Sahabat MANTAP

:: Memantapkan Minda Nasional ::

Kewajaran Untuk ‘Memerangi’ Pembangkang I

Posted by Sahabat MANTAP di Selasa, 18 Disember 2007

Oleh: Sang Tempur 

Komen: (Berdasarkan kepada artikel di bawah) Berbicara dalam konteks negara Malaysia, parti-parti politik pembangkang khususnya kepada ahli-ahlinya yang beragama Islam adalah dengan ini dicabar untuk mengemukakan segala hujah bersandarkan fakta Al-Quran, Hadis, ijma’ para ulama’ dan seumpamanya di atas segala jenis tindakan yang mewajarkan, membenarkan, membolehkan atau menghalalkan mereka melakukan penentangan, pemberontakan, tidak patuh, tidak taat atau memberikan kemudaratan terhadap pemerintah dan negara.

Sebarang kegagalan dalam mengemukakan hujah yang cukup meyakinkan membolehkan pihak seperti ini jika terus menggugat perpaduan, keharmonian, keamanan dan keselamatan negara wajib ‘diperangi’ oleh seluruh pemerintah dan rakyat.

“Sesungguhnya orang-orang yang menyembunyikan apa yang telah Kami turunkan dari keterangan-keterangan dan petunjuk hidayat, sesudah Kami menerangkannya kepada manusia di dalam Kitab Suci, mereka itu dilaknat oleh Allah dan dilaknat oleh sekalian makhluk.”
(Surah Al-Baqarah : 159)

Pemberontakan Kuasa: Antara Emosi Dan Penilaian Seimbang

S. S. Dr Mohd Asri Zainul Abidin
Mufti Negeri Perlis

Mungkin terdapat perbezaan pendapat antara seorang muslim dengan muslim yang lain. Boleh jadi juga terbukti seorang muslim yang lain melakukan kesilapan dan kesalahan yang menyebabkan hati kita sangat marah kepadanya. Namun walauapa pun, kita tidak diizinkan syara’ untuk mengambil tindakan yang merugikan umum atau membawa kemudaratan atau kemerbahayaan yang lebih besar dibandingkan kesalahan yang dilakukan. Apatah lagi dalam mengambil tindakan terhadap mereka yang mempunyai kuasa yang boleh memberikan kesan besar terhadap keselamatan negara.

Tokoh agung umat ini, Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah (meninggal 728H) menyebut: “Sesungguhnya al-Amr bi al-Ma’ruf wa al-Nahy ‘An al-Munkar (Suruhan Melakukan Kebaikan, Cegahan Kemungkaran) sekalipun mengandungi tujuan menghasilkan kemaslahatan dan menolak kerosakan, namun mestilah dilihat jua kepada apa yang akan bertembung dengannya. Jika ia menyebabkan hilangnya kemaslahatan atau membawa kerosakan yang lebih besar, maka ia tidak lagi diperintahkan (oleh syarak untuk kita lakukan). Bahkan ianya menjadi haram sekiranya kerosakannya melebihi kemaslahatannya. Namun ukuran kemaslahatan dan kerosakan hendaklah dengan timbangan syariat” (Ibn Taimiyyah, Majmu’at al-Fatawa, 14/341, Riyadh: Al-Abikan).

Saya dahulunya apabila membaca kata-kata hikmah: “Pemerintah yang adil lebih baik dari hujan yang membawa kebaikan, sementara pemerintah yang zalim lebih baik daripada fitnah yang berterusan” (lihat: Al-Munawi, Faid al-Qadir 1/566), maka saya kurang berpuas hati dengan bahagian akhir falsafah tersebut. Saya rasa itu tidak meredakan jiwa muda saya. Tentu kata-kata seperti itu tentu lebih tidak dapat diterima oleh para pemberontak politik. Namun apabila saya mempelajari hadis-hadis Nabi s.a.w mengenai adab rakyat terhadap pemerintah, kata-kata seperti itu mungkin ada benarnya.

Apabila saya melihat apa yang berlaku di Algeria yang membawa tumpahan darah umat Islam yang berterusan disebabkan keinginan kepada perubahan politik. Sehingga pembunuhan sesama muslim, bahkan sesama kumpulan yang mendakwa inginkan Islam menjadi begitu berleluasa. Sehingga semangat Islam rakyat luntur dan imej umat hancur. Demikian apa yang sedang berlaku di Iraq. Maka jelas bahawa kehidupan mereka di bawah seorang pemerintah yang zalim seperti Saddam Hussain yang memangsakan perebut kuasanya lebih baik daripada kehidupan baru yang mereka cetuskan yang mana kezaliman dan kekejaman tidak pernah memilih bulu. Akhirnya, saya menulis buku “Membela Islam: Tanggungjawab dan Disiplin” dan juga satu tulisan lain dalam bahasa Arab menyentuh isu yang hampir sama dua tahun yang lepas telah dibentang dalam sebuah seminar antarabangsa. Masa itu, saya belum menjadi mufti pun.

Saya ingin menyentuh tajuk ini secara umumnya; untuk Dunia Islam keseluruhannya. Memang tajuk ini agak sensitif. Namun saya bukan insan kebuluran untuk berbicara bagi kepentingan sesiapa supaya ada habuannya. Jika anda pejuang hak asasi, ini adalah hak saya memberikan pandangan.

Dalam hadis Nabi Muhammad s.a.w, baginda bersabda: “Pemimpin yang baik ialah pemimpin yang kamu cintai mereka dan mereka mencintai kamu; kamu mendoakan mereka, mereka mendoakan kamu. Pemimpin yang jahat ialah pemimpin yang kamu benci mereka, mereka juga membenci kamu dan kamu melaknati mereka, mereka juga melaknati kamu”. Baginda ditanya: “Tidak bolehkah kami perangi mereka dengan pedang?” Jawab baginda: “Tidak, selagi mana mereka mendirikan solat. Ingatlah, sesiapa yang penguasa berkuasa ke atasnya, lalu dia dapati penguasa itu melakukan maksiat kepada Allah, maka hendaklah dia membenci maksiat tersebut namun jangan dia mencabut tangan dari ketaatan” (Riwayat Muslim).

Pemimpin

Dalam riwayat lain, baginda menyebut, “Akan ada para pemimpin yang kamu setujui (kebaikan sebahagian perbuatan mereka) dan kamu akan membantah (kejahatan sebahagian perbuatan mereka). Sesiapa yang membenci (perbuatan mungkar tersebut) maka dia terlepas (dari dosa), sesiapa yang membantah maka dia selamat (dari dosa), namun (yang berdosa) sesiapa yang redha dan menuruti (perbuatan mungkar)”. Sahabat bertanya: “Tidakkah boleh kami perangi mereka?” Jawab baginda, “Tidak selagi mana mereka bersolat” (Riwayat Muslim).

Hadis-hadis ini barangkali amat tidak menyelerakan sesetengah pihak. Sehingga ada yang menganggap sesiapa yang membacanya sebagai bacul. Tidaklah saya pasti sama ada mereka menganggap Nabi s.a.w. itu bacul ataupun tidak. Bagi mereka, memerangi pemerintah dan sesiapa yang bersama pemerintah yang tidak adil (menurut penilaian mereka) itu adalah jihad yang jika ditumpahkan darah kerananya adalah syahid. Golongan yang bersemangat ini menyebut mereka yang takut untuk keluar menentang pemerintah secara keras sebagai ‘ulama’ bacul’ atau ‘ceroi’ dalam bahasa utara. Lalu hadis, “Sebaik-baik jihad adalah perkataan yang benar di sisi pemerintah yang zalim atau ketua yang zalim” (hadis sahih yang diriwayatkan oleh Al-Nasai, Abu Daud, Al-Tirmizi dan Ibn Majah) diulas sebagai memerangi pemerintah, bukan berpada dengan nasihat atau perkataan yang benar di hadapan pemerintah seperti yang disebutkan dalam hadis tersebut.

Mungkin jika mereka membaca kenyataan para ulama’ dahulu, lebih layak untuk dituduh bacul dan ‘ceroi’. Umpamanya Al-Imam Al-Nawawi (meninggal 676H) yang menyebut: “Adapun keluar menentang pemerintah itu dan memerangi mereka adalah haram dengan ijma’ kaum muslimin sekalipun mereka itu fasik lagi zalim. Telah nyata hadis-hadis yang menyokong apa telah aku sebutkan. Telah sepakat Ahl al-Sunnah bahawa pemerintah tidak dipecat dengan sebab kefasikan; sebab tidak dipecat dan pengharaman keluar menentangnya kerana membawa kepada fitnah, penumpahan darah dan kerosakan yang nyata. Maka dengan itu kerosakan dalam pemecatannya lebih banyak daripada mengekalkannya” (Al-Nawawi, Syarh Sahih Muslim, 14/540). Maksudnya, jika usaha menukar pemerintahan itu boleh menyebabkan tumpah darah, atau rosaknya negara sehingga diambil kesempatan oleh orang lain umpamanya, maka tindakan itu adalah haram dengan sepakat para ulama Ahli Sunnah wal Jamaah.

Perebutan politik dalam Dunia Islam hari ini, jika tidak terkawal boleh membawa campur tangan asing atau membuka kesempatan untuk musuh-musuh Islam menguasai umat. Akhirnya, ‘yang dikejar tidak dapat, yang dikendung berciciran’.

Sesungguhnya Islam yang kita pegang hendaklah terikat dengan nas-nas al-Quran dan Sunnah. Kita tidak perlu mengampu atau meredakan sesiapa. Dunia Islam hari ini memang ada kecacatannya. Bukan sahaja berlaku kepada para pemerintah dunia Islam hari ini, bahkan dahulu pun demikian juga. Melainkan zaman kegemilangan beberapa khalifah terdahulu. Sejarah penumpahan darah kerana keinginan kuasa juga bukan sedikit. Kalau hendak dicari pemerintah yang maksum memang kita tidak berjumpa.

Jika setiap kecacatan pemerintah dibalas dengan ditumbangkan biarpun sehingga mengorbankan keselamatan dan masa depan umat, maka tidak akan adalah kerajaan yang aman dalam Dunia Islam. Kemunduran dan pergolakan akan terus menguasai keadaan. Kita mungkin ingin mencuba sesuatu yang belum kita tahu, tetapi pastikan jangan sampai kita menjemput padah yang tidak sudah dan luka yang lebih parah. Melainkan apabila kita benar-benar yakin bahawa kewujudan kuasa pemerintah itu jauh lebih merbahaya daripada ancaman masa depan yang akan dipertaruhkan.

Sebab itu dalam hadis daripada ‘Ubadah bin Samit, katanya, “Nabi s.a.w. telah memanggil kami, maka berbai‘ah (berjanji setia) dengannya. Baginda perintah kami berjanji setia untuk dengar dan taat (kepada pemerintah) pada perkara yang kami suka dan kami benci, dalam keadaan kami senang dan susah, juga ketika pemimpin lebih mementingkan diri mereka melebihi kami. (Kami juga berjanji setia) tidak akan merebut kuasa dari pemerintah melainkan jika melihat kufr bawah (kufur yang nyata), yang ada bukti dari Allah (kekufuran yang jelas dengan dalil syara’)” (Riwayat Al-Bukhari dan Muslim). Hadis ini bukan menyuruh membiarkan pemerintah bermaharajalela, tetapi menyuruh kita menilai kesan terhadap sesuatu pemberontakan kuasa. Maka dalam usaha membaiki keadaan, umat Islam tidak boleh melakukan sesuatu yang membawa kerugian yang lebih besar.

Ketamakan politik jika telah memenuhi nafsu seseorang itu boleh menyebabkan dia melupakan segalanya. Ia boleh membutakan mata terhadap kepentingan umat dan masa depan negara. Maka tidak hairanlah jika ada orang muslim yang berpakat dengan bukan muslim untuk menjatuhkan pemerintah muslim. Sedangkan dia sendiri pun tidak dapat memberi jaminan apakah yang akan terjadi seterusnya setelah mereka yang bukan muslim menumpaskan negara muslimnya.

Demi sesungguhnya saya tidak pernah takut dengan kuasa pemerintah. Saya tidak berkeinginan mengampu mereka. Telah pun saya selar secara umum perbuatan yang merugikan rakyat. Namun saya sedang bercakap tentang nas-nas Nabi s.a.w dan kemaslahatan masa depan umat ini yang menjadi pertimbangan utama.

Risiko

Saya teringat kepada seorang insan yang cukup bersemangat bercerita tentang kewajipan menumbangkan pemerintah walauapa pun risiko yang ditanggung kemudiannya. Katanya lagi, “Jika hendak difikirkan risiko, apa kerja pun tak jadi. Masa depan bukan di tangan kita, itu urusan Allah.” Saya yang mengetahui latar belakang anaknya yang bermasalah pun bertanya, “kenapa tidak dihalau sahaja anak haji itu keluar dari rumah?”. Dia jawab, “Tidak bolehlah macam itu, nanti lebih teruk lagi jadinya. Sebagai bapa saya kenalah berfikir panjang”. Saya bertanya lagi kepadanya, “Apakah boleh saya anggap haji ini ayah yang penakut? Masa depan bukan urusan kita”. Dia terdiam. Demikianlah kebanyakan manusia selalu memikirkan kepentingan diri, tetapi tidak kepentingan umum.

Sehingga ada yang menganggap apabila kita benci kepada pemerintah yang muslim, kita tidak boleh menolong mereka atau taat dalam setiap arahan mereka. Padahal para ulama’ Islam menyatakan jika pemerintah muslim meminta rakyat berjihad bersamanya menghadapi kuffar maka wajib mereka mentaatinya tanpa perlu melihat kepada peribadi pemerintah sama ada dia seorang yang adil atau zalim. Ini kerana, persoalan menentang musuh-musuh Allah demi mempertahankan agama atau tanahair kaum muslimin adalah kewajipan yang tidak terhenti atau terbatal hanya disebabkan tidak puas hati rakyat kepada pemerintah. Demikian juga apabila pemerintah mengajak kepada sesuatu kebaikan maka tidak perlu dipertikaikan keperibadiannya dalam mentaati perkara yang baik. Inilah yang diingatkan oleh para ulama sejak dahulu lagi iaitu umat wajib mentaati pemerintah yang muslim dalam persoalan kebaikan dan kebajikan.

Kata Al-Khattabi (meninggal 388H), “Sesungguhnya jihad itu wajib sekalipun bersama dengan pemerintah yang zalim, sepertimana ia wajib bersama pemerintah yang adil. Kezaliman mereka tidak menggugurkan kewajipan mentaati mereka dalam persoalan jihad. Demikian juga dalam perkara kebaikan yang lain yang menyamainya” (Al-Khattabi, Ma‘alim al-Sunan, 2/357). Inilah yang diputuskan oleh para ulama’ Islam. Sebabnya, mempertahankan umat adalah kepentingan umum yang mana kejatuhannya atau kekacauan berterusan dalam negara adalah lebih buruk dari kesalahan seorang pemerintah yang masih muslim.

Mungkin ada yang akan berkata, habis apa peranan kita jika ada kesalahan pemerintah? Diamkan diri sahaja? Biarkan? Demi sesungguhnya tidak pernah saya berkata demikian. Tidaklah pernah ulama’ Ahli Sunnah wal Jamaah ini mengajar demikian. Bahkan kita disuruh bercakap benar dan jujur dalam menasihati pemerintah serta bekerjasama dengan mereka dalam urusan kebaikan dan mencegah mereka dari kemungkaran. Malangnya, ramai orang menyalahtafsirkan bercakap benar atau menasihati itu dengan memaki hamun mereka secara peribadi di khalayak ramai. Mencegah dari kemungkaran pula ditafsirkan dengan memberontak menjatuhkan mereka dan mendapatkan kerusi wakil rakyat untuk diri atau kelompok sendiri.

Jika Fir‘aun yang melampaui batas itu, tetap Allah perintahkan Musa dan Harun agar datang menasihatinya dengan cara yang baik sepertimana firman-Nya yang bermaksud, “Pergilah kamu berdua kepada Firaun, sesungguhnya ia telah melampaui batas. Kemudian hendaklah kamu berkata kepadanya, dengan kata-kata yang lembut, mudah-mudahan dia beringat atau takut” (Surah Taha: 43-44), maka apakah wajar kita memaki pemerintah muslim secara terbuka? Tentu mereka bukannya lebih jahat atau lebih zalim daripada Firaun yang Allah perintahkan kedua-dua nabi-Nya berjumpa secara berdepan dan menasihati dengan lunak.

Hari ini, kebanyakan cercaan ke atas individu penguasa itu bukan sahaja tidak lunak, bahkan tidak secara berdepan. Bahkan kadangkala makian itu sehingga membabitkan persoalan yang amat diharamkan Allah dan Rasul-Nya. Sehingga ada yang sanggup membongkar rahsia peribadi, kaum keluarga dan menghina rupa paras yang Allah ciptakan, padahal tiada kaitan langsung dengan negara sama sekali. Demi Allah, itu semua diharamkan syara’ dengan sebenar-benar pengharaman. Apakah itu dinamakan dakwah? Saya tidak membantah nasihat dalam bentuk yang umum. Namun mencerca dan memaki peribadi dengan harapan mendapatkan kerusi, hendaklah dinilai semula dengan pertimbangan syara’.

Pernah saya katakan, “Wahai anda yang menggunakan nama agama, jika diandaikan ketika anda berceramah sedemikian rupa, baginda s.a.w hadir mendengarnya, apakah baginda akan redha dan mengakui inilah rupa dakwah Islam yang baginda bawa? Jika anda menjawab ya! Maka, Rasulullah yang anda dakwa itu amat jauh sifatnya dari apa yang tercatat dalam Al-Quran dan Sunnah.”

Sumber : Mingguan Malaysia, 16 Disember 2007 & drmaza.com

Topik berkaitan:

17 Respons to “Kewajaran Untuk ‘Memerangi’ Pembangkang I”

  1. Penulis said

    Berikut adalah beberapa blog yang cuba untuk menjawab persoalan tetapi masih gagal memenuhi kehendak soalan. Lagipun, mereka lebih menumpukan kepada artikel SS Mufti Perlis (Siri I) sehingga terlupa artikel Ibnu Hatim (Siri II):

    1. al-bakistani
    2. ABU SAIF @ http://www.saifulislam.com

  2. ilmto said

    ah ha, blog kerajaan. hai pe kabar

  3. suara said

    Blog kerajaan? Nampaknya ini mcm bkn blog kerajaan tapi BLOG RAKYAT yg patuh kpd saranan2 rasulnya dan para pewarisnya dr kalangan ulama’2 terdahulu agar taat dan patuh kpd pemerintah selagi pemerintah tidak memerintahkan rakyatnya melakukan maksiat, kejahatan atau keburukan.

  4. gema said

    bagaimana pula kalau pemerintah tidak menegah kemungkaran yang nyata di depan mata? Bukankah kuasa mampu menyekat kemungkaran? Apakah masa atau bangsa yang menyekat kehendak agama?

  5. Orang Original said

    alahai…sebenarnya ko nak buat negara perlis bukan? hati2 lah kang kena jentik dgn pemimpin UMNO atasan baru lah pada masa tu parti BULAN juga dijadikan landasan, pun begitu tak apalah kita berlapang dada, hang nak try nasihat kerajaan, hang buatlah, kami sokong … nanti ,biar rakyat yg menilai, jika org yg menasihatinya dari kalangan mereka sendiripun tak diambil peduli, maka pada masa itu bulan sentiasa menerangi kamu…. (saya bukan taksub bulan k, just bermadah sahaja)Islam the way of life… yg baik kita sokong

  6. abuhuzaifah said

    Dari hadis dikemukakan tidakkah jelas, siapa yang membantah kezaliman pemimpin BN? Alhamdulillah PAS melaksanakan tuntutan Rasul SAW dari sahih Muslim tsb. Siapakah pula yg seolah2 redho dan berpihak kepada BN?

    Dan bertepatan dengan hadis tsb juga, PAS tidakpun berperang senjata dengan BN. Jadi tak perlulah dikeneng-keneng seolah2 PAS memerangi BN dgn senjata. Sikap sebegini hanyalah seperti mencari-cari “hujah” bagi memasang pra-sangka buruk terhadap PAS utk kesekian kalinya. Telah banyakpun jerat2 pra-sangka dipasang, tapi apa untungnya, apa hasilnya? PAS tetap utuh.

    Yg semakin jauh adh diri sendiri. Kalau dahulu, mengarang risalah betapa haramnya mengundi UMNO dan BN, sekarang bertindak seolah jurucakap mereka, apesal?

  7. Sahabatkumengong said

    keje die copy paste..
    pemikiran nasional jadahnye.. ni fikir..copy..paste..
    ahaks malaysian patriotism!!!

  8. suara said

    Abuhuzaifah…PAS melaksanakan tuntutan Rasulullah s.a.w? Dari segi apa? Antara sbb Rasulullah dilantik spt yg disebutkan dlm Al-Quran ialah menyempurnakan akhlak manusia.

    Tetapi dlm ceramah2 PAS penuh dgn maki-hamun, pembohongan, fitnah, hasutan agar rakyat bangkit memberontak, dedah keaiban org, keluarkan fatwa yg menyeru assobiyah spt amanat hj hadi, mengumpat org lain…itukah yg Rasulullah ajar?

    Copy-paste dr Surah An-Nisa’ plak;

    “Dan sesiapa yang mengerjakan sesuatu dosa maka sesungguhnya dia hanya mengerjakannya untuk (menjadi bala bencana yang) menimpa dirinya sendiri dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.” (111)

    “Dan sesiapa yang melakukan suatu kesalahan atau suatu dosa, kemudian dia menuduhnya kepada orang yang tidak bersalah, maka sesungguhnya dia telah memikul kesalahan berbuat dusta dan melakukan dosa yang amat nyata.” (112)

    “Dan kalaulah tidak kerana limpah kurnia Allah dan rahmatNya kepadamu, nescaya berhasillah cita-cita segolongan dari mereka yang bertujuan hendak menyesatkanmu, padahal mereka tidak akan menyesatkan melainkan dirinya sendiri dan juga mereka tidak akan dapat mendatangkan mudarat kepadamu sedikitpun; dan (selain itu) Allah telah menurunkan kepadamu Kitab (Al-Quran) serta Hikmah (pengetahuan yang mendalam) dan telah mengajarkanmu apa yang engkau tidak mengetahuinya dan adalah kurnia Allah yang dilimpahkanNya kepada mu amatlah besar.” (113)

    Tidak ada kebaikan pada kebanyakan bisik-bisikan mereka, kecuali (bisik-bisikan) orang yang menyuruh bersedekah atau berbuat kebaikan atau mendamaikan di antara manusia dan sesiapa yang berbuat demikian dengan maksud mencari keredaan Allah, tentulah Kami akan memberi kepadanya pahala yang amat besar.” (114)

    “Dan sesiapa yang menentang (ajaran) Rasulullah sesudah terang nyata kepadanya kebenaran petunjuk (yang dibawanya) dan dia pula mengikut jalan yang lain dari jalan orang-orang yang beriman, Kami akan memberikannya kuasa untuk melakukan (kesesatan) yang dipilihnya dan (pada hari akhirat kelak) Kami akan memasukkannya ke dalam Neraka Jahanam dan Neraka Jahanam itu adalah seburuk-buruk tempat kembali.” (115)

  9. teman_mandi said

    (Tetapi dlm ceramah2 PAS penuh dgn maki-hamun, pembohongan, fitnah, hasutan agar rakyat bangkit memberontak, dedah keaiban org, keluarkan fatwa yg menyeru assobiyah spt amanat hj hadi, mengumpat org lain…itukah yg Rasulullah ajar?)

    ENCIK SUARA.
    pernah kah pergi ceramah pas?apakah bentuk maki hamun tu,adakah dengan mendedahkan segala bentuk kemungkaran dari segi politik,sosial dn ekonomi yang di lakukan oleh individu pemimpin umno dan BN itu satu maki hamun?apakah pembohongan yang dilakukan dalam ceramah politik?setelah report polis tidak dilayan,kenyataan akhbar tidak disiarkan pentas ceramahlah menjadi medan mendedahkan segala bentuk kepincangan dan salah laku oleh peminpin umno dan BN,setiap kali pendedahan dilakukan oleh pemidato terhadap pemimpin umno kenapa tiada tindakan makahmah di ambil untuk menafikan pembongkaran tersebut.pendedahan pembongkaran tersebut wajib di lakukan kepada rakyat untuk dibuat perubahan demi menjatuh pemimpin umno yang rasuah dan di gantikan dengan sebuan pimpinan yang lebih baik.persoalannya kenapa rakyat begitu terpengaruh dengan label yang di berikan oleh parti pemerintah itu.jawapannya supaya rakyat tidak hadir ke ceramah2 anjuran pembangkang kerna takut rakyat malaysia ni bermaklumat dan tahu siapakah individu yang korup.
    Encik suara
    “Amanat haji hadi” itu telah menceritakan batas akidah umat islam.perkara2 yang boleh membatal syahadah.kenapa mempolitikkan perkara ini akan dibangkitkan semula dengan penuh emosi oleh UMNO setiapkali pilihanraya.diputarbelitkan oleh penceramah umno dan menuduh dato seri haji hadi telah “mengkafirkan umno”.
    Encik suara
    umat islam di haramkan untuk mendedahkan keburukan seseorang dan menjadi sejarah
    dengan bertujuan untuk memalukan dan berniat untuk menjatuhkan maruahnya setelah seseorang itu telah berubah dan brtaubat menyesal keburukan yang dilakukan dahulu(mengumpat)
    tetapi wajib mendedahkan segala bentuk kemungkaran (kejahatan)dengan bertujuan menyelamatkan orang ramai yang tertipu dengan lakonan mereka dan tak pernah berusaha untuk menyesal dengan apa yang dilakukan malah kalo di beri ruang lagi maka akan beterusan perbuatannya.sila rujuk ustad saudara encik suara.
    SAYA MENJEMPUT SAUDARA SUARA UNTUK HADIR KE MAJLIS CERAMAH PAS SEKURANG2NYA SAUDARA PAHAM APAKAH YANG BERLAKU DALAM CERAMAH PAS.PARA PENCERAMAH PAS TERDIRI DARIPADA PELBAGAI PENDIDIKAN DAN AHLI PARLIMEN ,SEMOGA KITA MENJADI RAKYAT BERMAKLUMAT.

  10. suara said

    Terima kasih atas jemputan agar saya hadir ke ceramah2 PAS walaupun selama ini saya selalu hadir utk mengikuti sambil memohon doa ke hadrat Ilahi agar mereka itu diberikan petunjuk & hidayah. Rasanya kt blog ini pun dah dibuktikan salah seorg pemimpin pembangkang menggelarkan org lain sbg “Bapak Syaitan”. Sila klik kt sini.

    Sebarang bentuk pendedahan atau pembongkaran yg melibatkan kesalahan org lain amat ditegah dlm agama. Tiada dijatuhkan hukum WAJIB sebagaimana Teman Mandi (TM) katakan. TM perlu terlebih dahulu merujuk kpd ustaz sblm meminta org lain berbuat demikian. Jelas TM langsung tak berminat utk mendalami & memahami ilmu agama apabila tajuk “Kewajaran Utk Memerangi Pembangkang” dr Siri 1 hingga IV dlm blog ini tidak TM baca, faham & hayati berkaitan adab terhadap pemerintah.

    Bukankah telah terang, nyata lg bersuluh apabila Allah berpesan dlm Surah Al-Hujurat;

    “Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak (dari kaum lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah pula sesuatu puak dari kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah setengah kamu menyatakan keaiban setengahnya yang lain; dan janganlah pula kamu panggil-memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk. (Larangan-larangan yang tersebut menyebabkan orang yang melakukannya menjadi fasik, maka) amatlah buruknya sebutan nama fasik (kepada seseorang) sesudah ia beriman. Dan (ingatlah), sesiapa yang tidak bertaubat (daripada perbuatan fasiknya) maka merekalah orang-orang yang zalim.” (11)

    “Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani.”(12)

    Rujuk semula Amanat Hj Hadi dr A-Z. Hj Hadi tak menceritakan batas akidah umat Islam tetapi lebih menyeru kpd batas umat2 sbg ahli2 PAS. Bukankah begitu jelas sekali kata2nya dimaksudkan kpd BN & UMNO sdgkan UMNO itu hampir semua ahli2nya beragama Islam & masih mendirikan sembahyang.

    Amanat ini tak pernah dipolitikkan. Hanya PAS shj menganggapnya sbg dipolitikkan. Tindakan ‘memerangi’ amanat ini sama spt memerangi ajaran2 sesat yg dikeluarkan oleh org2 yg sesat lg menyesatkan org lain.

  11. semang said

    sabda Rasulullah s.a.w: “Bukan seorang mukmin itu pencerca, atau pelaknat, orang yang bercakap keji dan kesat” (Hadis sahih riwayat al-Tirmizi). Jd, org2 pas yg slalu dok kutuk org lain tu bknlah org2 mukmin tp taraf depa hanya golongan muslim je. Taraf ni samalah dgn org2 Islam yg buat jahat mcm merompak ker, rasuah ker. Depa ni nama je Islam tp tak beriman.

  12. shabriduda said

    KENAPA TAK DISIARKAN UCAPAN PENUH PENCERAMAH TU?KENAPA DI EDIT EK??KALO LEH DISIAR KAN UCAPAN PENUH TENTU KITA BOLEH BUAT PENILAIAN KEWAJARAN PENCERAMAH TERSEBUT BERKATA BEGITU …..
    DR MOHD ASRI SEORANG ULAMA HADIS YANG TERKENAL DI UTARA TANAHAIR(KG MENGKUANG DALAM PARLIMEN PERMATANG PAUH SEBERANG PERAI)SEMASA BERKULIAH DENGANNYA DAHULU BELIAU AMAT DIKAGUMI DAN AMAT BERANI MENYATAKAN SESUATU YANG BENAR.KAMI BANGGA MEMPUNYAI ULAMA YANG TEGAS DALAM SOAL BERAGAMA.BELIAU BEGITU LANTANG MENGHENTAM DAN MENGKRITIK DALAM PELBAGAI NADA KEPADA PEMERINTAH TERUTAMANYA PADA GOLONGAN ANTI HADIS YANG DIBERI LALUAN DAN PENULIS UPAHAN UMNO ASTORA JABAT SEHINGGA MENCABAR BEDEBAT DI ERA 1990AN DAHULU.TAPI SAYANG SERIBU KALI SAYA SETELAH BELIAU DI SUNTING OLEH DATO SERI SHAHIDAN KASSIM MENJADI MUFTI PERLIS DAN PENULIS TAMU DI AKHBAR KUMPULAN UTUSAN NADA DAN LENGGOKNYA BERBEZA KENAPA EK???MUNGKIN STRATEGI KOT SETELAH MEMPUNYAI KUASA?KETENTUAN ALLAH ADA HIKMAHNYA.APA2 PUN KAMI YANG PERNAH BERKULIAH DENGANNYA MENGHORMATI PADA ILMU YANG ADA PADANYA.
    BAGAIMANA PULA KEWAJARAN PADA UMNO YANG MENJADI PEMBANGKANG DI NEGERI KELANTAN,UMNO JUGA PERNAH MENJADI PEMBANGKANG DI TERENGANU,???
    KAMI MENYOKONG PAS BUKAN KERNA NAMANYA PAS ,KAMI MENENTANG UMNO BUKAN KERNA NAMANYA UMNO, TAPI DASAR PERJUANGAN PERLEMBAGAAN PARTI YANG MEMBEZAKANNYA.PERJUANGAN PAS BUKAN SEMATA2 BERJUANG UNTUK MENUNTUT KENAIKAN HARGA PADI,PAS JUGA BUKAN SEKADAR MUNUNTUT KENAIKAN HARGA GETAH TAPI PERJUANGAN AGONG NYA IALAH MEMBUAT AMAR MAKRUF NAHI MUNGKAR DENGAN BERUSAHA MEMARTABAT KAN ISLAM SEBAGAI PERLEMBAGAAN NEGARA BAGI UMAT ISLAM DI MALAYSIA BUMI TERCINTA INI.PERLEMBAGAAN PAS MEMILIH KONSEP PILIHANRAYA BUKAN NYA BELANTARA UNTUK MELAKSANAKAN MISI INI DENGAN PENUH BERKAEDAH.
    BEBANGGAKAH KITA UNTUK MENJADI SALAH SEORANG PENGHALANG KEPADA SATU GOLONGAN YANG BERJUANG UNTUK MENEGAKTINGGIKAN ALQURAN DALAM KAEDAH BERNEGARA???
    SAYA JUGA MENJEMPUT UNTUK MENGHADIRI CERAMAH UMNO DI MANA2 KAWASAN DI NEGERI KEDAH,KELANTAN DAN TERENGGANU TENTULAH KITA JUGA BOLEH TAHU BGAIMANA IRAMA NISTA DIMAIN DALAM CERAMAH TERSEBUT ,SAYA BERPENGALAMAN HADIR DALAM BICARA MEREKA DI KETIGA2 NEGRI INI.

  13. suara said

    Kalau disiarkan penuh pun, penceramah pembangkang tuh tetap tak wajar utk menggelarkan saudaranya sbg “bapak syaitan”. Telah jelas maksudnya bukan?

    Dr Mohd Asri tak pernah berubah prinsip sebagaimana yg Shabriduda kenal. Cuba baca segala artikelnya dlm web beliau drmaza.com. Di situ juga terdapat artikel yg menegur kerajaan dan pernah disiarkan dlm akhbar tempatan. Kalau sdr baca semuanya, tentu sdr boleh buat penilaian. Jgn baca sebhgn jer.

    Amar makruf nahi mungkar itu mengajak kepada kebaikan dan mencegah dr kemungkaran atau kejahatan. Kerajaan kata jgn berdemo kerana boleh meruntuhkan institusi negara tp pembangkang tetap nak buat. Sape yg beramal di sini?

    Kerajaan menyeru kpd perpaduan tp pembangkang tetap nak pecah-belahkan rakyat agar bangkit menentang pemerintah. Sape yg beramal di sini?

    Sape kata PAS itu golongan yg berjuang utk meninggikan Al-Quran dlm kaedah bernegara? Golongan yg berjuang meninggikan Al-Quran adalah mereka yg mengikuti akhlak Al-Quran, bkn akhlak para zionis yg penuh dgn pembohongan & putar-belit; makian & cercaan.

  14. teman_mandi said

    PAS ADALAH PERSATUAN DAKWAH DAN POLITIK RUJUK PERLEMBAGAAN PAS.KEMBANGKAN LER KONSEP AMAR MAKRUF DAN NAHI MUNGKAR TU.ABIM,JIM,Jemaah tablig,YADIM,Jakim dan lain2,ni semua ada lah contoh badan dakwah yang non partisan.adakah badan2 ini mengajak kepada nahi mungkar??? ada…. tapi beranikah melakukan nahi mungkar dengan membongkar kemungkaran yang dilakukan oleh pemerintah umno dan pemimpinnya?? kemungkaran politik,kemungkaran sosial dan kemugkaran ekonomi negara wajib di cegah tapi oleh siapa???badan dakwah ni pun kalau meminda perlembagaan persatuan yang memebolehkan mereka mengkritik pemerintah secara lantang mereka juga akan mengalami keadaan yang sama dengan pas hadapi sekarang …so kalau nak selesa jangan ganggu cara pemeritah mengurus negara ini dengan erti kata “jangan mencampur urusan politik dan agama”maka jadi suci lah …just berdakwah untuk beribadat dan beraklak mulia dengan pemerintah.
    Kenapa kalau untuk perpaduan musti kena join umno, bersatu ja kena dok bawah ketiak umno.kenapa kita tak nak bersatu dengan PAS???? ..selagi ada parti2 perkauman boleh ka rakyat bersatu? cantik di luar TAPI rencong di dalam..sebabnya En SUARA kumpulan2 tersebut berlainan dasar perjuangan….itulah yang membezakanya dalam mengendali dalam sesuatu isu…adakah umno memecahbelahkan rakyat di kelantan supaya menetang kerajaan PAS di kelantan???tidakkkk umno hanya mahukan pembangunan untuk rakyat hi hi hi hi
    KENAPA RAKYAT BERDEMO??????KENAPA RAKYAT MENGUNAKAN KAEDAH JALANRAYA?????? saja2 kot?? suka2 kot?ada pasal lar setelah mengunakan cara memorandum,report polis,berbincang,cuba dibawa keparlimen semua tidak di layan sebab dari kumpulan pembangkang ..so berbondong2lah rakyat turun kejalanraya menyatakan perasaan mereka supaya seluruh negara tau dan dunia paham apa yang berlaku sebenarnya.jangan lah sampai rakyat dah tak percaya lagi sistem pilihanraya dan jalanraya maka mereka akan mengunakan belantara.
    Ulama muda (Mufti perlis) akan lebih cemerlang sekiranya menyertai politik …jangan lah jadi Macam Almarhum bekas Dato Mufti kerajaan selangor ..sampai kena pecat …dengan pemerintah umno rakyat musti beradap sopan dan bersusila…hi hi hi hi hi

  15. juragan_petai said

    RECORD ABDULAH MAT ZIN SEBAGAI MENTERI AGAMA(MENTERI DIJABATAN PERDANA MENTERI)TIDAKLAH CEMERLANG.mufti perlis yang bakal menjadi menteri agama tak lama lagi .sekiranya beliau terus menerus menasihat pemimpin pembangkang dan ahli agar terus jangan mengkritik pemimpin umno sehingga menyebut individu mereka kerana belum di tuduh di mahkamah(sistem mahkamah kita amat telus kepada peminpin parti pemerintah)selalu nya pegawai kerajaan ya yang sangkut.menteri sukar la sikit.

    boleh kritik tapi secara umum ja .contohnya hanya bagitau kerajaan ni korup.kalau kritik pun kenalah bersopan .entah la, beza kot jadi mufti kepada sebuah pemerintah yang mengamalkan demokrasi berparlimen dan menjadi mufti kepada kerajaan monarki(kalifah @ beraja).

    PAS kena tumpukan soal dakwah,usrah dan tarbiah ahli @ masyarakat sahaja.?????

  16. white_ghost said

    hm….
    kenape x habiskan ayt yg disampaikan penceramah tu ek…
    x logik kan…
    habiskan jer,nmpk sgt kepoimpinan ni x betul……
    aper yg korang nk risaukn
    dh terbukti pempangkang tu mampu meneraju negara
    p lah pun patut kembalikan rkyt terhadapnya…..
    hm….
    kenyataan juragan petai, anda tidak sedarkah yang mungkin stail pendkwh yg anda mksudkan tu, mungkin benar n maybe tu adalah caranya untuk berdjwah…
    untuk teman mandi, i mmg sokong knyataan u
    selamat kepada kepinpinan negara
    i bukan nk menyebelah pd mana2 pihak
    tapi terimalah kenyataan
    hwever
    good luck kepada kerajaan bn dan maju jaya untuk kerajaan barisan altenatif
    kalau betul2 parti pembangkang ni nk mentadbir negara
    gunakan peluang ni sebaik mungkin
    ALLAH bersama2 dengan orang yang benar….

  17. white_ghost said

    Tetapi dlm ceramah2 PAS penuh dgn maki-hamun, pembohongan, fitnah, hasutan agar rakyat bangkit memberontak, dedah keaiban org, keluarkan fatwa yg menyeru assobiyah spt amanat hj hadi, mengumpat org lain…itukah yg Rasulullah ajar?

    encik suara
    ternyata pengakuan anda ini hanyalah kenyataan yang amatlah bertentangan dengn apa yang berlaku

    sebetulnya, jangan semarakan api kemarahan anda dengan fitnah yang anda taburkan!!!!!!!!
    pernhkh anda pergi mendengan ceramah pas?
    dari segi kenyataan anda, nmpk sgt jwpnnya adalah TIDAK!!!!!!!!
    jadi anda, kami alu-alukan untuk menjadi tetamu vvip jk ada lagi ceramah oleh ulama2 kita pd ms akan datang
    sila tingglkn no tel anda untk sy hubngi……

    pmmpn parti pembangkang ini sebenarnya tidk pernh lgsung diberi kesempatan dan peluang untuk menyuarakan pendpt d sbgnya
    adakah ini negara demokrasi berpwerlembagaan?????

    jadi
    di mana lagi siaran yg akan dikeluarkan oleh parti altenatiuf ini selain di ceramah2?
    sedgkn media pun tdk dberi untk mrka sama2 men9ikmatinya, media cetak sdh dibekukn, report polis pun tidk dipeduli
    jadi di mana lagi CIK SUARA??????

    cmne x bgkg pemernth
    sedgkn pemernth itu sendiri yang tidak berlaku adil???
    amal makruf kah itu….
    hmmm\
    sebaiknya
    cik suara pergilah dhlu mengikuti ceramah2 yg cik suara kata td, mengutuk dn mengata pmbgkng serta mngluarkam maki hamun….

Tinggalkan Jawapan kepada suara Batal balasan