Sahabat MANTAP

:: Memantapkan Minda Nasional ::

Meritokrasi – Bersaing Di Padang Yang Tidak Rata

Posted by Sahabat MANTAP di Selasa, 14 Ogos 2007

Roslan Mohd Latif
Presiden,
Alumni Melayu Amerika Utara (ALMA)

Meritokrasi mengikut American Heritage Dictionary adalah satu sistem di mana kejayaan seseorang berdasarkan kepada kebolehan serta pencapaian, atau mengikut Collin Dictionary, satu sistem sosial di mana seseorang mendapat status atau habuan kerana apa yang mereka capai, bukan disebabkan kekayaan atau kedudukan sosial. Dalam ertikata lain meritokrasi merupakan pencapaian berdasarkan kepada persaingan yang adil tanpa keistimewaan. Kalau diambil pertandingan bola contohnya, kedua-dua pasukan mempunyai kekuatan yang seimbang dari segi permainan, pengalaman bermain, latihan yang cukup serta padang permainan yang rata, disokong oleh pengadil dan penjaga garisan yang tidak berat sebelah. Sebenarnya keadilan sebeginilah yang dituntut oleh agama Islam dimana hak seseorang di beri adil tanpa batasan kaum, agama dan keturunan.

Berdasar kepada sejarah, tamadun Melayu bermula seawal kurun ke-8, dimana pedagang Cina telah mula berdagang ke muara Sungai Johor atau apa mereka sebut sebagai “Tun Sun”, kemudian ke muara Sungai Kuantan, “Ch’ih Tu”. Malah, kerajaan Kelantan telah menghantar misi diplomatik dan perdagangan semasa Dinasti Tang (619-906) dan Maharaja Cina telah menghadiah 100 gulung kain sutera kepada Kerajaan Kelantan pada kurun ke-7. Begitu juga Kerajaan Melaka merupakan kerajaan Islam pertama mendapat bantuan ketenteraan dan kewangan dari Dinasti Ming (1368-1644) di mana Melaka memberi kemudahan pelabuhan kepada kapal Cina di Melaka ketika itu sudah menjadi interport. Kedatangan Yin Ch’ing pada tahun 1403, pembantu kepada Maharaja Ming Cheng Tsu membawa hadiah kepada Parameswara di mana Kerajaan Melaka membalas lawatan pada tahun 1405. Hasil lawatan tersebut kerajaan Cina mengatur perjanjian keamanan antara Siam dan Melaka. Malah mengikut sejarah, antara tahun 1404 dan 1435, lebih dari 20 misi Melaka berkunjung ke Cina menjadikan kerajaan Melayu Melaka sebagai kerajaan yang agung di rantau Asia. Ini membuktikan betapa bangsa Melayu telah menjadi satu bangsa yang dihormati sejak beratus tahun yang lampau. Malangnya setelah 496 tahun dijajah, keagungan ini runtuh sama sekali dan memerlukan masa dan kekuatan untuk bangkit semula.

Walaupun tidak banyak fakta sejarah tentang faktor yang menyebabkan keruntuhan tamadun Melayu ini, penjajahan British selama lebih 170 tahunlah yang menjadi penyebab utama lenyapnya keagungan tamadun ini. Pengalaman buruk British di India menyebabkan mereka mengadakan dasar pecah dan perintah serta dasar berat sebelah dengan sama sekali mengenepikan hak orang Melayu sebagai tuan tanah ini di dalam segala bidang kehidupan seperti pendidikan, ekonomi, pentadbiran, pekerjaan serta perniagaan yang sememangnya menjadi warisan bangsa Melayu terutama di Kelantan, Terangganu serta Melaka seperti tercatat dalam sejarah. Dengan matlamat untuk membolot kekayaan negara seperti getah, biji timah, rempah ratus di tambah dengan kedudukan Semenanjung Tanah Melayu yang strategik dari segi geografi, British dengan rakus menimba khazanah negara ini dengan membiarkan peribumi hidup melarat.

Pendidikan merupakan satu dari bidang dimana orang Melayu samasekali di sekat dari menyertai arus pembangunan. Seawal tahun 1815, kaum Cina akibat dari reformasi di tanah besar telah menubuhkan sekolah cina yang pertama di Melaka yang dipelopori peniaga-peniaga kaum Cina. Penang Free School juga diwujudkan pada tahun 1816, bertujuan menjamin keperluan tenaga kerja separuh mahir seperti kerani dan pegawai tadbir rendah. Beberapa buah lagi sekolah seperti Mallacca Free School (1826) Victoria Institution (1894) dan King Edward (1906). Memandangkan sekolah-sekolah ini di tubuhkan oleh pendakwah Kristian, kemasukan pelajar Melayu amat kecil sekali dari segi bilangannya. Hanya pada tahun 1856 sekolah Melayu pertama di tubuhkan di Telok Air Tawar, P.Pinang dan Telok Belanga, Singapura yang kemudiannya ditukar menjadi sekolah tinggi inggeris dan akhirnya menjadi Maktad melatih guru-guru Melayu. Atas kesedaran kaum muda seperti Sheikh Tahir Jalaludin dan Syed Sheikh Al Hadi sistem Madrasah dimulakan yang lebih menekan kepada soal-soal agama walaupun subjek lain seperti Ilmu Hisab, Adab dan terjemahan di masukkan ke dalam pengajaran. Berbanding dengan sekolah Cina dan Inggeris yang lebih maju dengan menambah mata pelajaran Geografi, Sejarah serta Bahasa Inggeris. Atas desakan golongan bangsawan serta menyediakan tempat melatih melatih pengawai-pengawai Melayu, Malay College diwujudkan pada tahun 1905. Hanya pada tahun 1930, iaitu selepas 114 tahun kaum Cina dan India berpeluang mendapatkan pendidikan baru lah dasar terbuka Inggeris membenarkan orang Melayu ke sekolah Inggeris. Malah kaum Cina dan India yang lulus Scholl Certificate berpeluang mendapat pendidikan hingga peringkat tertinggi di Raffles College (1919), King Edward VII Medical College (1912) atau terus ke luar negara, berbanding orang Melayu yang hanya sebahagian kecil dapat meneruskan pendidikan dalam bidang agama di Mekah, Madinah atau ke India. Bayangkan jurang yang wujudselama lebih 100 tahun, berapa ramai professional India dan Cina lulus berbanding segelintir kecil Melayu yang boleh di bilang dengan jari seperti Dr Latif atau Dr Megat Khas. Malah pada tahun 1885, sistem sekolah Melayu di pendekkan dari 6 tahun ke 4 tahun bertujuan menyekat orang Melayu untuk pergi ke peringkat yang lebih tinggi.

Antara tahun 1919 dan 1937 hanya sekitar 15% anak Melayu ke sekolah Inggeris berbanding 50% kaum Cina dan 35% kaum India. Namun tidak ada seorang pun Melayu yang bersuara untuk mendapatkan hak yang sama atas dasar meritokrasi. Dasar berat sebelah Bristish ini jelas bilamana O T Dussek, pengetua Sultan Idris Training College pada tahun 1935 ada menyebut, “sekolah Melayu mestilah dijalankan oleh orang Melayu, yang akan dan pasti menetap di kampung dan jangan mempunyai perhubungan dan titik pertembungan dengan bahasa Inggeris. Antara Melayu bandar dan Melayu kampung, kedua –duanya perlu dipisahkan. Dasar penyekatan Bristish ini juga jelas di suarakan oleh Arthur Kenion, seorang Pegawai Tinggi Bristish,”. “Orang Melayu mesti di ajar supaya terus tinggal di sawah-sawah padi dan kerja-kerja menangkap ikan serta kerja-kerja hutan. Ajarkan mereka supaya memuliakan kerja buruh dan tidak semua menjadi kerani agar kekacauan yang berlaku di India akibat pelajaran berlebihan tidak tercetus di Malaya.” Laporan-laporan FMS (Federated Malay States) jelas menghuraikan dasar-dasar berat sebelah ini.

Kaum Cina atas kesedaran yang lebih awal disokong oleh Persatuan Cina yang mempunyai kewangan yang kukuh akibat dari dasar Bristish yang liberal terhadap mereka berjaya menwujudkan sekolah-sekolah pensedirian yang di urus sendiri oleh persatuan-persatuan tersebut termasuk sebahagian besar ke sekolah Inggeris. Sehinga tahun 1946, terdapat 1078 sekolah pensedirian Cina dengan bilangan pelajar seramai 168,000 di Malaya. Pada tahun 1953 Universiti Nanyang diwujudkan di Singapura.Pilihanraya pertama tahun 1955, menyaksikan bagaimana politik di jadikan asas tawar menawar bagi kepentingan pendidikan kaum Cina. Perikatan Tunku Abdul Rahman dan Tan Cheng Lock bertemu dengan Lim Lian Geok dan Choong Khoon Ling dari Jiao Zong dan Dong Zong untuk meminta sokongan kaum Cina. Sebenarnya tanpa sokongan kaum Cina pun perikatan ketika itu mampu membentuk kerajaan kerana pengundi Melayu seramai 84.2% berbanding Cina hanya 11.2% dan India seramai 3.9% tetapi atas dasar setiakawan kaum Cina telah diperuntukan 15 kerusi dan India 2 kerusi dari jumlah 55 kerusi yang di pertandingkan yang di jadikan asas hingga ke hari ini. Rata-rata kerusi yang di pertandingkan itu di kawasan majoriti Melayu dan keseluruhan calon Perikatan kecuali seorang kalah kepada calon PAS, Hj Ahmad Tuah Husin di Kerian, Perak. Laporan Razak 1956, menegaskan bahawa Bahasa Melayu menjadi bahasa kebangsaan, memberikan ruang untuk kaum lain meneruskan pembelajaran bahasa ibunda mereka. Dasar menggunakan bahasa Inggeris sebagai penghantar bagi Peperiksaan LCE pada tahun 1956 telah mendapat bantahan kaum Cina dengan melancarkan “Kempen Obor” pada bulan Febuari 1957 di mana lebih 80% pelajar Cina mendaftar di sekolah Cina.

Antara 1957 ke 1975 dari seramai 715,000 pelajar di sekolah menengah, hanya kira-kira 295,000 pelajar di sekolah Melayu berbanding 420,000 di sekolah Inggeris, tidak termasuk 28,000 pelajar di sekolah Inggeris persendirian dan 25,000 di sekolah Cina persendirian berbanding hanya 5000 di sekolah Melayu pensedirian. Akibat dari jurang yang ketara antara bandar dan luar bandar dari segi pendapatan isi rumah, kemudahan pembelajaran serta peluang ke peringkat yang lebih tinggi, bilangan pelajar Melayu di peringkat universiti amat kecil sekali peratusannya. Antara 1966 ke 1967 misalnya hanya sekitar 7.5% pelajar Bumiputra di fakulti Sains, 1.6% di Fakulti Kejuteraan, 30.3% Fakulti Pertanian, 28.3% Pendidikan, 15.9% Perubatan dan 36.8% Ekonomi dan Pentadbiran. Ini tidak mengambil kira pelajar Malaysia di luar negara seperti UK, Australia, New Zealand, Canada, US, Taiwan, dan Singapura. Tahun 1968 hingga 1969; hanya 12.8% Fakulti Sains, 1.8% di Fakulti Kejuteraan, 26.2% Fakulti Pertanian, 33% Pendidikan, 18% Perubatan dan 39% Ekonomi dan Pentadbiran. Begitu juga antara 1968 hingga 1971, hanya 11.5% Fakulti Sains, 1.3% di Fakulti Kejuteraan, 28.1% Fakulti Pertanian, 20.3% Perubatan dan 37.5% Ekonomi dan Pentadbiran. Hanya pada tahun 1968, kumpulan pertama siswazah dripada pengantar Melayu tamat pengajian di Universiti Malaya. Keadaan walau bagaimanapun sedikit berubah dengan penubuhan Politeknik Ungku Omar pada tahun 1969, Institut Teknologi MARA (1967), Universiti Sains Malaysia (1969) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (1970). Terkecuali UKM yang menggunakan Bahasa Malaysia sebagai bahasa pengantar, pelajar Melayu yang rata-rata dari aliran Melayu menghadapi kesukaran memasuki Politeknik, USM apatah lagi Kolej Tunku Abdul Rahman (1969). Hanya selepas Laporan Majid (1971) yang antara lain memastikan penyertaan seimbang berbagai kaum bukan saja di universiti tetapi juga meliputi fakulti-fakulti, keutamaan kepada luar bandar. Serta keutamaan biasiswa kepada pelajar bumiputra luar bandar yang mempunyai kebolehan akademik yang baik. Malah sistem “Kelas Pensediaan” yang diguna pakai oleh ITM untuk pelajar aliran Melayu telah memberi peluang kepada ramai pelajar luar bandar mengikuti program Professional di ITM, yang sepatutnya di teruskan tanpa menukar keseluruhan bahasa pengantar ke Bahasa Melayu bagi sesetengah bidang terpilih di universiti tempatan yang kini menjadi polimek panas di setiap peringkat masyarakat. Ini ekoran dari penghapusan kelas Peralihan Inggeris pada tahun 1975 dan pengajaran sepenuhnya Jurusan Sastera dalam Bahasa Melayu di universiti tempatan pada tahun 1980, pengajaran mata pelajaran Sastera, Sains dan Teknik di tingkatan VI Rendah dalam bahasa Malaysia pada tahun 1981 dan perubahan sepenuhnya sekolah Inggeris menjadi sekolah kebangsaan pada tahun 1982 dan penggunaan sepenuhnya Bahasa Melayu di universiti pada tahun 1983. Namum begitu kaum Cina agak beruntung terutama yang belajar di sekolah Cina yang mana mereka terus kekal menggunakan Mandarin sebagai bahasa pengantar sementara pelajar kolej swasta terus menggunakan Bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar, begitu juga berpuluh ribu yang menuntut di luar negara yang bila pulang mempunyai nilai komersial yang lebih tinggi berbanding pelajar Bumiputra yang hanya tahu berbahasa Melayu.

DEB yang diilhamkan oleh Allahyarham Tun Razak selepas peristiwa 13 Mei, secara langsung telah memberi nafas baru kepada orang Melayu untuk sama-sama memainkan peranan dan bersaing secara sihat bukan sahaja bidang pendidikan tetapi juga di bidang ekonomi. Tetapi kunci kepada kejayaan ini bergantung kepada sejauh mana majunya kaum Bumiputra di bidang pendidikan. Pembukaan lebih banyak Sekolah Berasrama Penuh dan MRSM telah memberi peluang kepada pelajar luar bandar yang mendapat keputusan baik di peringkat UPSR dan PMR meneruskan pelajaran di dalam persekitaran yang lebih kondusiv dengan kemudahan lebih baik setanding dengan pelajar-pelajar di bandar. Ini telah memberikan asas lebih baik kepada pelajar Melayu untuk bersaing di peringkat universiti. Walaubagaimanapun hak kaum lain terus di buka seluas-luasnya, dimana selepas dasar liberalisasi pendidikan di umumkan, negara dapat menyaksikan tumbuhnya kolej dan universiti swasta yang mana keluaran graduannya hampir menyamai keluaran IPTA tempatan. Sehingga akhir 2005, terdapat 11 universiti swasta, 11 kolej universiti, 5 kampus cawangan dan 532 kolej yang menawarkan pelbagai kursus dari peringkat sijil hingga peringkat PhD, termasuk kursus-kursus Professional yang mana bahasa Inggeris kekal sebagai bahasa pengantar. Contohnya sehingga akhir 2005, dari sejumlah 732,000 pelajar di pusat pengajian tinggi, 341,000 adalah pelajar di institusi swasta. Malah bilangan doktor, ahli farmasi dan doktor gigi yang dikeluarkan oleh 78 buah IPTS mengatasi bilangan yang dikeluarkan oleh IPTA. Begitu juga bidang professional lain seperti akauntan, jurutera, jurukur, pakar ICT dan bidang pemasaran, kewangan, pelaburan dan undang-undang, bilangan yang di hasilkan oleh IPTS melebihi apa yang mampu dikeluarkan oleh IPTA. Akta Pendidkan 1996 (Akta 555) memberikan kebebasan untuk IPTS bukan sahaja menjalankan program usahasama dengan universiti luar negara malah sehingga tahun 2000, sebanyak 30 IPTS diberi kebenaran menjalankan program 3+0 yang mana keseluruhan ijazah boleh dijalankan di Malaysia. Di peringkat sarjana terdapat lebih 70 program yang dijalankan secara “offshore” melibatkan bidang-bidang seperti MBA, MA (Marketing), M Finance, M Engineering, LLM, yang sebahagian besar tidak perlu berdaftar dengan Kementerian Pendidiakan.

Kebanyakkan dari IPTS ini di bantu oleh syarikat-syarikat awam milik kaum Cina seperti Unversal, Stamford Group, Sunway, Paramount Group, MBf, SEGI, Bandaraya Dev,Peladang Kimia dan beberapa buah lagi yang mampu mengadakan kampus yang besar serta lengkap dengan segala kemudahan. Kampus cawangan Nottingham University, Curtin University, Swinburne University serta Monash University bukan saja berjaya menarik pelajar tempatan tetapi juga berjaya menarik minat pelajar luar negara. Dengan ijazah luar negara yang di terima walaupun program dijalankan di Malaysia, mereka mempunyai kelebihan berbanding pelajar IPTA tempatan. Tidak heranlah dari sejumlah 80000 siswazah menganggur, majoriti garaduan Bumiputra yang tidak mampu berkomunikasi dengan baik di dalam bahasa Inggeris, kurang pendedahan dan kurang dari segi “soft skills” berbanding pelajar keluaran kolej swasta. Tetapi memandangkan kepada yuran tuisyen yang tinggi, hanya 10% pelajar Bumiputra yang mampu. Ini sekali lagi menyebabkan jurang antara kaum kembali menjadi besar di tambah pula dengan pemberhentian penghantaran pelajar ke luar negara akibat kemelesetan ekonomi pertengahan 1980an ditambah denga krisis matawang 1997.

Dasar meritokrasi yang dilaksanakan oleh kerajaan sejak 2002 walaupun dari segi peratus bilangan pelajar di IPTA tempatan menunjukkan kaum Bumiputra melebihi kaum Cina dan India, disebabkan jumlah penduduk negara ini secara kebetulan kaum Bumiputra sekitar 65% dari segi peratus pelajar yang diterima berdasar kepada bilangan yang memohon, kaum Cina jauh mengatasi kaum Bumputra. Contohnya pada kemasukan 2004/2005 hanya 46.94% sahaja pelajar bumiputra yang diterima masuk, ia itu seramai 24,837 dari sejumlah 63603 yang memohon sebanding 78.92% pelajar Cina yang diterima atau seramai 11778 dari seramai 16501 pemohon. Begitu juga kemasukan 2005/2006 hanya 57.81% pelajar Bumiputra atau 24941 dari 77711 yang memohon berbanding kaum Cina 73.98% atau 12802 dari seramai 20683 yang memohon. Bagi kemasukan 2006/2007 hanya 59.46% pelajar Bumiputra atau seramai 24957 dari seramai 49995 yang memohon berbanding 75.99% pelajar Cina atau 12616 orang dari seramai 18736 yang memohon. Tetapi perlu di ingat dari sejumlah 60% Bumiputra yang diterima adalah dari pelajar luar bandar yang serba kekurangan dari segi kemudahan tetapi mampu bersaing dari segi meritokrasi. Soalnya apakah ini adil, pelajar dari Ulu Kelantan, Ulu Perak yang serba kekurangan dari segi sumber pengajaran, guru yang baik, penguasaan Bahasa Inggeris yang lemah disaingkan dengan pelajar dari bandar atau sekolah-sekolah persendirian Cina yang rata-rata mendapat sekurangnya 3A atau 4A diperinkat STPM. Malah lebih 500 setiap tahun mendapat A dalam kesemua mata pelajaran. Ini tidak diambil kira beribu pelajar Taylors College, HELP, KDU, INTI dan sebagainya yang mengambil A Level, SAM, atau Canadian Grade 13, selepas setahun atau dua di Malaysia terus ke universiti-universiti terkemuka di Australia, UK, New Zealand, Singapura atau US. Malah selepas September 11, pelajar yang menggunakan “bin” di sekat sama sekali memasuki US menjadikan hanya kira-kira 600 pelajar Bumiputra berbanding lebih 7000 pelajar Malaysia keseluruhannya.

Akibat dari segi “inferiority complex”,kekurangan wang serta kebolehan menyesuai diri dengan suasana baru, ramai pelajar Bumiputra di IPTA kandas di peringkat awal terutama di bidang sains, teknikal serta perakaunan yang memerlukan kekuatan asas matematik. Ini dapat di lihat dari bilangan graduan yang cemerlang di IPTA. Pada tahun 1996 hanya 53 Bumiputra mendapat ijazah Kelas Pertama berbanding 347 bukan Bumiputra. Hampir 66% di kumpulan ijazah Kedua (bawah) berbanding hanya 26% dalam kategori yang sama bagi pelajar Cina. Tahun 1977 hanya 66 bumiputra Kelas 1 berbanding 419 Bukan Bumiputra, tahun 1998 hanya 97 berbanding 442 bukan Bumi, 1999 hanya 130 Kelas Satu berbanding 448 bukan Bumi, 2000 (76 orang) berbanding 418 nukan Bumi, 2001 hanya 456 berbanding 1253 bukan bumi dan 2002 hanya seramai 279 graduan Kelas Satu Bumiputra berbanding 818 bukan Bumi. Secara purata sekitar 26% Bumiputra mendapat Ijazah II Atas, 64% Ijazah Kelas II Bawah dan sekitar 9% Ijazah III berbanding 64% bukan Bumi mendapat Ijazah Kelas II Atas dan hanya 28% mendapat Kelas II Bawah dan kurang dari 2.5% mendapat Ijazah Kelas III. Ini mengambil kira graduan UITM.

Kalaulah angka-angka di atas dijadikan perbandingan dan dijadikan asas untuk pelaksanaan dasar meritokrasi, maka sememangnya Bumiputra bermain di padang yang tidak rata. Dari segi pengalaman, kemudahan dan persekitaran, kaum Bumiputra masih memerlukan tongkat akibat dari begitu lama di pinggirkan. Adalah tidak wajar kaum Bumiputra yang baru 38 tahun dibebaskan dari belenggu penjajahan fikiran, ekonomi serta akses kepada sistem pendidikan yang baik, dibiarkan bersaing di tanah terbuka berbanding kaum bukan Bumiputra yang lebih 200 tahun kehadapan dari segi ekonomi, akses kepada pendidikan yang baik, persekitaran dan makanan yang baik di sokong oleh “networking” yang baik di peringkat antarabangsa, untuk bersaing di satu padang yang tidak rata. Ibarat mengatur perlawanan bola sepak antara Malaysia dengan Brazil yang mana keputusannya dapat kita jangka sejak awal lagi. Demi memastikan Bumiputra mampu bersaing bukan sahaja di peringkat negara ini malah di peringkat global, janganlah jangka masa di jadikan sebagai asas. Selagi matlamat merapatkan jurang dan pembasmian kemiskinan belum tercapai selama itu lah usaha berterusan perlu di lipat gandakan. Yang pentingnya, jurang antara bandar dan luar bandar, pendapatan isi rumah antara kaum serta bantuan berterusan kepada kawasan-kawasan mundur di Terengganu , Kelantan, Kedah, Perlis, Sabah dan Sarawak perlu di lipat gandakan. Pembinaan sekolah-sekolah berasrama penuh negeri, daerah serta MRSM perlu dipertingkatkan. Dasar penggunaan Bahasa Inggeris perlu di kaji semula agar pelajar Bumiputra khususnya di luar bandar tidak ketinggalan. Latihan berterusan guru-guru terlibat dengan pengajaran bahasa Inggeris termasuk membawa guru-guru dari negara asing perlu di lakukan segera agar kaum Bumiputra tidak menjadi mangsa kepada dasar yang sentiasa berubah dan lebih bersifat “Adhoc” .

Roslan Mohd Latif
Presiden,
Alumni Melayu Amerika Utara (ALMA)

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: