Sahabat MANTAP

:: Memantapkan Minda Nasional ::

Guru Sering Dipersalahkan

Posted by Sahabat MANTAP di Sabtu, 28 Julai 2007

oleh: Jebat Pembela 

Kes warden asrama Sekolah Menengah Kebangsaan Bawang Assan telah mengarahkan 200 pelajar sekolah itu berendam di dalam kolam telah menggemparkan Malaysia sehingga Kementerian Pelajaran telah mengeluarkan arahan di mana guru yang terbabit di dalam permasalahan ini akan dihukum.

Persoalannya di sini, wajarkah guru yang menghukum pelajar disebabkan masalah disiplin dihukum oleh Kementerian Pelajaran? Profesion perguruan merupakan badan yang dipertanggungjawabkan oleh kerajaan untuk menghasilkan rakyat masa depan yang serba canggih sebagai jentera penggerak negara. Tanggungjawab profesion perguruan menjadi semakin berat kerana rakyat di masa hadapan yang hendak dihasilkan itu bukan sahaja perlu diterapkan dengan pelbagai ilmu pengetahuan semata-mata, tetapi perlu juga diseimbangkan dengan nilai sosial yang baik dari segi moral dan etika yang murni. Disiplin dalam bentuk formal perlu dirangka di sekolah-sekolah.

Kalau kita membicarakan tentang masalah guru memukul pelajar, pasti banyak tafsiran yang berbeza mengenai guru yang ‘jahat’. Kalau seorang murid sekolah rendah, pasti katanya guru yang jahat akan memberi latihan atau kerja rumah yang banyak. Jelas di sini, keikhlasan guru yang memberi latihan atau kerja rumah untuk meningkatkan kemahiran murid, disalahtafsirkan sebagai ‘jahat’. Mereka lupa, bahawa guru itu lebih banyak menghabiskan masanya untuk menyemak latihan atau kerja rumah murid-muridnya. Dalam hal ini, ibu bapa yang kurang faham akan beranggapan guru memberi kerja rumah yang banyak sebagai mendera anak mereka.

Murid-murid sekolah menengah, pasti mengatakan guru yang ‘jahat’ akan selalu menghalang atau mengawal tindak-tanduk mereka. Sekali lagi keikhlasan guru yang cuba mendisiplinkan mereka disalahtafsirkan sebagai ‘jahat’. Mereka ini juga lupa bahawa guru melakukan semua itu cuma untuk kebaikan mereka. Bagi sesetengah ibu bapa yang sibuk dengan bekerja, adakalanya mereka kurang bersama anak-anak dalam kehidupan seharian. Mereka kurang mengetahui apa yang dilakukan oleh anak mereka. Bila guru pula cuba memperbetulkan tingkah laku anak murid mereka, ibu bapa akan cepat melenting. Mereka terus beranggapan bahawa guru itu mendera anak mereka. Apalah gunanya seorang guru jika dipertanggungjawab mendisiplinkan pelajar, akhirnya pelajar itu masih juga tidak berdisiplin dan guru pula dituduh tidak berdisplin dalam mendidik pelajar.

Perumpamaan Melayu “melentur buluh biar dari rebungnya” amat berkait rapat dengan sektor pendidikan dan penguruan. Jika ingin sesatu tamadun itu menjadi gemilang, aspek pendidikan adalah aspek paling dititikberatkan. Jika diamati, pelajar hari ini yang terdiri dari remaja sering dibabitkan dengan pelbagai jenayah dan salah laku. Pergaduhan dan gengsterisme, merokok, menagih dadah, seks bebas, memusnahkan harta benda awam, memeras-ugut dan ada yang mengupah orang untuk memukul guru adalah kes-kes juvana yang melibatkan para pelajar sekolah. Perlakuan sebegini tidak disedari oleh ibu bapa kerana kejadian tidak berlaku di hadapan mata mereka. Mereka akan cepat marah sekiranya anak mereka menunjukkan kesan lebam dan mengadu dipukul guru. Lazimnya, mereka terlupa untuk bertanya mengapa anak mereka dipukul. Di sini ibu bapa perlu memainkan peranan dalam mendidik anak-anak mereka. Guru hanya mampu mengajar pelajar ketika waktu persekolahan dan di luar waktu persekolahan ibu bapa perlu meneruskan tanggungjawab dalam mendidik anak-anak mereka.

Ibu bapa tidak boleh terlalu memanjakan anak mereka kerana jika terlalu dimanjakan mereka akan menjadi lebih bermasalah dan ini akan menyusahkan ibu bapa dan guru. Kebanyakan masalah disiplin remaja pada masa kini sebenarnya berpunca daripada kegagalan ibu bapa mendekati anak-anak mereka dan semua golongan perlu menerima kenyataan di mana golongan ibu bapa pada zaman sekarang bukan lagi seperti zaman dahulu kerana ibu bapa pada zaman sekarang tidak tegas dalam mendidik anak-anak mereka.

Ibu bapa perlu diberikan penekanan mengenai kesedaran mendidik anak secara lebih berhikmah dan bukan sering memanjakan anak-anak. Contohnya jika anak mereka didapati menggunakan perkataan-perkataan ‘kotor’, ibu bapa perlu menasihati anak-anak mereka dan jika anak itu masih tidak berubah, baru ibu bapa menggunakan sedikit kekerasan supaya anak-anak mereka menjadi manusia yang berguna untuk agama, bangsa dan negara.

Pendekatan untuk mendidik pelajar memerlukan penggabungan antara pendekatan lembut, pendekatan tegas dan tindakan disiplin. Tindakan disiplin itu boleh dihalusi supaya ia sesuai dengan tuntutan zaman tanpa mengurangkan nilai pengajaran terhadap anak-anak.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: