Sahabat MANTAP

:: Memantapkan Minda Nasional ::

Demonstrasi Di Malaysia

Posted by Sahabat MANTAP di Jumaat, 23 November 2007

Oleh : Arab Mustapa

Kita ketahui secara umumnya demonstrasi merupakan salah satu kaedah dalam melahirkan rasa dan ketidakpuasan hati kelompok masyarakat terhadap sesuatu yang dirasakan tidak menyebelahi atau memihak kepada mereka. Di Perancis misalnya, demonstrasi yang dibuat adalah berkaitan dengan faktor ekonomi – sektor pengangkutan. Berbeza pula di Myanmar di mana demonstrasi dilakukan disebabkan adanya kekangan politik. Mereka mahukan pemerintahan kuku besi tentera junta dijatuhkan. Di Pakistan pula kecoh dengan pengikut Benazir Bhutto dan Nawaz Sharif yang mahukan Presiden Musyaraf turun atau dijatuhkan – juqaq political.

Demontrasi juga berlaku di Amerika berkaitan dasar luar negara itu. Rakyat Amerika meminta agar kerajaan Bush menarik balik tentera mereka dari Iraq dan tidak inginkan peperangan menjadi dasar dalam mendemokrasikan negara tersebut. Dengan kata lain, rakyat Amerika telah bosan dengan tipu daya Bush yang menggunakan pendekatan kemanusiaan dan keselamatan dunia sebagai topeng untuk menghalalkan mereka merobek dan menghancurkan hak kemanusiaan di negara tersebut.

Di Malaysia, demontrasi jalanan bukan merupakan sesuatu yang baru. Perlu diingat bahawa demonstrasi bukannya budaya kita. Namun sejak akhir tahun 90-an, ia seolah-olah kembali menjadi suatu senjata golongan tertentu untuk menarik perhatian masyarakat terhadap parti atau individu-individu tertentu. Sebagai sebuah negara yang mengamalkan demokrasi berperlembagaan, maka pilihan raya menjadi saluran demokrasi dalam membentuk satu-satu kerajaan pemerintah. Semua parti politik berdaftar yang wujud pada masa itu dibenarkan untuk bertanding dalam mana-mana pilihan raya yang diadakan. 

Pada tahun 1969, telah berlaku demontrasi jalanan bagi kali kedua dalam sejarah Malaysia. Sebuah parti politik yang merangkul banyak kemenangan dalam pilihan raya umum ketika itu telah berarak dan menjerit-jerit sambil meluahkan apa yang terbuku di hati mereka selama ini di tanah orang-orang Melayu. Akibatnya, maka berlakulah kecelakaan bagi negara apabila tercetusnya peristiwa berdarah 13 Mei 1969. Lantas darurat diisytiharkan dan tidak lama kemudian MAGERAN pula dibentuk.

Hampir 30 tahun tiada demontrasi jalanan besar di Malaysia sehinggalah tahun 1998 apabila demonstrasi kembali bermaharajalela. Demontrasi kali ini dianjurkan oleh ‘anak emas’ kepada tokoh ternama Malaysia sebaik sahaja dilucutkan jawatan dalam kerajaan dan parti atas dakwaan salah laku. Mereka mula berdemonstrasi bagi menuntut agar keadilan dilaksanakan ke atas tokoh yang amat mereka sayangi selama ini. Akibatnya, banyaklah harta benda musnah dan para peniaga terpaksa menutup kedai kerana bimbangkan keselamatan harta mereka. Berbeza dengan demontrasi jalanan yang terdahulu sebelum ini, demontrasi ini pula lebih berbentuk peribadi apabila “pelamin anganku musnah”. la tidak meliputi kehendak atau tuntutan segenap lapisan masyarakat Malaysia pada ketika itu. Dari demonstrasi inilah maka lahirnya parti politik KeADILan yang diterajui oleh isteri tokoh tersebut.

Pilihan Raya Umum bagi kali ke-10 pada ketika itu kian hampir. Kesempatan ini mula diambil oleh parti-parti pembangkang lain yang telah lama bertapak seperti PAS dan DAP untuk mewujudkan apa yang mereka panggil sebagai Barisan Alternatif. Kerjasama yang dilakukan secara mata kasarnya memang nampak cantik dan ideal tetapi agenda dan mimpi mereka tetap berbeza-beza. Disebabkan faktor ini maka lagi sekali mereka gagal menumbangkan kerajaan Barisan Nasional. Berbeza pula dengan PAS apabila penggabungan ini memberikan kelebihan kepada mereka dalam menawan sekaligus membentuk kerajaan baru bagi negeri Terengganu. 

Namun mereka tidak pernah berputus asa.  Pilihan Raya Umum Ke-11 menyaksikan PAS kembali tumbang di Terengganu apabila rakyat mula menyedari dan menolak retorik mereka. Dalam pada itu, DAP pula yang dapat memenangi lebih banyak kerusi.

Di atas rasa tidak puas hati atas kekalahan dalam siri pilihan raya baik pilihan raya umum atau kecil, maka strategi baru mula difikirkan dan dirancang. Antara strategi yang mereka gunakan adalah:

  1. Menggunakan dan mempengaruhi Badan-Badan Bukan Kerajaan (NGO).

  2. Mewujudkan kerjasama atau jaringan dengan mana-mana pertubuhan baik di dalam mahupun di luar negara yang seiring dengan matlamat mereka.

  3. Meletakkan atau memastikan kenalan mereka dalam mana-mana jabatan kerajaan atau sektor awam.

  4. Menubuhkan lebih banyak NGO baru.

  5. Mewujudkan parti politik baru yang berlandaskan perkauman bagi memecahkan undi sesatu kaum.

  6. Memainkan isu perkauman.

  7. Menghentam dasar-dasar kerajaan yang didakwa sebagai penuh dengan nepotisme, kronisme, rasuah dan termasuklah dikatakan memihak kepada satu kaum sahaja iaitu bumiputera.

  8. Menggunakan media antarabangsa bagi memperlihatkan kepada dunia luar bahawa Malaysia adalah sebuah negara yang tidak demokratik.

  9. Memecahkan pemuafakatan di antara parti-parti utama dalam Barisan Nasional iaitu UMNO, MCA dan MIC termasuklah Gerakan, PPP dan parti-parti dari Sabah dan Sarawak dengan meracuni pemikiran mereka antara satu sama lain di samping menanamkan rasa benci dan ketidakpercayaan rakyat terhadap parti-parti tersebut. Dengan itu akhirnya nanti, rakyat akan melihat bahawa parti-parti ini sudah tidak lagi relevan pada zaman ini.

  10. Mengeksploitasikan dan mensensasikan satu-satu isu yang mampu membawa keuntungan dalam permuafakatan mereka dalam Barisan Alternatif.

Idea untuk mencetuskan demonstrasi mula timbul apabila 10 tuntutan yang dinamakan sebagai Petisyen Rakyat mula digariskan pada September 2007 untuk dipersembahkan kepada Yang DiPertuan Agong. Namun apabila dikaji semula, petisyen tersebut lalu ditukarkan kepada memorandum yang hanya menekankan 4 tuntutan membabitkan isu pilihan raya. Ini kerana mereka mendapati bahawa PAS dan orang melayu tidak akan turut serta seandainya perkara yang melibatkan kepentingan orang-orang Melayu dan Islam diperkotak-katikkan.

Disebabkan Pilihan Raya Umum bagi kali ke-12 dirasakan semakin hampir, mereka ingin dilihat di mata masyarakat bahawa mereka benar-benar memperjuangkan makna demokrasi. Akhirnya tercetuslah demonstrasi jalanan atau perhimpunan haram pada 10 November 2007 yang dihadiri oleh 40,000 hingga 50,000 ribu orang seperti yang dilaporkan oleh Sekretariat BERSIH. Penyertaan dari kalangan NGO yang mereka katakan sehingga 72 entiti NGO amat kurang sekali. Kebanyakannya adalah para penyokong parti-parti politik pembangkang itu sendiri. 

Pelbagai persoalan timbul. Perlukah mereka membuat demontrasi jalanan hanya sekadar untuk menyampaikan memorandum kepada Yang DiPertuan Agong? Tidakkah memadai jika hanya ketua-ketua mereka sahaja yang bertindak menyerahkannya tanpa menyusahkan orang lain? Apakah signifikannya apabila Jeff Ooi sebagai ahli baru DAP ditemuramah oleh AI-Jazeera

Jawapannya amat mudah. Pilihan raya dikatakan kian hampir. Mereka mahukan kemenangan. Mereka mahu memerintah. Pada mereka, inilah masanya apabila mereka mengandaikan bahawa YAB Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi adalah seorang pemimpin yang ‘tidak kuat’ jika dibandingkan dengan perdana menteri sebelum ini. Mereka menjadi lebih berani dan sanggup membelakangkan keharmornian kaum dan keamanan negara demi mencapai apa yang mereka hajati. Mereka sanggup memperlekehkan Yang diPertuan Agong dan mengaitkan baginda dalam usaha untuk menjayakan demonstrasi haram. Apabila baru-baru ini Yang DiPertuan Agong menafikan bahawa baginda ‘memperkenankan’ demonstrasi tersebut, mereka pun mula terkial-kial untuk mencari pelbagai alasan dan helah. Akhirnya Datuk Pengelola Bijaya Diraja Wan Mohd Safiain Wan Hasan pula yang dituding mereka sebagai balaci UMNO dan kerajaan hanya kerana menyampaikan apa yang dititahkan baginda kepadanya. 

Analisa yang dibuat mendapati kebanyakan mereka yang berdemontrasi adalah terdiri daripada orang-orang muda melayu dari parti KeADILan dan PAS (60 – 70%) manakala bukan melayu pula 30 – 40%. Parti-parti politik merangkumi 80 – 90% manakala NGO hanya 10 – 20% sahaja. Berdasarkan anggaran kasar ini, jelas demonstrasi ini tidak melambangkan suara masyarakat Malaysia secara keseluruhannya. Hanya suara-suara biasa dari kalangan para pembangkang. 

Kita Iihat pula pada parti-parti pembangkang yang menyertai demonstrasi tersebut. KeADILan dikepalai oleh Dato’ Seri Anwar Ibrahim. Beliau seperti yang diketahui hanya mahukan kembali kedudukannya. Mempunyai cita-cita untuk menjadi Perdana Menteri Malaysia. Beliau ingin menunjukkan kepada para penyokong setia bahawa beliau adalah pemimpin sejati yang tiada cacat celanya sekiranya beliau memimpin negara. Beliau juga mahu memperlihatkan kepada individu dan pertubuhan luar yang menajanya selama ini bahawa pelaburan yang mereka lakukan tidak dipersia siakan. Beliau tetap akur dengan perintah dalam misi menjatuhkan kerajaan Barisan Nasional (BN).

DAP pula diwakili oleh YB Lim Kit Siang dan anaknya Lim Guan Eng. Kedua-dua tokoh politik anak-beranak ini memang terkenal dengan konsep ‘Malaysian Malaysia’. Sejak dahulu lagi memang mereka tidak pernah setuju dengan dasar-dasar kerajaan yang banyak mementingkan penduduk asal Tanah Melayu. Apatah lagi apabila merujuk kepada Perlembagaan Persekutuan yang langsung tidak banyak menyebelahi kepentingan mereka. Beliau tetap mahu agar Malaysia dapat diperintah sepertimana negara jiran. Dasar pemerintahan negara jiran itu ingin beliau praktikkan di Malaysia.

PAS pula diketuai oleh Presiden, Datuk Seri Hj Abdul Hadi Awang dan Hj Mohamad Sabu. Kedua-duanya mahu menegakkan kerajaan Islam ala PAS di Malaysia. Bagi mereka, Malaysia dari dahulu lagi diperintah oleh mereka yang membelakangkan Islam. PAS sahaja yang mampu menjalankan sistem pemerintahan Islam di Malaysia. Tetapi kita tahu bahawa PAS telah gagal melaksanakan perkara tersebut walaupun telah memerintah Kelantan selama 17 tahun dan di Terengganu selama 4 tahun.

Ada beberapa persoalan yang timbul untuk kita renungkan. Mengapa PAS lambat memberikan maklumbalas sokongan dan penyertaan mereka terhadap demonstrasi ini? Mengapa Dato’ Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat sehingga hari ini tidak membuat apa-apa kenyataan berhubung demonstrasi ini? Mengapa demonstrasi itu hampir keseluruhannya terdiri daripada orang-orang muda? Mengapa mereka memanggil media asing untuk merakamkan kejadian demonstrasi termasuk diwawancarakan? Siapa dalang di sebalik semua ini? 

Perbezaan di antara demontrasi besar-besaran dari tahun 1946 sehingga hari ini terlalu nyata:

  1. Demonstrasi rakyat 1946 membawa kepada kemerdekaan negara. Wujudnya persefahaman antara tiga kaum utama iaitu Melayu, Cina dan India.

  2. Demonstrasi jalanan 1969 membawa kepada tragedi berdarah dan akhirnya membawa kepada pengenalan Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang terbukti hari ini menjamin kemakmuran negara.

  3. Demonstrasi jalanan 1998 lebih berbentuk peribadi dan hanya memperjuangkan seorang individu.

  4. Demonstrasi 2007 lebih kepada strategi memenangi pilihan raya oleh parti-parti politik pembangkang di samping memburuk-burukkan imej negara di mata dunia.

 Adakah mungkin untuk tahun-tahun berikutnya demonstrasi di Malaysia akan lebih menjurus kepada perkauman?

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: