Sahabat MANTAP

:: Memantapkan Minda Nasional ::

Majlis Peguam Kuda Tunggangan Pembangkang?

Posted by Sahabat MANTAP di Khamis, 27 September 2007

Oleh : Jebat Pembela

Minggu ini negara dikejutkan dengan pendedahan video perbualan seorang peguam swasta, V. K. Linggam yang telah membuatkan kredibiliti badan kehakiman negara lagi sekali diragui. Pendedahan video ini dilaporkan telah dilakukan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim dan sekaligus beliau mempersoalkan proses pelantikan hakim di Malaysia. Beliau semasa membuat pendedahan tersebut mendakwa rakaman yang membicarakan darihal mengatur pelantikan hakim itu melibatkan seorang peguam yang didakwanya sebagai V. K. Linggam yang sedang bercakap dengan seorang hakim kanan yang didakwanya pula sebagai Ketua Hakim Negara sekarang iaitu Tun Ahmad Fairuz Abdul Halim. Bagaimanapun, rakaman itu hanya menunjukkan seorang lelaki yang didakwa sebagai V. K. Linggam sedang bercakap menggunakan telefon dan tidak pula ditunjukkan siapa yang menjadi rakan perbualannya.

Sama ada video yang didedahkan merupakan peristiwa sebenar atau lakonan oleh orang yang menyerupai peguam V. K. Linggam hanya mampu ditentukan oleh suspek-suspek yang terlibat termasuklah perakam aksi tersebut. Namun sebagai pemerhati isu ini, kita tidak dapat lari dari berteka-teki dan membuat pelbagai andaian tanpa menunggu jawapan yang pasti. Banyak kelemahan video tersebut boleh mencabar ketulenannya. Antaranya, video yang tidak jelas tetapi audionya pula begitu jelas. Ini memberi gambaran seolah-olah ada cubaan memalsukan suara. Adakah benar dakwaan yang mengatakan watak di dalam video itu ialah V. K. Linggam dan watak yang di sebalik sana pula sebagai Tun Ahmad Fairuz? Apakah benar percakapan itu dituturkan sendiri oleh watak-watak tersebut? Adakah video tersebut tulen? Mengapa baru sekarang video ini didedahkan? Dari mana puncanya? Siapa yang merakamkannya?

Pasti kita tertanya-tanya apakah motif sebenar Datuk Seri Anwar Ibrahim mendedahkan video ini. Kita telah sedia mengetahui bahawa beliau telah lama menjalankan gerakan bawah tanah bagi mendapatkan sokongan rakyat. Tidak mustahil pendedahan ini juga sebagai salah satu gerakan bagi menaikkan kembali reputasinya. Kandungan video itu sebenarnya telah pun diubah dan ada yang telah dibuang. Alasan beliau berhubung perkara ini adalah bagi melindungi pemberi rakaman. Di sini sahaja kita boleh mengandaikan ada cubaan berniat jahat. Jika diri itu benar-benar pembela rakyat, sepatutnya beliau membiarkan sahaja video itu tanpa diusik kandungannya dan membiarkan rakyat jelata sendiri menilai kesahihannya.

Tujuan Datuk Seri Anwar Ibrahim mendedahkan video ini hanya ingin membuktikan kepada rakyat bahawa badan kehakiman yang menghukum beliau dulu adalah korup dan telah dirancang terlebih dahulu. Beliau berharapkan agar rakyat terus bangkit menyatakan kemarahan terhadap kerajaan Barisan Nasional. Sungguh licik strategi yang dimainkan oleh beliau bagi meraih perhatian rakyat. 

Semalam bertarikh 26 September 2007 di Putrajaya, Majlis Peguam yang terdiri dari seribu peguam dan orang ramai memulakan perarakan ke Pejabat Perdana Menteri dari Istana Keadilan. Majlis Peguam melakukan perarakan ini disebabkan pendedahan sebuah klip video yang menunjukkan seorang peguam sedang berbual melalui telefon dengan seseorang bagi mengatur pelantikan hakim. Persoalannya di sini, wajarkah perarakan ini dilakukan? Mereka ini terdiri dari kalangan orang-orang yang celik undang-undang dan seharusnya mereka telah sedia maklum bahawa video yang didedahkan itu belum terbukti kesahihannya. Seharusnya Majlis Peguam terlebih dahulu perlu mendapatkan bukti kukuh bagi menyeret Ketua Hakim Negara sebagai terlibat berhubung skandal pelantikan hakim ini.

Perarakan itu menyaksikan para peguam turut membawa sepanduk yang tertulis agar Ketua Hakim Negara, Tun Ahmad Fairuz dipecat kerana terlibat dalam proses pelantikan hakim. Amat pelik di mata kita kerana mereka yang telah belajar, mahir dan mengamalkan undang-undang ini bertindak seolah-olah Tun Ahmad Fairuz telah dibuktikan sebagai bersalah. Apa motif Majlis Peguam meminta Tun Ahmad Fairuz meletakkan jawatan? Sedarkah Majlis Peguam bahawa mereka sebenarnya diperkudakan oleh parti pembangkang? Seharusnya Majis Peguam perlu terus kekal sebagai sebuah badan bebas dan tidak diperkudakan oleh mana-mana pihak. Bukankah elok jika perkara ini ditangani melalui proses undang-undang. Biarkan pihak polis atau jawatankuasa bebas yang ditubuhkan menyiasat terlebih dahulu kes ini.

‘Orang kuat’ dalam perarakan tersebut seperti dilaporkan adalah Peguam Haris Ibrahim dan Malik Imtiaz Sarwar. Mereka ini memang pro-pergerakan Article 11 dan dilihat sering menghina Mahkamah Syariah termasuk sistem pentadbiran undang undang syariah di Malaysia. Mereka sering mengunakan frasa “Syariah courts are inferior courts” dan “Federal Constitution is the Supreme Law”. Apabila hakim-hakim mahkamah memberikan tafsiran berkenaan Perlembagaan dan Undang Undang, kedua-dua memperlekehkannya dan adakalanya sehingga menghina hakim-hakim ini. Perarakan protes yang dianjurkan ini sekaligus meminta pelantikan hakim-hakim dan sistem kehakiman agar dapat dikaji semula. Inilah salah satu usaha mereka untuk lebih memburukkan sistem kehakiman negara di mata dunia dan seterusnya mereka berharap dunia memberikan ‘tekanan’ agar sistem ini dikaji dan dirombak semula.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamad Nazri Abdul Aziz pula menyifatkan keputusan Majlis Peguam untuk mengadakan perarakan bagi menggesa supaya setiap dakwaan disiasat sebagai satu percubaan untuk menunjukkan “permusuhan” dan sekaligus sebagai tanda sokongan kepada parti pembangkang. Beliau mengatakan bahawa peguam adalah pegawai mahkamah dan peguam adalah pekerjaan yang dipandang tinggi oleh masyarakat. Oleh itu peguam-peguam seharusnya tidak bersikap seperti pembangkang. Beliau juga menasihatkan agar Majlis Peguam menghantar memorandum kepada beliau atau Perdana Menteri dengan menggunakan saluran yang betul. Katanya lagi, jika para peguam berdemonstrasi seperti pembangkang, “maka saya akan hilang rasa hormati kepada mereka kerana saya mempunyai hubungan yang amat baik dengan Majlis tersebut. Mengapa mereka mahu bertindak demikian, kecuali mereka mahu menunjukkan permusuhan mereka (terhadap kerajaan) dan (mereka) menyokong pembangkang”

Datuk Seri Mohamad Nazri Abdul Aziz seterusnya menegaskan bahawa Majis Peguam harus kekal sebagai sebuah badan bebas dan turut menyamakan para peguam yang menyertai perarakan sama dengan ahli-ahli politik pembangkang seperti Lim Kit Siang dan Datuk Seri Anwar Ibrahim. Beliau juga menyifatkan kekecohan yang berlaku ini hanya sekadar gimik politik yang cuba dimainkan oleh pihak pembangkang. “Mana ada krisis dalam badan kehakiman,” demikian tegasnya. Beliau berkata bahawa dakwaan kononnya berlaku krisis dalam badan kehakiman adalah perbuatan parti-parti pembangkang. Pembangkang hanya bertujuan ingin mempengaruhi rakyat supaya rakyat hilang keyakinan terhadap badan tersebut.

Atas dasar menjaga kredibiliti badan kehakiman, pihak kerajaan telah bersetuju menubuhkan panel khas bagi menyiasat kesahihan dakwaan rakaman video perbualan seorang peguam dengan seorang yang dikatakan hakim kanan berhubung percaturan pelantikan hakim. Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak ketika mengumumkannya dalam satu sidang media di Putrajaya berkata, penubuhan panel bebas tersebut telah dipersetujui oleh Perdana Menteri sendiri. Menurut beliau, panel bebas khas tiga anggota itu akan dipengerusikan oleh bekas Hakim Besar Malaya, Tan Sri Haidar Mohd Noor dan turut dianggotai oleh aktivis sosial, Tan Sri Lee Lam Thye dan bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mahadev Shankar. “Keputusan ini diambil memandangkan dakwaan dan spekulasi yang dibuat berhubung rakaman tersebut boleh menimbulkan keraguan terhadap kredibiliti dan integriti sistem kehakiman negara,” katanya. Panel ini akan memulakan tugas dalam masa terdekat dan akan menyediakan laporan terperinci secepat mungkin kepada kerajaan. “Hasil laporan panel itu yang dijangka diketahui dalam beberapa minggu lagi akan diumumkan kepada orang ramai,” katanya.

Apapun, segala isu yang dibangkitkan oleh pihak pembangkang tidak kira PAS, DAP atau PKR tidak lain dan tidak bukan hanyalah bermotifkan kepentingan nafsu politik semata-mata. Emosi rakyat hanyalah mainan bagi mereka dan sedikit pun tidak ada rasa ingin membahagiakan atau mententeramkan hati rakyat. 

Sejak pembebasan Datuk Seri Anwar Ibrahim, semacam ada satu ‘trend’ dari pihak pembangkang di mana mereka lebih berminat untuk mencetuskan sesatu persoalan tanpa berkehendakkan sangat sebuah jawapan. Mereka akan melontarkan persoalan atau mencetuskan sebarang isu dalam negara dan kemudian membiarkan isu itu berlegar-legar. Mereka tidak pernah peduli pun apa jua jawapan atau penjelasan yang diberikan oleh kerajaan. Walaupun kerajaan menyedari isu video ini adalah permainan politik yang cuba dimainkan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim tetapi kerajaan tetap menubuhkan satu panel bebas khas bagi menyiasat kebenarannya. Kerajaan tidak pernah dan tidak sesekali gentar dengan segala tipu muslihat politik yang ingin dimainkan oleh pihak pembangkang baik yang sebelumnya mahupun yang akan datang.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: