Sahabat MANTAP

:: Memantapkan Minda Nasional ::

Merdeka – Sejarah Orang-Orang Yang Menang (Versi 2)

Posted by Sahabat MANTAP di Rabu, 26 September 2007

Versi pertama bagi tajuk ini adalah ‘Merdeka – Sejarah Orang-Orang Yang Menang’.

Ketika negara sibuk untuk menyambut ulangtahun kemerdekaan kali ke-50, ada pula cerita-cerita yang cuba untuk menonjolkan peranan para ulama’ atau golongan milenerian, pihak-pihak tertentu atau golongan intelek pertengahan dalam memperjuangkan kemerdekaan dan dimaktubkan sebagai sejarah orang-orang yang menang. Persoalannya, siapa yang lebih terkehadapan dalam memperjuangkan kemerdekaan negara? Kalau setakat gegar di belakang, tidak mahu atau tidak mampu untuk maju ke hadapan berbincang dengan pihak kolonial, belum lagi boleh dikatakan sebagai orang-orang yang menang. Sekalipun telah bersua dengan pihak kolonial tetapi gagal, ini bermakna pendekatan psikologi yang digunakan untuk menuntut hak kemerdekaan tidak kena caranya. Oleh itu, bagaimana hendak diisytiharkan sebagai orang-orang yang menang!

Di mana yang dikatakan salah dan tidak adil di sini? Bukanlah kita memanipulasi sejarah tetapi kita yang membiarkan sejarah memanipulasi kotak pemikiran kita.

Sukan olahraga contohnya. Mereka yang terlibat dalam sukan ini dipanggil atlit olahraga. Nama mereka masyhur dalam negara masing-masing. Apabila tiba temasya Sukan Olimpik, atlit-atlit yang bagaimanakah dan dari negara manakah yang terakhir akan membarisi di balapan bagi acara kemuncak sukan olahraga ini? Kemudian, apabila tembakan dilepaskan, tiga atlit pertama yang terlebih dahulu sampai ke garisan penamat akan menaiki podium bagi menerima pingat masing-masing. Jadi, tidak usah kita mencemburui mereka sekiranya nama mereka harum bukan sahaja dalam negara tetapi seluruh dunia menyanjung mereka sebagai pelari terpantas di dunia. Di kalangan olahragawan yang kalah pula, mereka masih menjadikan pemenang tersebut sebagai idola tanpa ada rasa hasad dan dengki.

Yang menghairankan, mengapa pula begitu ramai para pejuang kemerdekaan tidak memiliki sifat mulia ini? Jika tidak memiliki sifat ini, layakkah menggelarkan diri sebagai pejuang? Layakkah untuk digelar sebagai pejuang kemerdekaan?

Jika hari ini ditonjolkan ‘orang-orang yang menang’ seperti yang dikehendaki oleh penulis artikel ‘Merdeka – Sejarah Orang-Orang Yang Menang (versi 1)’, nescaya tidak lama kemudian, akan ada pula pihak yang cuba menonjolkan golongan di bawahnya pula sebagai orang menang. Begitulah seterusnya dan keadaan ini akan berterusan dan tidak akan habis.

Jika begini, lebih baik kita katakan bahawa para guru itu adalah ‘orang-orang yang menang’ dalam mengangkat martabat ilmu di kalangan rakyat Malaysia. Kita sebagai ibu bapa tidak perlu sibuk untuk mendabik dada bahawa kitalah yang menjadi penyebab kepada kejayaan anak kita dalam meraih 19 A1 bagi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Media tidak perlu lagi memaparkan di dada-dada akhbar atau di kaca-kaca televisyen perihal anak dan ibu bapanya tetapi lebih menumpukan pula kepada pelajar itu sendiri dan gurunya.

Bukanlah bermakna apabila kita mengangkat seseorang itu, kita pula melupakan yang lain. Nama-nama mereka yang lain tetap tersemadi dalam mana-mana dokumentasi sejarah dan sebahagiannya disebut dalam buku teks sejarah anak-anak kita yang masih bersekolah. Tetap menjadi bahan sebutan para akademik dan sejarawan.

Dalam sejarah Islam, ada di kalangan para Rasul juga telah memohon kepada Allah S.W.T agar diletakkan mereka sebagai umat nabi Muhammad S.A.W. Hanya seorang sahaja diperkenankan oleh Allah S.W.T iaitu nabi Isa A.S. Nabi Ibrahim A.S diletakkan sebagai sebutan dalam setiap sembahyang umat Muhammad S.A.W manakala yang lainnya disemadikan dalam sebuah kitab agung, Al-Quran untuk sentiasa disebut oleh umat Muhammad S.A.W dan nabi Musa A.S adalah Rasul yang paling banyak disebutkan penceritaan di dalamnya. Kita tidak pernah dengar di kalangan para rasul ini mengisytiharkan diri mereka atau menuntut mereka sebagai pejuang tulen dalam menegakkan syiar Islam dari zaman ke zaman di bumi Allah ini.

Jadi, kita perlu terima hakikat bahawa mereka yang terkehadapan dan menjadi penutup kepada segala bentuk perjuangan dalam menuntut kemerdekaan dari penjajahan selama 446 tahun adalah orang-orang yang menang sebenarnya. Seharusnya mereka yang sebelum ini turut terlibat dalam perjuangan tidak perlu untuk merasa ralat malah perlu untuk berkongsi kebahagiaan ini dan bersyukur di atas nikmat yang diberikan.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: