Sahabat MANTAP

:: Memantapkan Minda Nasional ::

Merdeka – Sejarah Orang-Orang Yang Menang

Posted by Sahabat MANTAP di Selasa, 21 Ogos 2007

Oleh : Sahabat Tudung Labuh

Dalam mana-mana negara atau organisasi yang memenangi peperangan, perjuangan kemerdekaan atau melegitimasikan kedaulatan sesuatu tapak, selalunya sekaligus ia dianggap layak dan berhak untuk mencorak sejarah, melakar sejarah sekaligus mewariskan sejarah kepada generasi akan datang.

Kali ini penulis ingin membawa minda kita beraksi memerhatikan sejarah negara pada sudut yang terpinggir memandangkan sudut terpinggir inilah merupakan pencetus awal semangat kemerdekaan negara ini seperti ulama’ dan golongan intelek pertengahan.

Ulama’ atau disebut juga sebagai golongan milenerian adalah antara pencetus momentum awal kebangkitan patriotisme untuk melawan British dan Jepun. Malahan jika dijenguk lebih awal lagi, kita mendapati bahawa penentangan terhadap kedatangan Portugis juga ditentang oleh golongan mufti dan ulama’ istana Melaka selepas ramai pedagang asing yang menyebelahi Portugis. Ulama’ mecetuskan semangat jihad dan perang sabil yang meneruskan api kemarakan perang salib di Eropah dan Timur Tengah.

Contoh lain seperti Imam Muhammad Hassan (Tok Janggut) dan Tuan Guru Abdul Rahman Limbong telah menerajui golongan pemberontak menentang British dan pembesar feudal yang mengikut telunjuk British secara membuta-tuli. Adakah mereka pengkhianat Sultan? Jawapannya tidak, disebabkan sultan adalah lambang umat Islam dan lambang syariat di dalam negeri-negeri Melayu.

Penulis mendapati dalam setiap kali perayaan musim kemerdekaan, integrasi antara kaum dipaparkan dan dihidangkan seperti muzik gabungan antara kaum, estetik seni tari kombinasi kaum dan sebagainya. Parti UMNO, MIC dan MCA dilabelkan sebagai juara dan wira kemerdekaan. Kepada golongan awam yang kurang membaca sejarah, retorik ini akan dilihat sebagai benar. Kepada pejuang-pejuang kemerdekaan tulen, pembaca atau pemerhati politik negara sejak sebelum merdeka pula akan mendapati bahawa paparan itu adalah salah dan tidak adil!

Tahukan semua apakah sejarah MIC dan MCA? Lihat sahajalah bagaimana Tan Cheng Lock dahulu merestui gagasan Malayan Union demi meruntuhkan kekebalan agama Islam dan kesultanan Melayu di Tanah Melayu. Lihat sahajalah bagaimana golongan India di zaman penjajahan Jepun ditatang oleh Jepun kerana mereka membantu Jepun dalam Tentera Pembebasan India . Di dalam kotak pemikiran mereka hanya India dan bukannya Kemerdekaan Tanah Melayu. MCA pula yang sejak awal merupakan warisan Sun Yat Sen dari Parti Koumintang adalah merupakan parti nasionalis Cina yang meluhurkan kedaulatan China pada 1911. Bukankah politik mereka bukan politik lokal yang merupakan titik tolak kepada kemerdekaan negara? Mereka hanya menjadi juara apabila dijuarakan oleh UMNO sendiri. Menyedari bahawa British tidak akan memberi kemerdekaan kepada Malaya yang tidak mengamalkan politik inter-kaum, maka UMNO mengambil keputusan untuk membawa 2 kaum utama Malaya untuk sama-sama menimang piala kemerdekaan hasil titik jerih golongan terdahulu.

Sememangnya tradisi monarki-feudal telah lama berakar umbi di dalam Tanah Melayu dan dalam otoktoni norma Melayu. Melayu terlalu taat dan besarkan golongan istana. Inilah penyebab mengapa perjuangan haluan kiri tidak mendapat tempat di kalangan melayu. Golongan intelektual Melayu kelahiran Eropah seperti MCKK dan Maktab Perguruan Sultan Idris tidak mendapat sokongan lantaran kejahilan dan kemunduran pendidikan orang melayu zaman itu. Gejala buta huruf, buta isu semasa dan tiada perkongsian pintar dengan semangat kemerdekaan negara-negara jiran menyebabkan masyarakat setempat cukup kaku dan hanya menunggu ‘orang Istana’ untuk turun padang membawa mereka kepada kemerdekaan. UMNO yang pada awalnya hanya membawa slogan ‘Hidup Melayu’, jauh ketinggalan berbanding dengan semangat dan tujuan PKMM dengan laungan ‘Merdeka’ mereka.

Hari ini kita melihat bagaimana nasib dan keadaan pejuang-pejuang kemerdekaan haluan kiri dahulu. Mereka yang bekerjasama dengan ulama’ (pencetus awal gerakan patriotisme) dan golongan intelektual melayu (masyarakat borjois) ini dilihatkan hanya pada nama sahaja. Dr. Burhanuddin Al Helmi hanya dilayan sebagai pejuang selepas beliau meninggal dunia. Semasa pasca kemerdekaan, beliau dituduh oleh Perdana Menteri sebagai agen komunis, atheis, penderhaka dan pengkhianat bangsa. Akan tetapi mereka yang ‘menang’ tidak dapat menutup sejarah. Dr. Burhanuddin akhirnya diseksa dan dibiarkan melarat pada saat akhir hayatnya.

Pak Sako (Ishak Haji Muhamad) yang merupakan penggerak awal PKMM, Pengarang Utusan Melayu yang pada akhir hidupnya kelihatan amat sederhana. Tiada harta mewah berbanding YB-YB kini yang hanya menangguk kemenangan hasil usaha golongan intelek yang ikhlas seperti Ishak Haji Muhammad. Lihat sahaja sosio kehidupan A. Samad Ismail dan A. Samad Said (sasterawan Negara) yang dahulunya penggerak kesedaran politik negara, pejuang PKMM, serta pejuang penulis berkarisma dalam Utusan Melayu dan Mastika kini amat sederhana. Nama dan jasa mereka dikenali secara amat terbatas dan ada yang dimanipulasikan. Jika tidak dibaca memoir dan biografi mereka, kita akan menerima palitan sejarah pesong tinggalan penjajah. Mereka inilah yang terpenjara; mereka inilah yang terseksa serta mereka inilah yang membawa idea merdeka sejak dari awal.

Period 1948-1951 adalah period di mana rantaian perjuangan kiri dan ulama’ melayu diputuskan secara rasmi dan digantikan pula dengan golongan pejuang chauvinis yang akhirnya bekerjasama mencorak kemerdekaan negara. Mereka ini adalah golongan feudal, golongan istana yang jauh daripada kesengsaraan hidup masyarakat. Perjuangan mereka hanya bermula apabila Malayan Union mancabar dan mencabul kedaulatan Istana mereka. Golongan ini selesa pada zaman Jepun dan British. Akan tetapi sokongan kepada mereka jelas dan besar kerana restu dan redha daripada British. Mereka juga amat dihormati rakyat melebihi golongan awal yang terdiri daripada masyarakat bawah yang hanya berilmu dan terbuka minda mereka. Kini tradisi feudal yang menghasilkan statatifikasi sosial yang menggigit rakyat masih diteruskan melalui gelaran Dato’, Tan sri dan sebagainya (walaupun ramai yang tidak layak memegang anugerah berjasa berkenaan). Akan tetapi perlu dijelaskan penulis bukan anti istana. Terdapat banyak penulisan penulis yang menghormati serta mempertahankan institusi istana demi agama dan keamanan negara.

Period 1948 juga menyaksikan British melancarkan perang terhadap Islam. Negara haram Israel terbina dan Hizbul Muslimin di Tanah Melayu pula diharamkan. Darurat diwar-warkan dan ramai pejuang kemerdekaan ditahan dan dipadam sejarah mereka. Kekosongan itulah diisi oleh British dengan pejuang-pejuang daripada istana yang sememangnya berpendidikan British. Alangkah malangnya rakyat Malaysia jika tidak menyedari hakikat ini. Masih menganggap 2 kaum yang bukan utama merupakan pejuang kemerdekaan hingga melupakan jasa ulama’ dan intelektual, jasa guru-guru sekolah melayu, jasa-jasa pengarang/wartawan dan penulis tanahair. Tidak salah jika ditampilkan imej integrasi kaum demi keharmonian semua. Akan tetapi jangan hingga terlalu mengagungkan integrasi kaum sehingga melupakan hakikat sebenarnya kerana ia adalah suatu jenayah sejarah. Mereka hanya beraksi selepas terjalinnya ‘Kontrak Sosial’ negara dan bukannya sejak awal bersama-sama menggembleng tenaga menuntut hak kemerdekaan daripada penjajah. Bukanlah juga salah mereka kerana pada awal lagi mereka jelas bukan warganegara Tanah Melayu.

Tujuan penulisan ini dibuat adalah untuk memberi persepsi lain kepada masyarakat negara ini yang disogok dengan media dan segala sistem yang ada bahawa merdeka hanya dipelopori oleh golongan tertentu sahaja. Pendedahan majalah Mastika (Ogos) tentang nasib pejuang-pejuang haluan kiri amat menyedihkan kita. Emosi Mastika yang terlalu ‘kanan’ sehingga agak canggung menemubual golongan kiri ini masih membayangkan prejudis dan sangsi awam terhadap pejuang Rejimen ke-10 PKM, PKMM, API, AWAS, Seberkas dan sebagainya. Bukankah Mastika diasaskan oleh wartawan intelek daripada haluan kiri? Inilah manipulasi terhadap sejarah.

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: