Sahabat MANTAP

:: Memantapkan Minda Nasional ::

‘Damai Malaysia’ Terus Dikritik

Posted by Sahabat MANTAP di Sabtu, 15 Disember 2007

Oleh: Sang Tempur

Genggaman salam yang erat diselangi senyuman yang cukup memberi makna daripada Perdana Menteri, Dato’ Seri Abdullah Hj Ahmad Badawi ketika bersalam dengan Pengerusi Penyelaras Damai Malaysia, Saiful Adil Mohd Daud sebaik sahaja Penyataan Bersama diserahkan jelas membayangkan bahawa beliau amat berpuas hati di atas bukti-bukti yang ditunjukkan.

Penyataan Bersama yang mengandungi deklarasi dan dokumen penyertaan dan sokongan setebal 3 inci yang mempunyai tandatangan dan cop rasmi daripada 395 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) telah diserahkan kepada Perdana Menteri dalam satu majlis ringkas di Pengkalan Tentera Udara DiRaja Malaysia (TUDM), Subang pada 13 Disember baru-baru ini.

Damai Malaysia yang menjadi payung seterusnya mewakili 395 NGO yang mempunyai kira-kira 1.5 juta ahli itu telah bersepakat untuk menolak demonstrasi politik jalanan dan menggesa kerajaan bertindak tegas terhadap mereka yang terlibat dalam perhimpunan haram. Penyataan Bersama itu juga turut mengutuk mana-mana pihak yang melakukan fitnah dan menggunakan isu agama dan perkauman bagi menimbulkan kebencian termasuk mengheret pihak asing mencampuri urusan dalaman negara.

Mengulas mengenai Penyataan Bersama yang telah dimeterai dalam sebuah majlis anjuran Damai Malaysia di Kelab Sultan Sulaiman (KSS), Kampung Baru pada 6 Disember lalu, Abdullah berkata, ia adalah suara majoriti rakyat Malaysia yang membantah demonstrasi jalanan.

‘‘Orang yang selama ini senyap telah pun menyatakan pendirian mereka dan saya amat menghargainya kerana ia adalah untuk keamanan dan kesejahteraan rakyat yang kita kena pertahankan,” katanya.

Dalam pada itu, Damai Malaysia terus dikritik oleh ahli-ahli parti politik pembangkang apabila didakwa turut menampilkan kanak-kanak sekolah dalam majlis di KSS yang lalu.

Gambar pertama yang didakwa sebagai “kanak-kanak” inilah yang digunakan sebagai senjata untuk mengkritik sedangkan apa yang telah  dipaparkan di laman-laman web dan blog mereka rupanya adalah beberapa pelajar sekolah dalam kategori belia.

Mereka mungkin terlepas pandang bahawa kategori belia yang ditafsirkan di dalam Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia 2006 adalah mereka yang berusia dari 15 hingga 40 tahun. Tafsiran ini adalah berdasarkan tafsiran “belia” mengikut Dasar Pembangunan Belia Negara (1997) dan telah digunapakai semenjak tahun 1985 lagi.

Akta ini juga membolehkan mana-mana orang yang berada dalam julat umur tersebut untuk dipilih atau dilantik sebagai jawatankuasa bagi mana-mana pertubuhan belia.

Daripada 600 lebih wakil-wakil NGO yang hadir dalam majlis anjuran Damai Malaysia tersebut, kira-kira 10 hingga 15 orang adalah pelajar-pelajar sekolah dalam kategori belia. Mereka juga turut teruja untuk bersama-sama menyatakan sokongan demi kemakmuran dan keamanan tanahair kelahiran mereka. Sememangnya kehadiran mereka secara sukarela amat dikagumi dan sekaligus menunjukkan tahap kematangan mereka dalam membezakan antara kebaikan dan keburukan itu jauh mengatasi orang yang lebih dewasa.

Berbeza pula dengan NGO-NGO yang dinaungi parti-parti politik pembangkang apabila secara jelas kanak-kanak di bawah umur 15 tahun mula diajar dengan keburukan dan kepalsuan. Secara tidak langsung mereka mengajar segelintir barisan pelapis negara ini bagaimana untuk memberontak dan melakukan keganasan dengan harapan perjuangan ala militan mereka dapat terus diwarisi.

Berikut adalah beberapa bukti yang menunjukkan kanak-kanak turut diheret dalam kancah politik kotor parti-parti pembangkang negara:

  • Gambar ke-2 menunjukkan kanak-kanak turut dijadikan benteng manusia di Paya Mengkuang, Melaka pada 4 September 2007 tatkala parti politik pembangkang mendalangi kira-kira 100 penternak babi membuat benteng manusia di hadapan pintu masuk untuk menghalang operasi pihak berkuasa menutup ladang ternakan babi mereka.

  • Gambar ke-3 memaparkan kanak-kanak turut dilibatkan dalam perarakan haram sempena Festival Of Rights 2007 anjuran Jawatankuasa Hak-Hak Asasi Manusia, Majlis Peguam pada 9 Disember 2007 dari Kompleks Membeli-Belah SOGO hingga ke Pasar Seni.

  • Gambar ke-4 menunjukkan penglibatan Muhaimin Roslan, 13 dalam demonstrasi haram anjuran BERSIH pada 11 Disember 2007 di laluan masuk bangunan Parlimen berikutan bantahan parti politik pembangkang terhadap cadangan meminda Perlembagaan Persekutuan bagi melanjutkan umur persaraan anggota-anggota Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dari usia 65 ke 66 tahun.

  • Klip video di bawah dari minit ke 1:15 hingga 1:26 di sekitar Masjid Jamek, Kuala Lumpur membuktikan kanak-kanak berlilit kain kuning BERSIH di kepalanya adalah petanda bahawa kanak-kanak ini memang sengaja diajak untuk turut menyertai demonstrasi haram anjuran BERSIH pada 10 November 2007.

 


Klip video yang menunjukkan pembabitan kanak-kanak (minit ke 1:15 hingga 1:26) dalam demonstrasi haram anjuran BERSIH pada 10 November 2007

 

Advertisement

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: