Sahabat MANTAP

:: Memantapkan Minda Nasional ::

Minyak Naik, ‘Naik Minyak’ dan ‘Jual Minyak’

Posted by Sahabat MANTAP di Rabu, 1 Ogos 2007

Isu kenaikan harga minyak amat menarik perhatian kita. Sejak Perdana Menteri mengumumkan pengurangan subsidi ke atas harga petrol, diesel dan LPG, ramai di antara kita mula memberontak baik secara tersembunyi mahupun secara terang-terangan. Pemberontakan secara tidak langsung boleh dilihat dengan kenaikan harga barang, tambang atau mengenakan caj pengangkutan awam manakala secara langsungnya apabila segolongan daripada kita mula melancarkan demo jalanan sebagai tanda protes.

Rakyat kini sudah celik matanya. Pemikiran rakyat adalah juga pemikiran negara. Pendapat rakyat tidak seharusnya dipandang remeh. Rakyat hari ini telah berani ke depan untuk mengkritik. Rakyat perlu meluahkan apa yang mereka tidak puas hati terhadap pemerintah. Pihak pemerintah pula perlu mendengar dan menghayati apa yang mereka utarakan. Apa yang baik diambil untuk tindakan dan apa yang buruk dijadikan sempadan.

Semua orang sudah ‘naik minyak’. Mungkin terpengaruh dengan kenyataan yang telah dipaparkan di media-media ‘harga minyak naik’. Jika ditukarkan kepada ‘subsidi minyak dikurangkan’, mungkin orang tidak ‘naik minyak’ tetapi ‘naik angin’ pula. Walau apapun, kedua-dua fasa ayat tersebut tetap difahami rakyat sebagai menaikkan harga minyak kerana mereka sendiri yang mengisi minyak di stesyen-stesyen minyak. Sudah tentu mereka melihat nilai harga per liter yang terpapar di skrin pam minyak.

Kita sudah lama dididik dengan budaya subsidi. Apabila bantuan diberikan, kita gembira. Apabila bantuan ditarik kembali, kita memberontak. Sebab itu munculnya kiasan ‘buruk siku’. Sebuah kiasan yang selama ini mengajar kita untuk memandang buruk kepada mereka yang mengambil kembali apa-apa yang telah diberikan kepada kita. Samalah seperti peribahasa negatif yang lain, ‘rezeki secupak tidak akan jadi segantang’ yang mendidik kita berusaha sekadar sahaja. Sedikit pun tidak ada rasa syukur di hati kita. Sedikit pun tidak ada sikap sangka baik terhadap orang yang meminta kembali. Dengan hati yang telah mula dicemari tompok hitam ini, kita pun mula melihat situasi ini sebagai masalah.

Di mana pakar-pakar motivasi yang mengajar manusia agar melihat masalah sebagai cabaran, bukannya halangan? Di mana ibu bapa yang mengajar dan mengatakan kepada anak-anak, “setiap masalah ada jalan penyelesaiannya”? Di mana teman-teman rapat yang sentiasa memberikan kata-kata semangat agar tabah menghadapi dugaan? Di mana golongan usahawan yang dilatih dengan sikap berani menanggung risiko? Di mana doktor-doktor yang telah dididik dengan konsep “melihat dan merawat penyakit dari puncanya”? Tidak bolehkah kita bersama-sama mengurangkan keresahan rakan-rakan kita yang diamuk badai hanya kerana kerajaan mengurangkan subsidi petrol, diesel dan LPG?

Kita semua tahu apabila kita menuding jari ke arah orang lain, empat jari lagi menuding ke arah kita. Biasa sangat kita dengar. Apakah pusat-pusat membeli-belah semakin kurang pengunjung dalam jumlah yang ketara? Apakah pasar-pasar borong semakin sunyi dengan hiruk-pikuk orang ramai? Adakah orang tidak lagi mengunjungi pusat-pusat jualan kereta? Adakah pengusaha-pengusaha restoran atau warung makan menerima kunjungan pelanggan dalam jumlah yang semakin berkurang?

Kita ambil contoh sebuah kereta tempatan, model Proton Wira 1.5GLi berkuasa 1,468 cc. Penggunaan petrol bagi kereta ini ialah 8.8 liter bagi setiap 100km dalam halaju malar 90 km/j. Ini bermakna, dengan harga petrol RM1.92 per liter, kita telah membelanjakan RM16.90 bagi setiap jarak 100km perjalanan kita. Berbanding dengan harga petrol sebelum ini, kita hanya membelanjakan RM14.30. Persoalannya, adakah dengan perbezaan RM2.60 itu, kita menghentikan segala kegiatan yang tidak bermanfaat atau boleh mendatangkan keburukan sekaligus dosa kepada kita? Adakah kenaikan itu akan menyebabkan kita lebih selesa berada di rumah menghabiskan masa dengan isteri dan anak-anak di waktu cuti? Adakah setiap 100km jarak yang ditempuhi semuanya bertujuan yang baik dan diredhai oleh agama?

Beruntunglah orang yang hari ini lebih baik dari semalam. Malangnya, kebanyakan daripada kita baik sebelum mahupun selepas pengurangan subsidi masih mempunyai sikap buruk yang sama. Tidak juga kita berubah menjadi orang yang lebih berjimat-cermat. Kita masih mahu beli pakaian yang ada jenama terkenal. Kita masih lagi mahu beli tambahan perabot dan perhiasan rumah yang bukan lagi sebagai keperluan tetapi hanya sekadar untuk bermegah-megah. Kita masih lagi berbelanja di restoran-restoran mewah, masih lagi berpeleseran di pusat-pusat hiburan dan masih lagi boleh membuang masa melakukan aktiviti yang tidak berfaedah.

Jadi, wajarkah kita melaung-laungkan kata-kata keji terhadap kerajaan? Kita mengatakan kerajaan menindas rakyat tetapi pada masa yang sama kita berlaku tidak adil dan zalim terhadap diri sendiri dan keluarga. Kita terlalu berkira dengan kerajaan tetapi adakah kita pernah berkira bahawa setiap sen yang telah kita belanjakan, berapa banyakkah yang telah diperuntukkan di atas jalan kebaikan dan perkara-perkara yang diredhai agama? Mengapa kita membeliakkan mata terhadap perkara yang membebankan kita sedangkan kita membutakan mata pula ke atas perkara yang menyenangkan kita.

Bukankah dengan pengurangan subsidi ke atas harga petrol sebanyak 30 sen, rakyat masih lagi menerima subsidi kerajaan 54 sen bagi setiap liter petrol yang berjumlah RM14.99 bilion setahun. Lupakah kita bahawa kerajaan memberikan bantuan atau subsidi ke atas makanan asasi sebanyak RM718 juta setahun, pertanian dan perikanan (637 juta), baja (RM171 juta), harga padi (RM448 juta), pelajaran dan kesihatan (RM1.3 bilion) dan tol (RM121 juta). Sedarkah kita bahawa tong gas di rumah yang digunakan untuk memasak itu harga sebenarnya mencecah RM32.10 bagi setiap tong gas 10kg? Mengapa kita boleh membeli dengan harga RM17.50 sahaja? Ini kerana kerajaan telah memberi subsidi sebanyak RM14.60 bagi setiap tong gas tersebut. Wajarkah kebaikan yang diberikan, kejahatan yang kita balas?

Apakah pengurangan subsidi ke atas mana-mana sektor menunjukkan penindasan kerajaan terhadap rakyat?. Seharusnya kita sebagai rakyat yang patut merasakan bahawa kita sebenarnya menzalimi pemerintah kerana tidak membenarkan subsidi yang kita terima selama ini dikurangkan untuk membantu rancangan pembangunan negara. Adakah kita ini warganegara bagi negara yang lain sehinggakan kerajaan Malaysia dihalang daripada melakukan pelbagai strategi percambahan ekonomi demi kebaikan negara dan rakyatnya?

Kita amat terkilan. Dalam keadaan kita memerangi keganasan di peringkat antarabangsa, rupa-rupanya ada segolongan dari kalangan kita bangkit untuk melakukan ‘keganasan’ di dalam negara. Walaupun keganasan ini disifatkan tidaklah sehingga mencederakan orang lain tetapi kesannya boleh meruntuhkan moral rakyat sekaligus institusi kenegaraan. Lagi sekali negara dikejutkan dengan ‘Juara Demo’.

Juara Demo

Tokoh kontroversi ini sememangnya dikenali sebagai ‘jaguh lompat’ sebelum ini apabila tindakannya dilihat sering bertukar parti politik. Kira-kira setahun yang lalu, beliau telah menawarkan dirinya untuk menjadi ‘anak angkat’ kepada PAS setelah Parti Keadilan Rakyat (PKR) menolak permintaannya untuk menyertai parti. Nampaknya bekas Ketua UMNO Bahagian Pasir Mas ini mempunyai strategi baru untuk meletakkan dirinya dalam sebuah parti politik setelah dipecat dari UMNO. Masuk ke rumah orang bermula dengan duduk di tangga mungkin dilihat lebih bersopan daripada terus melompat ke dalam rumah. Pemecatan beliau adalah ekoran daripada tindakannya bertanding sebagai calon Bebas menentang calon BN dan PAS pada pilihan raya umum lalu di kerusi Parlimen Pasir Mas. Maka, tidak hairanlah jika hari ini beliau turun untuk menjuarai isu sekaligus diangkat menjadi ‘Juara Demo’. Mudah-mudahan tuan rumah akan menjemputnya naik dan dipersilakan duduk di sofa empuk.

Itulah gelagat orang kecewa tatkala nafsu ingin berkuasa. Lantas kekecewaan ini dikongsikan dengan orang lain buat melepaskan nafsu amarahnya yang sekian lama bertakhta. Isu pengurangan subsidi oleh kerajaan menjadi medan pertama beliau untuk meletakkan diri sebagai pejuang rakyat kononnya. Berdiri di bawah nama ‘anak angkat’ PAS, beliau mula ‘jual minyak’. Mengajak orang berkumpul untuk menonjolkan diri sendiri. Setiap perkataan yang dilaungkan hanya untuk menagih simpati. Segala pekikan penuh dengan agenda peribadi.

Bukankah elok jika Ibrahim Ali turut bersama-sama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) memerangi kenaikan harga barang yang sewenang-wenangnya dilakukan oleh kebanyakan peniaga ekoran daripada pengurangan subsidi oleh kerajaan. Ini lebih baik untuk keharmonian negara dari membangkitkan emosi rakyat untuk keruntuhan sebuah negara.

Alang-alang duduk berhimpun, bukankah elok jika Ibrahim Ali turut memberikan motivasi kepada rakyat agar mengubah gaya hidup ke arah yang lebih sihat dan tiada pembaziran. Seharusnya rakyat perlu disedarkan agar sentiasa beringat dan berwaspada. Ingatkan tentang masa senang sebelum datangnya masa susah, masa muda sebelum datangnya masa tua dan masa hidup sebelum datangnya kematian. Tidak selamanya kerajaan akan memberikan subsidi. Tiba masanya kerajaan perlu melepaskan subsidi apabila simpanan minyak negara habis pada tahun 2010. Adakah pada masa itu kita juga akan berdemo?

Tidak perlu kita sebagai rakyat menjadi ‘api dalam sekam’ terhadap proses pembangunan negara dan rakyat. Kita bukan berhadapan dengan kerajaan yang mengabaikan tanggungjawab terhadap rakyat. Bolehkah kita merenungi seketika apa yang kita kecapi hari ini sejak kita dilahirkan? Bukti itu ada pada diri kita sebenarnya. Apa yang membezakan adalah sejauhmana usaha kita terhadap kemajuan diri dan keluarga. Tidak usah kita membutakan diri, memekakkan telinga dan menutup pemikiran terhadap perkara yang sudah jelas di depan mata.

Kita perlu yakin kepada kerajaan yang dibentuk. Tidak ada mana-mana kerajaan di dunia yang ingin melihat keruntuhan negaranya. Kita seharusnya bersama-sama pemerintah membina sebuah negara yang lebih terbilang. Anak-anak seharusnya bersama-sama ibu bapanya untuk membina sebuah keluarga yang bahagia. Pelajar-pelajar seharusnya diajak bersama-sama guru membina sekolah yang lebih cemerlang.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: