Sahabat MANTAP

:: Memantapkan Minda Nasional ::

Apa Yang Boleh Dibantu

Posted by Sahabat MANTAP di Isnin, 13 Ogos 2007

“Nak…mari sini!”

“Pak Cik ada cerita sikit pasal bantu-membantu.”

Pagi ini sambil menikmati sarapan, mata saya terlekat pada satu kolum muka hadapan akhbar Utusan Malaysia. Bukan berita utama; bukan juga berita kaki tetapi moto yang tertulis di atas nama ‘Utusan’ itu sendiri. Moto ‘Penyebar Fikiran Rakyat’’ tiba-tiba sahaja amat menarik perhatian saya. Sebuah kolum yang tidak pernah untuk saya mengamatinya apabila membaca mana-mana akhbar tempatan selama ini.

Ada sesuatu yang terlintas di hati saya. Ada sesuatu yang muncul dalam benak pemikiran saya ketika itu. Jika akhbar ini menjadi penyebar pemikiran rakyat, adakah saya yang membacanya perlu menjadi penerima kepada pemikiran rakyat atau pembaca pemikiran rakyat? Atau sekadar mengetahui hal-ehwal rakyat?. Tidak, saya tidak boleh bersikap demikian dan saya mengajak para pembaca budiman agar tidak berfikir sebegitu. Kita perlu belajar untuk membezakan mana satu laporan, mana satu berita, mana satu pendapat, mana satu ulasan dan mana satu pengumuman. Kesemuanya itu perlu diambil tindakan. Cuma apa yang membezakannya adalah jenis tindakan yang akan diambil dan pihak yang dipertanggungjawabkan atau diberi kuasa untuk bertindak.

Justeru itu, kita perlu melatih sikap kita menyelak akhbar dengan niat untuk mengetahui dan bertindak. Seolah-olah sebelum kita menyelak helaian akhbar, kita terlebih dahulu bertanya kepada diri kita, “apakah yang boleh aku bantu hari ini?”. Bukan lagi, “apa berita hari ini?” atau “apa cerita menarik hari ini?”. Ini bermakna, jika akhbar ini menjadi penyebar pemikiran rakyat, kita perlu menjadi penterjemah kepada pemikiran rakyat. Kita perlu bertindak demi kesejahteraan rakyat sekaligus untuk kemakmuran negara.

Hanya dengan ayat, “apakah yang boleh aku bantu hari ini?” sudah tentu akan menjadikan diri kita lebih realistik dan tidak mustahil boleh melatih kita menjadi lebih proaktif, kreatif dan inovatif. Kata-kata ini tidak terhad dari mulut individu-individu tertentu tetapi merangkumi setiap lapisan masyarakat dari setiap bangsa. Mengambil contoh upacara sambutan kemerdekaan negara, sebaik sahaja kita mengetahuinya, cuba kita bertanya kepada diri kita, “apakah yang boleh aku bantu untuk memeriahkan sambutan ini?”. Jika setiap daripada kita mengemukakan soalan seperti ini, maka tidak hairan jika lebih ramai rakyat dari segenap lapisan akan turun memberikan sokongan.

Kira-kira setahun yang lalu, media mendedahkan kepada kita mengenai siri pemerkosaan terhadap alam sekitar. Apakah yang boleh kita bantu? Adakah kita akan terus ‘menangguk di air yang keruh’ atau ‘buang yang keruh, ambil yang jernih’? Walaupun dilaporkan bahawa syarikat-syarikat tertentu yang bertanggungjawab, seharusnya syarikat lain yang merasakan mereka juga melanggar kontrak, prosedur atau peruntukan perundangan perlu segera bertindak menghentikan aktiviti-aktiviti yang berkaitan. Kembali semula kepada kaedah-kaedah yang lebih telus, prihatin dan bertanggungjawab. Mengambil sikap tidak mengendahkan apa yang terjadi kepada pihak lain hanya akan memburukkan lagi keadaan. Keluhan rakyat dan jeritan pencinta-pencinta alam menjadi susunan muzik keras yang akan berterusan membingitkan telinga pihak yang berkuasa. Akibatnya, hukuman yang sedia ada diperuntukkan untuk pesalah alam sekitar akan digubal menjadi lebih keras dan setimpal dengan kebiadapan dan kedegilan mereka. Episod tuding-menuding dan mencari kesalahan orang lain akan mula berleluasa. Satu-persatu isu akan mula timbul dan dirungkai. Jadilah seperti ‘seekor kerbau membawa lumpur, semuanya terpalit sama’. Pada akhirnya nanti, pihak kerajaan akan dipersalahkan kerana gagal membuat pemantauan. Apa kata jika mulai hari ini tatkala melihat jentolak atau lori haram mula memasuki kawasan hutan, kita bertanya kepada diri kita, “apakah yang boleh aku bantu untuk memelihara alam sekitar?”

Pihak media pernah mendedahkan nasib tujuh beradik yang dijaga nenek mereka di PPR Cochrane 1, Jalan Peel dan ramai pihak telah turun membantu seperti UMNO Bahagian Cheras dan Yayasan Pendidikan Cheras (YPC). Apabila nenek mereka pula meninggal dunia, Menteri Pembangunan Wanita Dan Keluarga Negara, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil sendiri telah turun melawat seterusnya memberi jaminan agar semua kos sara hidup mereka dibiayai oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). Selain daripada itu, tujuh beradik tersebut turut mendapat perhatian daripada Majlis Kebajikan Kanak-Kanak Malaysia (MKKM) dan Majlis Persatuan Orang-Orang Buta Malaysia (MPOBM). Apakah pula yang telah kita bantu?

Begitulah juga apabila Perdana Menteri, Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi mengumumkan 10 Prinsip Islam Hadhari, seharusnya setiap daripada kita mula berfikir untuk merancang seterusnya menyusun gerakan untuk merealisasikan agenda tersebut yang menjadi sebahagian daripada agenda rakyat dan negara. Daripada orang perseorangan, pertubuhan-pertubuhan, institusi-institusi, syarikat-syarikat swasta hinggalah kepada syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC) perlu bertindak secara proaktif tanpa menunggu arahan rasmi daripada pihak yang lebih berkuasa. Polisi syarikat boleh digubal untuk menyelitkan beberapa unsur dari prinsip tersebut. Antaranya ialah Keimanan dan Ketaqwaan Kepada Allah, Penguasaan Ilmu Pengetahuan, Pembelaan Hak Kumpulan Minoriti dan Wanita dan Pemuliharaan Alam Semulajadi. Pelajar-pelajar sekolah boleh membacakannya pada setiap perhimpunan mingguan sepertimana lagu Negaraku biasa dinyanyikan. Institusi-institusi pendidikan dan pengajian tinggi boleh mengambil tindakan mengamalkannya secara praktis di kalangan pelajar-pelajarnya baik dalam akademik mahupun aktiviti ko-kurikulum. Siapa lagi yang boleh membantu melicinkan pelaksanaan dasar-dasar negara jika tidak kita sebagai rakyat!

Rasulullah s.a.w pernah berpesan, “Wajib ke atas setiap Muslim untuk patuh dan taat kepada pemerintah sama ada ia suka atau tidak, selama mana ia tidak diperintah untuk melakukan maksiat. Sekiranya ia diperintah untuk melakukan maksiat, maka janganlah patuh dan taat.” (Riwayat Al-Bukhari).

Hadis ini disokong oleh Imam Abu Ya’la yang pernah berpesan, “Apabila pemerintah telah melaksanakan tanggungjawab terhadap umat, maka wajiblah ke atas umat itu melaksanakan dua perkara : i) Taat dan ii) Menolong pemerintah dalam melaksanakan tanggungjawabnya.”

Dalam diam saya sendiri mengakui bahawa menterjemahkan pemikiran rakyat tidak semudah menyebarkan pemikiran rakyat. Penterjemahan pemikiran rakyat memerlukan kemahiran dalam tindakan dan setiap tindakan perlu didasari dengan ilmu dan setiap orang yang berilmu itu seharusnya mewarisi sikap yang terpuji. “Apakah yang boleh aku bantu?” tidak semudah untuk dilafazkan jika kita tidak berazam menjadikan diri kita sendiri sebagai rakyat yang prihatin, bertanggungjawab dan cintakan negara.

Bersamalah kita berganding bahu untuk menjadi penterjemah kepada pemikiran rakyat di samping membantu pelaksanaan dasar-dasar negara tanpa mengorbankan nilai agama, jati diri bangsa, keunikan budaya dan cita-cita negara. William Shakespeare pernah berkata, “bukan aku yang membentuk puisiku tetapi puisiku yang membentuk aku menjadi seperti ini”.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: