Sahabat MANTAP

:: Memantapkan Minda Nasional ::

Petisyen RPK – Untuk Rakyat Atau Agenda Peribadi

Posted by Sahabat MANTAP di Ahad, 7 Oktober 2007

Oleh : Sang Tempur

Pengarang MalaysiaToday
Raja Petra Raja Kamarudin

Bulan September 2007 menyaksikan Raja Petra Raja Kamarudin (RPK) melalui laman webnya malaysia-today.net telah menganjurkan satu Petisyen Rakyat untuk dipersembahkan kepada Yang DiPertuan Agong. Petisyen tersebut yang didakwanya telah mengumpul sebanyak 12,000 tandatangan secara ‘online’ telah dirangka selepas daripada kejadian rusuhan di Batu Buruk, Terengganu pada 8 September 2007 yang lalu.

Walaubagaimana pun, petisyen ini tetap dilihat sebagai salah satu strategi bagi menutup kesalahan yang telah dilakukan oleh rakan-rakan beliau dalam parti pembangkang terhadap kejadian rusuhan yang amat memalukan agama dan bangsa itu. Dari segi lain, petisyen ini hanyalah untuk melangsaikan dendam kesumatnya selepas ditahan di bawah Seksyen 73(1), Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) 1960 pada 11 April 2001. Ditambah lagi apabila laporan polis dibuat terhadapnya pada 23 Julai yang lalu ekoran daripada terbitnya sebuah artikel pada 11 Julai dalam laman webnya yang didakwa sebagai menghina Yang DiPertuan Agong, mengaibkan agama Islam dan melaga-lagakan kaum.

Dalam menyanjung RPK sebagai seorang ‘blogger’ yang bijak dan tajam analisisnya, rupanya tahap mindanya tidak ubah seperti ‘blogger’ dari kalangan parti pembangkang yang lain apabila mempunyai pemikiran berpilih dan minda yang berat sebelah.

Perkara ke-6 Petisyen tersebut menyentuh darihal ‘separation of power’ antara Perdana Menteri dan Ketua Hakim Negara. Mengapa pula dikatakan seorang Perdana Menteri tidak boleh meminta laporan daripada Ketua Hakim Negara? Jika merujuk Perkara 122B berhubung pelantikan hakim-hakim, Ketua Hakim Negara adalah dilantik oleh Yang DiPertuan Agong yang bertindak atas nasihat Perdana Menteri. Maka di sini, tidaklah bersalahan bagi seorang Perdana Menteri atas sikap bertanggungjawab untuk meminta kembali daripada Ketua Hakim Negara apa-apa laporan berhubung pelanggaran kod etika selepas pelantikannya.

Manakala Perkara 125 berhubung tempoh memegang jawatan pula ada disebutkan fasa ayat “…selepas berunding dengan Perdana Menteri…” yang sekaligus membawa maksud boleh berlakunya rundingan atau perbincangan antara Ketua Hakim Negara dan Perdana Menteri sama ada secara berdepan, surat-menyurat atau melalui apa jua jenis komunikasi dan perantaraan bagi apa-apa maksud di bawah Perkara ini tadi.

Jika diamati pula Fasal (3) dan (5) di bawah Perkara yang sama, seandainya berlaku pelanggaran mana-mana peruntukan kod etika oleh seorang Ketua Hakim Negara contohnya, seorang Perdana Menteri boleh merayu atau mengesyorkan kepada Yang DiPertuan Agong untuk memecat atau menggantung jawatan tersebut. Bagi mencapai maksud ini, maka Perdana Menteri berhak meminta laporan daripada tertuduh sebelum tindakan selanjutnya dibuat.

Ini bermakna, ‘separation of power’ antara seorang Perdana Menteri dan Ketua Hakim Negara hanya melibatkan perjalanan kuasa hakim dan mahkamah, bukannya mengenai pelantikan hakim atau perjawatan atau apa-apa perkara berhubung kod etika kehakiman.

Dr. Lim Teck Ghee, bekas Pengarah Pusat Kajian Polisi Awam, Institut Strategi & Kepimpinan Asia (ASLI) pernah menyanjung tinggi RPK sebagai seorang ‘blogger’ yang bijak dan tajam analisisnya pernah dilahirkan oleh Malaysia. Seorang kolumnis akhbar tabloid, Ramli Abdul Samad pula menyebut sebagai penganalisis sosiopolitik negara yang tajam.

Sebenarnya tiada apa yang perlu dikagumkan. Beliau hanya diangkat oleh orang-orang yang mempunyai ideologi atau doktrin yang sama. Laman webnya yang dikatakan menerima 6 juta pengunjung hanya kerana menggunakan bahasa antarabangsa lalu dilayari oleh para pengunjung mana-mana negara dari seluruh dunia. Sekiranya bahasa Melayu digunakan, nescaya jumlah pengunjungnya hampir sama dengan jumlah pengunjung bagi laman-laman web parti pembangkang berbahasa Melayu lain yang juga seusia dengannya.

Tiada pemikiran-pemikiran baru yang boleh dibanggakan. Hanya sekadar mewarisi pemikiran analitikal, reaktif, logikal, lateral, negatif, kritikal, emotif dan intuitif. Sedangkan begitu banyak bentuk pemikiran lain yang boleh membantu membangunkan diri dan orang lain tidak diketengahkan seperti pemikiran reflektif, konvergen dan divergen, paralel, vertical, nilai, positif, kreatif, sistematik dan konstruktif. Jadi, bagaimana pula beliau boleh dinilai sebagai seorang yang bijak dan tajam analisisnya?

Apakah RPK memasang angan-angan untuk diangkat sebagai calon Perdana Menteri atau sekurang-kurangnya calon Presiden Parti KeADILan Rakyat (PKR) dengan menghantar petisyen yang sedemikian rupa?

RPK berbohong kepada seorang Raja Melayu apabila ucapan merafak sembah beliau dalam Petisyen tersebut menyatakan sebagai “rayuan yang amat tulus”. RPK berbohong kepada rakyat dengan menyatakan Petisyen Rakyat itu sebagai ‘warkatul-ikhlas’. Apakah ada walau sekelumit keikhlasan dalam diri RPK untuk bersama dalam memperjuangkan kemaslahatan, keamananan dan kedaulatan negara?

Lihat saja bagaimana beliau pernah membuat pengakuan pada 25 Julai 2007 bahawa malaysia-today.net dilayari oleh para pengunjung dari 140 buah negara di dunia dan 70% adalah dari Malaysia. Manakala kebanyakan mereka yang yang memberi komentar pula terdiri daripada 47% rakyat Singapura, hanya 30% rakyat tempatan dan selebihnya dari negara-negara lain. Jadi, adakah boleh dipercayai bahawa jumlah 12,000 orang yang menurunkan tandatangan secara ‘online’ adalah 100% rakyat Yang DiPertuan Agong?

Dengan jumlah pengunjung yang pernah mencecah 1.5 juta sehari, laman web berbahasa Inggeris yang memakai nama ‘MalaysiaToday’ boleh jika mahu disamatarafkan dengan CNN kerana melaporkan berita berat sebelah tentang negara kepada dunia. Jika CNN dikatakan sebagai agenda Amerika, maka malaysia-today.net pula agenda siapa? Tidakkah RPK merasakan ini satu pengkhianatan kepada negara?

Kos penyelenggaraan bagi peningkatan ‘server’ laman webnya diberitakan memerlukan tambahan RM1.5 juta. Apabila ramai di kalangan komentatornya menawarkan derma, beliau menolak. Ini bermakna, RPK mempunyai sumber kewangan yang cukup kukuh untuk laman webnya dan saraan seumur hidup. Dari mana sumber itu datang? Adakah sumber sama yang menaja Anwar Ibrahim?

Laman webnya beralamat di Kanada dan ‘server’nya di Singapura. Jika jeffooi boleh meletakkan ‘server’nya dalam negara, mengapa RPK tidak boleh? Mengapa mesti mengeluarkan kenyataan, “MalaysiaToday is not a Malaysian website. We’re not based locally and we do not come under Malaysian law. I refuse to be dictated by any Malaysian laws,” Jika benar diri itu memperjuangkan kebenaran, mengapa mesti takut? Di mana prinsip berani kerana benar? Atau sebenarnya RPK takut kerana salah? Atau sebenarnya RPK ini agen kepada pihak yang yang tidak merasa senang selagi masih ada negara Islam yang hidup aman damai di bumi ini?

Kalau merasakan diri itu boleh memimpin negara, jangan ragu-ragu untuk mendaftarkan diri dalam mana-mana parti politik yang sehaluan dengan pemikiran RPK. Bertarung sebagai anak jantan dalam gelanggang sebenar. Sekecil-kecil anak kumpulan ‘cyber-troopers’ UMNO yang pernah disindir oleh RPK, mereka itu adalah ahli berdaftar kepada sebuah parti politik. Berbeza dengan RPK yang hanya berani melalak di luar gelanggang.

Kata orang, buat baik dibalas baik, buat jahat dibalas jahat. Kalau sudah biasa mendedahkan keburukan orang lain, usah melenting jika keburukan sendiri diperkatakan orang. Penulis tidak rasa bersalah untuk mengeluarkan segala kenyataan ini kerana di luar sana, pihak pembangkang termasuk RPK sendiri tidak pernah sesekali merasa bersalah dalam menuduh atau memperkatakan hal orang lain.

Tidak perlu mengandaikan bahawa hanya RPK sahaja orang yang ‘bijak’ di dalam negara. Sebarang bentuk provokasi yang keterlaluan mampu untuk mengejutkan lebih ramai lagi orang-orang yang ‘bijak’. Seandainya petisyen sebegini boleh dikemukakan, maka tidak hairanlah jika satu hari nanti ada pihak lain mengeluarkan petisyen agar parti-parti politik pembangkang, orang perseorangan dan segala pertubuhan berkaitan yang didapati berterusan menghasut dan mengucar-ngacirkan pemikiran rakyat atau mengganggu proses pembangunan masyarakat dan negara dibatalkan pendaftarannya. Turut disertakan sekali dengan alasan-alasan yang cukup kukuh bersumberkan Al-Quran dan Hadis termasuk peruntukan yang telah termaktub dalam mana-mana undang-undang persekutuan.

Antaranya, Perkara 10 berkenaan “Kebebasan Bercakap, berhimpun dan menubuhkan persatuan” juga tertakluk kepada Fasal (2), (3) dan (4) di bawah Perkara yang sama yang membolehkan sekatan-sekatan dibuat demi kepentingan keselamatan negara, ketenteraman awam, mengelakkan fitnah atau perbuatan mengapi-api supaya dilakukan sesuatu kesalahan.

Perkara 149 berkenaan “Undang-undang menentang perbuatan subversif, tindakan yang memudaratkan ketenteraman awam dsb” membolehkan sebarang tindakan atau ancaman oleh sekumpulan orang seperti yang disebutkan dalam Fasal (1)(b) dan Fasal (1)(f) diberhentikan atau dicegah sekalipun bertentangan dengan mana-mana peruntukan Perkara 5, 9, 10 dan 13.

  • Perkara 149, Fasal (1)(b) adalah mengenai mana-mana tindakan atau ancaman oleh sekumpulan orang yang membangkitkan perasaan tidak suka terhadap Yang DiPertuan Agong atau Kerajaan Persekutuan dan yang mendatangkan mudarat kepada ketenteraman awam disebutkan pula di bawah Fasal (1)(f).

  • Perkara 5 pula memperuntukkan hak-hak Kebebasan diri, Perkara 9 – Larangan buang negeri, dan kebebasan bergerak manakala Perkara 13 berhubung Hak terhadap harta.

Itu baru Perlembagaan Persekutuan. Belum lagi dikaitkan dengan mana-mana undang-undang persekutuan lain seperti ISA 1960, Akta Hasutan 1948 atau Akta Pertubuhan 1966.

Banyak lagi cara lain yang boleh dilakukan oleh parti-parti politik pembangkang bagi menjalankan aktiviti-aktiviti dalam mencapai misi mereka. Menuruti segala perlakuan dan tindakan parti-parti politik berhaluan kiri dari negara lain hanya akan merosakkan negara sendiri pada akhirnya. Tidak cukupkah dengan apa yang dibentangkan oleh sejarah dan apa yang berlaku di depan mata atau di kaca-kaca televisyen mengajar kita?

Jika mahu, perundangan negara melalui undang-undang persekutuan cukup jelas dan tegas untuk menyeret mana-mana pihak yang melanggar apa-apa peruntukan di dalamnya ke muka pengadilan demi keselamatan negara dan ketenteraman awam.

Tinggalkan komen