Sahabat MANTAP

:: Memantapkan Minda Nasional ::

Murtad – Antara Hukuman Dan Usaha

Posted by Sahabat MANTAP di Isnin, 3 September 2007

Mohamad Syafiqe bin Abdul Rahim
Presiden Mahasiswa
Jabatan Syariah & Undang-Undang
Universiti Malaya

Sejurus selepas keputusan penghakiman kes Azlina Jailani @ Lina Joy, kedengaran beberapa rakan penulis berbisik sesama mereka. Antara lain mereka mengatakan sekarang keputusan penghakiman telah diketahui bahawa secara jelas Azlina Jailani tidak boleh menggugurkan perkataan Islam pada kad pengenalannya. Jelas, dia perlu murtad atau tidak, akan dibunuh.

Penulis bertanya kepada salah seorang rakan penulis, “jadi sekarang apa tindakan yang perlu kita buat?” Beliau menjawab, “nak buat apa lagi. Dah lama dah dia murtad. Baik bunuh je…”. Dalam hati penulis menyatakan kekesalan kerana masih lagi ada segelintir pihak yang sering melulu dalam menghukum seseorang. Sesungguhnya mereka yang berpendirian sedemikian sememangnya mempunyai mentaliti yang cetek dan gagal berfikir secara lebih luas. Dalam ertikata lain, mereka ini merupakan golongan yang rigid dalam menghukum.

Sememangnya jenayah murtad merupakan jenayah yang amat berat di dalam Islam namun sebelum kita menghukum adalah baiknya sekiranya kita mengenalpasti terlebih dahulu beberapa perkara yang lebih utama. Ini kerana meskipun umum secara peribadi berpandangan hukuman bagi orang yang murtad adalah dibunuh, namun dalam membicarakan perkara ini, kita perlu melihat lebih jauh kerana terdapat banyak pandangan ulama berkaitan hal ini.

TAKRIFAN

Bagi memahami secara lebih terperinci berkaitan murtad, penulis akan membincangkan secara ringkas beberapa perkara penting berkaitan jenayah murtad. Ini adalah hasil daripada kajian penulis berkaitan jenayah murtad menurut perspektif Islam dan juga perundangan di Malaysia. Namun bagi penulisan ini, perbincangan akan lebih tertumpu dari sudut fiqh Islam.

Murtad menurut bahasa Arab berasal daripada perkataan riddah. Dari segi bahasa, riddah bermakna kembali daripada sesuatu kepada selainnya [al- Fayruz Abadi, al-Qamus al-Muhit, Dar Ihya al-Turath al-Arabi, Beirut, t.th, vol. 1, hal. 570]. Dari segi istilahnya pula, riddah ditakrifkan dengan pelbagai takrifan. Antaranya ialah:

  1. Menurut Imam al-Husni, “Keluar daripada Islam dan kembali kepada kufur serta membebaskan diri daripada Islam.” [al-Husni, Kifayat al-Akhyar Fi Hil Ghayat al-Ikhtisar, Dar al-Khayr, Beirut, 1995/1416h., jil. 2, hal. 493]

  2. Menurut al-Shaykh Abd al-Qadir Awdah, “Meninggalkan agama Islam dan keluar daripadanya setelah menganutnya” [‘Awdah, al-Tashric al-Jina’I al-Islami Muqarinan Bi al-Qanun al-Wad’I, Muassasah al-Risalah, Beirut, 1994/1415h., jil. 1, hal. 661].

  3. Menurut Dr Wahbah Zuhaily, “Berpaling daripada Islam dan kembali kepada kufur, sama ada dengan niat atau perbuatan yang mengkafirkan atau perkataan dan sama ada diucapkan dengan gurauan atau penentangan atau ‘i’tiqad’“. [ al Zuhaily, al-Fikih al-Islami Wa Adillatuhu, Dar al-Fikr, Dimashq, 1989/1409h., jil. 6, hal. 183].

  4. Menurut Sayid Sabiq, “Kembalinya orang Islam yang berakal dan dewasa ke kekafiran dengan kehendaknya sendiri tanpa ada paksaan daripada orang lain. Baik yang kembali itu orang lelaki mahupun orang perempuan” [Sayid Sabiq, Fikih Sunnah, Victoria Agencie, Kuala Lumpur, 1990, jil. 9, hal. 159].

Ini merupakan antara takrifan yang telah dikemukakan oleh para ilmuwan Islam berkaitan murtad. Oleh itu seseorang itu adalah dikira murtad disebabkan kepercayaan (murtad i’tiqadi), dengan perkataan (murtad qawli) atau dengan perbuatan (murtad fi’li).

HUKUMAN

Gejala murtad yang dilakukan oleh seseorang itu perlu ditentang dan dihapuskan supaya tidak merebak kepada orang lain yang seterusnya menyebabkan ramai yang akan murtad. [Yusuf Qardawi (1996), Jarimah al-Riddah Wa U’qubah al-Murtad Fi Daui al-Quran Wa al-Sunnah, Kaherah: Maktabah Wahbah, hal. 46].

Terdapat dua jenis hukuman dalam Islam; hukuman di dunia dan hukuman di akhirat. Hukuman murtad di akhirat ialah azab dan kekal di dalam neraka. Ini adalah berdasarkan firman Allah yang bermaksud:

Dan sesiapa antara kamu yang murtad (berpaling tadah) dari agamanya (agama Islam), lalu dia mati sedang dia tetap kafir, maka orang-orang yang demikian, rosak binasalah amal usahanya (yang baik) di dunia dan di akhirat, dan mereka itulah ahli neraka, kekal mereka di dalamnya (selama-lamanya)” [Surah al-Baqarah: 217]

Manakala hukuman ke atas orang murtad di dunia, Jumhur Fuqaha yang terdiri daripada Imam Maliki, Shafie dan Hanbali berpendapat bahawa hukuman bunuh ke atas orang-orang Islam yang telah murtad dan enggan bertaubat, wajib dikenakan kepada semua penjenayah murtad sama ada lelaki atau perempuan, tua atau muda tanpa perbezaan. Hukuman ini adalah disepakati oleh fuqaha dengan bersandarkan kepada dalil-dalil berikut:

  1. Sabda Rasullulah s.a.w yang bermaksud “Sesiapa yang menukar agamanya, maka hendaklah dibunuh” [Riwayat Imam Bukhari]. Maksud “Sesiapa yang menukar agamanya” dalam hadis tersebut adalah orang yang menukar agama Islam kepada kafir.

  2. Daripada ‘Abdullah bin Mas’ud r.a, Rasullulah s.a.w. telah bersabda, “Tidak dihalalkan darah seorang Muslim yang bersaksi bahawa tiada tuhan selain Allah dan sesungguhnya aku utusan Allah kecuali salah satu daripada tiga orang: orang yang berkahwin tetapi berzina, hutang nyawa dengan nyawa dan orang yang meninggalkan agamanya (Islam) serta keluar dari jemaah (umat Islam)” [Riwayat al-Tirmizi].

Jelas, pelaksanaan hukuman bunuh bagi pesalah murtad adalah jelas meskipun terdapat banyak pendapat yang berbeza. Ini kerana ada pendapat yang membezakan hukuman mereka yang murtad berdasarkan jantina. Pendapat pertama ialah Jumhur Ulama’ yang terdiri daripada mazhab Hanbali, Shafie dan Ja’fariyyah berpendapat bahawa muslimah yang murtad juga wajib dibunuh sebagaimana hukuman ke atas muslim yang murtad.

Pendapat kedua adalah daripada Mazhab Hanafi yang berpendapat bahawa perempuan yang murtad tidak dihalalkan darahnya dan tidak dibunuh kerana murtad. Tetapi dia wajib dipenjara dan dikeluarkan daripada penjara setiap hari dan diminta bertaubat dan kembali kepada Islam. Sekiranya dia kembali menganut Islam maka bebaslah dia. Tetapi jika tetap menolak Islam maka dia dipenjara semula. Beginilah hukumannya sehingga dia menganut Islam atau mati. [Sayid Sabiq, Fikih Sunnah, Victoria Agencie, Kuala Lumpur, 1990, jil. 9, hal. 166 ].

HUKUMAN TAKZIR

Meskipun terdapat beberapa pendapat yang berbeza tentang hukuman murtad, namun secara umumnya ulama’ bersepakat bahawa hukuman bagi mereka yang murtad hendaklah dibunuh. Walau bagaimanapun, persoalan utama di sini ialah adakah mungkin dibolehkan hukuman lain seperti takzir bagi dikenakan ke atas pesalah murtad?

Penulis berpandangan bahawa hukuman bunuh adalah jelas secara qatie bagi mereka yang murtad. Namun, hukuman bunuh tersebut merupakan satu bentuk hukuman yang terakhir sekiranya orang yang murtad itu masih enggan untuk bertaubat. Sewajarnya sebelum hukuman tersebut dilaksanakan, ia perlu melalui hukuman takzir terlebih dahulu. Bukan niat penulis untuk menyatakan hukuman takzir lebih sesuai berbanding hukuman hadd iaitu bunuh, namun konsep ‘takzir’ yang dimaksudkan di sini ialah satu bentuk hukuman yang ditentukan oleh mahkamah bagi pesalah murtad sebelum diisytiharkan boleh dibunuh.

Ini meliputi hukuman seperti ditahan untuk diminta bertaubat atau diminta membayar denda atau dirampas harta benda, pemulauan dan sebarang bentuk hukuman berbentuk takzir yang sesuai dikenakan kepada pesalah murtad sehinggalah dia bertaubat. Mohamed S. El-Awa dalam buku beliau menjelaskan bahawa jenis-jenis hukuman takzir adalah seperti teguran (al-Wa’z), teguran tegas (al-Tawbikh), ancaman (al-Tahdid), pemulauan (al-Hajr), pendedahan di khalayak ramai (al-Tasyhir), denda dan merampas harta benda (al-Gharamah wal-Musadarah), penjara (al-habs) dan sebat (al-Jald). [Mohamed S. El-Awa (1999), Hukuman Dalam Undang-undang Islam: Satu Kajian Perbandingan, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa Pustaka, hal. 150-165].

Kesemua jenis hukuman takzir ini boleh disesuaikan bagi pesalah murtad bagi membolehkan mereka bertaubat sebelum dibunuh. Perlu diingat bahawa hukuman bunuh adalah merupakan hukuman maksimum bagi pesalah murtad dan sebaik-baiknya setiap pesalah murtad diberikan masa dengan dikenakan hukuman takzir terlebih dahulu sehinggalah dia bertaubat. Hukuman bunuh adalah dianggap sebagai hukuman terakhir.

Jika masih enggan maka perlu diselesaikan segala permasalahan dan implikasi sebelum diisytihar murtad seperti pembahagian harta benda, penjagaan anak dan sebagainya. Maka selepas selesai semua perkara ini maka barulah hukuman bunuh dilaksanakan. Dan pelaksanaan hukuman takzir dan bunuh ini adalah meliputi semua jantina tanpa dibezakan antara lelaki dan perempuan termasuklah bagi kanak-kanak yang telah baligh.

Penulis merasakan bahawa kaedah penetapan hukuman seperti ini adalah lebih sesuai. Ini kerana ia adalah lebih teratur dan mengikut prosedur serta tidak terlalu tergesa-gesa dalam menghukum. Perlu diingat berkemungkinan peluang untuk orang yang murtad untuk bertaubat tetap ada. Maka adalah sia-sia sekiranya kita terus menghukum bunuh tanpa sebarang bentuk usaha bagi menyedarkannya untuk kembali kepada Islam.

KERELEVENAN

Adakah hukuman bunuh bagi mereka yang murtad releven dan sesuai diamalkan di Malaysia? Meskipun tiada hukuman bunuh bagi pemurtad dikenakan di Malaysia, namun ia memerlukan perbincangan yang luas kerana ia melibatkan kepentingan umum dan untuk memelihara maslahah yang lebih utama. Mungkin pelaksanaannya boleh dilaksanakan tetapi perlu dibuat secara berhati-hati memandangkan Malaysia sebagai sebuah negara didiami pelbagai kaum dan agama.

Sedangkan kes Azlina Jailani sudah menimbulkan pelbagai konflik apatah lagi kita ingin melaksanakan hukuman bunuh bagi pesalah murtad di Malaysia. Dalam hal ini, prinsip beransur-ansur (tadarruj) boleh digunapakai dalam melaksanakan sesuatu perkara agar masyarakat tidak terkejut dengan sesuatu perubahan yang berlaku secara tiba-tiba.

Jika dikaji peruntukan keluar Islam di Malaysia, meskipun tiada hukuman bunuh dikenakan bagi pesalah murtad, namun pesalah murtad masih lagi dikenakan hukuman berbentuk takzir bagi membolehkan mereka untuk bertaubat. Seksyen 119, Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Sembilan, 2003 contohnya secara jelas memperincikan bahawa mereka yang ingin keluar daripada Islam hendaklah ditahan di pusat pemulihan akidah dan diberikan sesi kaunseling sehinggalah dia bertaubat. Malah proses pemulihan tersebut boleh mencapai tempoh sehingga satu tahun dan lebih. [Lihat Seksyen 119(4),(5),(6),(7) & (8)].

Peruntukan sebegini menunjukkan bahawa meskipun hukuman bunuh tidak dilaksanakan, namun hukuman berbentuk takzir masih perlu dilaksanakan kerana ia boleh membantu pesalah murtad itu untuk bertaubat. Malah pelaksanaan hukuman takzir perlulah diketatkan supaya membolehkan seseorang yang cuba murtad itu betul-betul insaf dan bertaubat. Seksyen 119(11) seterusnya menjelaskan sekiranya tiada harapan untuk bertaubat maka hendaklah diselesaikan terlebih dahulu hal-hal seperti pembubaran perkahwinannya, harta sepencarian, hak pewalian, harta pusaka dan hadhanah.

MURTAD RINGAN DAN MURTAD BERAT

Ibn Taymiyah menjelaskan bahawa dalam persoalan pesalah murtad, beliau membahagikan kepada dua jenis:

  1. Seseorang yang murtad dengan tidak menzahirkan kemurtadannya dan tidak menimbulkan fitnah di kalangan masyarakat Islam, hendaklah dilepaskan daripada hukuman bunuh apabila dia bertaubat.

  2. Murtad yang tidak diluputkan hukuman bunuh ke atasnya walaupun dia telah bertaubat. Murtad seperti ini bukan hanya sekadar murtad tetapi dia telah melakukan sesuatu yang melampaui batas seperti menghina Allah atau Rasul-Nya. Ataupun dia menambah murtadnya itu dengan jenayah yang lain seperti membunuh orang Muslim atau mencuri harta dan sebagainya. [al Sorim al-Maslul, hal. 367-371].

Pendapat ini turut disokong oleh Yusof Qardawi dengan menjelaskan bahawa jenis murtad boleh diklasifikasikan kepada jenayah murtad ringan dan berat. [Yusuf Qardawi (1996), Jarimah al-Riddah Wa U’qubah al-Murtad Fi Daui al-Quran Wa al-Sunnah, Kaherah: Maktabah Wahbah, hal. 52]. Konsepnya adalah sama seperti pandangan Ibn Taymiyah yang cuba menjelaskan bahawa orang murtad yang menyeru orang lain untuk murtad sepertinya bukan sahaja kufur dengan Islam malah ia memerangi Islam dan umat Islam. Jadi ia termasuk dalam golongan orang yang memerangi Allah dan Rasul-Nya dan hukuman bunuh tetap dikenakan meskipun dia bertaubat.

Persoalannya kini adalah sama ada kita hendak berpegang kepada pandangan yang menyatakan hukuman pesalah murtad adalah bunuh ataupun berpendirian dengan mengklasifikasikan hukuman murtad kepada dua bentuk seperti dijelaskan oleh Ibn Taymiyyah dan dipersetujui oleh Dr Yusuf Qardawi. Jelas di sini bahawa terdapat banyak pandangan berkaitan hukuman murtad.

Apa yang penting ialah kita mampu untuk menyelaraskan setiap pandangan tersebut sesuai dengan keadaan semasa dan setempat. Dalam hal ini, adalah sukar bagi kita di Malaysia untuk melaksanakan hukuman bunuh. Alasannya adalah seperti dijelaskan oleh penulis sebelum ini. Namun perlu diingat bahawa sebelum kita menghukum sesatu pihak, kita perlulah berfikiran secara lebih dinamik tanpa mengikut emosi.

Dalam kes Azlina Jailani, bagaimana kita ingin melaksanakan hukuman bunuh ke atasnya sedangkan tiada satu pun usaha dakwah atau untuk mengajak beliau kembali ke agama Islam secara konsisten dilaksanakan. Malah di mana beliau berada kini pun kita gagal mengesannya. Adakah cukup sekadar kita menghantar ibunya ke Mekah supaya berdoa di hadapan Kaabah agar anaknya kembali kepada Islam sedangkan tiada usaha dan ikhtiar berkesan dilaksanakan.

Usah bercakap tentang melaksanakan hukuman bunuh sedangkan usaha dakwah dan menyedarkan pihak-pihak terlibat pun kita gagal melaksanakannya. Malah semasa penulis berada di Palace of Justice bagi menunggu keputusan kes Azlina Jailani, penulis menerima mesej pesanan ringkas menyatakan bahawa sekiranya penulis terserempak dengan Azlina Jailani, disuruhnya penulis meludah mukanya. Adakah ini dikatakan usaha kita untuk menyedarkan mereka yang telah sesat?

Memang benar Azlina Jailani telah murtad namun sejauh mana usaha kita untuk membantunya kembali kepada Islam. Biarlah usaha kita sekecil mana sekalipun asalkan ia masih lagi merupakan satu usaha bagi membantu mengembalikan beliau kepada Islam. Malah kerana itulah juga sejak awal penulisan lagi penulis tidak menggelar beliau dengan Lina Joy sebaliknya dengan nama asalnya iaitu Azlina Jailani. Mungkin dengan cara ini membuktikan betapa kita tidak ingin beliau terus berada dalam kemurtadan dengan menggunakan nama Lina Joy sebaliknya kembali kepada Islam dengan nama asalnya Azlina Jailani!

Advertisements

5 Respons to “Murtad – Antara Hukuman Dan Usaha”

  1. sharudin said

    Assalammualaikum
    Saya telah memetik sebahagian dari artikel anda
    Terima kasih

  2. joned07 said

    kERAJAAN Malaysia pakai yg mana satu drp yg disebut di atas? Ta’zir ke?

  3. kita harus kembali kepada sejarah, cuba baca sejarah saidina abu bakar r.a dalam memerangi puak2 yang murtad pada zaman pemerintahanya. beliau mengajak kembali orang yang murtad itu kepada islam dan jika orang itu ingkar maka bunuhlah hukumnya.
    dalam kes lina joy. dia sudah melawan hukum islam, dan menjatuhkan maruah islam di mata masyarakat. u tak malu ker bila orang islam yang murtad dan masuk mahkamah nak gugurkan nama islam dalam ic nya. teruk penghinaan yang dia bagi kat islam. islam itu bermaruah. jadi lina joy tak perlu dimaafkan lagi. patut bunuh jer. kisah saidina umar al khattab r.a. yang membunuh seorang mukmin. kerana ingkar perintah rasul. dan umar al khattab tidak dihukum oleh rasulullah kerana orang yang dibunuhnya itu tidak beriman dan kufur kepada islam. tu belum lagi murtad. hanya ingkar perintah rasul aje. dan kes ini Allah turunkan wahyu kepada nabi s.a.w bahawa (lelaki yang dibunuh umar itu tidak beriman) (xingat surah apa)

  4. Hans Dzul said

    Assalamualaikum…
    Terang&jelas hadis rasulullah myuruh umatnya mmerangi golongan murtad,namun ada puak yg masih gentar,tragak2,menilik,mbuka kitab,mmohon hajat&brishtigharah.
    Kalau dtinjau bbrapa lamanweb yahudi&propaganda mnentang islam,tdpt wanita2 murtad sengaja dtemuramah btujuan mburuk2kn lelaki muslim..
    Wanita bukan stakat mgoncang dunia malah pmbakar&pmusnah jika aqidah mreka tpesong..

  5. Fathiyya al-Syarif (Islamic Political Science-Islamic State University-Indonesia) said

    Bismillah
    i want to appreciated u..your written is great.
    but..why not we are discusse about “Jinayah Murtad in Islamic law in the modern concept”, example in contect “HAM, Shari’a and Law or Politic” may be…
    cause i see..now in Southeast Asia, we adopted the DUHAM, and here we found of article “Religion Freedom”, we must be careful with this article. i hope may Allah bless us..Amien
    Bravo Islam!!! Allahu akbar

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: