Sahabat MANTAP

:: Memantapkan Minda Nasional ::

Bekerja Majukan Negara Suatu Ibadah

Posted by Sahabat MANTAP di Isnin, 20 Ogos 2007

Amini Amir Abdullah
Pusat Islam
UPM Serdang

MAKNA nilai adalah sesuatu yang mempunyai harga, kepentingan atau keburukan. Nilai kebiasaannya diletakkan ukuran sama ada positif, negatif atau berkecuali. Makna nilai juga ialah pengukuran sesuatu yang dihajati dan dihargai.

Kebiasaannya mencakupi aspek taraf, darjat, kualiti dan mutu. Sesuatu yang mempunyai harga, kepentingan atau keburukan. Nilai akhlak Islam misalnya berasaskan kepada prinsip ajaran kebaikan Islam yang mengandungi nilai murni, positif dan akhlak. Kenegaraan dan patriotisme pula berkait rapat dengan semangat tinggi dan sikap prihatin serta pemahaman terhadap sejarah dan hal ehwal perjuangan meninggikan martabat serta mempertahankan kedaulatan dan maruah negara.

Ilmu kenegaraan pula lebih menjurus kepada pengajian mengenai Malaysia termasuklah sistem demokrasi berparlimen, kemerdekaan, sejarah awal hingga kontemporari, perbincangan mengenai kepelbagaian masyarakat majmuk, sistem raja berperlembagaan, dasar dan pentadbiran awam serta rancangan pembangunan fizikal, sosial, pendidikan, ekonomi, keagamaan, peranan Malaysia dalam hal ehwal antarabangsa dan seumpamanya. Ilmu kenegaraan penting bagi melahirkan warga negara yang menyedari dan menjalankan tanggungjawab kenegaraan. Setiap warga negara Malaysia perlu mempunyai nilai patriotisme dan sayangkan negara.

Dasar pendidikan penjajah yang melahirkan ketidakseimbangan ekonomi di kalangan masyarakat berbilang kaum dan yang lebih khusus memundurkan bangsa Melayu telah dicanai semula bagi mewujudkan kesedaran tentang kepentingan duniawi dan prinsip keseimbangan kehidupan bahkan pembangunan fizikal yang lebih seimbang antara bandar/desa, wilayah dan juga negeri.

Justeru, kemajuan ekonomi tidak hanya dinikmati oleh satu kaum saja atau bersifat kewilayahan semata-mata.

Malaysia adalah sebuah negara demokrasi berparlimen dengan raja berpelembagaan. Kemerdekaan negara kita telah dicapai melalui semangat taat setia dan perasaan cintakan tanah air (negara) yang tinggi dengan kaedah perundingan yang bijaksana.

Malaysia telah dijajah lebih daripada 400 tahun oleh Portugis (1511-1641), Belanda (1641-1821) dan Inggeris (1824) serta Jepun (1942-1945) dan Siam. Sepanjang tempoh itu, rakyat negara ini bangkit menentang penjajahan melalui pelbagai cara untuk mempertahankan maruah negara dan harga diri.

Kemerdekaan pula dicapai melalui perundingan yang penuh bijaksana. Inilah nilai yang sepatutnya menjadi warisan kita. Apabila pihak Inggeris kembali ke Tanah Melayu pada bulan September 1945, mereka memperkenalkan Pentadbiran Tentera British (BMA) dan seterusnya Kesatuan Malaya (Malayan Union).

Penentangan terhadap Malayan Union dilakukan kerana dasarnya yang merugikan orang Melayu. Orang Melayu bangkit menentang sistem pentadbiran Kesatuan Malaya kerana beberapa sebab, iaitu ia menggugat kedaulatan raja-raja Melayu; menggugat hak keistimewaan orang Melayu sebagai pribumi utama dan British membenarkan pemberian hak kewarganegaraan yang tiada batasan kepada etnik bukan Melayu.

Di samping sikap dan kaedah digunakan oleh Harold MacMichael yang berunsur pemerasan dan ugutan dalam usaha mendominasikan kuasa pihak British.

Nilai patriotisme juga mencakupi rakyat yang mempunyai etika kerja yang tinggi demi negara, agama dan bangsa. Etika kerja ialah cara, kaedah, peraturan, petunjuk dan panduan perlakuan, adab dan sikap yang menjadi ikutan dan panduan setiap warga kerja berlandaskan nilai murni, moral, etika dan akhlak yang mulia.

Apa yang penting sebagai warga negara Malaysia ialah sumbangan kita secara berterusan demi pembangunan diri, keluarga, komuniti, masyarakat, agama dan negara.

Sebagai pekerja, kita perlu membetulkan niat, tekad dan harapan. Tujuan bekerja dengan niat yang murni dan kerana Allah boleh menjadi ibadat. Sebagai contoh niat kerja adalah untuk mendapatkan keredaan Allah SWT dan mencari nafkah hidup bagi menyara diri, ibu bapa, keluarga dan sebagainya adalah ibadat.

Bekerja adalah tuntutan agama kerana Islam menuntut mencari rezeki. Bekerja adalah amanah Allah dan pekerja perlu memikul tanggungjawab yang diberikan oleh majikan selagi mana tidak bertentangan dengan wahyu.

Setiap profesion yang halal akan mendapat ganjaran yang besar daripada Allah SWT seperti mana sabda Nabi Muhammad SAW yang bermaksud: – “Barang siapa bekerja untuk anak isterinya melalui jalan yang halal, maka bagi mereka pahala seperti orang yang berjihad di jalan Allah.” – (Riwayat Al- Bukhari)

Islam tidak membebankan umatnya dengan bekerja di luar keupayaan menanggung bebanan kerja atau di luar kemampuan seseorang. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan apa yang terdaya olehnya”. – (Al-Baqarah : 286). Allah menyukai apabila orang yang melakukan sesuatu kerja, ia melakukannya dengan tekun dan bersungguh-sungguh serta berkualiti (itqan).

Kerja biarlah bermakna kepada semua. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sebaik-baik manusia ialah orang yang paling banyak bermanfaat bagi sesama manusia”. – (Riwayat Al-Quda’) Bekerja adalah amanah dan penunaian amanah. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah menyuruh kamu menunaikan amanah kepada yang berhak menerimanya”. – (An-Nisa’:58)

Pelaksanaan Ikrar Aku Janji, Ikrar Integriti Perkhidmatan Awam, Ikrar Perkhidmatan Awam dan Ikrar Kualiti adalah janji kepada majikan juga. Sebagai pekerja, kita perlu ada tingkah laku, sikap, cara bekerja dan perangai yang baik, kesempurnaan tugas (yang terbaik), sentiasa memperbaiki kelemahan dan kepincangan, menepati spesifikasi kerja, memenuhi kepuasan pelanggan dan masa, meninggikan imej organisasi, mengutamakan kualiti, mementingkan hasil dan produktiviti mengikut matlamat organisasi, memelihara penampilan diri, tingkah laku, layanan dan pertuturan terbaik serta menggerakkan segala potensi yang ada kearah terbaik.

Pekerja yang baik juga ialah mereka yang mempunyai kreativiti, bersikap positif dan dinamik, cemerlang, pendorong dan menjadi sumber inspirasi kepada yang lain, bermotivasi, berdaya saing, ketelitian, cermat, berhemah, berjimat, meminimumkan kesilapan, ketepatan, menunaikan tanggungjawab, janji dan amanah, berdisiplin, bersopan santun dan beradab.

Bukankah semua ini menyumbang kepada pembangunan dan kemajuan negara? Inilah juga ciri dan sifat yang mesti dimiliki dan diamalkan oleh rakyat yang berjiwa patriotik.

Pekerja yang baik ialah mereka yang mengamalkan nilai positif pekerjaan seperti amanah, bertanggungjawab, tidak cuai, tidak menyalahgunakan kuasa, berintegriti, telus, jujur, setia, bersedia, berdisiplin, pengurusan dan penggunaan masa yang berkesan, menambahkan keyakinan orang lain, melaporkan kesalahan dan pelanggaran undang-undang, benar, murni niat, menepati janji, rendah diri, suka menolong, berkhidmat dalam sebarang keadaan, menerima arahan/tugas/kerja dengan hati terbuka dan ceria.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: