Sahabat MANTAP

:: Memantapkan Minda Nasional ::

Apabila Rukun Negara Tidak Dihayati

Posted by Sahabat MANTAP di Khamis, 13 Disember 2007

Oleh : Salza Hedra

Ekoran dari rusuhan kaum yang berlaku pada 13 Mei 1969, lantas Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) ditubuhkan untuk memastikan keamanan negara terus terpelihara. MAGERAN kemudiannya telah mewujudkan Majlis Perundingan Negara bagi membincangkan Strategi Perpaduan Nasional. Pada tarikh kemerdekaan negara 31 Ogos 1970 maka ideologi negara iaitu Rukun Negara mula diperkenalkan.

Matlamat utamanya adalah untuk mengukuhkan perpaduan, memelihara corak hidup demokratik, mencipta sebuah masyarakat yang adil, menjamin sikap liberal terhadap tradisi kebudayaan yang pelbagai dan membina masyarakat progresif yang akan menggunakan sains dan teknologi. Rukun Negara merupakan satu manifestasi kecintaan kepada negara yang telah berjaya memupuk semangat perpaduan antara kaum di Malaysia. Ia adalah sesuatu yang sentiasa relevan dalam konteks negara kita.

Penulis masih ingat lagi di mana setiap pagi dalam perbarisan pagi selepas menyanyikan lagu Negaraku, pelajar-pelajar diwajibkan untuk mengikrarkan Rukun Negara sebelum mendengar ucapan Guru Besar. Rukun Negara juga perlu dihafal oleh setiap pelajar dan kadang-kadang ia menjadi salah satu soalan penting oleh guru kelas. Ianya memberikan makna terbesar dalam kehidupan rakyat Malaysia sehingga ke hari ini.

Prinsip pertama Rukun Negara yang pertama; Kepercayaan Kepada Tuhan. Di Malaysia, agama Islam adalah agama rasmi negara sepertimana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan hak beragama juga diberikan kepada semua rakyatnya. Mereka bebas menjalankan atau mengamalkan kepercayaan masing-masing. Manusia yang berpegang kepada agama mudah untuk diuruskan.

Mana-mana agama sekalipun menggalakkan kebaikan dan menegah melakukan perkara yang terlarang. Di Malaysia terdapat masjid, tokong, kuil-kuil dan gereja. Ini dengan jelas membuktikan bahawa prinsip pertama Rukunegara dipraktikkan oleh Kerajaan. Lantaran itu, kenapa mesti wujud demonstrasi yang kononnya di Malaysia penganut-penganut agama tertentu dikekang daripada melaksanakan kepercayaan mereka? Apakah benar tuduhan mereka ini?

Isu agama amat sensitif untuk dibincangkan secara terbuka. Mana-mana perkara yang menyentuh sensitiviti kaum amat dipandang serius oleh kerajaan. Justeru itu kerajaan tidak menggalakkan isu seperti ini dibincangkan secara terbuka. Lebih ditakuti apabila isu sebegini diperalatkan oleh individu-individu atau badan-badan tertentu untuk kepentingan peribadi atau politik mereka.

Prinsip kedua Rukun Negara adalah Kesetiaan Kepada Raja Dan Negara. Rakyat dituntut untuk setia kepada Raja dan negara. Prinsip ini secara jelas mengakui bahawa DYMM Yang DiPertuan Agong merupakan Ketua Negara dan Raja-Raja Melayu merupakan Ketua Negeri. Raja adalah lambang kesatuan dan penyatuan rakyat serta pelindung hak istimewa kaum peribumi. Menderhaka kepada Raja bermaksud menderhaka kepada negara. Setiap rakyat sesebuah negara itu wajib setia kepada negara sekiranya mereka mengakui diri mereka adalah rakyat negara itu.

Apa akan jadi sekiranya ada golongan yang memperalatkan Raja demi kepentingan politik mereka? Apa akan jadi sekiranya kesetiaan yang ditunjukkan bukan kepada Raja negara ini tetapi kepada Raja di luar negara? Apa akan terjadi sekiranya ada tindakan mengundang campur tangan pemimpin negara luar dalam hal ehwal dalaman negara sendiri. Dalam senario ini, rasa cinta dan setia mereka kepada Raja dan negara boleh dipertikaikan.

Prinsip ketiga Rukun Negara adalah Keluhuran Perlembagaan. Perlembagaan negara dibentuk dengan berpaksikan kepada senario tanahair tercinta. Ianya luhur, suci, unggul dan merupakan undang-undang utama negara. Rakyat dituntut supaya menerima, mematuhi, menyanjung dan mempertahankannya.

Kita hairan sejak kebelakangan ini seolah-olah adanya usaha daripada golongan tertentu untuk mengubah Perlembagaan apabila mereka mula merasakan bahawa Perlembagaan negara sudah tidak relevan lagi apatah lagi bila dilihat hanya menguntungkan orang-orang Melayu sahaja. Lebih malang lagi, ramai di kalangan rakyat Malaysia tidak langsung mengetahui dan memahami Perlembagaan Negara sendiri. Justeru itu, mereka mudah dipengaruhi oleh golongan yang mempunyai kepentingan dan agenda tersembunyi.

Prinsip keempat Rukun Negara adalah Kedaulatan Undang-Undang. Rakyat dituntut untuk mematuhi undang-undang dan ditegah melanggarinya. Rakyat bertanggungjawab memelihara kedaulatan undang-undang negara kerana dengannya kita akan hidup aman dan damai.

Akhir-akhir ini juga terdapat golongan tertentu yang memperlekehkan undang-undang negara; melakukan demonstrasi jalanan tanpa permit untuk meluahkan rasa tidak puashati mereka – BERSIH (pilihan raya), HINDRAF (penghapusan etnik) dan pengamal undang undang (sistem pelantikan hakim dan kebebasan bersuara).

Undang undang perlu diberi keutamaan kerana ia adalah lambang kedaulatan negara. Ia merupakan peraturan dan tatacara perlakuan untuk memastikan negara sentiasa selamat daripada ancaman dalaman dan luaran.

Prinsip kelima Rukun Negara adalah Kesopanan dan Kesusilaan. Kedua-dua perkara ini berkaitan dengan adab dan adat ketimuran yang tinggi nilai dan budayanya. Sebagai negara yang beradab dan berbudaya, jangan sesekali kita menghina dan memalukan negara sendiri dengan tindakan-tindakan yang menyanggahi budaya kita. Jangan kita jadikan budaya luar sebagai galang gantinya kepada adat dan budaya sendiri yang lebih tinggi dan berhemah.

Sanggupkah menggadai keharmornian antara kaum yang telah terjalin sekian lama? Sanggupkah mengundang pertelingkahan kaum yang hanya menjanjikan airmata dan pertumpahan darah? Sanggupkah kita lihat negara kita dicatur oleh negara luar yang langsung tidak memahami budaya kita?

Sejak kebelakangan ini banyak laman web dan blog mengutarakan artikel yang acapkali menghentam pentadbiran kerajaan khususnya Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi dan parti Barisan Nasional (BN) yang dipengerusikannya. Lebih memilukan apabila isu-isu berbau perkauman dijadikan bahan penulisan kononnya membela golongan yang ditindas termasuk percubaan fitnah dengan memaparkan ketidakadilan oleh pihak kerajaan.

Mengapa prinsip-prinsip yang begitu agung dan cantik dalam Rukun Negara ini sanggup dikesampingkan oleh segelintir golongan rakyat kita ini? Adakah mereka lupa bahawa kita berjaya dan hidup harmoni berpaksikan kepada prinsip-prinsip tersebut?

About these ads

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
Ikut

Get every new post delivered to your Inbox.

%d bloggers like this: