Sahabat MANTAP

:: Memantapkan Minda Nasional ::

Pendedahan Video Chua Soi Lek – Satu Permulaan

Posted by Sahabat MANTAP di Isnin, 7 Januari 2008

Oleh: Sang Tempur

Tidak dapat dinafikan pendedahan video lucah yang mengaitkan bekas Naib Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek @ Chua Kin Seng pada awal sambutan tahun baru 2008 telah memberi satu tamparan hebat buat parti Barisan Nasional (BN).

Tatkala bahang Pilihan Raya Umum Kali Ke-12 kian dekat terasa; tatkala jentera parti bersiap-sedia di medan tempur, tamparan yang diterima sudah tentu serba sedikit akan mengubah strategi operasi.

Kita boleh membuat andaian di sini bahawa mereka yang telah mengepalai bermula dari perancangan, penyediaan kelengkapan, sesi rakaman, suntingan sehinggalah kepada penyebaran video tersebut telah menyimpan sebuku perasaan sama ada bersikap dendam, tidak berpuas hati, perasaan tidak suka, cemburu, berasa kecewa, dengki, iri hati, marah, berniat untuk membunuh karaktor atau menjatuhkan reputasi seseorang atau ingin memenangi apa yang dimiliki oleh orang lain.

Mereka yang berperasaan sedemikian dan melakukan tindakan sedemikian rupa boleh terdiri daripada:

  1. Lingkungan Peribadi – kalangan keluarga atau saudara-mara sama ada dari pihak dirinya atau orang ketiga.

  2. Lingkungan Awam – rakan-rakan atau sahabat-handai, pihak yang memberi hutang, rakan-rakan perniagaan, kroni-kroni atau proksi-proksinya sama ada yang gagal memenangi projek-projek kementerian atau Parlimen atau yang tidak mendapat bayaran penuh hasil dari projek yang telah dibuat, atau mana-mana pihak atau orang perseorangan di bawah kawasan Parlimen dikuasai beliau.

  3. Lingkungan Politik Parti – sama ada ahli-ahli politik baik jawatankuasa mahupun ahli-ahli di dalam parti MCA sendiri atau dari mana-mana parti komponen dalam BN yang menjadi musuh politik atau mempunyai konflik dengan beliau, atau mereka yang mempunyai niat untuk menduduki satu-satu jawatan atau memiliki kawasan Parlimen kelak.

  4. Lingkungan Politik Parti Lawan – ahli-ahli politik bagi mana-mana parti lawan yang ingin menjatuhkan reputasi BN atau MCA dan seterusnya berniat memenangi kawasan Parlimen.

Jika kita menilai semula rentetan dari setiap peristiwa bermula dari suku ke-3 tahun 2007 sehinggalah mendekati ambang musim Pilihan Raya Umum, Perkara Ke-3 dan Ke-4 dari penyataan di atas adalah terlalu hampir untuk dikaitkan.

Memandangkan pertarungan sebenar adalah antara parti yang menguasai kerajaan dan rakyat dengan parti pembangkang yang menguasai media internet, komunikasi dan antarabangsa, maka tumpuan untuk mengenalpasti kesahihan Perkara Ke-4 perlu diutamakan jika BN ingin mengulangi kejayaan gemilangnya pada Pilihan Raya Umum Ke-11 yang lalu.

Apa yang menarik, penyebaran video Chua Soi Lek berlaku tatkala video skandal seks yang membabitkan Dato’ Seri Anwar Ibrahim (DSAI) berleluasa di persada internet yang sebelum ini tidak pernah didedahkan sebegitu.

Isu yang hangat buat masa ini juga berlaku ketika parti-parti lawan sedang sibuk menggerakkan agenda untuk memerangi kerajaan BN habis-habisan sempena menyambut kedatangan Pilihan Raya Umum. Hanya dua kali senario seperti ini berlaku iaitu kali pertamanya sebelum DSAI ditangkap pada 20 September 1998 dan berlanjutan sehinggalah Pilihan Raya Umum Ke-10 dan kali keduanya berlaku dalam tempoh DSAI telah pun dibebaskan dan dilihat juga akan berterusan sehinggalah Pilihan Raya Umum Ke-12 akan datang.

Sebelum itu, satu klip video yang dirakam pada tahun 2002 yang dikatakan mengandungi perbualan telefon antara seorang peguam terkemuka, Datuk V.K. Linggam dan seorang hakim kanan bagi mengatur pelantikan hakim-hakim telah mula didedahkan oleh DSAI pada September 2007.

Lalu episod demonstrasi subur kembali apabila didahului dengan drama perarakan dan demonstrasi yang dikepalai oleh Majlis Peguam Malaysia dan disertai kira-kira 1,000 orang peguam pada 26 September 2007 berhubung isu ini. Seterusnya, pelbagai lagi siri demonstrasi mula dianjurkan bertujuan untuk menyemarakkan kembali gelombang rakyat sepertimana yang pernah berlaku dari tahun 1998 hingga 1999.

Apabila tindakan tegas diambil oleh kerajaan dan polis ekoran dari tragedi buruk yang tercetus dalam demonstrasi Barisan Bertindak Hak-Hak Hindu (HINDRAF) pada 25 November 2007, kaedah demonstrasi parti-parti lawan mula dilihat semakin malap. Demonstrasi terakhir yang berjaya diadakan adalah pada 11 Disember 2007 yang telah dianjurkan oleh Gabungan Pilihan Raya Bersih & Adil (BERSIH) di laluan masuk bangunan Parlimen untuk membantah cadangan meminda Perlembagaan Persekutuan bagi melanjutkan had umur persaraan anggota-anggota Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dari usia 65 ke 66 tahun.

Kemalapan mereka hanya sementara apabila pada minggu terakhir tahun 2007 sehingga menjadi paparan media untuk beberapa hari bermula dari hari pertama Tahun Baru, mereka dikejutkan untuk bangkit semula berhubung isu penyebaran video lucah membabitkan seorang pemimpin politik. Ini bermakna, dua klip video yang mempunyai sasaran berbeza telah didedahkan sepanjang tempoh parti lawan melancarkan serangan terhadap kerajaan BN.

Terdapat dua persamaan di antara kedua-dua video klip yang didedahkan iaitu bagi mencetuskan satu fenomena dan kedua-duanya menunjukkan penglibatan jentera berkaitan kerajaan. Cuma apa yang membezakan, pendedahan video klip yang kedua masih tidak diketahui siapa dalangnya serta untuk apa dan fenomena apa yang ingin dicetuskan.

Jangan terkejut jika Pilihan Raya Umum kali ini akan menghidangkan fenomena yang lebih dahsyat berbanding dengan apa yang telah dilalui sewaktu Pilihan Raya Umum Ke-10 pada 30 November 1999 yang lalu. Semua pihak baik SPR mahupun Polis perlu lebih tegas dan bersedia untuk menguatkuasakan mana-mana peruntukan undang-undang agar segera mengambil tindakan di atas setiap perlakuan, tatacara atau kaedah yang digunakan oleh pihak-pihak yang bertanding yang didapati melanggar mana-mana disiplin, peraturan dan undang-undang sedia ada.

Mungkin pendedahan video lucah membabitkan bekas Naib Presiden MCA itu hanya sekadar ibarat ‘melancarkan ujian peluru berpandu’. Mungkin ini hanyalah permulaan kepada agenda serangan peribadi secara besar-besaran terhadap mana-mana pemimpin politik demi merebut seterusnya memenangi kawasan yang ditandingi.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: