperjuangkan apa yang sepatutnya dan menjadi tanggungjawab seluruh ahli UMNO untuk memperbetulkan keadaan. Menjadi tanggungjawab seluruh ahli UMNO untuk memperkuat dan memperkukuhkan UMNO. Keputusan PRU 12 yang baru lepas masih penting untuk dibincangkan dan jelas menunjukkan sokongan rakyat termasuk orang Melayu terhadap UMNO telah terhakis. Malah ada statistik yang menunjukkan ahli UMNO sendiri tidak mengundi UMNO/BN pada PRU 12. Batu Caves contohnya, BN mendapat hanya 7376 undi sedangkan ahli UMNO adalah seramai 8047 dan undi rosak 320, mana hilangnya 351 undi lagi?

 

Kenapa ahli UMNO sendiri tidak menyokong atau mengundi calonnya dalam pilihanraya yang lepas? Mungkin mereka kecewa dengan beberapa perkara didalam parti tetapi tindakan mereka sebenarnya telah menjadi senjata makan tuan. Tindakan mereka telah menjadikan mereka sebagai pembangkang yang selama ini mereka rasakan perkara yang mustahil berlaku. Kata kata ‘satu undi menentukan kerajaan tidak lagi dihayati dan mereka menyesal; tetapi apa yang hendak dikesalkan lagi…… bak kata pepatah ‘sesal dahulu pendapatan sesal kemudian tidak berguna’. Nasi sudah menjadi bubur.

 

Apakah UMNO perlu perubahan secara revolusi? Apakah Presiden UMNO sekarang perlu ditentang dan dijatuhkan?

 

Sejarah telah menunjukkan apa yang akan berlaku sekiranya berlaku perlawanan dan perebutan presiden UMNO. Kali pertama pertandingan jawatan Presiden UMNO telah berlaku pada tahun 1951 dimana Ahmad Fuad Hassan telah menentang Tunku Abd Rahman Al-Haj tetapi kalah. Akibat dari kekalahan ini Ahmad Fuad dan penyokongnya yang kecewa telah keluar dari UMNO dan menubuhkan PAS. Ini merupakan perpecahan kedua di dalam UMNO selepas Datuk Onn Jaafar keluar dan menubuhkan parti Negara. Penubuhan PAS ini sebenarnya telah menyebabkan perpecahan Melayu dan kesannya merupakan satu malapetaka yang besar keatas perpaduan Melayu. Melayu mula berbeza pendapat bukan sahaja dari segi politik malah segi agama juga. Kejadian kafir mengkafir telah bermula dari peringkat awal penubuhan PAS dan salah satu dari alasan kumpulan Ahmad Fuad keluar dari UMNO adalah tidak bersetuju untuk meluluskan lesen arak. Pergeseran dan perselisihan ini semakin besar dan luas sehinggalah ke tahun 1969 apabila berlakunya PAS menyertai semula Barisan Nasional bagi membolehkan Barisan Nasional menubuhkan kerajaan.

 

Sekali lagi jawatan Presiden UMNO dicabar adalah pada 1996 dimana Tengku Razaleigh Hamzah telah menentang Tun Dr. Mahathir (ketika itu Dato’ Seri). Dalam pertandingan yang dikenali sebagai pertandingan antara ‘Team A’ dan ‘Team B’ itu telah menyaksikan Tun Dr. Mahathir menang hanya dengan kelebihan 43 undi sahaja. Kesan dari tindakan ini telah menyebabkan perpecahan UMNO sekali lagi dan perpecahan Melayu sekali lagi. Berikutan dari pertandingan yang sengit itu, beberapa orang ahli UMNO telah mengambil tindakan mahkamah apabila permohonan mereka kepada ibu pejabat UMNO tidak mendapat layanan. Tujuan mereka mengambil tindakan mahkamah adalah bagi mengisytiharkan pemilihan UMNO yang diadakan pada 1996 itu tidak sah dan satu pemilihan yang baru hendaklah diadakan. Permohonan mereka ini adalah berdasarkan terdapatnya 57 cawangan UMNO yang tidak sah mengikut perlembagaan UMNO tetapi telah menjalankan Mesyuarat perwakilan dan menghantar perwakilan ke Perhimpunan Agung UMNO.

 

Jika pemilihan semula dijalankan kemungkinan besar Tengku Razaleigh akan menang dan ini tidak disenangi oleh Tun Dr. Mahathir. Oleh yang demikian apabila Hakim Datuk Harun  Hashim memanggil defendan dan plaintif ke kamar hakim dan menyatakan jika pihak defenden menggunakan akta 4A, 4B dan 4C; Akta Pertubuhan, UMNO terpaksa diharamkan kerana terdapat 57 cawangan UMNO yang tidak memenuhi kehendak Akta Pertubuhan. Peguam Tun Dr. Mahathir, telah menyatakan bahawa itu adakah arahan dari anak guamnya supaya perkara 4A, 4B DAN 4C digunakan. Ini mengakibatkan UMNO diumumkan sebagai parti haram oleh hakim Datuk Harun Hashim.

 

Rayuan oleh Kumpulan 11 kepada mahkamah Rayuan telah mendapat perhatian dari Tun Salleh Abas, Ketua Hakim Negara ketika itu. Tun Salleh Abas telah menetapkan 9 orang hakim Mahkamah Rayuan untuk mendengar rayuan Kumpulan 11 dan merupakan korum penuh Mahkamah Rayuan tetapi Tun Salleh Abas sendiri telah dipecat dari jawatan Ketua Hakim Negara. Pemecatan yang tidak sepatutnya berlaku itu telah menyebabkan Tun Salleh Abas menganggotai Parti Semangat 46 dan bertanding pada pilihanraya Umum 1995 di Parlimen Lembah Pantai namun tewas. Kerajaan Malaysia juga telah membayar ex Gratia kepada Tun Salleh Abas diatas pemecatan beliau 11 tahun dahulu.

 

Sebenarnya ini merupakan muslihat Tun Dr. Mahathir bagi membolehkan beliau menjalankan penapisan terhadap sesiapa yang ingin menganggotai UMNO Baru apabila beliau menubuhkan sebuah parti baru yang dinamakan UMNO Baru. Tengku Razaleigh  telah disekat dari menyertai UMNO Baru dan Tun Dr. Mahathir mengatakan bahawa tiada tempat bagi Tengku Razaleigh dalam UMNO. Kerana tidak dapat berjuang di dalam UMNO Baru, Tengku Razaleigh menubuhkan parti Semangat 46. Ramai pemimpin berkelibar di dalam UMNO ketika itu telah tidak diterima menjadi ahli UMNO Baru dan mereka terpaksa menyertai Semangat 46 seperti Datuk Rais Yatim, Datuk Radzi Sheik Ahmad dan beberapa orang lain lagi. Mungkin apa yang dilakukan oleh Tun Dr. Mahathir ini adalah suatu yang gerakan yang hebat dari pandangan atau gerakan politik tetapi dari perpaduan Melayu itu sendiri jelas tersasar dan Melayu berpecah belah. Tempoh  10 tahun merupakan satu tempoh yang lama sebenarnya untuk ‘kiambang kembali bertaut’ tetapi atas  semangat ingin  melihat Melayu gemilang di Malaysia ini parti Semangat 46 dibubarkan dan kembali bersatu dibawah payung parti keramat UMNO. Ini sebenarnya bukanlah mudah hendak dilakukan kerana orang ramai akan mempertikaikan kewibawaan pemimpin Semangat 46 dan ego mereka pasti tercalar. Sekali lagi topi harus diangkat buat Tengku Razaleigh dan pemimpin Semangat 46 yang sanggup menelan ego mereka dan kembali memperjuangkan nasib Melayu bersama UMNO.

 

Parti Semangat 46 yang telah bertanding di dalam pilihanraya pada tahun 1990 dan 1995 telah melihatkan banyak kerusi yang biasanya dimenangi oleh calon Melayu telah dimenangi oleh calon bukan Melayu. Ini menunjukkan pepecahan yang berlaku telah membawa keburukan kepada orang Melayu. Melayu ketika itu menjadi berpecahbelah di mana ada yang mengikut UMNO Baru dan ada yang menyertai Semangat 46. Parti PAS telah berjaya menawan Kelantan dengan bantuan parti Semangat 46 yang telah berkerjasama di dalam pilihanraya 1990 di bawah pakatan Angkatan Perpaduan Ummah (APU). Beberapa kerusi yang menjadi kerusi tradisi UMNO juga telah dimenangi oleh pembangkang ketika itu.

 

Jelas sebenarnya jika dilihat dari rentetan sejarah menunjukkan pemimpin Melayu tidak boleh bercakaran kerana apabila mereka bercakaran yang menerima akibat buruk dan berpecahbelah adalah orang Melayu. Orang Melayu akan menderita dan seterusnya hilang kuasa. Inilah yang akan berlaku jika ahli UMNO membenarkan berlakunya pertandingan pada Perhimpunan Agung UMNO yang akan datang ini. Setiap kali berlaku pertandingan diperingkat Presiden, ahli UMNO akan terpecah dua. Masalahnya adalah mereka tidak dapat bersatu kembali sebaik sahaja pemilihan tersebut selesai, selalunya mereka akan retak dan terus berpecah sama ada mereka menubuhkan parti lain atau mereka disekat dari menyertai parti UMNO seperti yang terjadi terhadap Tengku Razaleigh Hamzah dan konco konconya. Mungkin orang UMNO masih belum matang dalam berpolitik.

 

Pak Lah bukanlah maksum dan Pak Lah memang banyak kelemahan. Beliau telah mengakui bahawa beliau merupakan salah satu faktor kemerosotan prestasi Barisan Nasional dalam PRU 12 yang lepas tetapi mendesak beliau meletakkan jawatan sekarang atau mencabar beliau pada pemilihan UMNO yang akan datang bukanlah penyelesaiannya. Apakah tanpa Pak Lah rakyat akan terus menyokong UMNO dan Barisan Nasional? Apakah Pak Lah seorang sahaja yang harus memikul tanggungjawab ini? Sebenarnya banyak yang perlu dilakukan oleh seluruh ahli UMNO jika mahu kembali berkuasa dan terus memperjuangkan nasib orang Melayu.

 

Tun Dr. Mahathir pernah melalui situasi yang sama dengan Pak Lah sebenarnya pada 1997 yang lalu. Rakyat jelas menolak BN/UMNO yang dipimpin oleh Tun Dr. Mahathir. Rata rata rakyat tidak dapat menerima pemecatan DSAI dan pertuduhan yang dijatuhkan terhadapnya. Sama ada pertuduhan itu benar atau tidak bukanlah apa yang ingin dicoretkan disini tetapi yang lebih penting adalah peristiwa dan natijah dari peristiwa tersebut yang boleh kita ambil sebagai iktibar dan pengajaran yang sangat berguna.

 

Rakyat menolak UMNO/BN pimpinan Tun Dr. Mahathir ketika itu, ahli UMNO juga ramai yang tidak dapat menerima apa yang berlaku. Lebih ramai lagi rakyat yang keliru dengan situasi semasa. Atas hasutan beberapa orang pemimpin pembangkang dan mereka yang kecewa termasuklah orang yang tidak tahu berterima kasih seperti Hishamudin Rais yang telah dibenarkan balik dari England oleh Tun Dr Mahathir; demontrasi jalanan yang melaungkan reformasi telah berlangsung dan telah berlaku keganasan jalanan. Keadaan ketika itu memang gawat dan kecoh sehinggakan ada peniaga yang tidak berani untuk membuka premis perniagaan mereka dan negara juga kerugian.

 

Reformasi yang didalangi oleh DSAI dan pembangkang ini benar benar nampak berkesan sehingga ramai ahli UMNO yang tidak berani untuk bersuara dan seolah-olah seluruh rakyat Malaysia menyokong reformasi DSAI ketika itu. Tun Dr Mahathir telah dihina dan diburukkan dalam semua media reformasi dan pembangkang dan ketika itulah bermula perang siber di mana Tun Dr.                               Mahathir telah dipanggil sebagai Maha Zalim dan Maha Firaun. Tidak pernah di dalam sejarah mana mana pemimpin baik dalam kerajaan mahupun parti pembangkang digelar dengan gelaran seburuk itu. Peradaban Melayu dan timur yang selama ini di sanjung dengan begitu tinggi bagaikan diinjak injak.

 

Malah sasterawan Negara yang tidak mengenang budi Shahnon Ahmad telah menulis satu karya satira yang memaki mencarut dan memanggil Tun Dr Mahathir sebagai najis ketika itu dalam bukunya yang bertajuk ‘Shit’. Apakah yang hendak dikatakan kepada pemuda pemuda yang ganas dan kurang ajar ketika itu jika seorang sasterawan Negara yang sepatutnya matang dan tinggi peradabannya telah menulis sesuatu yang sangat menjijikkan…….

 

Pelbagai tekanan dan tentangan yang dihadapi oleh UMNO ketika itu dan pada PRU 10 banyak bilik gerakan UMNO yang tidak beroperasi dan ditutup. Berlaku sabotaj oleh orang orang UMNO sendiri di mana poster dan peralatan kempen pilihanraya yang telah dibuang dan dibakar. Orang UMNO tidak mahu berkempen untuk calon calon UMNO/BN dan pelbagai lagi. Hasilnya UMNO/BN hampir tewas di mana Terengganu telah terlepas ke tangan pembangkang dan di Kedah BN tidak mendapat 2/3 majoriti. Shahnon Ahmad yang pengotor dan pencarut itu pun menang di Sik, Kedah. Di Kelantan BN hanya menang 2 kerusi DUN sahaja dan 1 kerusi Parlimen. Pahang menyaksikan 8 pembangkang menang kerusi DUN. Di Selangor pula 2 orang kuat UMNO telah tumbang iaitu Datuk Aini Taib di Sungai Burong dan Fuad Hassan di Hulu Kelang.

 

Penolakan orang ramai terhadap kepimpinan Tun Dr. Mahathir berterusan sehingga selepas PRU 10 dan gerakan ganyang Mahathir terus menerus dilakukan. Apa yang dibuat oleh tun Dr Mahathir sentiasa sahaja dilihat negatif oleh orang yang menentangnya tetapi Tun Dr Mahathir bernasib baik kerana UMNO tetap kukuh dibelakang beliau walaupun ramai penganalisis politik menyatakan jika Tun Dr Mahathir terus menerajui UMNO di dalam PRU 11, UMNO/BN akan tewas. Tidak ada orang yang menuntut Tun Dr Mahathir meletakkan jawatan dan menuduh Tun Dr Mahathir bertanggungjawab penuh di atas prestasi UMNO/BN yang kurang baik dalam PRU 10. Jika orang UMNO ketika itu tuduh menuduh dan mendesak supaya kepimpinan ketika itu meletakkan jawatan, kemungkinan besar UMNO tidak akan mendapat kemenangan di dalam PRU 11 apatah lagi untuk mendapat kemenangan yang besar.

 

Mungkin ada yang berkata Tun Dr Mahathir telah berundur dan tidak lagi menerajui UMNO/BN ketika itu dan jika masih beliau yang menerajui UMNO/BN kemungkinan kemenangan tidak sebesar yang perolehi dahulu. Kemungkinan beberapa negeri akan terlepas ketangan pembangkang. Pengunduran Tun Dr Mahathir itu merupakan satu pengorbanan yang besar demi UMNO dan Melayu di mana bukanlah mudah untuk melepaskan jawatan sedangan kuasa berada di dalam genggaman. Memang benar dakwaan itu dan Tun Dr Mahathir telah melakukan pengorbanan yang sangat besar tetapi harus diingat beliau tidak mendapat tekanan dari mana mana pihak.

 

Desakan supaya Pak Lah meletakkan jawatan tidak akan membawa apa apa kebaikan kepada parti malah tindakan ini akan menyebabkan parti menjadi berpecahbelah dan menjadi lemah. Cerita rakyat yang menceritakan bagaimana seorang raja meminta putera putera baginda untuk mematahkan seberkas lidi jelas menunjukkan bagaimana jika lidi yang kecil dan rapuh kalau dikumpulkan dan diikat menjadi satu berkas yang besar dan kukuh tidak akan mudah untuk dipatahkan tetapi apabila ikatan dibuka dan berkas tersebut dirungkai misi untuk mematahkan lidi tersebut menjadi satu tugas yang sangat mudah sehingga putera bagainda yang masih kecil dapat melakukannya.

 

Lagu ‘Bangau Oh Bangau’ adalah penceritaan yang harus dijadikan tauladan yang sangat baik di mana jika kita menuding jari menuduh orang lain di atas sesuatu kesilapan atau kesalahan atau kekalahan tidak akan dapat menyelesaikan masalah tersebut. Bangau menyalahkan ikan, ikan menyalahkan rumput, rumput menyalahkan kerbau dan seterusnya begitu berulang ulang setiap individu yang ditanya akan menyalahkan orang lain akhirnya tiada masalah yang dapat diselesaikan. Jika ini berlaku didalam UMNO sedarlah bahawa UMNO tidak akan dapat memperkasakan dirinya kembali dan jika ini berlaku janganlah salahkan orang lain tetapi salahkanlah diri kita sendiri.

 

Tun Dr Mahathir sekali lagi mengejutkan orang ramai terutama ahli UMNO kerana mengumumkan keluar dari UMNO kerana tidak percaya dengan kepimpinan Pak Lah. Tidak cukup dengan itu beliau mengatakan bahawa hanya akan kembali menyertai UMNO apabila Pak Lah tidak lagi menjadi Presiden UMNO dan Perdana Menteri Malaysia malah beliau mengajak ahli UMNO yang lain mengikut jejaknya meninggalkan UMNO. Nasib baik Tun Dr Mahathir menyatakan jangan menyertai parti pembangkang dan beliau sendiri tidak akan menyertai pembangkang. Persoalannya adakah Tun Dr Mahathir keluar dari UMNO kerana telah lama berfikir mengenainya atau hanya kerana kejantanannya tercabar oleh seorang ahli PAS yang hadir di majlis yang cuma melakukan provokasi terhadapnya? Mungkin Tun Dr Mahathir tidak mengenali orang yang bertanya kepadanya itu tetapi sebagai seorang negarawan yang begitu luas pengalaman Tun Dr Mahathir tidak sepatutnya bertindak melulu begitu.

 

Namun ini bukanlah kali pertama seorang bekas Presiden UMNO keluar dari parti. Datuk Onn Jaafar, Presiden UMNO yang telah keluar dari UMNO dan menubuhkan parti Negara kerana cadangan beliau untuk membuka keahlian UMNO kepada bangsa bangsa lain tidak diterima. Presiden UMNO Kedua, Tunku Abdul Rahman Al Haj telah keluar dari UMNO semasa Tun Dr. Mahathir menjadi Presiden UMNO walaupun ada dua orang Presiden UMNO selepas beliau tetapi beliau tetap menjadi ahli UMNO. Cuma apabila Tun Dr Mahathir menjadi Presiden dan melakukan banyak kemungkaran yang memecahbelahkan Melayu, Tunku telah  mengumumkan untuk keluar dari UMNO. Mungkin Tun Dr Mahathir adalah punca Tunku keluar dari UMNO. Tun Hussein Onn juga telah keluar dari UMNO ketika Tun Dr Mahathir menjadi Presiden UMNO. Presiden UMNO yang tidak keluar dari UMNO hanyalah Tun Abdul Razak. Itupun kerana beliau telah meninggal dunia ketika masih menjadi Presiden UMNO. Mungkin jika beliau masih hidup ketika Tun Dr Mahathir menjadi Presiden beliau juga akan mengumumkan keluar dari UMNO kerana tidak dapat bertoleransi dengan tindakan tindakan Tun Dr. Mahathir. Jadi apa yang dilakukan oleh Tun Dr. Mahathir ini bukanlah sesuatu yang baru dan malah tidak sepatutnya mengejutkan orang ramai. Beliau bukan mencipta sejarah cuma mengikut sejarah. Kata orang hidup ini umpama boomerang kita akan dapat apa yang kita lontarkan kepada orang.

 

Perlu diingat bahawa Tun Dr Mahathir sendiri telah berkata bahawa pemimpin datang dan pergi tetapi UMNO tetap ada oleh itu peliharalah UMNO. Adakah tindakan Tun Dr Mahathir keluar dari UMNO boleh dikatakan satu tindakan memelihara UMNO atau satu tindakan yang menghancurkan UMNO? Adakah Tun Dr Mahathir sendiri tidak percaya dengan perjuangannya dahulu? Kenapa sebenarnya Tun Dr Mahathir keluar dari UMNO? Adakah benar beliau ingin melihat UMNO kembali kepada perjuangan asalnya? Perjuangan asal yang dimaksudkan oleh Tun Dr Mahathir adalah perjuangan UMNO zaman siapa? Zaman Dato’ Onn atau zaman Tunku atau zaman Tun Dr Mahathir sendiri? Kalau Tun Dr Mahathir menyatakan perjuangan UMNO seperti UMNO dibawah kepimpinan beliau, ramai orang yang menyatakan beliaulah sebenarnya dalang yang menjadikan UMNO ini sebuah parti yang korup. Zaman beliaulah orang UMNO dimandikan dengan kemewahan dan kekayaan. Zaman beliaulah politik wang mula bertapak dan berkembang mekar di dalam UMNO. Zaman beliaulah ramai pemimpin UMNO yang dilindungi perbuatan curang mereka.

 

Adakah benar bahawa Pak Lah merupakan seorang diktator dan UMNO dibawah beliau telah menjadi UMNO Sdn Bhd? Jika dilihat dari pandangan ahli parti dan penganalisa politik, ramai yang mengatakan bahawa corak kepimpinan Pak Lah lebih terbuka dari Tun Dr Mahathir. Stail kepimpinan Pak Lah yang dikatakan berbentuk demokratik dan bukannya autokratik ini juga dikatakan telah banyak mengundang kritikan secara terbuka orang ramai sehingga ada kritikan yang menjadi masalah kepada kerajaan dibawah Pak Lah. Ramai orang yang berkata jika Tun Dr Mahathir yang menjadi PM sekarang perkara seperti HINDRAF pasti tidak akan terjadi kerana Tun Dr Mahathir akan sekat sebelum perkara demontrasi yang tidak terkawal terjadi dan orang tidak berani kalau dengan Tun Dr Mahathir. Bermacam lagi yang dikatakan orang.

 

Hairannya adalah Tun Dr Mahathir mengatakan kerajaan sekarang lembik dan Pak Lah lembik tak berani untuk berhadapan dengan Singapura. Itu sebabnya jambatan Indah tidak diteruskan tetapi dalam masa yang sama beliau mengatakan Pak Lah diktator. Ini merupakan satu kenyataan yang amat mengelirukan.

 

Apapun yang paling penting adalah mengetahui kenapa BN boleh kalah teruk di dalam PRU 12 yang lepas. Walaupun ramai yang berkata BN masih menang dan berjaya menubuhkan kerajaan cuma BN tidak mendapat mandat 2/3 dan terlepas beberapa negeri sahaja. Ini bukan kali pertama BN berhadapan dengan masalah seperti ini. BN pernah kehilangan Pulau Pinang kepada parti Gerakan semasa Gerakan berada di luar BN, Sabah kepada PBS semasa PBS di luar BN sehingga memaksa UMNO ditubuhkan di Sabah. Kelantan dan Terengganu jatuh  kepada PAS. Jadi apa yang berlaku sekarang bukanlah buat kali pertama. Cuma kini bilangan negerinya bertambah sedikit kepada 5 negeri iaitu Kelantan yang sememangnya dibawah PAS, Pulau Pinang, Kedah, Perak dan Selangor. Kenyataan ini adalah benar dan tidak ada sesiapa yang boleh mempertikaikan kebenarannya tetapi jika tidak dilakukan sesuatu dengan segera BN/UMNO kemungkinan akan terus kehilangan lima negeri ini dan perlu diingat bahawa negeri negeri yang berjaya ditawan oleh pembangkang ini merupakan negeri negeri yang maju dan boleh menjana pendapatan sendiri tanpa bergantung sepenuhnya kepada kerajaan pusat. Ini menyebabkan usaha untuk menawan semula negeri negeri ini sedikit sukar dan harus mempunyai strategi yang dirancang secara teliti dan dilankasanakan secara sempurna.

 

Pertama sekali kenapa rakyat menolak BN/UMNO? Jika dilihat disekeliling Kuala Lumpur dibanyak tempat tertera perkataan ABU yang membawa makna ‘Asal Bukan UMNO’, ini jelaas menunjukkan kemarahan sebilangan rakyat sehinggakan mereka sanggup menerima apa juga parti asalkan bukan UMNO. Mungkin mereka lebih sedia untuk menerima Syaitan seperti yang pernah dinyatakan oleh tok guru nyanyuk PAS Nik Aziz satu ketika dahulu.  DAP menggunakan pendekatan yang menyatakan jika menyokong BN bermakna menyokong UMNO dan UMNO adalah parti perkauman Melayu, jadi jangan undi BN jika tidak mahu UMNO. HINDRAF secara terang terangan mengatakan mereka bukan menentang semua orang Melayu tetapi mereka menentang UMNO. Jelas jika kita kaji semua parti pembangkang menyerang UMNO di dalam PRU 12. Kenapa orang ramai boleh termakan dengan apa yang dinyatakan oleh pembangkang ini termasuklah orang Melayu?

 

Jawapannya sebenarnya berada dengan UMNO sendiri atau lebih tepat dengan pemimpin UMNO. UMNO dilihat bukan lagi memperjuangkan nasib orang Melayu. Pemimpin UMNO kaya raya, hidup mewah dan tidak pedulikan rakyat. Lihat saja kereta, rumah, harta dan cara hidup pemimpin UMNO semuanya hebat hebat belaka. Pemimpin UMNO pasti memiliki rumah banglo, kereta mewah dan pelbagai kemewahan duniawi sedangkan rakyat miskin dan merana. Harga petrol naik, harga barangan keperluan harian naik, yuran sekolah yang kononnya dimansuhkan sebenarnya semakin membebankan dan pelbagai lagi. Mana pemimpin UMNO yang benar benar mempertahankan rakyat? Khir Toyo yang dulu hitam sudah putih tapi rakyat masih bercawatkan ekor (kalau pepatah dahulu berbunyai begini:jong datang silih berganti anjing masih bercawatkan ekor)

 

Bercakap tentang Khir Toyo ini menarik juga kerana dia adalah salah satu factor kekalahan besar BN/UMNO kali ini. Anak Jawa ini merasakan dia sudah maju dan moden sehingga tidak peduli dengan sensitivi masyarakat lagi. Dia memberikan hadiah penyapu kepada kakitangannya dan sebagai balasan kakitangannya memberikan undi kepada parti pembangkang. Nanti kita akan bicarakan tentang Khir Toyo ini dengan lebih lanjut.

 

Orang ramai juga mempunyai perspektif yang silap terhadap orang UMNO dimana rata rata beranggapan orang UMNO sahaja yang mendapat pembelaan dari pemimpin UMNO dan mereka hidup dengan senang. Ini menyebabkan mereka menuduh UMNO sebagai sebuah parti yang mengamalkan kronisme dan menyebabkan mereka terus menolak UMNO serta mendakwa UMNO sebuah parti yang korup dan tidak berttanggungjawab. Tetapi keadaan sebenarnya adalah jauh berbeza…. Ramai orang UMNO yang hidup susah dan merempat . Mereka tetap bersama UMNO demi perjuangan Agam, Bangsa dan Tanahair. Orang orang UMNO yang hidup susah ini juga sebenarnya marah dan kecewa terhadap pemimpin UMNO yang rakus mengaut kekayaan. Bertambah kurang sokongan kepada BN/UMNO kerana ramai orang UMNO yang memberikan undi kepada pembangkang sebagai menunjukkan undi protes tetapi mereka yang mengundi pembangkang ini menyesal sendiri apabila keputusan pilihanraya yang begitu menyedihkan dan mereka tahu mereka menyumbang kepada kekalahan UMNO/BN ini. Apa yang boleh dikatakan lagi nasi sudah menjadi bubur.

 

Kepada pemimpin UMNO marilah kembali kepada asas perjuangan UMNO yang sebenarnya perjuangan yang tulus untuk menjulang AGAMA, BANGSA dan TANAHAIR yang tercinta ini. Kepada ahli UMNO janganlah kita menuding jari menyalahkan orang lain tetapi marilah kita bersama merapatkan barisan dan menguatkan kembali parti keramat kita ini. Sekarang adalah masa setiap orang UMNO perlu bersatu dan bergabung tenaga untuk membina semula kekuatan dan teruskan perjuangan untuk membela orang orang Melayu. Marilah kita bergabung tenaga untuk terus memulihkan UMNO dan memperkukuhkan UMNO. Percayalah jika kita ikhlas usaha kita akan diberkati ALLAH dan sesungguhnya kita perlu yakin bahawa UMNO adalah sebuah wadah perjuangan yang benar dalam menegakkan AGAMA, BANGSA DAN NEGARA.

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: