Sahabat MANTAP

:: Memantapkan Minda Nasional ::

Di Manakah Semangat Patriotisme

Posted by Sahabat MANTAP di Rabu, 22 Ogos 2007

Oleh : Jebat Pembela

Karikatur Patriotisme

Setelah British kembali berkuasa di Tanah Melayu, mereka telah memperkenalkan satu bentuk gagasan baru yang dikenali sebagai Malayan Union. Sir Edward Gent telah dilantik untuk menerajui gagasan ini. Namun gagasan ini mendapat penentangan hebat daripada orang-orang Melayu. Penentangan yang dilakukan di seluruh Tanah Melayu secara tunjuk perasaan, surat-surat terbuka dan menerusi akhbar ini merupakan satu fenomena politik Melayu yang memeranjatkan British. Raja-raja Melayu dan rakyat berkabung selama satu minggu.

Datuk Onn Jaafar telah mengadakan satu kongres untuk semua kumpulan dan pertubuhan politik Melayu di Tanah Melayu di Kuala Lumpur pada 1-4 Mac 1946. Seramai 146 orang wakil dan pemerhati dari 41 buah pertubuhan berhaluan kanan dan kiri telah berkumpul. Kongres ini telah mencapai kata sepakat untuk menentang Malayan Union dan menubuhkan Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO). Pada 11 Mei 1946, piagam dan penubuhan UMNO lahir secara rasminya. Datuk Onn dilantik sebagai Yang DiPertua UMNO. Dari bulan April 1946 hingga Disember 1947, pertemuan antara Raja Melayu dan UMNO diadakan di Perak dan Kuala Lumpur. Perundingan dengan pihak British telah diadakan untuk membubarkan Malayan Union. Penentangan terhadap gagasan British ini juga diterima daripada masyarakat Inggeris sendiri. Akhirnya Malayan Union telah dibubarkan dan digantikan dengan Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu pada 21 Januari 1948 di antara kerajaan British, Raja-raja Melayu dan UMNO. Persekutuan Tanah Melayu diisytiharkan pada 1 Febuari 1948. Perjanjian ini telah mengiktiraf semula kekuasaan Raja-raja Melayu di negeri masing-masing di samping kerakyatan yang lebih ketat dan kedudukan istimewa orang Melayu dikekalkan. Fenomena ini adalah permulaan kepada semangat patriotisme di Tanah Melayu.

Patriotisme seringkali dikaitkan dengan kesetiaan dan kecintaan seseorang terhadap negaranya sendiri. Seseorang itu dianggap patriot apabila tindakan dan amalannya menepati ciri–ciri patriotisme yang berteraskan kecintaan dan kesetiaan kepada negara. Di dalam dunia globalisasi dan ledakan era teknologi maklumat, semangat patriotisme amat penting sekali. Di atas kepentingan patriotisme, Tun Dr. Mahathir Mohamed pernah mengingatkan, “tanpa semangat ini, kita tidak boleh yakin kita dapat bertahan, kita dapat kekalkan hak kita. Kemungkinannya ialah kita akan tinggal nama dalam sejarah saja”. Dalam usaha untuk menanam dan memupuk semangat patriotisme, elemen sejarah merupakan antara medium yang boleh digunakan untuk menerapkan semangat tersebut. Dalam episod sejarah hidup Sun Tzu, selain soal strategi perang, ada dua hal yang perlu kita titikberatkan. Pertamanya adalah soal patriotisme atau kecintaan terhadap rakyat dan negara dan keduanya tentang pengorbanan. Sun Tzu amat menekankan semangat patriotisme dan pergorbanan keranan dua elemen inilah yang paling penting jika ingin mempertahankan kedaulatan negara.

Makna patriotisme tidak berubah, iaitu cinta yang kental dan kekal terhadap bangsa dan negara Malaysia. Tetapi fokus atau bentuk patriotisme mungkin berubah mengikut masa dan keadaan. Bagi generasi yang melalui pengalaman yang berbeza, fokus patriotismenya mungkin juga berbeza, walau pada hakikatnya ia tetap berpaksi pada makna yang sama. Bagi generasi pra-merdeka, fokus patriotismenya ialah memperjuangkan kemerdekaan. Selepas itu, fokus patriotismenya ialah mengisi kemerdekaan. Bagi yang melalui zaman konfrontasi, fokusnya ialah mempertahankan kedaulatan Malaysia yang baru dibentuk. Bagi yang mengalami tragedi 13 Mei 1969, fokusnya ialah meningkatkan perpaduan rakyat manakala pada masa kegawatan ekonomi pula, fokusnya ialah mempertahankan kedaulatan ekonomi negara.

Apakah pula fokus patriotisme kita hari ini? Sejauh manakah ia dihayati? Bagaimanakah ia dipupuk? Adakah ia muncul sebagai reaksi kepada masalah yang dihadapi negara? Adakah ia semarak pada tarikh tertentu saja? Lebih penting lagi, bagaimanakah dan sejauh manakah patriotisme diterjemahkan sebagai asas bagi meningkatkan kecemerlangan? Pada setiap zaman, muncul cabaran baru yang menggugat patriotisme. Setelah 50 tahun Malaysia merdeka, adakah di kalangan anak-anak muda tertanam semangat patriotisme?

Semangat patriotisme rakyat terutama generasi pasca merdeka perlu sentiasa dipertingkatkan melalui pelbagai program yang menjurus ke arah itu. Kita perlu menerima hakikat, manusia seringkali mudah lupa untuk melihat kembali sejarah. Sebab itu, semakin lama usia kemerdekaan negara, semakin mudah rakyat khususnya generasi selepas era tersebut lupa akan pentingnya semangat patriotisme ini meskipun dari segi fizikalnya kita telah bebas dari penjajahan. Yang jelas, masyarakat hari ini sudah berada dalam zon selesa, makmur dan bebas melakukan apa sahaja. Lantas, ancaman seperti pengaruh budaya liar menyusup masuk ke dalam jiwa tanpa disedari.

Justeru itu, sama-samalah kita mengubah sikap dan kembali ke landasan sebenar supaya tidak terus hanyut dan leka dengan keselesaan yang dinikmati hari ini. Masyarakat patriotik adalah masyarakat yang anggotanya bertatasusila luhur, berdaya maju, melindungi dan mematuhi serta memelihara undang-undang dan peraturan. Untuk membentuk masyarakat madani, pemupukan nilai-nilai murni menerusi pendidikan dan tarbiyah secara berkesan penting kerana pembangunan material serta kepesatan perkembangan ekonomi semata-mata belum tentu menjanjikan terbinanya masyarakat yang bermoral.

Gejala keruntuhan moral yang berlaku sekarang merupakan satu tamparan kepada proses pembentukan insan yang dicita-citakan. Generasi muda alaf ini tidak lagi meletakkan maruah sebagai aset penting dalam kehidupan. Senario remaja berpeleseran di pusat membeli-belah, gadis pulang lewat malam dan muda-mudi berpelukan di khalayak ramai menjadi fenomena biasa. Apakah erti kemerdekaan kepada generasi muda? Generasi muda adalah pemimpin pelapis negara pada masa hadapan. Bagaimanakah kita ingin menaruh harapan kepada generasi muda hari ini jika mereka sering terbabit dengan aktiviti sosial yang tidak sihat. Adakah dengan mengibarkan bendera di atas motor ‘mat rempit’ dan berlumba di atas jalan raya itu dinamakan sebagai mempunyai semangat patriotisme?

Amat malang bagi negara Malaysia jika generasi muda tidak memahami erti kemerdekaan sebenar. Para pemimpin pra-merdeka bersusah-payah untuk membebaskan Malaysia dari cengkaman penjajahan tetapi sayang seribu kali sayang, anak-anak muda Malaysia masih dijajah mindanya. Zaman generasi muda ini diwarnai dengan kemewahan, kedaulatan kuasa dan dikelilingi keselesaan hidup. Generasi muda telah mengubah cara hidup daripada suatu kehidupan yang penuh dengan kesempitan dan kepayahan kepada satu cara hidup yang penuh dengan kebebasan dan kemewahan. Semangat juang dan keberanian telah mula luntur dan terhakis di kalangan generasi ini. Perjuangan generasi terdahulu lebih berupa catatan sejarah yang gagal dihayati sepenuhnya.

Di dalam bulan kemerdekaan ini, nama Wee Meng Chee menjadi popular mengalahkan populiriti Raja SMS, Mawi. Pelajar yang telah menerbitkan beberapa lagu dan di antaranya diberi nama “Negarakuku” telah menyatakan tujuan penerbitan tersebut adalah untuk menunjukkan betapa sayangnya beliau kepada Malaysia sebagai rasa semangat patriotisme yang begitu tinggi. Jika diamati lirik lagu ‘Negarakuku’, pasti kita tercari-cari di manakah kata-kata yang menunjukkan semangat patriotisme beliau. Lirik lagunya penuh dengan sindiran terhadap kaum Melayu dan agama Islam. Di manakah semangat patriotisme di dalam lagu tersebut?

Jika Malaysia mempunyai 100 orang seperti Wee Meng Chee ini, maka akan bermulalah zaman kehancuran negara. Generasi muda seperti Wee Meng Chee ini patut diberi pengajaran mengenai semangat patriotisme dan erti kemerdekaan kerana generasi pasca-merdeka ini tidak melalui keperitan hidup di zaman penjajahan. Jika Malaysia ingin terus mempertahankan kemerdekaan yang dikecapi selama 50 tahun ini, generasi muda seperti Wee Meng Chee, ‘mat-mat rempit’, mahasiswa dan mahasiswi di IPTA/IPTS perlu disedarkan dengan kadar segera. Jika terlewat nanti, maka masa hadapan negara pasti berada di ambang yang suram. Kata orang, “Melentur buluh biar dari rebungnya”.

Satu Respons to “Di Manakah Semangat Patriotisme”

  1. popo berkata

    ok gak…ciptaan awak bagus…..

Tinggalkan Jawapan

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Tukar )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Tukar )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Tukar )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

%d bloggers like this: