Sahabat MANTAP

:: Memantapkan Minda Nasional ::

Berdemo Selamanya

Posted by Sahabat MANTAP di Sabtu, 1 Disember 2007

oleh: Sang Tempur

Kaedah demonstrasi gaya Dato’ Seri Anwar Ibrahim (DSAI) akan terus digerakkan sehinggalah pilihan raya umum yang akan datang. Selain daripada memberi tekanan kepada pihak kerajaan agar mengadakan pilihan raya umum selepas 14 April 2008, beliau juga percaya hanya dengan cara ini sahajalah parti-parti politik pembangkang mampu meraih lebih banyak kerusi.

Melihat kepada senario hari ini, tidak mustahil jika satu bentuk demonstrasi besar-besaran akan dilancarkan sepanjang tempoh berkempen sehingga melibatkan beberapa negeri. Tidak semua rakyat mengerti kaedah penggunaan ‘water-cannon’ atau gas pemedih mata dalam menyuraikan orang-orang yang berhimpun. Di kalangan mereka masih ada lagi yang menganggap bahawa kedua-dua kaedah itu sebagai zalim atau kejam. Provokosi yang dicetuskan oleh pihak polis dan mereka yang berdemonstrasi pada ketika itu sudah tentu akan mengundang pelbagai tragedi dan sekaligus memberi kesan kepada rakyat yang akan membuang undi.

Aktiviti-aktiviti pembangkang yang sentiasa dilihat agak ‘rancak’ sehingga mendapat liputan media antarabangsa akan membuka mata para pelabur yahudi atau agen-agen yang inginkan keruntuhan negara-negara Islam untuk turut melabur dan menghulurkan segala bentuk bantuan dan kepakaran dari segi kewangan sehinggalah perancangan strategik.

Pada tarikh Barisan Bertindak Hak-Hak Hindu (HINDRAF) mengadakan demonstrasi di sekitar bangunan Suruhanjaya Tinggi British, DSAI pula mengadakan mesyuarat gerakan pilihan raya di sebuah hotel di Kuala Lumpur dengan dihadiri oleh wakil-wakil Parti KeADILan Rakyat (PKR) dari setiap negeri. Mesyuarat yang di selaraskan oleh Pengarah Program PKR, Din Merican ini telah dibiayai oleh Friedrich Naumann Foundation (FNF), sebuah organisasi yang mempromosikan sistem politik liberal dan kebebasan komuniti serta mempunyai agenda sulit dalam meruntuhkan negara-negara Islam di seluruh dunia.

Inilah yang cuba dibuktikan, ditunjukkan dan diraih oleh para pembangkang negara yang diterajui DSAI. Lim Kit Siang sendiri tidak mampu untuk mengepalai gerakan seperti ini walaupun statusnya sebagai Ketua Pembangkang di dalam Dewan Rakyat yang amat kuat menentang pengisytiharan Malaysia sebagai sebuah negara Islam.

Lebuh Raya Persekutuan, antara 14 lokasi Piket Peringkat Kebangsaan yang dianjurkan MTUC pada 25 Jun 2007

Tindakan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) yang melancarkan beberapa siri piket bermula 18 Jun 2007 untuk menuntut gaji minima RM900 dan Elaun Kos Sara Hidup (COLA) sebanyak RM300 bagi 5 juta pekerja sektor swasta dilihat telah mampu membuatkan Putrajaya ‘menggelabah’. Inilah yang menjadi pencetus agar gelombang demonstrasi dapat dijana dan digerakkan semula di kalangan parti-parti politik pembangkang sepertimana yang pernah mereka lakukan pada September 1998.

MTUC yang juga pertubuhan gabungan di bawah Gabungan Pilihan Raya Bersih Dan Adil (BERSIH) turut dilihat sebagai berperanan apabila pengerusinya, Syed Shahir Syed Mohamud sendiri memberi ucaptama dalam Konvensyen Rakyat anjuran BERSIH di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur – Selangor pada 20 Julai 2007. Di sinilah beliau mula mengumumkan mengenai konvensyen 100,000 ribu rakyat pada tarikh cadangan 11 November yang kemudiannya bertukar kepada 10 November 2007.

Penggabungan idea bersama Raja Demo Malaya, DSAI dengan dibantu oleh orang berpengaruh seperti Ketua Penerangan PKR, Tian Chua serta ditiupkan lagi apinya oleh para blogger tajaan FNF seperti Raja Petra Raja Kamarudin dan Jeff Ooi, maka kaedah demonstrasi mula dilancarkan sehingga tercetusnya rusuhan di Batu Burok, Terengganu pada 8 September diikuti dengan demonstrasi di sekitar Kuala Lumpur pada 10 November yang juga dianjurkan BERSIH.

DSAI yang turut menguasai Majlis Peguam juga telah berjaya menyebabkan kira-kira 1,000 orang peguam berarak di Putrajaya pada 26 September ekoran pendedahan sebuah klip video yang memaparkan seorang peguam sedang berbual melalui telefon bagi mengatur pelantikan hakim.

Terbaru pada 25 November, apabila Badan Bertindak Hak-Hak Hindu (HINDRAF) pula mengadakan demonstrasi di sekitar bangunan Suruhanjaya Tinggi British di Jalan Ampang untuk menghantar petisyen mengandungi 100,000 tandatangan bagi mendesak Ratu Elizabeth II melantik peguam DiRaja sekaligus menyokong tuntutan saman dan pampasan masyarakat India negara ini.

Diberitakan juga bahawa Jawatankuasa Hak-Hak Asasi Manusia, Majlis Peguam akan menganjurkan Festival of Rights 2007 sempena Hari Hak-Hak Asasi Manusia yang disambut di seluruh dunia pada 10 Disember setiap tahun. Perarakan tahunan ini akan berlangsung pada 9 Disember 2007 bermula dari Kompleks Membeli-Belah Sogo hingga ke Dataran Merdeka dan berakhir di Pasar Seni.

Selain daripada itu, BERSIH pula difahamkan akan mengadakan demonstrasi pada 11 Disember 2007 di bangunan Parlimen bagi membantah rancangan pindaan Perlembagaan Persekutuan untuk menaikkan had umur anggota Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) manakala parti-parti pembangkang beserta dengan NGO dikatakan mahu berdemonstrasi dalam perhimpunan raksasa pada 1 Januari 2008 bagi membantah kenaikan tol.

Gerakan mereka pada kali ini amat tepat pada masanya apabila harga minyak mentah terus melonjak ke paras USD96.24 (RM321) setong pada 1 November 2007 berikutan kejatuhan dolar Amerika Syarikat (AS) setelah Jawatankuasa Pasaran Terbuka (FOMC) AS menurunkan lagi kadar faedah sebanyak 25 mata asas kepada 4.50 peratus bagi merangsang semula aktiviti perniagaan yang terjejas akibat krisis subprima seterusnya membendung krisis kewangan negara itu.

“Tindakan AS itu akan menyebabkan tekanan inflasi di seluruh dunia,” menurut Pakar Kewangan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof. Madya Dr. Ahamed Kameel Mydin Meera. Selanjutnya beliau meramalkan bahawa harga minyak mentah akan melepasi paras USD100 (RM336) setong dalam sedikit masa lagi jika matawang AS terus turun.

Pengarah Eksekutif Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER), Prof. Datuk Dr. Mohamed Ariff Abdul Kareem pula meramalkan bahawa kenaikan kecil harga minyak domestik antara 30 sen hingga 40 sen seliter pasti berlaku kerana kerajaan tidak mungkin berupaya menampung jumlah subsidi minyak yang lebih besar.

“Sekarang kerajaan membelanjakan sebanyak RM16 bilion untuk subsidi minyak dan tidak mungkin kerajaan berupaya untuk terus menanggung subsidi minyak yang semakin meningkat,” ulas beliau pada 27 November lalu.

Katanya lagi, kenaikan harga minyak domestik bakal memberi implikasi terhadap keseluruhan perbelanjaan rakyat apabila kos pengangkutan mulai naik dan diikuti pula dengan kenaikan harga barangan. Berikutan itu, tambah beliau, kadar inflasi negara juga dijangka meningkat kepada 3% tahun depan.

Seterusnya Pada 29 November, Menteri Kerja Raya, Datuk Seri S. Samy Vellu pula mengumumkan akan menaikkan kadar tol dari 7.69% hingga 50% pada 1 Januari 2008 di enam lebuh raya mengikut perjanjian konsesi. Lebuh raya terlibat adalah Lebuh Raya Seremban-Port Dickson (SPDH), Lebuh Raya Utara Selatan Hubungan Tengah (ELITE), Lebuh Raya Butterworth-Kulim (BKE), Lebuh Raya Laluan Kedua Malaysia-Singapura, Lebuh Raya Pintas Selat Klang Utara Baru (NNKSB) serta Tambak Johor dan Plaza Tol Bukit Kayu Hitam.

Senario ini dilihat akan terus meletakkan kerajaan dalam dilema. Pada masa yang sama, keadaan inilah juga yang dinanti-nantikan parti-parti politik pembangkang untuk ‘menghuru-harakan’ lagi negara. Pengumuman kenaikan kadar petroleum dan tol oleh kerajaan sudah pasti akan menjadi kemuncak kepada gerakan demonstrasi bagi sesi penggal parlimen kali ini. Isu ini akan dijaja ke seluruh tanah air untuk mengajak seluruh rakyat ‘memerangi’ kerajaan Barisan Nasional (BN) habis-habisan.

Inilah kaedah yang cuba digerakkan secara besar-besaran bagi meraih sokongan rakyat terhadap parti-parti pembangkang sempena menyambut Pilihan Raya Umum bagi kali ke-12 yang akan menjelang tiba.

Mereka masih dan terus percaya bahawa hanya dengan gerakan rakyat melalui demonstrasi besar-besaran, sesebuah kerajaan mampu untuk digulingkan. Maka hari ini, mereka akan mula berdemo dan berdemo serta terus berdemo…

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: