Sahabat MANTAP

:: Memantapkan Minda Nasional ::

Perjuangan 600 Tahun

Posted by Sahabat MANTAP di Khamis, 2 Ogos 2007

Saya baru balik dari berjumpa seorang kenalan lama. Pelbagai topik kami bincangkan. Dari isu-isu semasa, pengukuhan modal insan sehinggalah kepada topik perjuangan. Beliau agak selesa apabila berbicara pasal perjuangan. Berbual mengenai pengukuhan modal insan sebagai satu polisi primer negara telah membawa kepada perbincangan mengenai identiti bangsa yang amat berkait rapat dengan sejarah sebuah perjuangan.

Susur galur sejarah perjuangan ini menjadi penting kerana jati diri bangsa hanya wujud jika kita memahami sejarah perjuangan bangsa kita sendiri. Kita tidak boleh membiarkan anak-anak kita lupa tentang sejarah. Jika hari ini mereka lupa, tidak mustahil satu hari nanti mereka juga akan lupa siapa diri mereka dan untuk apa mereka dilahirkan di bumi bertuah tanah Melayu.

Kerajaan Melayu telah lama wujud di nusantara seperti Kerajaan Patani, Srivijaya, Langkasuka, Majapahit, Pasai, Melaka, Riau Lingga, Bentan, Mataram, Acheh dan sebagainya. Kesemua kerajaan ini turut berhadapan dengan pelbagai cabaran demi mengekalkan ketuanan mereka di nusantara. Di Tanah Melayu sendiri, ketuanan kerajaan Melayu wujud sejak lebih dari 600 tahun yang lampau apabila Melaka di buka oleh Parameswara. Cabaran pertama datangnya ketika Melaka yang diperintah oleh Sultan Muzaffar Shah ketika itu diserang oleh angkatan Siam pada tahun 1447. Walau bagaimanapun, angkatan Siam ini dapat dikalahkan walaupun sebelum ini Siam telah pernah menggugat Melaka sejak zaman pemerintahan Parameswara lagi.

Kedudukannya yang strategik dan kekayaan sumber alamnya menyebabkan Tanah Melayu sentiasa menjadi rebutan kuasa-kuasa asing. Pedagang-pedagang Eropah berniaga rempah-ratus dan lada hitam di Tanah Melayu dan kerana bahan rempah-ratus ini jugalah mereka menjajah Tanah Melayu. Pada tahun 1509, pedagang Portugis mula singgah di Melaka untuk berdagang. Sikap tamak menyebabkan mereka mula bertindak menggugut Sultan dan kerajaan dan akhirnya kota Melaka pun diserang. Armada Portugis pimpinan Alfonso d’Albuquerque hanya memerlukan sepuluh hari sahaja untuk menumbangkan Kerajaan Melayu Melaka.

Sejak dari itu, bermulalah episod penjajahan dan penghakisan ketuanan Melayu di Tanah Melayu. Penghakisan ini berlanjutan dan silih berganti antara Portugis, Belanda, Inggeris dan Jepun selama lebih 450 tahun. Kesultanan Melayu Melaka hanya wujud selama 110 tahun dan kerajaan Melayu lain di nusantara juga turut tidak berupaya melawan kuasa Portugis, Belanda dan Inggeris ini.

Penguasaan dan penghakisan ketuanan Melayu berterusan sewaktu penjajahan Inggeris melalui Perjanjian Pangkor dan Sistem Residen. Kolonial British memecah-belahkan ketuanan Melayu melalui kewujudan Negeri-Negeri Melayu Bersekutu, Negeri-Negeri Melayu Tidak Bersekutu dan Negeri-Negeri Selat. Penglibatan orang-orang Melayu dalam aktiviti-aktiviti perniagaan, perladangan dan perlombongan disekat manakala orang-orang Cina dan India dibawa masuk dari tanah jajahannya secara beramai-ramai.

Orang Melayu mula memberontak. Pada November 1875, Birch dibunuh di Pasir Salak. Pembunuhan Birch telah mengubah sikap Inggeris terhadap orang-orang Melayu di Tanah Melayu. Mereka menyedari bahawa orang Melayu juga mampu untuk bangkit menentang mereka. Nama-nama seperti Mat Kilau dan Datuk Bahaman di Pahang, Datuk Maharaja Lela di Perak, Tok Janggut di Kelantan, Haji Abdul Rahman Limbong di Terengganu, Dol Said di Negeri Sembilan, Ngah Ibrahim, Datuk Siamang Gagap dan lain-lain lagi merupakan pejuang Melayu yang menunjukkan penentangan terhadap orang-orang Inggeris.

Semasa Perang Dunia Kedua meletus, tentera Jepun pula memasuki Tanah Melayu dan menjajah pada Disember 1941. Apabila tentera Jepun berundur, penjajah Inggeris yang dulunya gagal mempertahankan Tanah Melayu dari serangan tentera Jepun datang semula ke Tanah Melayu. Penjajahan semula Inggeris pada Ogos 1945 datang bersama usaha menubuhkan Malayan Union oleh Sir Harold MacMichael.

Tindakan kerajaan British mengisytiharkan kertas putih mengenai agenda Malayan Union pada 22 Januari 1946 mula mencetuskan api dalam jiwa orang-orang Melayu yang telah sekian lama membara. Sebuah agenda yang bertujuan menjadikan Tanah Melayu ini tanah jajahan sepenuhnya. Kerakyatan akan dibuka kepada semua kaum tanpa syarat manakala kekuasaan Raja-Raja Melayu diserahkan kepada Raja England dan Parlimen British diwakili oleh seorang Gabenor. Gagasan Malayan Union akan menghapuskan segala tradisi kebudayaan dan sistem kenegerian di semenanjung Tanah Melayu.

Bermula perarakan bantahan besar-besaran di Batu Pahat dipelopori oleh Dato’ Onn Jaafar dan di Alor Setar anjuran Kesatuan Melayu Kedah, kongres Melayu pertama yang menyatupadukan orang-orang Melayu bagi menentang agenda British tersebut lantas diadakan di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru, Kuala Lumpur pada 1 hingga 4 Mac 1946 anjuran Pergerakan Melayu Semenanjung Johor. Kongres yang diadakan sempena Hari Perpaduan Melayu ini telah dihadiri oleh 163 wakil dari 41 pertubuhan Melayu dari seluruh semenanjung. Mereka berhimpun kerana semangat, hak dan penyatuan. Apa yang mereka tahu adalah perjuangan. Apa yg mereka laungkan adalah “Hidup Melayu” sehingga mampu menyatukan orang-orang Melayu dari segenap lapisan untuk berdiri di bawah satu bumbung. Hanya pada 25 Mac 1951 barulah slogan itu ditukar kepada “Merdeka”.

Kongres kali ke-2 menyusul kemudiannya di Pejabat Akhbar Majlis dan di Rumah Persatuan Penang Peranakan Batu Road di Kuala Lumpur pada 30 dan 31 Mac 1946. Kongres ini berakhir pada kali ke-3 diadakan di Istana Besar Johor Bahru pada 11 hingga 12 Mac 1946. Di sinilah seluruh individu dan pertubuhan-pertubuhan Melayu yang sebelum ini berjuang di peringkat setempat telah bersatu dan bergabung dalam satu pertubuhan yang dipanggil Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (PEKEMBAR) atau lebih dikenali sebagai UMNO. Di sinilah setelah 436 tahun berlalu, orang-orang Melayu kembali disatukan untuk memperjuangkan kepentingan bangsa dan menuntut kemerdekaan buat membina kegemilangan bangsa di tanah sendiri.

Dalam tempoh 2 tahun sahaja, agenda Malayan Union akhirnya berkecai tetapi malang terus menimpa orang Melayu apabila British mengisytiharkan pula Persekutuan Tanah Melayu pada 1 Februari 1948. Walaupun pengisytiharan ini membolehkan Raja-Raja Melayu kembali berkuasa di negeri masing-masing tetapi British sendiri masih berkuasa dalam pentadbiran dan berkuasa membongkar segala khazanah Tanah Melayu.

Pada tahun 1948 juga turut menyaksikan penentangan Parti Komunis Malaya di Tanah Melayu. Dengan ini bermulalah pula episod perjuangan orang-orang Melayu mempertahankan ketuanan Melayu dari serangan tentera Bintang Tiga atau MPAJA dari Parti Komunis Malaya yang kebanyakan anggotanya terdiri daripada orang-orang Cina. Di Batu Pahat dan Muar, orang Melayu menentang kehadiran tentera Bintang Tiga ini dengan menubuhkan Pasukan Parang Panjang yang dipimpin oleh Kiyai Salleh. Selain daripada itu, askar dan polis Melayu juga turut berjuang menentang pemberontakan ini sehingga mengorbankan begitu ramai nyawa dari kalangan askar dan polis Melayu. Antara contoh pengorbanan ini ialah Peristiwa Bukit Kepong yang menyaksikan tanggal 23 Februari 1950, seramai 250 orang tentera Parti Komunis Malaya menyerang Balai Polis Bukit Kepong di Hulu Muar. Mereka membunuh kesemua pegawai polis Melayu yang bertugas, isteri dan anak-anak mereka termasuk beberapa orang awam juga turut terbunuh.  Kesemua yang mati seramai 25 orang terdiri daripada 19 anggota polis, 2 isteri polis dan 2 anak keluarga polis. Empat orang anggota polis yang terselamat mengalami kecederaan yang teruk.

Dengan itu, bermulalah usaha bagi memerdekakan Tanah Melayu selepas dijajah lebih 430 tahun. Usaha mendapatkan kemerdekaan dimulai dengan penggubalan Persekutuan Tanah Melayu, 1948 yang melibatkan Raja-Raja Melayu, pemimpin-pemimpin UMNO dan pegawai-pegawai Inggeris. Akhirnya pada 8 Februari 1956, perjanjian MERDEKA termeterai di London antara Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj dan Lennox Boyd, Setiausaha Tanah Jajahan Inggeris. Laungan keramat ‘Merdeka’ sebanyak 7 kali oleh Perdana Menteri Malaya pada ketika itu, Tunku Abdul Rahman di Stadium Merdeka telah melenyapkan episod penjajahan asing dari bumi Tanah Melayu.

Berkat perjuangan yang diasaskan oleh Dato’ Onn Jaafar yang kemudiannya diteruskan oleh Tunku Abdul Rahman, Tun Abdul Razak, Tun Hussein Onn, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan kini Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi, maka kita telah mula mengecapi nikmat kemerdekaan. Selepas dicabar dengan gagasan Malayan Union, pemimpin-pemimpin Melayu mula menunjukkan kebijaksanaan dalam politik dan perjuangan.

Kekentalan semangat Dato’ Onn Jaafar telah berjaya menolak gagasan Malayan Union. Usaha dan diplomasi Tunku Abdul Rahman pula telah membolehkan Tanah Melayu mencapai kemerdekaan manakala kebijaksanaan dalam kepimpinan Tun Abdul Razak pula membolehkan Dasar Ekonomi Baru dilaksanakan. Tun Abdul Razak telah melaksanakan transformasi dan pembangunan masyarakat Melayu dengan jayanya. Kejayaan ini telah diteruskan oleh Tun Hussein Onn dengan memberi penekanan terhadap perancangan pembangunan industri. Dalam tempoh pentadbiran Tun Dr. Mahathir Mohamad pula, pemodenan bangsa Melayu telah diperhebatkan. Kelas menengah Melayu telah bertambah dengan ketara. Bilangan profesional dan korporat Melayu semakin ramai. Apabila Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi mengambil alih kepimpinan negara, beliau memantapkan lagi perencanaan bagi menguruskan kejayaan dan berusaha untuk membawa Malaysia dan rakyat ke arah mercu kejayaan yang lebih cemerlang, gemilang dan terbilang. Jelas bahawa di tangan kita sendiri, bangsa Melayu berupaya menguruskan negara jauh lebih baik dari penjajah Portugis, Belanda, Inggeris dan Jepun. Dalam tempoh 50 tahun sahaja, wajah Malaysia telah berubah sehingga mendapat tempat di peta dunia dan disegani oleh pemimpin-pemimpin asing.

Suka saya mengingatkan diri saya dan generasi muda bahawa perjuangan bangsa Melayu merupakan sebahagian daripada pengetahuan sejarah. Kita perlu menghayati dan memahaminya kerana penghayatan terhadap sejarah perjuangan bangsa boleh membantu kita mempertahankan identiti bangsa serta menjana kekuatan dalaman diri. Perjuangan 600 tahun bermula tahun 1400 sehingga kini bagi membangunkan bangsa dan mendirikan negara masih belum selesai. Sekiranya kita tidak menyelesaikannya, maka kita sebenarnya mengkhianati perjuangan orang-orang terdahulu sebelum kita.

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: