Sahabat MANTAP

:: Memantapkan Minda Nasional ::

Mencabar Definisi Kepimpinan

Posted by Sahabat MANTAP di Selasa, 7 Ogos 2007

Kepimpinan adalah subjek paling kuno kerana telah dibicarakan oleh ahli-ahli falsafah lama seperti Aristotle, Plato, Leviathian dan lain-lain. Sehingga kini, segala darihal kepimpinan masih lagi dibicarakan oleh para pengkaji dan pemikir moden seperti Cooley (1902), Lewin (1933), McGregor (1960), Jennings (1960), Fiedler (1967), House (1971),  Fleishman (1973), Hunt (1973), Larson (1974), Stogdill (1974), Hollander (1974), Schriesheim (1982), Holloman (1984), Kellerman (1984), Gardner (1984) dan ramai lagi.

Oxford English Dictionary menyebut bahawa istilah pemimpin dalam bahasa Inggeris telah muncul seawal tahun 1300 lagi tetapi istilah kepimpinan muncul pada tahun 1800 dalam tulisan-tulisan mengenai pengaruh dan kawalan politik Parlimen British.

Berikut adalah definisi-definisi kepimpinan yang diberikan oleh pemikir-pemikir Barat:

  • “Pemimpin adalah nukleus bagi satu kecenderungan dan sebaliknya semua pergerakan sosial mengandungi tendensi untuk memiliki nukleus seperti itu.” (Cooley, 1902)

  • “Tindakan oleh seseorang yang memujuk orang lain supaya melakukan perkara yang diingini oleh pemujuk.” (Bundel, 1974)

  • “Kepimpinan adalah tingkah laku individu apabila dia sedang mengarahkan aktiviti kelompok ke arah matlamat yang dikongsi bersama” (Hemphill & Coons)

  • “Kepimpinan adalah pengaruh antara perseorangan, yang dilaksanakan dalam sesuatu situasi, dan diarahkan, melalui proses komunikasi, ke arah pencapaian matlamat atau matlamat-matlamat khusus.” (Tannenbaum, Weshler & Massarik)

  • “Kepimpinan adalah pendayautamaan dan penyelenggaraan struktur dalam jangkaan dan interaksi.” (Stogdill, 1974)

  • “Kepimpinan ialah hubungan antara perseorangan yang menunjukkan kuasa dan pengaruh diagih secara yang tidak sama rata sehingga seorang individu boleh mengarah dan mengawal tindakan-tindakan orang lain lebih daripada kawalan mereka ke atas individu itu.” (Fiedler, 1967)

  • “Apabila matlamat seorang anggota A, ialah untuk mengubah anggota lain, B, atau bila perubahan tingkah laku B memberi ganjaran kepada A atau memperteguhkan tingkah laku A, usaha A untuk mencapai matlamat itu adalah kepimpinan.” (Bass, 1960)

Sekarang, lihat pula apa yang telah terkandung dalam Al-Quran dan telah disebutkan oleh Nabi Muhammad s.a.w sejak 1400 tahun yang lalu:

  • “Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat; “Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi”. Mereka bertanya (tentang hikmat ketetapan Tuhan itu dengan berkata): “Adakah Engkau (Ya Tuhan kami) hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan), padahal kami sentiasa bertasbih dengan memujiMu dan mensucikanMu?”. Tuhan berfirman: “Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kamu tidak mengetahuinya”.” (Surah Al-Baqarah : 30)

  • “Dan Dia lah yang menjadikan kamu khalifah di bumi dan meninggikan setengah kamu atas setengahnya yang lain beberapa darjat, kerana Ia hendak menguji kamu pada apa yang telah dikurniakanNya kepada kamu. Sesungguhnya Tuhanmu amatlah cepat azab seksaNya, dan sesungguhnya Ia Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (Surah Al-An’am : 165)

  • “Kemudian Kami jadikan kamu (wahai umat Muhammad) khalifah-khalifah di bumi menggantikan mereka yang telah dibinasakan itu, supaya Kami melihat apa pula corak dan bentuk kelakuan yang kamu akan lakukan.” (Surah Yunus : 14)

  • Daripada Abu Said Al-Khudri r.a., Rasulullah s.a.w bersabda, “Sesungguhnya dunia adalah manis dan indah dan Allah telah menjadikan kamu sebagai khalifah di dunia. Lalu, Allah melihat bagaimana kamu beramal.” (Riwayat Muslim)

  • Daripada Ibn Umar r.a., Rasulullah s.a.w bersabda, “Tiap seorang daripada kamu adalah penjaga (pemimpin) dan kamu bertanggungjawab terhadap penjagaan kamu (orang yang dipimpin). Imam adalah penjaga (pemimpin) dan bertanggungjawab kepada pimpinannya, lelaki itu penjaga (pemimpin) dan bertanggungjawab kepada pimpinannya, orang perempuan adalah penjaga (pemimpin) dalam rumah suaminya dan bertanggungjawab kepada pimpinannya, hamba adalah penjaga harta tuannya dan bertanggungjawab kepada pimpinannya, dan setiap kamu adalah penjaga (pemimpin) dan bertanggungjawab kepada pimpinan kamu”. (Riwayat Muslim)

Dalam hadis ini, perkataan yang diterjemahkan sebagai pemimpin ialah ‘ra’in’ bermakna ‘penjaga’. Ditafsirkan sebagai pemimpin kerana hadis itu juga menggunakan perkataan ‘mas-ul’ yang membawa makna sebagai ‘bertanggungjawab’. Jika diamati lebih mendalam, betapa Rasululah s.a.w cuba untuk memberikan makna kepimpinan agar dapat difahami sebaik-baiknya oleh seluruh umat manusia. Dimulakan kata-kata itu dengan ditujukan kepada kita semua dan diakhiri kata-kata itu dengan ditujukan kepada kita semua juga. Diberikan contoh bermula dari seorang imam sehinggalah kepada seorang hamba; contoh yang bermula dari semulia-mulia darjat sehinggalah serendah-rendah darjat di sisi manusia.

Jika dilihat kembali kesemua firman Allah s.w.t dan hadis Rasulullah s.a.w di atas, bukankah kita dapat simpulkan bahawa setiap manusia itu adalah pemimpin. Sekaligus menyanggah pendapat yang mengatakan “leaders are not born” (pemimpin tidak dilahirkan). Berteriaknya seorang bayi yang baru keluar dari rahim seorang ibu itu adalah teriakan seorang pemimpin yang baru dilahirkan ke dunia. Sesungguhnya Allah mencipta dan melahirkan manusia itu sebagai khalifah di muka bumi, tidak kiralah sama ada anak itu dididik oleh ibu bapanya untuk menjadi pemimpin atau tidak.

Apa kata jika kita ajar mereka dengan definisi baru yang dirumuskan seperti berikut;

“Pemimpin adalah orang yang mempunyai tanggungjawab, menjaga dan melaksanakan tanggungjawab dan bertanggungjawab di atas tanggungjawab-tanggungjawabnya.”

Ketahuilah bahawa sekalipun kita tidak menjadi pemimpin kepada mana-mana organisasi atau pemimpin dalam masyarakat, kita tetap seorang pemimpin. Kita adalah pemimpin kepada diri kita dan setiap anggota-anggotanya. Kita memimpin akal kita dan bertanggungjawab di atas apa yang kita fikir dan putuskan dalam hidup. Kita memimpin hati kita dan bertanggungjawab di atas bisikan-bisikannya. Kita memimpin mata kita dan bertanggungjawab di atas apa yang kita lihat. Kita memimpin telinga kita dan bertanggungjawab di atas apa yang kita dengar. Kita memimpin mulut kita dan bertanggungjawab di atas apa yang kita perkatakan dan apa yang kita makan. Kita memimpin tangan kita dan bertanggungjawab di atas apa yang kita lakukan. Kita memimpin kaki kita dan bertanggungjawab di atas setiap langkah kita. Kita juga adalah pemimpin kepada persekitaran yang kita lalui setiap saat dan bertanggungjawab di atas setiap tindakbalas yang kita berikan. Inilah sikap jika dipraktikkan, akan menjadikan diri seseorang itu lebih bertanggungjawab dan tidak mudah menyalahkan orang lain.

Inilah konsep kepimpinan yang paling asas yang tidak diajarkan dalam mana-mana institusi atau latihan berkaitan kepimpinan. Kita lebih percaya dan menumpukan kepada definisi kepimpinan yang diciptakan oleh pemikir-pemikir barat tanpa ada sedikit pun rasa untuk mengkaji semula akan ketepatannya. Tidak keterlaluan jika dikatakan, inilah yang menjadi salah satu faktor mengapa kita masih gagal membentuk keperibadian terpuji anak-anak warisan kita. Inilah yang menjadi sebab mengapa pemimpin-pemimpin hari ini baik dalam sektor awam, swasta mahupun politik gagal dalam menjalankan tugas-tugas mereka sebagai pemimpin dalam ertikata sebenar.

Mengapa definisi itu penting? Definisi atau takrif merupakan keterangan yang ringkas tetapi jelas tentang makna atau pengertian sesuatu. Jika di peringkat memberikan definisi sudah tersasar dari matlamatnya yang asal, tidak mustahillah jika kita gagal melahirkan pemimpin-pemimpin yang baik.

Definisi-definisi kepimpinan sehingga hari ini banyak mengajar kita bagaimana untuk ‘berpolitik’ dengan orang-orang bawahan. Langsung tidak menekankan sikap pertanggungjawaban (accountability). Sebagai pemimpin, kita perlu tahu peranan dan tanggungjawab yang telah diberikan. Kemudian, berusaha ke arah melaksanakannya. Seterusnya bersedia untuk bertanggungjawab di atas apa jua tindakan yang terhasil dari setiap keputusan yang dibuat termasuk bersedia untuk menerima hukuman di atas setiap kesilapan.

Seandainya semua ini dilakukan, sudah pasti kita akan menjadi pemimpin yang disegani dan disayangi bukan sahaja oleh orang-orang bawahan tetapi seluruh alam akan mendoakan kesejahteraan kita. Tidak mustahil jika orang-orang bawahan akan bekerja bersama-sama kita dalam mencapai segala matlamat kumpulan atau organisasi tanpa perlu melakukan banyak pemujukan atau paksaan. Tidak perlu untuk kita berhempas-pulas ‘berpolitik’ ke sana ke mari menuruti segala teori kepimpinan yang dikemukakan oleh pemikir-pemikir barat.

Bermula dengan definisi baru inilah, baru kita bercerita tentang kepimpinan dari sudut sosiologi, psikologi dan antropologi. Barulah kita menyentuh darihal fungsi, personaliti pemimpin, set tingkah laku, seni dalam memimpin, proses-proses interaksi dan komunikasi, perhubungan kuasa dan pendayautamaan struktur.

Ketika definisi baru ini dibawa berbincang dengan seorang sahabat, beliau telah berkata, “engkau masih mentah untuk berbicara tentang kepimpinan. Apatah lagi tentang sepak terajang politik.” Saya pun bertanya kepada beliau siapakah pemimpin terbaik yang pernah dilahirkan dalam sejarah dunia. Dengan spontan beliau menjawab, “Nabi Muhammad (s.a.w) lah.” Lantas saya pun mengingatkannya, “kalau tuan terlalu masak atau tinggi ilmunya mengenai kepimpinan atau sepak terajang politik, maka seharusnya tuan juga perlu ikut cara Rasulullah (s.a.w) dan perlu akur kepada setiap kata-katanya.”

Satu Respons to “Mencabar Definisi Kepimpinan”

  1. Abdul Jalil said

    Semoga negara tempat kelahiranku dianugerahkan para Pemimpin yang mempunyai tanggungjawab, menjaga dan melaksanakan tanggungjawab dan bertanggungjawab di atas tanggungjawab-tanggungjawabnya. Seperti Rasululullah

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: