Sahabat MANTAP

:: Memantapkan Minda Nasional ::

Pilihan Raya vs Pemilihan Parti

Posted by Sahabat MANTAP di Jumaat, 9 November 2007

Oleh : Jebat Pembela

Khabar angin telah bertiup kencang dan akhir-akhir ini bertukar menjadi ribut mengatakan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein tidak akan mempertahankan jawatannya di dalam Pergerakan Pemuda UMNO tetapi sebaliknya ingin mencuba nasib untuk jawatan yang lebih tinggi iaitu Naib Presiden UMNO.

Di sebalik timbulnya desas-desus menyatakan beliau akan bertanding bagi jawatan Naib Presiden UMNO, si empunya diri menganggap belum masanya lagi untuk memberi apa-apa jawapan terhadap persoalan sama ada beliau akan terus menerajui sayap kanan UMNO itu ataupun melonjakkan diri ke jawatan yang lebih tinggi. Bagi beliau, pemilihan parti bukannya menjadi keutamaan kerana pilihan raya jauh lebih penting jika hendak dibandingkan dengan pemilihan parti.

Tidak setakat itu sahaja malah desas-desus juga kedengaran di celah-celah kesibukan para perwakilan UMNO berhimpun untuk menghadiri Perhimpunan Agung UMNO apabila diberitakan ramai yang mengintai bagi jawatan Naib Ketua Pemuda UMNO Malaysia yang sudah tentunya akan terbuka untuk pertandingan.

Sebelum ini dua orang kuat Pemuda yang dikatakan sudah bersedia untuk bertanding ialah Exconya yang juga Setiausaha Politik Kepada Menteri Kewangan, Datuk Reezal Merican dan Ketua Pemuda UMNO Johor merangkap Ahli Parlimen Muar, Razali Ibrahim. Nama yang disebut-sebut mungkin akan turut serta ialah Ketua Pemuda UMNO Perlis, Rozabil Abdul Rahman yang juga Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Perlis.

Apa yang pasti, Khairy dijangka tidak akan melepaskan peluang untuk merebut jawatan nombor satu pergerakan itu jika berlaku kekosongan. Walaupun risik-merisik kedengaran di sana sini tentang siapa dan apa jawatan yang akan ditandingi, namun semuanya mengelak untuk memberi sebarang kepastian kerana tumpuan kini lebih menjurus kepada soal plilihan raya umum yang bakal diadakan. Malah kebanyakan mereka menganggap soal pemilihan jawatan dalam parti adalah isu sensitif untuk diperbual-bualkan buat masa ini. 

Bukan sahaja Pergerakan Pemuda UMNO malah Pergerakan Wanita UMNO juga panas mengenai isu pemilihan parti ini. Sokongan secara terbuka yang diberikan oleh Senator Datuk Wira Syed Ali Alhabshee kepada Datuk Seri Azalina Othman Said bagi merebut jawatan Ketua Wanita UMNO telah menggemparkan Pergerakan Wanita UMNO itu sendiri. Namun begitu, Datuk Seri Azalina memilih untuk berdiam diri. Mungkin ada baiknya beliau mendiamkan diri kerana sebarang kesilapan perkataan boleh menjejaskan apa yang beliau miliki hari ini.

Hampir dua dekad Datuk Seri Rafidah Aziz memegang jawatan sebagai Ketua Pergerakan Wanita UMNO dan usia sebegini boleh dikatakan cukup matang bagi sesatu jawatan itu disandang. Sepanjang memegang tampuk pergerakan, Wanita UMNO telah meraih keahlian lebih dari satu juta ahli dan sehingga kini belum ada tanda-tanda bahawa beliau mahu mengundurkan diri dari jawatan keramat ini.

Dalam Perhimpunan UMNO kali ini, Pergerakan Wanita UMNO melalui perwakilan-perwakilannya ada menyentuh soal keahlian dalam Wanita. Ini berikutan ucapan Ketuanya yang menegaskan jika ada di kalangan ahli-ahli Puteri UMNO yang telah pun matang dan ingin melangkah ke dunia Wanita agar mengikut jalan yang betul kerana Pergerakan Wanita sentiasa mengalu-alukan kemasukan pelapis-pelapis ini.

Datuk Seri Rafidah juga turut menasihati ahli-ahlinya agar memahami erti rezeki. Setiap ahli harus faham erti perjuangan sebenar Pergerakan Wanita UMNO dan elakkan bersikap ‘gila jawatan’ jika menyertai pergerakan. Mungkin Datuk Seri Rafidah mula merasakan apa yang ditiupkan oleh Ketua Bahagian Cheras ini amat sukar untuk diterima. Tetapi perlukah beliau melatah sekiranya beliau yakin bahawa kekuatan beliau sememangya teguh dan tidak boleh digugat? Ramai yang merasa hairan apabila melihat beliau lebih melatah dan menggelabah berbanding Naib Ketuanya, Datuk Seri Shahrizat Abd Jalil sedangkan Datuk Seri Azalina lebih tenang menghadapi isu ini.

Ucapan pembahas daripada perwakilan Wanita UMNO kebanyakannya penuh dengan sindiran dan amaran agar tiada sesiapa cuba memecah-belahkan wanita UMNO. Walaupun nama Datuk Seri Azalina tidak disebutkan tetapi para perwakilan tetap mengerti siapa yang dimaksudkan. 

Sebagai seorang Naib Ketua Wanita yang hanya menunggu masa, Datuk Seri Shahrizat memilih jalan lebih selamat dengan menyatakan sokongan kepada Ketuanya. Tiada istilah ‘kacang lupakan kulit’ buatnya apabila beliau ditanya tentang sokongan beliau terhadap Datuk Seri Rafidah Aziz. Dalam ucapan sulungnya di pentas perhimpunan agung sejak dipilih menjadi Naib Ketua Wanita, beliau amat berterima kasih kepada semua yang terlibat atas kepercayaan dan kerjasama yang diberikan terhadap beliau selama ini. Menurut Shahrizat, beliau tidak pernah lupa di mana beliau bermula ketika bersama-sama para wanita yang selama ini menggembeleng tenaga dalam memperjuangkan agenda Wanita UMNO.

Di akhir ucapannya menyebut bahawa beliau akan terus bersama Datuk Seri Rafidah dalam memperjuangkan dan menentukan agar Wanita UMNO terus stabil dan dapat menumpukan sepenuh perhatian pada pilihan raya yang akan datang. 

Kebanyakan pemimpin di dalam UMNO menegaskan pilihan raya adalah lebih penting berbanding pemilihan parti. Sejauhmana kenyataan yang dikeluarkan oleh pemimpin-pemimpin UMNO ini benar?

Satu Respons to “Pilihan Raya vs Pemilihan Parti”

  1. ME said

    Semuanya tak benar…PENIPU belaka. Yg penting dapat jawatan, boleh dapat projek, agih kat kroni, pastu jual kat tokeh cina…

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: