Sahabat MANTAP

:: Memantapkan Minda Nasional ::

Pengkhianat Negara Menang RM2.5 Juta

Posted by Sahabat MANTAP di Ahad, 28 Oktober 2007

oleh: Sang Tempur

Abdul Malek HussinAbdul Malek Hussin, 51 telah terlibat dengan gerakan reformasi sejak 4 September 1998 lagi sejurus selepas pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim (DSAI) dari jawatan Timbalan Perdana Menteri. 5 hari selepas Anwar ditangkap pula, beliau secara jelas telah mengetuai satu demonstrasi di Masjid Negara sebaik sahaja selepas bersembahyang Jumaat pada 25 September 1998 bagi menuntut pembebasan Anwar serta peletakan jawatan Tun Dr Mahathir Mohamad dan Ketua Polis Negara ketika itu, Tan Sri Abdul Rahim Noor.

Bagaimana Hakim boleh mengatakan bahawa penglibatan Malek dalam perhimpunan haram ini sebagai dakwaan kosong? Atas persaksian apa yang digunapakai dalam membicarakan kes ini? Apakah cukup dengan hanya bersaksikan kata-kata plaintif (Malek)?

Ekoran dari demonstrasi itu, Malek mula ditangkap dan ditahan di bawah Seksyen 73 (1), Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) 1960 oleh sepasukan polis dari cawangan khas yang diketuai oleh ASP Borhan Daud di pintu pagar rumahnya di Ampang antara jam 10 hingga 11 malam pada tarikh yang sama. Malek kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur (IPPK) dan disoal siasat di sana sebelum di bawa ke Bukit Aman pada keesokan tengaharinya.

Hakim telah mendakwa bahawa cara soal siasat yang dilakukan oleh pihak polis adalah bertujuan politik dan tiada kena-mengena dengan soal keselamatan negara. Selanjutnya beliau mendakwa bahawa penahanan Malek sejak awal adalah mala fide (berniat jahat).

Persoalannya, apakah soal keselamatan negara hanya berkisar kepada acara jenayah? Pihak polis mempunyai kaedah tertentu dalam menyoal siasat mereka yang ditahan bagi mencari perkaitan dari satu bab ke satu bab yang lain sehinggalah matlamat soal siasat dicapai. Apakah hakim juga tidak menimbangkan ‘niat jahat’ Malek dalam meruntuhkan sebuah institusi kenegaraan?

Pada 21 November 1998, selepas 57 hari berada dalam tahanan, Malek mula dibebaskan dan tertakluk di bawah pengawasan cawangan khas yang memantau aktiviti-aktivitinya. Untuk pertama kalinya pada Februari 1999, Malek telah bercerita di khalayak ramai tentang pengalamannya ditahan di bawah ISA dalam satu majlis anjuran Gerakan Rakyat Malaysia untuk Keadilan di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur-Selangor.

Kemudiannya, hasil dari dorongan dan sokongan daripada rakan-rakan dalam parti pembangkang, Malek telah membuat laporan polis pada Mac 1999 terhadap apa yang didakwanya sebagai telah berlaku ke atas dirinya sepanjang tempoh penahanan beserta satu afidavit bagi memfailkan saman sivil berjumlah RM30 juta.

Siapa Hakim

Hakim Datuk Mohd Hishamudin Mohd Yunus yang menghakimi kes Malek ini pernah membebaskan 2 aktivis reformasi, Abd Ghani Haron dan N. Gobalakrisnan yang ditahan di bawah ISA pada 2001. Dalam hujah pembebasan tersebut, beliau telah mencadangkan agar Parlimen segera memansuhkan ISA yang didakwanya sebagai sudah tidak sesuai untuk dipraktikkan.

Bukankah kerja seseorang Hakim itu hanya setakat membuat penghakiman dan bukannya bertindak sebagai seorang legislator? Jika beliau benar-benar seorang pengamal undang-undang yang profesional, seharusnya beliau tahu bahawa beliau akan hanya boleh memansuhkan ISA sekiranya menjadi sebahagian daripada jentera legislatif.

Dalam kes saman DSAI terhadap penulis buku 50 Dalil, Khalid Jafri, Hishamudin yang juga junior DSAI ketika dalam Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) dahulu juga pernah memenangkan kes ini pada 18 Ogos 2005 dengan mengarahkan gantirugi sebanyak RM4.6 juta dibayar kepada DSAI. Dalam hujah kemenangan DSAI itu, beliau mendakwa bahawa buku itu sebagai fitnah dan mengakui akan kewujudan konspirasi bagi menjatuhkan karier politik DSAI.

Kita harus ingat bahawa seseorang Hakim itu juga adalah manusia. Sebagai manusia, biarpun bertaraf raja, hakim, imam atau guru sekalipun, mereka tetap mempunyai kecenderungan politiknya sendiri. Apabila Hakim seperti ini dibiarkan bermaharajalela, maka tunggulah akan datangnya satu hari di mana institusi kehakiman negara sedikit demi sedikit menuju era kehancurannya.

Penghakiman yang dilakukan tidak ubah seperti gaya orang-orang PAS. Jika PAS berhujah dengan mengemukakan satu ayat Al-Quran dan menyembunyikan yang lain, maka begitulah gaya penghujahan peguam Malek, R. Sivarasa, M. Moganambal dan termasuklah Hakim itu sendiri apabila turut menyembunyikan peruntukan undang-undang lain yang tidak menyebelahi Malek.

Perkara 149 Perlembagaan Persekutuan berkenaan “Undang-undang menentang perbuatan subversif, tindakan yang memudaratkan ketenteraman awam dsb” membolehkan sebarang tindakan atau ancaman oleh sekumpulan orang seperti yang disebutkan dalam Fasal (1)(b) dan Fasal (1)(f) diberhentikan atau dicegah sekalipun bertentangan dengan mana-mana peruntukan Perkara 5, 9, 10 dan 13.

  • Perkara 149, Fasal (1)(b) adalah mengenai mana-mana tindakan atau ancaman oleh sekumpulan orang yang membangkitkan perasaan tidak suka terhadap Yang DiPertuan Agong atau Kerajaan Persekutuan dan yang mendatangkan mudarat kepada ketenteraman awam disebutkan pula di bawah Fasal (1)(f).

Jika merujuk kepada Perkara 4, Fasal (1) pula jelas menyebut bahawa “Perlembagaan ini adalah undang-undang utama Persekutuan dan apa-apa undang-undang yang diluluskan selepas Hari Merdeka dan yang berlawanan dengan Perlembagaan ini hendaklah terbatal setakat yang berlawanan itu.”

Ini bermakna, peruntukan di bawah Perkara 149(1) itu sendiri dan diperkuatkan pula dengan Perkara 4(1) telah membatalkan apa-apa peruntukan di bawah Perkara 5(3).

  • Perkara 5 Perlembagaan Persekutuan adalah mengenai hak “Kebebasan Diri” yang mengkehendaki seseorang yang ditangkap diberitahu sebab-sebabnya ditangkap dan membenarkan seorang peguam dipilih olehnya dan seterusnya membela dirinya.

Ini sekaligus membayangkan bahawa jika parti pembangkang dibenarkan memerintah negara, tidak mustahil jika segala institusi yang berkaitan dengan penguatkuasaan dan pengamalan undang-undang akan berada di bawah kawalan mereka. Maka apa yang diperjuangkan mereka hari ini rupanya hanyalah bermotifkan politik dan peribadi. Langsung tiada perjuangan ikhlas untuk rakyat sepertimana yang diwar-warkan. Jelaslah bahawa seluruh rakyat selama ini ditipu demi kepentingan dan maruah mereka.

Siapa MAFREL

Abdul Malek Hussin seperti yang diketahui umum adalah pengerusi Malaysian For Free and Fair Elections (MAFREL). Apa pula latar belakang MAFREL? Pertubuhan yang ditubuhkan dalam tahun 1999 ini adalah juga anggota Asia Network for Free Election (ANFEL) dan bekerjasama rapat dengan Institut Kajian Dasar (IKD) dalam bidang penyelidikan. Mempunyai pekerja-pekerja yang dibayar dalam US dolar.

Mengapa pekerjanya dibayar dalam US dolar? MAFREL mendapat pembiayaan dari National Endowment For Democracy (NED) manakala NED pula mendapat tajaan dari United States Agency for International Development (USAID). Dana USAID pada tahun 2006 sahaja berjumlah USD9.1 billion.

Siapa pula NED? NED banyak terlibat dalam membeli, mencaturkan atau menentukan kerajaan di seluruh dunia. NED menyalurkan wang terutamanya sewaktu musim pilihan raya bagi mencaturkan kerajaan di Cuba, Venezuela, Costa Rica, Haiti, Panama, Nicaragua, Iran, Iraq, Afghanistan, Slovakia, Bulgaria, Serbia, Ukraine, Georgia, Indonesia, Filipina, Thailand dan lain-lain. Bersandarkan ini, tidak mustahil Malaysia juga menjadi mangsa melalui parti-parti politik pembangkang negara.

Marc Bazin pernah menerima bantuan USD36 juta daripada NED semasa pilihan raya Haiti pada tahun 1990; Nicholas Ardito Barletta menjadi Presiden Panama juga dengan dana bantuan NED; George H. W. Bush pernah menyalurkan USD9 juta melalui NED bagi membolehkan Violeta Chamorro menjadi Presiden di Nicaragua. Maka tidak hairanlah jika mahu dikaitkan bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim juga mendapat pembiayaan bagi memastikan beliau menjadi Perdana Menteri Malaysia satu hari nanti.

Apa pula tujuan USAID, NED dan KAF (Kondrad Adenaeur Foundation yang juga membiayai IKD) dalam mencampuri urusan negara lain? Sudah tentulah untuk memastikan bahawa kesemua negara-negara di dunia tunduk kepada Amerika di samping menghapuskan kerukunan agama Islam di muka bumi.

Bagaimana caranya? Hancurkan ekonomi, gugat kerajaan yang memerintah, timbulkan kekacauan, pecahkan perpaduan kaum dan perkongsian kuasa adalah modus operandi yang dilakukan melalui parti-parti politik pembangkang negara termasuklah orang-orang perseorangan dan badan-badan NGO yang mempunyai kecenderungan membangkang atau memberontak terhadap kerajaan yang sedia ada. Inilah yang sedang berlaku dalam negara. Inikah yang kita mahukan?

Jika bersandarkan kepada keputusan penghakiman, saman RM2.5 juta terhadap pegawai polis dan Kerajaan yang dimenanginya hanyalah kerana dakwaan tindakan penderaan fizikal ke atasnya sebagai tahanan ISA dan bukanlah kerana kesalahannya terlibat dalam aktiviti-aktiviti yang boleh memudaratkan keselamatan negara.

Dengan ini, Abdul Malek Hussin masih boleh dianggap sebagai pengkhianat negara setaraf dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Raja Petra Raja Kamaruddin.

11 Respons to “Pengkhianat Negara Menang RM2.5 Juta”

  1. gegar said

    biasalah, benda yg benar kenalah dimenangkan, dah kalau yg salah pun nak dimenangkan, kan zalim namanya tu … yg pasti org yg menyokong kezaliman, dia pun zalim sama ….

  2. rangiku said

    Malek adalah pengkhianat negara dan penghancur umat bila tergamak memporak-perandakan kedamaian dan keamanan umat Islam yang kita miliki dan nikmati hari ini di tanah sendiri. Malek telah berlaku zalim dan kufur terhadap nikmat yang dikurniakan untuk negara ini.

    Apakah menzalimi orang yang zalim seperti Malek ini dikatakan sbg zalim?
    Apakah menzalimi ular yang mengancam kmita dinamakan sbg zalim?
    Sesungguhnya mereka yang bersengkongkol denganMalek itulah lebih zalim lagi terkutuk sebenarnya…

  3. bumilangit said

    apa definasi zalim sebenarnya? macamana nak kata seseorang tu pengkhianat? apabila dia memusuhi kamu maka dia pngkhianat?

  4. rizsya13 said

    Aku pun nak 2.5 juta..Tapi aku kena jadi pengkhianat ke?

    Alamak..!!

  5. ME said

    bole2…rebutla jadi AJK amno…tak kesah la peringkat mana. boleh dapat projek, pastu jual kat cina. mebi bole dapat lagi banyak wooo…

  6. raduan said

    Yang pasti ISA itu zalim,Menentang kezaliman adalah wajib.

  7. Gelembai said

    apa kata kau jadi tahanan encik isa lepas tu kena pukul…apa rasanya? dia menang dan senang lenang kira rezeki dialah. kau patut bersyukur.

  8. rangiku said

    apa kata klu malek wat reformasi…
    then negara kita kucar kacir..
    then berlaku pertumpahan darah…
    then tentera Amerika masuk ke dalam Malaysia…
    kamu semua nie diperintah oleh Amerika…
    korang nak ker???
    contoh di Myammar…
    tue semua propraganda Amerika…
    Amerika tunggu masa je nak masuk Myanmar…
    korang nak semua nie terjadi ker???
    ISA untuk ape???
    untuk mengekal kan keamanan negara…
    ISA nie ade kat Britain…
    kat Amerika ade undang2 penganas…
    sama je tue…
    untuk ape undang2 nie??
    untuk memastikan keamanan negara dapat dikekalkan..
    ADE FAHAM????

  9. lawyer's brother said

    INI BARU BETUL-BETUL PENGKHIANAT!

    Pendedahan yang dipetik dari Laporan Ketua Audit Negara 2006 tentang perbedaan ketara harga pasaran dengan harga yang dibayar untuk beberapa peralatan Institut Kemahiran Belia Negara (KBN) menjadi bualan umum baru-baru ini dan mendapat perhatian media.

    Ramai terpegun bagaimana harga set screwdriver boleh menjadi RM224.94 sedangkan harga pasaran hanya RM40, harga kamera digital kodak melonjak kepada RM8,254.29 (harga pasaran RM2,990), set pasu plastik RM42.80 (harga pasaran RM5.20), settee 6 seater RM9,075 (harga pasaran RM1,500) dan 2 tonne jack RM5,741.69 (harga pasaran RM50).

    Selain itu, sebuah kren menara berharga RM2.73 juta dibeli untuk IKBN Chembong dan sebuah lagi berharga RM2.990 juta untuk IKBN Bachok, sedangkan harga pasaran masing-masing hanya RM1.45 juta dan RM1.53 juta.

    Sebanyak 152 pakej komputer desktop yang dilengkapi perisian Computer Assisted Design and Drafting untuk jurusan Pelukis Pelan Seni Bina pada empat IKBN Bachok, Chembong, Kinarut dan Kuala Perlis telah dibeli dengan harga R4.47 juta atau RM29,385 setiap pakej sedangkan harga pasaran hanya RM9,250 bagi satu pakej, yakni kos keseluruhan RM1.41 juta.

    Sebanyak 430 set papan bancuh simen untuk jurusan Jurubina Bangunan dan jurusan Jurulepa dan Penjubinan pada empat IKBN yang sama telah dibeli dengan harga RM441,610 atau RM1,027 setiap satu. Sedangkan harga pasaran hanya RM150 sahaja (harga untuk 430 set hanya RM64,500) dan menurut tenaga pengajar IKBN, kosnya boleh dikurangkan lagi sekiranya pihak IKBN membeli papan sendiri dan pelajar diberi tugas untuk membuat papan bancuh simen sendiri.

    Tiga unit kabin telah dibeli dengan harga RM425,700 atau RM141,900 setiap satu untuk dijadikan bilik kuliah jurusan Operator Kren Menara di IKBN Bachok dan IKBN Chembong. Pihak Jabatan Audit Negara mendapatkan sebut harga sebuah kabin yang sama termasuk upah pengangkutan, kos memasang 2 penghawa dingin dan sewa kren, iaitu RM20,000 sahaja (RM60,000 untuk tiga unit).

    Harga sebenar RM417 tetapi dibeli TM10,700

    Sebanyak 17 set buku teknikal dengan 10 tajuk telah dibeli untuk jurusan Pelukis Pelan di KBN Bachok, Chembong dan Kuala Perlis, dengan harga RM181,900 atau RM10,700 setiap set. Semua 10 tajuk buku tersebut boleh dibeli daripada Koperasi Dewan Bahasa dan Pustaka dengan harga RM417 sahaja dan ini bermakna harga yang dibayar Kementerian Belia dan Sukan adalah RM174,811 lebih tinggi daripada harga pasaran.

    Begitu juga dengan harga satu set pen teknikal yang dibeli dengan harga RM1,146.56 sedangkan harga pasaran hanya RM160.

    Okey, saya tidak mahu membutirkan lebih banyak pendedahan laporan Audit itu. Dan segala yang dibentangkan di atas pun bukanlah prioriti catatan ringkas ini. Ia mungkin boleh diibaratkan sebagai kes ikan bilis sedangkan ada kes membabitkan ikan jerung yang tidak diberikan keutamaan oleh pihak media. Tidak pula saya anggap pembaziran wang rakyat dalam kes-kes IKBN ini boleh didiamkan begitu sahaja.

    Menteri bertanggungjawab, ketika itu, Dato’ Seri Hishamuddin Hussein harus menjelaskan bagaimana keadaan pincang itu boleh berlaku. Kita pun pelik juga dengan peranan Biro Inovasi dan Perundingan, Universiti Teknologi Malaysia yang dilantik sebagai perunding untuk membantu Kementerian Belia dan Sukan mengenal pasti keperluan peralatan IKBN, dan sehingga Disember 2006, sejumlah RM6.54 juta telah dibayar kepadanya.

    Kita tinggalkan sekejap isu-isu yang membabitkan perbedaan harga yang begitu ketara itu, dengan menyedari jumlah terkumpul yang sepatutnya boleh dijimatkan tidak kurang daripada RM10.80 juta, selain dapat mengelak permohonan penambahan perolehan peralatan sehingga kosnya berjumlah RM267,90 juta. Kerajaan juga terpaksa membayar tidak kurang RM88.45 juta untuk peralatan yang masih tidak digunakan atau tidak digunakan secara optimum disebabkan tiada keperluan, tenaga pengajar tidak pakar dan pembelian yang terlalu awal.

    Ooop, cukup dulu hal berkenaan, kita fokus isu lebih besar.

    Giliran Najib menjawab

    Kita beralih kes yang lebih besar membabitkan Kementerian Pertahanan, yang kini diketuai Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Najib Razak. Semalam, di Pekan, Najib berkata kerajaan bersedia mengguna pakai apa sahaja kaedah baru yang disyorkan oleh Jabatan Audit Negara asalkan dapat menyumbang ke arah pentadbiran kewangan awam lebih cekap, telus dan mempunyai akauntabiliti. Beliau mengulas langkah Audit hendak memperkenalkan indeks akauntabiliti pengurusan kewangan ke atas semua kementerian dan perbendaharaan negeri bermula tahun depan.

    Najib seterusnya berkata, langkah memperkenalkan sistem ini dapat mengelakkan berulangnya salah urus dana di kementerian dan jabatan berkaitan. ‘‘Kalau tidak ada sistem penilaian, perkara-perkara ini (salah urus kewangan) akan berulang dan membuatkan banyak pihak mengatakan laporan audit itu (sekadar) merupakan cerita lama yang diulang balik,” katanya. Bagaimanapun, beliau menambah kerajaan tidak mahu pelaksanaan sistem itu menyebabkan berlaku perubahan yang besar dari segi pentadbiran kewangan di semua kementerian.

    Laporan Ketua Audit Negara mendedahkan banyak perkara yang tidak kena dalam pengurusan perolehan 6 buah kapal peronda (Petrol Vessel – PV) Tentera Laut Diraja Malaysia, yang tidak dibuat dengan baik dari segi perancangan, pelaksanaan dan pemantauan. Saya minta rakan saya, Lifeboat, yang berpengalaman dalam hal pengauditan ini, untuk membuat analisis lebih terperinci dalam Harakah cetak keluaran depan.

    Kos membina 6 buah PV ini ialah RM5.35 bilion. Kontraktor awal ialah Naval Dockyard Sdn Bhd (NDSB), yang kemudiannya selepas diswastakan menjadi konsortium PSC-NDSB, diketuai Penang Shipbuilding And Construction Sdn Bhd (PSC), yang dipengerusikan Dato’ Amin Shah Omar Shah.

    Bagaimanapun Panglima Tentera Laut ketika itu, Dato’ Seri Mohd Shariff Ishak menekankan TLDM tidak bersetuju dengan cadangan penswastaan kepada PSC, antaranya kerana PSC merupakan limbungan yang kecil, prestasinya tidak baik dan hanya mempunyai pengalaman membina bot tunda dan bot polis jenis kecil. Kapal yang telah dibina oleh PSC juga terbukti kurang baik mutunya, selain pengurusannya yang kurang cekap.

    Tiada tuntutan denda lewat walaupun boleh dikenakan RM214 juta

    Mengikut kontrak asal, 6 kapal peronda itu sepatutnya diserahkan secara berjadual, bermula Mac 2004 (PV1), seterusnya Januari 2005 (PV2), Oktober 2005 (PV3), April 2006 (PV4), Oktober 2006 (PV5) dan April 2007 (PV6). Malangnya hanya PV1 dan PV2 dapat diserahkan, itu pun masing-masing pada Jun 2006 (terlewat 27 bulan) dan Julai 2006 (terlewat 18 bulan).

    Semasa penyerahan PV1 yang dikenali sebagai KD Kedah pada 2 Jun 2006, terdapat 100 item/kerja masih belum diselesaikan. Keadaan yang sama juga berlaku semasa penyerahan PV2 (KD Pahang) pada 27 Julai 2006 di mana sebanyak 383 item/kerja masih belum diselesaikan.

    Bagaimanapun, semakan Audit mendapati tiada tuntutan denda lewat dibuat Kementerian Kewangan walaupun Unit Perancang Ekonomi melalui mesyuarat Jawatankuasa Pembangunan (Perolehan) Kementerian Pertahanan pada bulan September 2005 telah mencadangkan supaya denda lewat berjumlah RM107 juta dituntut bagi PV1 dan PV2. Berdasarkan perkiraan Audit, sejumlah RM214.01 juta denda lewat boleh dikenakan terhadap kontraktor atas kelewatan keenam-enam PV berkenaan.

    Pada 17 Januari lalu, tarikh penyerahan kapal peronda itu dirombak dengan memberi ruang lebih selesa. Bagi PV3, tarikhnya dianjak daripada Oktober 2005 kepada Disember 2008; PV4, Julai 2009; PV5, November 2009; dan PV6, Mac 2010.

    Jika diambil secara purata, kos bagi membina sebuah kapal peronda ialah RM848.19 juta (iaitu kos keseluruhan RM5.08 — yakni tidak termasuk bayaran Commercial Package Achievement Fee bernilai RM267.50 juta — dibahagi enam). Berdasarkan Laporan Pasukan Projek PV setakat bulan Disember 2006, merujuk peratusan kemajuan fizikal pembinaan kapal, PV3 baru 55.89% dibina, PV4 (44.75%), PV5 (19.81%) dan PV6 (18.47%).

    Setelah dibuat perkiraan, nilai semua 6 kapal peronda itu, mengikut peratusan siap hanya RM2.875 bilion, manakala kos yang masih diperlukan untuk menyiapkan empat lagi PV berkenaan ialah RM2.214 bilion. Persoalan besarnya, kerajaan sudah pun membayar RM4.256 bilion kepada kontraktor!

    Peruntukan yang berbaki hanya RM832.92 juta, sedangkan yang diperlukan ialah RM2.214 bilion, itu pun belum diambil kira kos yang semestinya meningkat. Ya, Najib, bagaimana hal ini boleh berlaku?

    “Tak cukup? Tak apa, takda hal punya”

    Maka bagi memulihkan projek ini, menurut Audit, kerajaan bersetuju menambah nilai kontrak sebanyak RM1.4 bilion lagi (senang-senang wang pembayar cukai dihanguskan, untuk kesekian kalinya!), iaitu daripada RM5.35 bilion kepada RM6.75 bilion. Bagaimanapun, pihak Audit tidak dapat menentukan justifikasi untuk menambah nilai kontrak sejumlah RM1.4 bilion itu.

    Lebih menarik (sebenarnya lebih menyesakkan dada rakyat) apabila pihak Audit tidak dapat mengesahkan 14 bayaran kemajuan berjumlah RM943.46 juta kepada kontraktor bagi tempoh Disember 1999 hingga Januari 2002 disebabkan baucer bayaran dan dokumen sokongan yang berkenaan telah hilang daripada simpanan Kementerian Pertahanan!

    Masya Allah, wang rakyat hampir RM1 bilion itu boleh “dibuat main-main” begitu sahaja. Ini bukan pembelian seringgit dua. Rekod menunjukkan baucer yang tidak dikemukakan itu daripada serendah RM6.69 juta sehingga yang tertinggi RM222.06 juta.

    Jadi, kepada Najib, apa penjelasan anda kepada isu ini?

  10. ME said

    nak kena jajah tak nanti org amareka tu datang sini…org yg jual negara tau la pasal nih. kan? kan? kan? singapura(geng amareka), filipina(2×5)

  11. raduan said

    Yang menjadi zalim kerana tak dibicarakan main tangkap Je. ,Allah S.W.T yg MAHA mengetahui pun buat perbicaraan di padang Masyar.Menurut Islam Selagi tidak dibuktikan bersalah selagi itu tak salah.Bila keputusan Mahkamah menetapkan Sdr Malik tak bersalah dan layak dapat 2.5J Tak kan kau nak kata dia pengkhianat,Hina keputusan Mahkamah nampaknya,Kalau dia pengkhianat kau dakwa dan buktikanlah sendiri kat Mahkamah,Ha itu baru canggih.Jangan pakai hukum rimba.Ko takut sangat Amerika tu Apa hal?…

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: