Sahabat MANTAP

:: Memantapkan Minda Nasional ::

Ke Manakah Arah Tuju Pemimpin Muda?

Posted by Sahabat MANTAP di Jumaat, 10 Ogos 2007

Umurnya baru mencecah 30-an, tetapi lelaki berkulit hitam, bertubuh sasa, dan bermisai nipis ini pernah mengemparkan dunia pada 1960-an. Dr. Martin Luther King, merupakan wira masyarakat kulit hitam di Amerika Syarikat (AS) apabila bangkit menentang ketidaktamadunan masyarakat kulit putih yang mendiskriminasikan mereka dalam semua perkara; tidak membenarkan mereka berkongsi tandas, berkongsi bas, berkongsi pawagam, berkongsi restoran, dan lebih menyedihkan hak mereka sebagai pekerja juga dipertikai.

Perjuangan beliau memberikan kesan hebat ke seluruh AS, paling menggelodak di Washington. Meskipun Dr. Martin berhadapan pelbagai kecaman dan cubaan bunuh, beliau tidak gentar untuk menebus maruah masyarakat kulit hitam di seluruh dunia. Malangnya ketika berusia 39 tahun, beliau mati ditembak. Namun roh perjuangannya berkumandnag di seluruh dunia. Dr. Martin, penerima Nobel Keamanan termuda berumur 35 tahun, menjadi sumber inspirasi seluruh masyarakat kulit hitam. Perjuangan beliau membawa kepada penubuhan Rang Undang-Undang Hak Asasi Manusia yang berjaya mengubah kehidupan masyarakat kulit hitam di seluruh dunia.

Menyorot kepimpinan muda di Asia Tenggara, barisan kepimpinan muda terdahulu seperti bekas Timbalan Perdana Menteri Kedua Malaysia, Tun Dr. Ismail Abdul Rahman, Menteri Mentor Singapura , Lee Kuan Yew, wira kebangsaan Filipina, Jose Rizal, pejuang demokrasi Indonesia, Soe Hok Gie, antara paling terserlah, memiliki bakat kepimpinan luar biasa dan berjaya melakar sejarah politik di rantau sebelah sini.

Di Singapura, Lee Kuan Yew, merupakan tokoh kepimpinan muda yang memulakan karier politik seawal usia 31 tahun. Menerusi penubuhan parti politiknya iaitu Parti Tindakan Rakyat (PAP), beliau seterusnya menjadi Perdana Menteri Singapura ketika berusia 35 tahun.

Sementara di Filipina, seorang pemuda yang berusia 26 tahun membakar semangat kebangsaan rakyat Filipina . Jose Rizal, wira kebangsaan Filipina dan berjaya meraih sokongan besar kerana keberaniannya menentang penjajahan Sepanyol sehingga beliau ditangkap dan dihukum bunuh.

Berbeza pula di Indonesia, seorang pejuang muda demokrasi hanya menggunakan mata penanya untuk menentang kediktatoran Presiden Sukarno. Perjuangannya mungkin tidak sehebat Dr. Martin mahupun mendapat sokongan besar seperti yang diraih oleh Ghandi, tetapi Soe Hok Gie, 27 tahun, menerusi karyanya yang tersiar dalam beberapa media perdana Indonesia mampu menggerakkan mahasiswa seluruh Indonesia menentang Sukarno. Disebabkan aura kepimpinan yang jitu pada dirinya, penulis tersohor, John Maxwell, menulis biografi Soe Hok Gie berjudul, A Biography of A Young Indonesian Intellectual. Perjuangan Soe Hok Gie turut dirakam dalam filem, Gie, diarahkan oleh sutradara Riri Riza.

Di Malaysia, kredibiliti kepimpinan yang dimiliki Dr. Ismail menjadi penyebab utama beliau dijadikan ikon pemimpin muda. Beliau dilantik menjadi Timbalan Presiden UMNO pada usia 36 tahun dan sebagai pemimpin muda , Dr. Ismail seorang yang berpedirian tegas dan sentiasa bersikap adil ketika membuat keputusan. Kredibiliti Dr. Ismail menyebabkan beliau dihormati pelbagai pihak dan ahli parti turut menyanjung tinggi keperibadian Dr. Ismail. Tekad dan ketegasan Dr. Ismail menentang komunis serta anasir yang mengancam keselamatan negara memang digeruni musuh.

Lee Kuan yew menerusi buku, Kisah Singapura (1998), memuji kredibiliti Dr. Ismail, menurutnya, “Meskipun Dr. Ismail tidak mempunyai karisma dan status bangsawan Melayu seperti Tunku Abdul Rahman atau berfikiran tajam seumpama Tun Abdul Razak, Dr. Ismail pemimpin muda yang sangat bijak, tegas, dan berterus terang. Dr. Ismail akan menjadi perdana menteri yang sangat baik sekiranya beliau tidak meninggal dunia pada usia 58 tahun.

Selain Dr. Ismail, sepanjang tempoh perjuangan Malaysia mendapatkan dan mengisi kemerdekaan, kemunculan beberapa orang lagi pemimpin muda negara tetap meraih perhatian. Antaranya termasuklah mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, Bekas Timbalan Perdana Menteri, Tun Musa Hitam, Bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Muhammad Muhd Taib, dan bekas Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Rahim Tambi Chik.

Namun, persoalannya, sejauh mana perjuangan barisan tokoh pemimpin ini dapat memberikan inspirasi kepada warga muda negara? Selepas 50 tahun negara mencapai kemerdekaan, hari ini dalam konteks Malaysia melahirkan pemimpin muda bertaraf dunia, perlu ada kajian yang menyeluruh terhadap usaha mengetengahkan bakat kepimpinan muda negara. Dahulu, pernah ada ura-ura UMNO bakal mewujudkan Institut Kepimpinan UMNO khusus untuk melatih pemimpin muda berbakat yang bakal menerajui UMNO, tetapi entah di mana silapnya, cadangan itu akhirnya hilang ditelan masa.

Pelbagai program belia seperti Rakan Muda dan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) diwujudkan oleh kerajaan untuk melahirkan generasi muda yang berkualiti, tetapi pastinya semua itu tidak mencukupi untuk melahirkan pemimpin muda yang betul-betul berkaliber. Hal ini demikian kerana perkara yang perlu diusahakan adalah sebuah “institusi kepimpinan” atau sistem yang benar-benar terancang yang memfokuskan 100 peratus kepada usaha membentuk dan melahirkan pemimpin muda bertaraf dunia. Sekurang-kurangnya dengan wujudnya institusi atau sistem terancang sedemikian, usaha melahirkan pemimpin muda lebih terarah. Misalnya dalam sejarah negara China, lebih darpada 300 orang menteri dan timbalan menteri dalam Kabinet China termasuk seorang Perdana Menteri ialah bekas graduan dari Universiti Qinghua. Universiti tersebut walaupun bukannya merupakan sebuah institusi kepimpinan yang khusus, mempunyai modul atau sistem latihan kepimpinan yang benar-benar terancang untuk melatih pelajarnya menjadi pemimpin muda yang berkaliber dan bertaraf dunia. Barisan pemimpin muda yang lahir daripada Universiti Qinghua inilah yang membawa China menjadi salah sebuah gergasi ekonomi yang digeruni dunia.

Mungkinkah selepas 50 tahun merdeka, negara ini bakal mengulangi kejayaan Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) yang ditubuhkan pada 1905 oleh pihak Bristish dalam melahirkan pemimpin terkemuka negara? Antara pemimpin yang lahir dari MCKK ialah Datuk Onn Jaafar, Perdana Menteri Malaysia Kedua, Tun Abdul Razak, Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Khalil Yaakob, Bekas Hakim Mahkamah Tinggi, Tan Sri Azmi Kamaruddin, Bekas Ketua Polis Negara, Tun Hanif Omar, Bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz, Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, dan ratusan orang lagi ahli korporat seperti Tan Sri Razali Ismail, Tan Sri Saleh Sulung dan Tan Sri Halim Saad.

Kerajaan sentiasa menyediakan ruang untuk generasi muda mengasah bakat sebelum benar-benar layak menjadi pemimpin negara. Di Dewan Rakyat misalnya, pemimpin muda turut diberikan ruang antaranya Ir.Shairi B. Hassan,40 tahun, Fong Po Kuan, 34 tahun, Razali Ibrahim, 37 tahun, Syed Hood Syed Edros, 36 tahun, Wee Ka Siong, 35 tahun, Rosnah Abdul Rashid, 35 tahun, dan Chong Gheing Jen, 36 tahun.

Generasi muda di negara ini sememangnya bertuah, selain daripada bantuan dan peluang yang disediakan kerajaan, sehingga Ogos 2007, terdapat 40 badan kebangsaan dan Majlis Belia Negeri yang bergabung di bawah naungan Majlis Belia Malaysia. Menerusi MBM, pelbagai program dilaksanakan di semua peringkat negeri dan kebangsaan antaranya, Siri Latihan Pemimpin Muda dan mengadakan hubungan dengan pertubuhan belia antarabangsa.

Namun soalnya, adakah MBM yang ditubuhkan sejak 1950 boleh dianggap berjaya melahirkan pemimpin muda yang berkaliber? Hakikatnya, ternyata usaha MBM masih gagal menarik minat seluruh belia untuk menyertai MBM . Menurut data terkini yang dikeluarkan oleh MBM, terdapat 11.2 juta orang belia di seluruh negara dan daripada jumlah tersebut hanya tiga juta orang belia yang dilaporkan berdaftar di bawah MBM. Agak menyedihkan apabila 8.2 juta orang belia negara tidak berminat menceburkan diri dalam persatuan. Oleh yang demikian ke mana arah tuju belia negara?

Sungguhpun begitu, menurut Bekas Timbalan Perdana Menteri, Tun Musa Hitam, negara masih belum terlambat untuk melahirkan pemimpin muda negara yang berkaliber. Selama 50 tahun usia kemerdekaan negara pelbagai program dan rancangan  dilaksanakan oleh kerajaan dengan satu matlamat, untuk melihat lebih banyak anak bangsa maju dan menjadi pemimpin negara.

Tambah Tun Musa, negara tidak akan ketandusan pemimpin muda, pemimpin datang silih berganti. Banyak pemimpin muda akan muncul dan mengantikan pemimpin yang ada, tetapi yang menjadi persoalannya, sejauh manakah pemimpin yang dilahirkan itu benar-benar berkualiti.

Tun Musa turut menjelaskan, untuk melahirkan pemimpin muda bertaraf dunia, semua pihak perlu kembali kepada asas yang menjadi tunjang kemajuan kepimpinan iaitu pendidikan. “Alangkah baiknya selepas 50 tahun negara merdeka, kita mengubal satu  strategi dalam sistem pendidikan yang telah sekian lama diguna pakai. Lihat keadaan dahulu dan sekarang. Aspek yang bagaimana perlu kita kekalkan dan perbaharui dan selepas itu barulah kita bina strategi. Namun akar umbinya ialah pendidikan,” ujar Tun Musa.

Lebih penting, menurut Tun Musa perlu ada perubahan yang bersistem dan terancang di semua Institut Pengajian Tingga Awam (IPTA) di negara ini. Misalnya, kejayaan Universiti Islam Antarabangsa (UIA) melahirkan graduan yang berkualiti dan berpersonaliti untuk menjadi pemimpin harus dijadikan contoh kepada IPTA yang lain.

“Saya melihat persekitaran UIA yang menerima pelajar asing dan tenaga pengajar yang datang dari pelbagai negara membantu meningkatkan kualiti pemikiran graduan UIA. Ini satu strategi yang berkesan,” ujar Tun Musa.

Di samping itu, Tun turut menyarankan agar lebih banyak dialog terbuka dalam kalangan pelajar dianjurkan.

“Pada 1960 iaitu ketika saya menjawat jawatan Setiausaha Agung UMNO, hampir setiap tahun beberapa orang pelajar Universiti Malaya yang dipilih berdasarkan kebolehan dan kredibiliti melibatkan diri dalam ‘the great debut” dan saya dijemput untuk menyaksikan debat tersebut. Saya masih ingat antara pelajar yang sering mengambil bahagian ialah bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad dan bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim,” cerita Tun Musa.

Ekoran itu, Tun Musa menyarankan salah satu strategi melahirkan lebih banyak pemimpin muda bertaraf dunia, adalah dengan mengubahsuai sistem pendidikan di semua peringkat dan penglibatan pertubuhan belia di seluruh negara menerusi pengisian program yang lebih terarah dan terancang.

Hakikatnya, sedar atau tidak, Malaysia sehingga kini masih belum mempunyai satu sistem terancang dalam melahirkan pemimpin muda yang bertaraf dunia. Jika tidak kerana dorongan politik, nescaya gerakan belia yang kebanyakannya “berselindungkan” gelaran pertubuhan bukan kerajaan (NGO), umpama hidup segan, mati tak mahu.

(Dipetik dari hasil nukilan Aninah Janang, Dewan Masyarakat, Ogos 2007)

Advertisements

2 Respons to “Ke Manakah Arah Tuju Pemimpin Muda?”

  1. […] Dipetik dari : https://sahabatmantap.wordpress.com/2007/08/10/ke-manakah-arah-tuju-pemimpin-muda/ […]

  2. PM said

    pemimpin yang ada tidak akan bertahan lama.. calon dari pemimpin muda perlu dicari untuk mengantikan tempat mereka akan yang pergi di masa hadapan

    http://pemimpinmuda.malayaonline.com/?p=15

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: