Sahabat MANTAP

:: Memantapkan Minda Nasional ::

Kewajaran Untuk ‘Memerangi’ Pembangkang IV

Posted by Sahabat MANTAP di Selasa, 1 Januari 2008

Oleh: Sang Tempur

Komen: Siri IV ini adalah siri terakhir di bawah tajuk “Kewajaran Untuk ‘Memerangi’ Pembangkang” (sila baca artikel di bawah). Cukuplah 4 siri ini mendedahkan kita tentang ilmu yang masih belum kita ketahui buat pedoman bagi mengubah sikap dan pendirian kita terhadap pemerintah. Beruntunglah bagi mereka yang menyibukkan diri mencari kebenaran.

Bagi yang mengabaikannya dan saban hari sibuk mencari dan mendedahkan kesalahan orang lain, mereka tidak akan menemui walau sekelumit tentang kebenaran kerana mata, telinga dan hati mereka telah tertutup untuk itu. Lalu Allah s.w.t mengutuk mereka ini dalam Surah Al-A’raf: 179,

“Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk neraka jahanam banyak dari jin dan manusia yang mempunyai hati (tetapi) tidak mahu memahami dengannya, dan yang mempunyai mata (tetapi) tidak mahu melihat dengannya dan yang mempunyai telinga (tetapi) tidak mahu mendengar dengannya (ajaran dan nasihat); mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi; mereka itulah orang-orang yang lalai.”

Apabila dikatakan kepada mereka bahawa demonstrasi boleh mengundang keganasan, maka inilah contoh jawapan mereka seperti yang dipetik dari ruangan komentar di bawah tajuk Siri II, “Gunakan otak yang Allah bagi. Ini negara berlandaskan demokrasi; hak rakyat untuk menentukan siapa pilihan mereka. Mana ada perhimpunan ganas. Celik mata luas-luas siapa yang ganas…”

Perbandingan perlakuan orang-orang seperti ini telah dijelaskan oleh Allah s.w.t. sebagaimana firman-Nya dalam Surah Al-Baqarah: 11-13,

“Dan apabila dikatakan kepada mereka: “Janganlah kamu membuat bencana dan kerosakan di muka bumi”, mereka menjawab: ” Sesungguhnya kami orang-orang yang hanya membuat kebaikan.””

“Ketahuilah! Bahawa sesungguhnya mereka itulah orang-orang yang sebenar-benarnya membuat bencana dan kerosakan, tetapi mereka tidak menyedarinya.”

“Dan apabila dikatakan kepada mereka: “Berimanlah kamu sebagaimana orang-orang itu telah beriman”. Mereka menjawab: “Patutkah kami ini beriman sebagaimana berimannya orang-orang bodoh itu?” Ketahuilah! Sesungguhnya merekalah orang-orang yang bodoh, tetapi mereka tidak mengetahui (hakikat yang sebenarnya).”

Sesungguhnya ayat-ayat yang menerangkan kebenaran telah sampai kepada kita. Maka adalah menjadi tugas kita untuk terus berpegang, mempraktikkan seterusnya menyampaikan apa-apa yang telah kita ketahui. Kita tidak mampu untuk memberi hidayah kepada sesiapa jua kerana Allah jualah yang berhak menurunkan hidayah kepada sesiapa jua yang dikehendakinya. Allah s.w.t. berfirman,

“(Katakanlah wahai Muhammad): “Sesungguhnya telah datang kepada kamu keterangan-keterangan (dalil-dalil dan bukti) dari Tuhan kamu; oleh itu sesiapa melihat (kebenaran itu serta menerimanya) maka faedahnya terpulang kepada dirinya sendiri, dan sesiapa buta (dan enggan menerimanya) maka bahayanya tertimpalah ke atas dirinya sendiri. Dan tiadalah aku berkewajipan menjaga dan mengawasi kamu.”” (Surah Al-An’am: 104).

“Dan sesiapa yang menentang (ajaran) Rasulullah sesudah terang nyata kepadanya kebenaran pertunjuk (yang dibawanya), dan ia pula mengikut jalan yang lain dari jalan orang-orang yang beriman, Kami akan memberikannya kuasa untuk melakukan (kesesatan) yang dipilihnya, dan (pada hari akhirat kelak) Kami akan memasukkannya ke dalam neraka jahanam; dan neraka jahanam itu adalah seburuk-buruk tempat kembali.” (Surah An-Nisa’: 115)

“Sesungguhnya orang-orang yang telah berbalik kepada keingkaran mereka sesudah terang nyata kepada mereka kebenaran petunjuk (yang dikemukakan kepadanya), Syaitanlah yang memperdayakan mereka (berlaku demikian), serta memanjangkan angan-angan mereka.” (Surah Muhammad: 25).

Menyusuri Sirah Silam

Adalah menjadi landasan perjuangan salafiyyun untuk memahami Al-Quran dan Sunnah dengan pemahaman Salaf As-Soleh.

‘Manhaj’ secara bahasa bererti “jalan”, adapun ‘Salaf As-Soleh’ bererti “Pendahulu Yang Soleh”. Secara epistemologi syara’, manhaj Salaf As-Soleh bererti jalan atau metode pemahaman Islam yang ditempuh oleh generasi terbaik yang dipimpin oleh Rasulullah s.a.w., Sahabat, tabi’in, dan tabi’it-tabi’in atau sampai generasi ketiga sesuai dengan sabda Nabi yang ertinya,

“Sebaik-baik manusia yang berada pada abadku kemudian generasi berikutnya sampai terdapat kaum-kaum di mana syahadat mereka mendahului sumpahnya dan sumpahnya mendahului syahadatnya.” (Hadis Riwayat Bukhari, Muslim, dan Ahmad).

Hal ini juga berdasarkan Al-Quran yang menekankan kepada kita untuk mengikuti generasi terbaik iaitu para Sahabat dalam banyak ayat seperti Surah Ali Imran: 110, An-Nisaa’: 115, At-Taubah: 100 dan lain-lain kerana pemahaman mereka terhadap Islam paling selamat, seperti yang diungkapkan oleh Imam Al-Laalikaa’i yang ertinya,

“Sesungguhnya hal yang paling wajib atas seseorang adalah makrifat terhadap Ad-Deen dan apa-apa yang Allah bebankan kepada hamba-hamba-Nya berupa pemahaman tauhid terhadap-Nya, sifat-sifat-Nya, dan membenarkan utusan-utusan-Nya dengan dalil keyakinan, dengan cara istidlal dengan hujah dan penjelasan. Dan sebaik-baik ucapan dan hujah yang rasional adalah Al-Quran dan sabda Rasulullah serta perkataan para Sahabat, kemudian ijma’ para Salaf As-Soleh dan berpegang teguh terhadap keseluruhannya sampai hari kiamat serta manjauhi berbagai bid’ah yang diada-adakan oleh para penyesat, sekalipun hanya mendengarkannya.” (Syarah Ushul I’tiqad Ahli Sunnah wal Jamaah, oleh al-Laalikaa’i, juz I, hlm. 9).

Satu perkara yang menarik yang tidak pernah sunyi dari dunia Islam adalah fenomena kepimpinan yang zalim. Kadang-kadang orang berkata pemimpin zaman dulu lain dan pemimpin zaman sekarang lain. Pemimpin dulu wara’ dan bertaqwa, pemimpin sekarang mahazalim dan mahafir’aun.

Maka kita katakan kepada mereka bahawa tanggapan anda ini adalah tidak benar. Begitu ramai pemimpin dahulu yang jauh lebih zalim dari pemimpin sekarang. Sebab itu kita kata, tidak ada sebab untuk kita membelakangi petunjuk para Salaf As-Soleh dalam menghadapi pemerintah.

Mereka yang telah meneliti ayat-ayat Al-Quran dan hadis-hadis lalu telah mengambil satu sikap tertentu kepada pemerintah. Kita pula hari ini berhadapan dengan pemerintah dengan perangai yang sama. Ayat-ayat Al-Quran dan hadis-hadis yang sama jugalah wujud di hadapan kita. Pedoman Salaf As-Soleh pula menjadi panduan kepada kita. Maka, atas dasar apa kita tidak mahu menuruti mereka?

Kita akan huraikan beberapa contoh para ulama’ salaf dalam menghadapi pemerintah.

Lebih kurang 90 tahun selepas kewafatan Nabi s.a.w., maka kerajaan ‘Abasiyyah mengambil alih takhta dari kerajaan Bani Umaiyah. Pemimpin pertama mereka adalah Abul ‘abbas As-Saffah. Gelaran ‘As-Saffah’ bermaksud ‘Si Penumpah Darah’. Sejarah menyebut bahawa ribuan orang Islam dibunuh oleh As-Saffah dari kalangan Bani Umaiyah. Begitu sekali kuku besi dan kekejaman pemerintah ini.

Pada zaman yang sama, beberapa ulama’ besar Islam telah menyaksikan perkara ini. Mereka termasuk Imam Malik ibn Anas, Imam Al-Awza’ii, Imam Al-Layth ibn Sa’ad dan Imam Sufyan Ath-Thawriiy. Mereka ini adalah pakar-pakar dalam bidang hadis dan fiqh pada zaman tersebut.

Beberapa pemberontakan telah dijalankan untuk cuba mengambilalih kuasa. Dalam suasana tersebut, tidak pernah diriwayatkan langsung bahawa Imam Malik ibn Anas dan lain-lainnya bergabung dengan puak pemberontak ini atau berkhutbah di atas mimbar mengkritik pemerintah. Malahan mereka memilih untuk menasihati pemerintah secara berhadapan sebagaimana tindakan Imam Al-Awza’ii.

Abu Abbas As-Saffah setelah beberapa tahun memegang tampuk pemerintahan telah meninggal dunia pada tahun 136H. Peristiwa ini berlaku 14 tahun sebelum kelahiran Imam Ash-Shafi’e.

Inilah dia ajaran Salaf As-Soleh yang berdalil yang lebih senang untuk diikuti.

Fukaha Baghdad pernah menemui Imam Ahmad bin Hanbal ketika Baghdad di bawah pemerintahan Al-Wasiq untuk meyuarakan kebimbangan tentang fitnah besar yang melanda umat. Pemerintah menyokong dan menyebarkan fahaman bahawa Al-Quran adalah makhluk (dan bukan Kalamullah sebagaimana yang kita imani). Mereka tidak redha terhadap kepimpinan Al-Wasiq.

Setelah selesai berbincang, Imam Ahmad berpendapat,

“Wajib bagi kamu untuk mengingkarinya dengan hati, janganlah keluar dari ketaatan kepadanya, jangan memecah-belah barisan muslimin dan jangan menumpahkan darah kaum muslimin. Fikirkanlah akhir dari perkara ini, bersabarlah sehingga orang yang baik boleh tenang dan orang-orang jahat berhenti melakukan hal itu. Keluar dari ketaatan adalah tidak benar dan menyalahi sunnah.” (Al-Adab As-Syariyah; Ibnu Muflih).

Dari Ibnu Umar r.a. berkata, Rasulullah s.a.w. bersabda, “Wajib bagi seorang Muslim untuk taat dalam hal-hal yang dia suka ataupun yang ia benci kecuali kalau diperintah untuk berbuat maksiat maka tidak boleh mendengar dan taat.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim).

Dari Auf bin Malik r.a. berkata, Rasulullah s.a.w. bersabda, “Ketahuilah, barangsiapa yang di bawah seorang wali/pemimpin dan ia melihat padanya ada kemaksiatan kepada Allah, maka hendaklah ia membenci kemaksiatannya. Akan tetapi janganlah (hal ini menyebabkan) melepaskan ketaatan kepadanya.” (Hadis Riwayat Muslim dalam Sahihnya).

Ibnu Abi Asim menyatakan, telah bercerita kepada kami Hadiyyah bin Abdil Wahhab, telah menceritakan kepada kami Al-Fadl bin Musa, beliau menceritakan kepada kami dari Hussain bin Waqid, dari Qais bin Waham dari Anas bin Malik dia berkata,

“Para pembesar kami dari kalangan Sahabat Rasulullah s.a.w. telah melarang kami tentang beberapa hal:

  1. Jangan mencela (menghina) pemerintah (penguasa)
  2. Jangan berbohong dengannya; dan
  3. Jangan menentangnya tapi bersabarlah, serta takutlah kamu kepada Allah, maka sesungguhnya perkara-Nya itu dekat.”

(As Sunnah, Ibnu Abi Asim) 

Dari Jalur Yahya bin Yaman, Sufyan telah menceritakan kepada kami dari Qais bin Wahab dari Anas bin Malik r.a. dia berkata, “Para pembesar dari kalangan sahabat rasulullah SAW telah melarang kami mencela/menghina penguasa (pemerintah).” (Riwayat Ibnu Abdil Barr).

Ali bin Abi Talib r.a. berkata, “Tidak akan mampu memperbaiki keadaan manusia kecuali penguasa, sama ada penguasa yang baik atau yang jahat. Orang-orang bertanya kepadanya, Wahai Amirul Mukminin! Jika penguasa itu baik, ini wajar ditaati, tetapi bagaimana dengan penguasa yang jahat? Ali berkata, sesungguhnya Allah menjaga keamanan suatu daerah melalui perantara penguasa walaupun ia jahat.” (Riwayat Al-Baihaqi).

Berkata Ibnu Abi Hatim rahimahullah, Ayahku telah menceritakan kepadaku, Amr bin Ali As-Sairafi telah menceritakan bahawa Abdu Rabbuh bin Bariq Al-Hanafi telah menceritakan bahawa Simak bin Al-Walid Al-Hanafi berjumpa Ibnu Abbas di Madinah, beliau berkata kepadanya,

“Bagaimana menghadapai sikap penguasa yang telah menzalimi kita, mencela kita dan merampas sadaqah kita, bukankah kita harus mencegah mereka? Ibnu Abbas menjawab, Jangan! Biarkanlah mereka wahai Hanafi! Lalu beliau menambah, Wahai Hanafi! al-Jamaah, al-Jamaah (peliharalah penyatuan di bawah pemimpin) sebab hancurnya umat dahulu kerana perpecahan, apakah kamu tidak mendengar firman Allah,

“Dan berpeganglah kamu semua kepada tali (agama) Allah dan janganlah kamu bercerai-berai.” (Tafsir Ibnu Hatim).

At-Tabrizi meriwayatkan dari Ka’ab al-Ahbar beliau berkata, “Penguasa adalah naungan Allah yang ada di muka bumi, apabila dia melakukan ketaatan kepada Allah, dia akan mendapat pahala dan kamu harus bersyukur. Apabila dia melakukan kemaksiatan kepada Allah, maka dia akan mendapat dosa dan kamu harus bersabar. Janganlah cinta kepada penguasa membuat kamu terjerumus ke dalam kemaksiatan, dan kebencian kamu kepadanya membuat kamu keluar dari ketaatan kepadanya.” (Nasihah li-Raii war-Raiiyah).

Sabda Rasulullah s.a.w., “tidak rosak sesuatu kaum selepas memperolehi petunjuk melainkan setelah mereka suka bermujadalah.” (Hadis Riwayat Tarmizi & Ibnu Majah).

Kalau kebenaraan yang kita cari, itu namanya muzakarah tetapi kalau sebaliknya, itu mujadalah namanya.

Sumber: jurnal.biz

Topik berkaitan:

Advertisements

2 Respons to “Kewajaran Untuk ‘Memerangi’ Pembangkang IV”

  1. abdillah said

    Rasulullah sallallahu alaihi wa-sallam bersabda: “Sesungguhnya manusia itu apabila mereka melihat kezaliman dan mereka tidak mencegah dengan tangannya, maka dibimbangkan Allah akan menyiksa mereka keseluruhannya”.

    Berkata Ibn Abil ‘Izzii rahimahullah: “Sesungguhnya al-Quran dan as-Sunnah telah menunjukkan atas kewajipan menasihati pemerintah dan seterusnya taat kepada pemerintah selama dia tidak memerintahkan agar melakukan kemaksiatan”.

    Firman Allah Azza wa-Jalla: ” Wahai orang-orang yang beriman ! Taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan juga kepada ‘ ulil amri ‘ (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu, kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) di dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikan kepada (kitab) Allah (alQuran) dan (sunnah) RasulNya, yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya.” An-Nisa, 4:59.

    Semua nas di atas menyeru umat Islam menasihati pemerintah atau pemimpin. Tidak dibenarkan menentang mereka, tetapi diperintah agar mendoakan mereka. Ibnu Nahhas berkata:
    Dalam masalah menegur penguasa (pemimpin), pendapat yang benar ialah melakukannya secara individu, bukan di hadapan publik. Bahkan amat baik jika tegurannya secara rahsia atau menasihatinya dengan cara sembunyi-sembunyi, tanpa ada pihak yang ketiga. (Tanbih al-Gafilin an-Amalil Jahilin wa-Tazirus Salikin Min Afalil Halikin. Hlm. 64)

    HARAM menubuhkan pemerintahan dalam sebuah negara Islam yang telah ada pemerintah dan ketua negara yang sah. Malah sesiapa yang menentang pemerintah yang sah (jadi pembangkang) yang telah dipilih oleh rakyat, kemudian memimpin rakyat untuk memprotes secara yang tidak sihat dan memfitnah penguasa (kerajaan) tanpa ada bukti, maka mereka dikategorikan sebagai Khawarij oleh para ulama Salaf, kerana perbuatan mereka bertentangan dengan nas-nas al-Quran, as-Sunnah, athar dan fatwa-fatwa para ulama muktabar yang mengharamkan perbuatan sedemikian.

    Telah berkata Muhammad bin al-Hussin al-Ajuri rahimahumullah (sebagai peringatan kepada golongan Khawarij): ” Khawarij adalah golongan yang menentang kepimpinan orang Islam sebagaimana yang terjadi terhadap kepimpinan Ali radiallahu ‘anhu. Cara mereka menentang dengan melaung-laungkan slogan yang bermaksud: “Tidak ada hukum kecuali dari Allah” (Slogan ini samalah dengan apa yang dilaungkan oleh parti-parti pembangkang di beberapa negara Islam. Mereka mengkafirkan sesiapa sahaja yang tidak bersama parti mereka, tidak berjuang bersama mereka dan tidak berhukum dengan hukum Allah.)

    Berkata Ali radiallahu ‘anhu untuk menentang dan membatalkan diayah yang dilaungkan oleh Khawarij maka beliau berkata:

    “Kalimah yang hak tetapi yang mereka inginkan dari laungannya ialah kebatilan (kehancuran pemerintah)”. Fahaman Khawarij telah digerakkan semula oleh golongan fanatisime dengan nama dan istilah ” Pejuang Tauhid Hakimiyah ” iaitu mentauhidkan hukum, atau mengkafirkan secara mutlak sesiapa yang tidak berhukum dengan hukum Allah. Golongan ini telah bergerak di negara-negara Islam termasuk di Malaysia.

    Mereka menghidupkan fahaman Tauhid Hakimiyah di setiap tempat yang dapat menerima fahaman ini. Kebiasaannya berselindung di sebalik parti politik. Ruang untuk mereka bergerak terbuka luas kerana kebanyakan negara-negara Islam yang mengamalkan dasar politik demokrasi mengizinkan sesiapapun dari rakyatnya menubuhkan parti politik yang baru.

    Mungkin amat menakutkan apabila kita mengetahui bahawa Khawarij disebut dan digelar sebagai anjing neraka oleh Nabi Mhammad sallallahu alaihi wa-sallam. Disuatu kejadian, diriwayatkan oleh Said bin Jamhan, beliau berkata:

    Aku mendatangi Abdullah bin Aufa (seorang buta), lalu aku memberi salam kepadanya. Beliau bertanya, siapa kamu? Aku menjawab: Said bin Jamhan. Beliau bertanya. Apa yang dilakukan oleh orang tuamu? Aku menjawab: Dibunuh oleh kaum Azariqah. Beliau berkata: Semoga Allah melaknat orang-orang Azariqah kerana Rasulullah sallallahu alaihi wa-sallam bersabda:

    ” Sesungguhnya mereka adalah anjing-anjing neraka. ”

    Aku bertanya, apakah itu khusus pada orang-orang Azariqah atau untuk orang-orang Khawarij seluruhnya? Beliau menjawab: “Orang-orang Khawarij seluruhnya. “(Hadis Riwayat Imam Ahmad 4/382. Dan Ibnu Abu Asim 905, dari jalan al-Hasyraj bin Nabatah. Menurut Syekh Nasruddin al-Albani sanadnya Hasan)

    Imam Ahmad rahimahullah menguatkan lagi riwayat hadis di atas, iaitu agar tidak mencela penguasa dan tidak meniru sifat-sifat Khawarij:

    Aku (Ibnu Jamhan) berkata: ” Sultan berlaku zalim kepada manusia dan menindas mereka.” Dia berkata: Lalu dia (Abdullah bin Aufa) memeluk tanganku dan menariknya dengan kuat, kemudian berkata: “Celaka kamu wahai Ibnu Jamhan! Kamu wajib mengikuti sawadul azam (beliau mengulangi dua kali), jika Sultan mahu mendengar darimu maka datanglah ke rumahnya dan beritahu yang kamu ketahui (menasihatinya), jika dia menerimanya maka itu baik, tetapi jika ia tidak menerimanya maka tinggalkanlah. Kamu tidak lebih tahu darinya”.(H/R Imam Ahmad 4/382. Dan Ibnu Abu Asim 905, dari jalan al-Hasyraj bin Nabatah. Menurut Syekh Nasruddin al-Albani sanadnya Hasan)

    HARAM MEMBANGKANG
    Islam mewajibkan umatnya bersatu dalam satu pemerintahan dan mengharamkan perpecahan. Tidak dihalalkan membangkang pemimpin sebuah negara yang dipimpin oleh orang Islam sebagaimana yang dilakukan oleh hizib Khawarij dan Mu’tazilah. Ibnul Abil Izz radiallahu anhu berkata: ” Diwajibkan taat kepada pemerintah walau mereka zalim dan melampaui batas, kerana sikap membangkang menimbulkan kerosakan yang berganda jika dibandingkan kezaliman pemerintah itu sendiri, bahkan di dalam kesabaran ada ganjaran yang boleh menghapuskan dosa serta menggandakan pahala”. (Muamalatul Hukkam fi-Dhauil Kitab wa-Sunnah. Hlm.155. Abdus Salam bin Bajris bin Nasir Ali Abdul Karim. Cetakan Kelima l996M-1417H)

    Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam bersabda: ” Sesiapa yang datang kepada kamu sedangkan kamu bersatu di tangan seorang pemimpin, dan orang yang datang tersebut ingin menggugurkan ketaatan kamu dan ingin memecah-belahkan kamu, maka bunuhlah dia”.
    (Hadis Riwayat Muslim. No. 1856)

    PERHATIAN : Masyarakat Islam yang hidup dalam sebuah negara Islam, tidak ada dua (2) pemimpin. Justeru itu, tidak ada parti pembangkang, yang ada hanyalah orang-orang yang mulia iaitu para alim ulama yang sudi menasihati penguasa atau pemimpin.

    CONTOH: Di zaman para khalifah Islam, tidak tercatit dalam sirah atau sejarah Islam adanya pembangkang tetapi yang wujud diketika itu ialah ” golongan Khawarij ” yang suka melakukan huru-hara dan kerosakan dalam menentang pemerintah Islam.

    Di zaman sekarang, dalam kontek SISTEM DEMOKRASI, tentulah yang layak jadi parti pembangkang hanyalah dari kalangan orang-orang kafir, bukan orang-orang Islam, kerana orang Islam diharamkan melawan penguasa atau pemimpin Islam yang dipilih secara sah.

    Orang beriman, berilmu dan bertakwa tidak mudah dipengaruhi oleh diayah yang bertentangan dengan al-Quran dan Sunnah walaupun dari mulut seorang yang mengaku sebagai ulama. Kerana ditakuti datangnya dari firqah Khawarij yang menyebabkan berlakunya bid’ah. Syara’ mengharamkan orang beriman dari menyerupai sikap dan akidah golongan Khawarij.

    Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam telah menjelaskan sifat-sifat Khawarij, antara sifat-sifat dan sikap mereka: Ibadah dan solatnya kelihatan lebih hebat dari ibadah para sahabat. Namun mereka terkeluar dari millah Islamiyah kerana menghukum kafir, menghukum sesat, menghukum fasik serta mengutuk para pemimpin Islam.

    Khawarij menghalalkan darah dan harta kaum muslimin yang berada di luar kelompok mereka. Bagi mencapai objektif yang dirancang, mereka bekerjasama dengan sesiapa sahaja yang boleh menguntungkan golongannya. Seperti Syi’ah, Mu’tazilah dan kelompok-kelompok bid’ah yang lain. Sering menakut-nakutkan dengan pelbagai ugutan bahawa kaum muslimin akan masuk neraka jika menolak seruan, fahaman, kehendak atau tidak menyokong, bekerjasama dan masuk parti mereka. Khawarij pandai berpidato, lancar membaca ayat-ayat al-Quran, fasih membawakan hadis dan mudah memberi fatwa, tetapi menyelewengkan fakta dan makna nas-nas al-Quran dan hadis. Tujuannya untuk mempengaruhi orang-orang jahil, memenuhi kepentingan golongan atau hawa nafsu mereka. Rasulullah telah mengkhabarkan hal ini:
    ” Mereka membaca al-Quran, tetapi tidak melebihi kerongkong mereka (tidak sampai ke hati mereka)”. (H/R Bukhari. (3611). Muslim. (1066))

    Rasulullah telah menjelaskan tanda-tanda Khawarij: ” Mereka suka membunuh (menghancurkan) Ahli Islam (terutama pemimpin yang tidak berhukum dengan hukum Allah dan pengikutnya) tetapi mereka membiarkan ahli berhala (orang-orang yang benar-benar jelas kekafirannya)”. (Hadis Riwayat Bukhari. (3644). Muslim (1064).Sahih al-Jamek. 2227)

    ” Mereka keluar dari agama sebagaimana keluarnya anak panah dari sasarannya”. (Hadis Riwayat Ahmad (111/73). Bukhari (7432). Muslim (1064))

    Menurut hadis, golongan Khawarij akan sentiasa muncul dan akan terus muncul dengan ramainya terutama diakhir zaman. Sikap dan kejahatan mereka hanya diperasani oleh orang-orang yang berilmu, kerana Khawarij sentiasa berselindung disebalik ibadah dan kata-kata indah yang menakjubkan. Kenyataan ini telah dijelaskan oleh Rasulullah sallallahu alaihi wa-sallam dengan sabdanya:
    “Akan muncul diakhir zaman satu kaum yang muda belia umurnya tetapi singkat akalnya. Mereka meniru ucapan sebaik-baik manusia (Nabi Muhammad), namun imannya tidak melewati kerongkongannya, di mana sahaja kamu menemui mereka maka bunuhlah mereka, kerana sesungguhnya ada pahalanya di Hari Kiamat bagi orang yang membunuh mereka”. (Hadis Riwayat Bukhari (6930). Muslim (1066))

    Menurut Syeikhul Islam Ibn Taimiyah rahimahullah dalam menjelaskan tanda-tanda Khawarij:
    ” Tanda paling besar kesesatan Khawarij ialah keyakinan mereka berkenaan pemimpin yang dapat petunjuk (pemimpin yang beragama Islam tetapi dihukum kafir oleh mereka kerana tidak berhukum dengan hukum Allah) dan keyakinan mereka terhadap kaum muslimin yang semuanya mereka hukum sesat (kerana tidak di dalam kelompok mereka) ….. Mereka juga mengkategorikan apa yang mereka anggap kezaliman ke dalam kategori kafir”. (Majmuk Fatawa. 28/497. Ibn Taimiyah)

    Setiap muslim pasti mampu mengenali kriteria Khawarij. Kerana antara ciri-ciri mereka sudah dijelaskan oleh hadis-hadis sahih dan para ulama Salaf as-Soleh seperti kuat beribadah, banyak membaca al-Quran, kelihatan wara’ dan mudah menggelar diri mereka sebagai tokoh dan ulama.

    Khawarij bijak memerangkap (menipu dan memperdaya) masyarakat melalui ceramah politik yang dihiasi nas-nas al-Quran dan as-Sunnah. Bijak mempersonakan masyarakat dengan kekarismaan berpidato, gemar menyelewengkan tafsiran ayat-ayat al-Quran atau as-Sunnah sehingga pemikiran dan akidah masyarakat yang jahil terpesong, fanatek, taklid buta dan akhirnya menjadi Pak turut seperti lembu cucuk hidung.

    Semoga Allah Subhanahu wa-Ta’ala sentiasa menyelamatkan kemurnian akidah orang-orang yang beriman dan para pemimpin mereka yang bermanhaj Salaf as-Soleh, dijauhkan dari penipuan dan putar-belit golongan Khawarij yang memperkenalkan diri mereka sebagai ulama, dan mudah-mudahan hidup kaum muslimin dan para pemimpinnya sentiasa diberkati dan dirahmati oleh Allah Subhanahu wa-Ta’ala. Amin ya Rabbal ‘Aalamin!

    Untuk memadamkan kemarakan api perselisihan yang berkaitan dengan persoalan agama, atau apa sahaja yang dipertikaikan dalam masalah ad-Din, tiada jalan penyelesaian yang paling tepat kecuali merujuk dan mengembalikan masalah tersebut kepada al-Quran, as-Sunnah, ijmak ulama serta fatwa para ulama Salaf as-Soleh, kerana ini sahaja cara yang amat selamat dan menepati kebenaran adalah berpandukan al Quran dan hadis serta Ahlusunnah waljamaah.
    Wallahualam.Wassalam.

  2. Cicit Bentara said

    salam..Cicit rasa benarlah fakta nas dari alQuran..kita di larang menentang, berbohong dengan pemerintah yang “sah”. Raja Melayu adalah pelaksna hukum Islam yang “sah” di bumi nusantara dulu kini dan selamanya. Wajarnya, Pelaksana yang dilantik oleh rakyat dan direstui Raja tidak boleh meminda fakta perlaksanaan Al quran yang menjadi pegangan kita. Pelaksana kini di garap secara halus dan jelas oleh anasir Yahudi mengikut acuan demokrasi ala barat dan rekaan baru yang dangkal. Ini bertentengan dengan Islam yang datangnya dari pemerintah Alam maya..Kenapa amalan yahudi ini halal di mata bangsawan dan kini di jadikan “Way of Life”!! Di mana silapnya…Di mana ulamak zuhud yang wajar menterjemahkan hukum Islam kepada Raja kita. Pelaksana yang di lantik secara demokerasi menjadikan diri mereka bangsawan yang menjadi terlalu rakus dunia cuba mengagalkan memertabatkan islam mengikut kehendak ALLAh. Dengan Izin Allah dan kealfaan bangsawan itu sendiri, Muslim sedar yang inginkan kegemilangan pimpinan khalifah islam hanya mampu di janakan melalui saluran politik ala barat yang termaktub dalam acuan perlembagan kita..Kita di larang memfitnah raja yang kita sanjung. Fakta ini tepat dan tiak pernah di sangkal lagi. Raja adalah keRAJAan pemeritah Bumi dan baginda adalah pemegang amanah Allah. Masalahnya Pelaksana bangsawan yang pandai2 mengubal dasar Allah. Ini yang kita tentang dan bangkang..Islam adalah cara hidup kita..menentang Islam bermakna menentang Allah dan Pemegang Amanahnya..BerJihadlah kita di bawah panji2 Islam dan Raja Melayu.Bersama2 kita memertabatkan Tamadun Melayu segemilang keRAJAan Langkasuka dan Kedah Lama..Hamba yang daif …Cicit Bentara

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: