Sahabat MANTAP

:: Memantapkan Minda Nasional ::

Kekalkan Keharmonian Negara

Posted by Sahabat MANTAP di Khamis, 30 Ogos 2007

Oleh : Jebat Pembela

Tepat detik 12.00 tengah malam, 31 Ogos 2007, maka genaplah sudah 50 tahun Malaysia mencapai kemerdekaan daripada tangan kolonial British. Malaysia keluar dari zaman kegelapan menuju zaman kegemilangan dan pada ketika ini rakyat menikmati kehidupan dengan aman dan makmur. Ekonomi juga berkembang dengan pesat dan peluang pekerjaan semakin bertambah untuk diisi oleh rakyat jelata.

Hanya tragedi 13 Mei 1969 menjadi satu sejarah hitam yang akan terus dikenang oleh semua rakyat di Malaysia. Tragedi hitam ini juga adalah sebahagian daripada sejarah pembentukan negara. Selepas tragedi inilah semua kaum di Malaysia mengamalkan sikap toleransi dari semua aspek berhubung dengan ekonomi, pendidikan, agama, bahasa dan kebudayaan.

Dengan adanya perpaduan dan keharmonian yang terjalin ini, Malaysia telah mampu untuk terus membangun dan menjadi ‘juara’ dunia ketiga. Disebabkan Malaysia terdiri dari masyarakat pelbagai kaum, maka elemen perpaduan menjadi elemen yang sangat penting. Maka dengan sebab itulah, kerajaan amat bersungguh-sungguh dalam memupuk semangat perpaduan di kalangan rakyat. Kerajaan sedar jika perpaduan di kalangan masyarakat majmuk di Malaysia dapat dipupuk, maka Malaysia akan terus merdeka dan makmur dari segi ekonomi dan sosial.

Kerajaan amat menekankan agar dua aspek utama iaitu agama dan kaum tidak dibahaskan secara terbuka demi menjaga perasaan rakyat. Menjelang Sambutan Ulangtahun Kemerdekaan Negara Kali Ke-50, rupanya masih ada sesetengah pihak baik dari dalam negara mahupun luar negara telah berani memainkan dua elemen penting ini atas kepentingan-kepentingan tertentu.

Menurut kenyataan Perdana Menteri, Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi yang dipetik dari Utusan Malaysia bertarikh 29 Ogos 2007, kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba mencetuskan ketegangan kaum. Beliau menegaskan bahawa negara boleh rosak dan porak-peranda sekiranya wujud golongan yang sengaja mengeluarkan kenyataan melampau tanpa mengambil kira sensitiviti rakyat pelbagai kaum. “Orang seperti ini langsung tidak pikir pasal kebaikan, perpaduan, dan sensitiviti orang lain.” Ujar beliau lagi, “pihak kerajaan tidak kisah jika rakyat ingin memberi pandangan tetapi kerajaan ingin setiap rakyat yang memberikan pandangan menjaga sensitivi kaum lain supaya tidak memporak-peranda keadaan di Malaysia”. Kenyataan Perdana Menteri ini dikeluarkan ketika ditanya mengenai kecenderungan sesetengah pihak dalam mengeluarkan kenyataan sensitif yang dikhuatiri boleh mencetuskan ketegangan kaum jika tidak dibendung.

Fitnah itu dosanya diumpamakan lebih besar dari membunuh. Kesan dari fitnah yang disebarkan bukan sahaja memberikan maklumat yang tidak tepat tetapi mampu menjadi penyebab berlakunya pertumpahan darah. Jika diteliti fenomena dalam negara hari ini, berbagai-bagai fitnah telah disebarkan bagi menggugat perpaduan kaum di kalangan masyarakat majmuk.

Fitnah terbaru yang dikeluarkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab apabila dilaporkan sebagai berlakunya rusuhan kaum di Johor. Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi sekali lagi mengulas mengenai khabar angin ini dengan menyatakan bahawa ini hanyalah fitnah yang disebarkan bagi menimbulkan ketegangan kaum di Malaysia. “Mengarut…mengarut. Ini merupakan satu lagi percubaan orang yang sengaja mahu menimbulkan satu isu yang boleh membuatkan rakyat rasa marah,” ujar beliau.

Malaysia telah dibentuk melalui satu nilai persefahaman yang jitu antara kaum sejak lima dekad yang lalu dan hubungan baik ini harus dipelihara sampai bila-bila. Persefahaman ini perlu dipelihara jika kita terus inginkan keamanan yang kita kecapi sekarang. Cukuplah dengan tragedi 13 Mei yang hampir membawa negara ke lembah kehancuran hanya kerana rusuhan kaum. Seharusnya kita perlu terus belajar dari sejarah lampau dan berusaha mengelakkan tragedi seperti itu berulang kembali.

Perlu diingatkan bahawa kekuatan Malaysia adalah atas dasar perpaduan kaum yang telah disemai sepanjang lima dekad. Kita perlu mempertahankan kekuatan ini jika ingin terus melangkah jauh ke hadapan dan bersaing dengan negara-negara maju di dunia. Malaysia akan terus gemilang di persada antarabangsa jika perpaduan di kalangan masyarakat majmuk dapat dikekalkan dan dipelihara. Sempena Sambutan Jubli Emas Kemerdekaan Malaysia Kali ke-50, kita amat mengharapkan agar masyarakat majmuk di Malaysia dapat terus menanamkan sikap tolak ansur antara kaum. Semaikanlah semangat patriotisme yang tinggi di dalam diri agar kemakmuran negara boleh terus dinikmati oleh anak-anak dan cucu-cucu kita di kemudian hari. Semoga dengan usia kemerdekaan ini, Malaysia akan terus melangkah ke hadapan untuk terus mewarisi kecemerlangan dan kegemilangan.

SELAMAT MENYAMBUT ULANGTAHUN KEMERDEKAAN NEGARA KALI KE-50

About these ads

Tinggalkan Jawapan

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Tukar )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Tukar )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Tukar )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

%d bloggers like this: